.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 9*2] :.

Papa serta Badlee selalunya akan menunggu arahan masuk daripadanya. Namun ia adalah sesuatu yang sangat jarang berlaku.
“Mama,” ucap Salmiha mengorak senyum tipis.
“Buat kerja apa ni?” Sarimah menghampiri anak gadisnya, yang amat rapat dengannya semenjak kecil lagi.
“Buku kanak-kanak. Kisah bagaimana ular hilang kakinya. Dongengnya, ular pernah ada kaki dulu…” Ketawa kecil Salmiha dengan dongeng itu. Lucu dan menarik sekali kisahnya.
“Dah nak siap dah. Tapi takut jugak kalau-kalau belum kena. Sal dah buat ikut apa dia orang minta. Harap-harap okeylah. Sebab selalunya dia orang puas hati dengan kerja Sal.” Salmiha raih tangan mama di bahunya, dikucup lembut. Lalu jemari tangan kanan itu digenggam erat dengan tangan kirinya.
Sarimah memandang seketika skrin Mac. Tercuit bibirnya untuk senyum apabila terlihat seekor ular bermahkota dan mempunyai kaki. Nanti dia akan minta Salmiha ceritakan kisah dongeng itu. Bukan sekarang. Matanya menjengah wajah anggun itu, yang tidak berkelip memandangnya.
“Kenapa, mama? Ada apa?” soal Salmiha sudahnya, tersenyum nipis. Mula meramas lembut tangan mama.
“Tak patut papa buat macam tu pada Sal. Mama minta maaf, Sal, sebab tak mampu buat apa-apa. Mama tak mampu pertahan anak gadis mama sendiri. Maafkan mama, sayang.” Mata Sarimah mula berair. Sedih hati mengenangkan Salmiha. Perlu melakukan sesuatu yang tidak diingini hanya kerana ketaksuban suaminya untuk mendapatkan semula apa yang telah hilang.
Sarimah tidak akan salahkan suaminya jika lelaki itu sendiri yang berusaha untuk mendapatkan semua itu, kerana lelaki itulah yang menghilangkannya. Tapi suaminya menggunakan Salmiha, memaksa Salmiha secara lembut. Dengan sayang ditunjuk-tunjuk.
“Mama, janganlah macam ni. Bukan salah mama, tapi papa yang terlalu gilakan semua tu. Papa nakkan semula hak dia, tapi papa lupa papa dah lama hilang hak tu. Apa yang ada pada Im sekarang, itu milik dia sendiri. Papa sendiri yang buat silap sampaikan semua yang kita ada dulu hilang macam tu aje, sekelip mata. Im beli syarikat papa agar papa tak diiktiraf bankrap. Tu pun dah satu bentuk pertolongan. Tapi, papa…” Salmiha geleng-geleng.
“Im beli Dlee Transport. Tentulah Im ada hak ke atas syarikat tu. Takkanlah papa pulak pemiliknya! Papa cuma tak dapat terima hakikat yang kita dah hilang semua. Apa yang kita ada sekarang ni, nilah hak kita. Bad pun sama macam papa, harapkan bulan jatuh ke riba. Entahlah, mama. Sal pulak yang kena tanggung semuanya.” Salmiha mengeluh.
“Sal tak kisah semua tu, mama. Tapi… rasa sakit sangat bila papa, ayah Sal sendiri kata… Sal kena kurangkan kain yang ada kat badan Sal. Sal tak sangka papa akan cakap macam tu. Hanya sebab nak perangkap Im, papa sanggup sampai macam tu sekali. Papa yang sepatutnya nasihatkan Sal jaga maruah diri… minta tu semua daripada Sal?”

Biarlah dia menangis untuk Salmiha, yang tak akan menangis kerana mahu kuatkan semangat deminya. Salmiha tahu dia lemah melihat air mata anak-anak, kerana itulah Salmiha akan bekukan hati. Demi tidak menumpahkan air hangat itu di hadapan matanya. Sarimah menarik lembut kepala Salmiha, yang masih duduk di kerusi sedang dia berdiri di samping, dekat ke dadanya, lalu dipeluk rapat. Membelai rambut anak gadisnya itu dengan harapan usapannya mampu memujuk hati Salmiha yang diyakini amat terluka.
Sarimah jelas, permintaan untuk memikat Azaim, mampu lagi Salmiha terima, tetapi kemahuan suaminya yang mahukan Salmiha berpakaian seksi demi meraih mata Azaim, tidak mampu langsung diterima oleh hati kecil Salmiha. Papanya sendiri menginginkan yang begitu?
Ya Allah… Hati Sarimah sendiri terusik memikirkan semua itu, apatah pula hati Salmiha.
“Sejak dulu, perhatian papa hanya pada Bad. Sebab Bad yang bakal mewarisi syarikat papa, Bad yang bakal terajui syarikat papa. Untuk Sal, tak ada apa-apa. Sekilas pandang cukuplah. Sal tak pernah terasa hati, mama. Sebab mama ada. Tapi sekarang, papa pandang Sal, dengan satu maksud. Dapatkan semula syarikat yang papa sendiri hilangkan, untuk diberi kepada anak kesayangannya dengan apa cara sekalipun. Itu tanggungjawab yang papa berikan kepada Sal dan Sal akan cuba untuk tak hampakan papa. Papa tak pernah minta apa-apa daripada Sal, jadi tak ada salahnya kalau Sal cuba kotakannya. Kan, mama?”
“Ya Allah, Sal…”
“Untuk lakukan pengorbanan, perlu ada yang dikorbankan. Sal yang perlu dikorbankan…” Salmiha peluk kuat pinggang Sarimah. Cuba mencari kekuatan di balik pelukan hangat yang sarat dengan kasih sayang daripada wanita itu.
Papa, Sal akan cuba. Sal janji tak akan hampakan papa. Sal akan kotakan janji Sal kepada papa. Percayalah, papa, Sal akan kotakan. Hati kecil Salmiha menabur janji, kerana dia seorang anak yang baru mendapat perhatian papa, sedang lewat 20 tahun dia menagih itu.
Published on March 02, 2013 03:29
No comments have been added yet.
Bikash Nur Idris's Blog
- Bikash Nur Idris's profile
- 78 followers
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
