bas seluloid

hari ini, 4 Mac, cerpen saya bertajuk Bas Seluloid, disiarkan di dalam akhbar Utusan Borneo.

saya pernah berbual-bual dengan rakan penulis, jika ingin segera terkenal atau ingin dilihat sebagai penulis berkualiti (baca tersohor) menulislah di media kebangsaan. saya tidak percaya sama sekali. siapa penulis Malaysia yang pernah mengirim cerpen atau sajak ke majalah seperti New Yorker lalu diterbitkan sehingga kini? jika ada, saya ingin tahu.

Penyair Abizai, yang sangat dihormati kerana perhatian tingginya ke atas bidang sajak, memaklumkan berita ini melalui kiriman sms. orang yang benar-benar datang ke KL untuk membeli buku ialah dia. ramai yang datang ke KL untuk melancong ke Jalan TAR dan pulang dengan bagasi sarat dari pusat membeli-belah.

perkara yang paling asas apabila seseorang itu untuk menjadi penulis, beli sebanyak-banyaknya buku. saya dinasihati sedemikian oleh ramai tokokh hebat dalam bidang penulisan. saya sangat malu kepada mereka yang banyak membaca sedangkan saya tidak. sebaliknya saya tidak malu mengaku bahawa akademik saya setakat SPM.

jika membeli sebuah buku pun masih berkira-kira, bagaimana hendak menulis sesebuah karya? ramai yang tidak berminat membeli buku tetapi ingin mengaku dirinya sebagai penulis malah tidak segan-segan menganggap diri sudah sasterawan. ramai yang rajin menghadiri perhimpunan bersama-sama penulis dan mengambil gambar kemudian diletakkan di dalam facebook. bersuka-suka di dalam lingkungan kesusasteraan tetapi tidak luas membaca serta lokek mengeluarkan duit membeli buku. untuk apa perhimpunan sebegini sebenarnya?

cikgu sastera saya ketika di Tingkatan 4, Puan Ratnawati Jamil, pernah memberitahu bahawa seseorang yang berminat untuk menjadi penulis, HARUS menggunakan nama sendiri. tujuannya? agar mudah dikenali. setelah mula menulis beberapa cerita dan sajak, baharulah saya mengerti saranan yang diberitahu cikgu sastera saya itu. bayaran honorarium tidak mungkin dibayar melalui nama samaran. etika profesionalisme lebih mustahak. menggunakan nama sendiri mencerminkan keyakinan dan keberanian seseorang penulis. syarat utama untuk menjadi penulis, gunakan nama sendiri. jika segan atau kurang yakin, bergembiralah dengan nama samaran masing-masing.

sehingga ke hari ini, saya berdoa agar kes di Lahad Datu diselesaikan. tidak menulis isu ini di laman sosial bukan bermakna saya menghindari diri. saya cuba mewaraskan diri dengan membaca dari pelbagai sumber tulisan. membaca pandangan dari kedua-dua belah pihak. agar tidak dimanipulasikan secara sedar dan tidak sedar. tidak semestinya kecenderungan politik mesti dipamerkan secara terbuka. pada zaman di mana manusia mengaku bertamadun, peperangan sesama Muslim hanya akan ditertawa oleh negara-negara asing.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 03, 2013 19:55
No comments have been added yet.


Roslan Jomel's Blog

Roslan Jomel
Roslan Jomel isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Jomel's blog with rss.