.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 9]

Tiap kali mengenangkan rumah ini, hati Burhan pasti pedih dan sakit. Rumah ini akan mengingatkan dia pada kejatuhannya sendiri. Rumah ini akan menjelaskan kepadanya apakah kesilapan yang telah dilakukannya lebih empat tahun yang lalu. Kerana itu dia tidak pernah selesa di rumah ini.Empat tahun yang sudah, ini bukan rumahnya. Sebaliknya empat tahun yang lalu, dia tinggal di sebuah banglo besar dan mewah, di kawasan elit. Itu yang menyelesakannya malah itulah kebanggaannya. Tapi kini, rumah banglo yang menjadi teduh dia sekeluarga bukan miliknya lagi. Terpaksa dijual demi membayar segala hutang-hutangnya. Malah bukan itu saja, segala yang diusahakan selama ini, dengan penuh daya dan ketekunan akhirnya pergi begitu sahaja. Punah di hadapan matanya atas dungu dan bodoh sendiri.
Dari situlah dia tercampak masuk ke rumah teres dua tingkat ini. Membawa bersama keluarganya yang menerima kesakitan yang sama melihat kejatuhannya. Isterinya, yang biasa memakai pakaian berjenama serta barang kemas mahal-mahal, akur dengan kesederhanaan mereka. Anak gadis serta anak bujangnya, yang disogok segala harta ringgit semenjak kecil, terpaksa menerima kehidupan serba biasa yang mengambil tempat. Tiada lagi bercuti ke luar negara. Malah dalam negara pun Burhan tak sudi.
Dia bukan orang yang biasa bersederhana!
Memikirkan semua itulah keinginan dan kemahuan Burhan kian meronta-ronta. Dia tekad akan lakukan apa saja demi mendapat segala wang ringgit, harta benda serta kemewahan yang telah lahir bersamanya dahulu. Burhan mahukan semula kehebatan silamnya, bukan kesederhanaan hari ini. Dia perlu pastikan hidup akan datangnya hanya bakal dilimpah mewah yang dia ada dulu dan akan ada nanti. Untuk seumur hidup. Dia mahu memiliki apa sahaja yang dikehendaki dengan memetik jari, bukan mengangkat satu jari pun. Istilah banting tulang tiadalah lagi.
Itulah impian Burhan. Itulah mahu Burhan.
Namun, untuk mencapai setiap impian serta mahu itu, ada harganya. Salmiha, anak gadisnya, itulah harga yang dipertaruh olehnya. Dia akan pastikan mereka berjaya. Pastikan mereka tidak mencium bau kegagalan sekalipun.
“Macam mana, Sal?” soal Burhan akhirnya, kembali ke masa kini demi memastikan masa depan yang diinginnya ada dalam genggaman tangan. Tubir matanya menerjah wajah anggun Salmiha.
Siti Salmiha, anak sulungnya itu sudah berusia 24 tahun. Sesudah tamat pengajian dalam bidang seni grafik, Salmiha memilih untuk menjadi freelancer dalam bidang tersebut. Kecenderungan Salmiha lebih kepada rekaan kulit muka bahan bacaan kanak-kanak serta ilustrasinya. Hasil idea serta kerja Salmiha kebanyakannya diterima baik malahan Salmiha pernah ditawarkan oleh beberapa syarikat untuk menjawat jawatan kekal, namun Salmiha menolak kerana lebih selesa bekerja dari rumah sahaja. Selain itu, Salmiha bukan jenis suka diikat dengan waktu pejabat atau protokol.
Salmiha seorang gadis yang cantik. Burhan tidak memuji kerana Salmiha adalah anak perempuannya, sebaliknya memang itu kenyataannya. Salmiha lebih mewarisi darah Indonesia-Perancis daripada ibunya. Salmiha cantiknya jadi perhatian mata dan bualan mulut. Buktinya, sudah banyak kali pihak-pihak tertentu datang membawa lamaran, hendak jadikan Salmiha menantu atau isteri. Semenjak Salmiha di zaman universiti lagi.
