Santuni Anak Muda Dengan Islam

anakmuda


“Mahasiswa itu cakapnya seperti guruh. Tunggu sahaja dapat Myvi sebuah gaji masuk bulan-bulan. Senyaplah mereka!” kata seorang pegawai.


Rimas dengan tuntutan anak muda di bawah tadbirnya.


Beliau memperlekeh pandangan-pandangan pelajarnya yang mengkritik pihak atasan. Segalanya dipukul rata sebagai pandangan semangat tanpa sokongan ilmu apatah lagi pengalaman.


Ghurur!” kata sesetengah orang.


Perbuatan meremehkan orang muda bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan kita. Anak-anak muda itu sering digambarkan sebagai golongan yang berpemikiran singkat, tidak berfikir panjang, mengikut perasaan, belum mengenal realiti kehidupan, malah soal siapa makan garam dulu pun boleh dijadikan persoalan.


Malah ia bukan asalan baru. Ia alasan yang telah dipakai zaman berzaman. Seperti kaum musyrikin semasa mengungkapkan tentang Ibrahim alayhi al-Salaam ketika berhala-berhala mereka dicela.


قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ

“(Setengah daripada) mereka berkata: “Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya (berhala)“ [Al-Anbiya’ 21: 60]

Sebagaimana yang diungkapkan oleh ahli Tafsir, kaum musyrikin itu dengan sengaja menggunakan ungkapan ‘pemuda’ atau al-fata kerana mahu meremehkan Ibrahim. Baginda dilabel sebagai anak muda, yang selalunya bertindak secara tidak matang, melulu dan boleh diabaikan sahaja mesejnya. Justeru, janganlah dikisahkan sangat bising-bising budak muda bernama Ibrahim itu!


KELEBIHAN USIA MUDA


Tetapi menjadi orang muda bukan sesuatu yang hina atau cacat menjauhi sempurna.


Ada kekurangan, tetapi banyak kelebihannya.


Kanak-kanak sentiasa tidak sabar mahu menjadi anak muda kerana mengimpikan apa yang hanya dimiliki oleh si anak muda. Orang tua juga terbuai-buai perasaannya apabila mengenangkan usia muda kerana memikirkan apa yang pernah dimilikinya pada usia itu. Usia muda adalah usia yang dicemburui oleh mereka yang tidak memilikinya.


Potensi!


Itulah nilai pada seorang anak muda.


Potensi untuk impian dan harapan, hampir tanpa mengenal batasan.


Bahkan usia muda itu yang menjadi usia pilihan bagi ahli Syurga.


Abu Sa`id dan Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Apabila ahli Syurga memasuki Syurga, seorang penyeru akan berkata: (kamu menerima satu janji daripada Allah) bahawa kamu akan terus hidup di dalamnya dan kamu tidak akan mati, kamu akan sihat di dalamnya dan kamu tidak akan sakit, kamu akan kekal muda di dalamnya dan kamu tidak akan menjadi tua, kamu akan sentiasa berasa tenang bahagia dan kamu tidak akan dirundung duka” [Muslim]

Usia emas itu hakikatnya adalah usia muda.


DI SISI ALLAH


Ada tiga kalimah serangkai yang memberikan makna si anak muda.


Pertamanya adalah ghulam (غلام).


Keduanya adalah fata (فتى).


Ketiganya adalah syaab (شاب).


Seorang anak muda bernama Ibrahim yang diperlekeh oleh kaum Musyrikin kerana menghina berhala sembahan mereka, digelar sebagai fata. Sepertinya, menjadi muda itu satu liabiliti.


Ia disanggah oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala apabila kalimah yang sama (fata) digunakan pada memuji Ashaab al-Kahf:


 إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى


“Sesungguhnya mereka itu adalah fityah (anak-anak muda) yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah petunjuk” [al-Kahf 18: 13]

Allah Ta’aala menggunakan kembali perkataan ‘anak muda’ (fata) itu sebagaimana yang kaum Ibrahim gunakan. Tetapi konotasinya berbeza. Jika anak muda dianggap sebagai ‘orang singkat’ oleh kaum Ibrahim yang musyrik, anak muda dipuji sebagai insan penuh potensi dan simbol survival perjuangan Tauhid di dalam kisah Ashaab al-Kahf.


Semuanya terletak pada nilai iman dan amal soleh.


Apabila anak muda itu beriman, dan mereka berusaha pada mengisi makna iman itu, Allah Subhanahu wa Ta’aala memuji mereka dan menambahkan Taufiq-Nya dengan petunjuk dan bimbingan.


Pemuda beriman… nikmat besar bukan hanya pada tuan empunya diri, malah nikmat kepada umat sejagat.


MESRAKAN, JANGAN LAGAKAN


Anak muda dan warga tua, setiap kelompok daripada keduanya memiliki apa yang tidak dimiliki oleh kelompok yang satu lagi.


Anak muda memiliki semangat, kesungguhan pada mendapatkan sesuatu, tubuh badan yang sihat bertenaga serta daya responsif yang optimum.


Tetapi mereka harus akur dengan beberapa kelemahan yang ada. Kelemahan yang bukan disengaja, tetapi dek perjalanan hidup yang belum panjang untuk sampai kepada memilikinya.


Itulah sang pengalaman.


Anak muda kurang pengalaman. Sedangkan pengalaman adalah guru yang berbeza berbanding ilmu. Jika ilmu mengajar manusia menjadi alim (berilmu), pengalaman membentuk manusia menjadi hakim (bijaksana).


Di dalam al-Quran, Allah Subhanahu wa Ta’aala sering menggabungkan nama-Nya ALEEM dengan HAKEEM. Seandainya kombinasi ini mahu diteladani oleh manusia, ia mengajar kepada kita bahawa berilmu sahaja tidak memadai. Kesarjanaan bukan jaminan untuk bertindak tepat kerana apa yang harus datang sama adalah hikmah kebijaksanaan. Ilmu menganugerahkan kesarjanaan, masa dan pengalaman menganugerahkan hikmah kebijaksanaan.


Itulah kekurangan yang menjadi cabaran anak muda.


Masa belum banyak memberikan pengalaman hidup, dan ilmu yang ada belum dimatangkan dengan pengalaman yang perlu.


Berbeza dengan orang tua yang lebih dewasa.


Mereka menempuh dan menyaksikan pelbagai kitar usia manusia. Banyak peristiwa yang berlaku dan percubaan demi percubaan yang pernah diambil di sepanjang perjalanan hidup telah pun sampai kepada natijahnya. Cause and effect banyak yang sudah dilangsaikan dan semua itu menajamkan pemerhatian serta pandangan orang tua.


“Kalaulah aku buat begini…” kata seorang tua.


“Kalaulah aku tidak buat begitu…” keluh seorang yang lain.


Ungkapan-ungkapan itu datang setiap kali seorang tua menoleh ke belakang melihat kembali jejak perjalanan hidupnya.


Tetapi kesedaran tentang betul dan salah itu terperangkap di dalam berkalau-kalau, kerana orang tua banyak kekangan. Tubuh badannya semakin lemah, daya bertindaknya mengalami kemerosotan, dan setelah selesa dengan apa yang menjadi kebiasaan, daya responsif terhadap seruan juga tidak pantas lagi.


Justeru bagi si anak muda, berdampinglah dengan orang tua. Bertalaqqilah kalian menadah pengalaman mereka. Minta nasihat dan bimbingan mereka, sabarkan diri dengan kerenah mereka.


Manakala bagi yang telah tua ditelan usia, jangan dibawa pengalaman ke kubur tanpa tinggalan, berdampinglah dengan anak muda. Jangan lokek berkongsi pengalaman dengan mereka. Betulkan silap mereka, tunjukkan potensi mereka. Dalam semua itu, sabarkan diri dengan kerenah mereka.


Jangan pula dimatikan potensi mereka. Jangan angkuh dengan pengalaman.


Seperti ungkapan Nelson Mandela:


When the water starts boiling it is foolish to turn off the heat


BERSABARLAH


Mendidik anak muda, adalah persiapan diri saya sendiri pada mendidik anak-anak yang semakin meningkat usia. Ia penuh cabaran ia penuh kesakitan.


Namun, fadhilatnya amat besar.


Mendidik anak muda adalah pelaburan besar kita untuk mencipta masa depan yang lebih baik.


Justeru itu, selesai mengungkapkan kisah pemuda Ashaab al-Kahf, Allah Subhanahu wa Ta’aala memberikan peringatan kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan para murabbi umat akan hakikat ini:


وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran” [Al-Kahf 18: 28]

Bersabarlah dengan kerenah anak muda itu.


Mereka tidak menginginkan apa-apa kecuali keredhaan-Nya.


Maafkan kekurangan mereka, kuatkan semangat mendidik mereka.


Jangan dicari habuan dunia, biar pun mendidik anak muda tidak menjadikan dirimu kaya raya. Sesungguhnya pelaburan saham terhebat yang boleh engkau lakukan, adalah pada menumpahkan ilmu, pengalaman, nasihat, bimbingan dan panduan, kepada ANAK MUDA.


Mata rantai dakwah kita.


Buat anak muda, kuatkan semangat, tebalkan telinga, teguhkan jiwa.


Naskhah ini bukan buaian tempat kalian kudendangkan dengan kisah-kisah keperwiraan silam.


Ia adalah nota kehidupan bekas remaja, yang mahu kalian bangkit, seperti bangkitnya Ashaab al-Kahf dan generasi anak muda sepanjang zaman.


erbakan_genclik_01


Bir milletin asıl gücü; topu, tüfeği yahut tankı değil imanlı ve inançlı gençliğidir. 


Kekuatan sebuah bangsa bukan terletak pada meriam, senapang atau kereta kebal. Tetapi anak mudanya yang teguh dengan Iman dan keyakinan diri - Prof. Dr. Necmettin Erbakan


Seeru ‘alaa barakatillaah.


Hasrizal Abdul Jamil

Bandar Seri Putra

12 Mac 2012 / 19 Rabi’ul Akhir 1433HArtikel Ini Telah Dibaca Oleh (1026) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 24, 2013 22:23
No comments have been added yet.