Namun Burhan tak pernah beri.
Satu, kerana Salmiha boleh dapat suami yang lebih baik daripada mereka yang datang mencuba. Dua, kerana dia sendiri sudah memilih calon suami untuk Salmiha, sekali gus bakal menjadikan impiannya satu kenyataan. Kerana itu dia amat menjaga Salmiha dan menasihati Salmiha agar tidak sekali-kali bermain cinta. Masa depan Salmiha sudah dia tetapkan dan Salmiha perlu menurut. Selaku ayah, Burhan mengarah dan selaku anak, Salmiha tiada pernah berkata tidak. Tiada membantah.
“Macam mana apa, papa?” Salmiha menyoal, mengejutkan Burhan daripada angan tak sudah.
Burhan tengok Salmiha. Masih dengan skirt putih dan blaus merah tadi. Sepertimana dia, Salmiha juga tidak sempat menukar pakaian kerana mereka baru sama-sama sampai ke rumah sesudah makan jam menghabiskan masa di Vila Fatih, bersama Azaim dan Syamsul. Juga Sirin.
Salmiha membalas pandangan Burhan yang tumpah ke mukanya.
Sarimah serta Badlee, adik kembar Salmiha, turut mengarahkan pandangan ke muka Burhan. Mereka sama-sama duduk di ruang tamu, menikmati hidangan minum petang ketika Burhan dan Salmiha pulang sekejap tadi. Apabila Sarimah menawarkan minum petang untuk suami serta anak perempuannya, mereka sama-sama menolak dengan alasan sudah minum petang bersama bubur kacang yang disediakan di Vila Fatih.
“Sal dengan Azaim. Macam mana usaha Sal? Dah ada tanda?” Suara Burhan kedengaran kurang sabar. Mungkin kerana merasakan Salmiha acuh tak acuh dengan pertanyaannya tadi.
Salmiha hempas keluhan kecil. Akhirnya dia menarik nafas panjang, lalu dihela. Seolah-olah memberanikan diri untuk berdepan dengan sesuatu yang amat menakutkan. Memang menakutkan. Baran serta marah papa adalah amat menggerunkan. Jadi, tak salah jika dia rasa begini dan cuba bersedia untuk menerima apa-apa juga kata kasar yang bakal meniti bibir papa apabila mendengar bicaranya.
“Papa,” ujar Salmiha memulakan. Walaupun terasa sedikit gentar, dia tetap teruskan kata. Perlu. “Sal rasa apa yang papa cuba buat ni sia-sia. Tak akan berlaku.”
“Apa maksud Sal?” soal Burhan sedikit keras. Namun dia cuba mengawal hati. Tidak mahu melenting kepada Salmiha, menyua marak yang dirasa.
Memang Salmiha anak yang mendengar kata. Turut saja dengan perintahnya. Namun Salmiha bukan anak kecil yang boleh dipaksa melakukan sesuatu yang tidak dikehendaki. Salmiha tidak boleh didesak, sebaliknya dipujuk lembut dalam rasional. Itu sahaja cara yang ada dalam memastikan Salmiha tidak berpaling tadah daripada perancangannya.
“Sal dah kenal Im dekat dua tahun dah sekarang, papa, dan selama tu Im cuma kawan untuk Sal. Malah untuk Im pun macam tu. Sal hanya kawan. Susah untuk Sal buat Im pandang Sal dengan pandangan lain. Pandangan yang papa harap tu. Im tak mungkin lihat Sal sebagai kekasih. Im tak akan fikir untuk ada sebarang perasaan pada Sal. Sal tak rasa apa yang papa nak tu mudah untuk Sal capai.”
“Jangan risau, papa yakin Sal boleh.” Itu sahaja yang diucapkan oleh Burhan. Hanya itu yang boleh kerana tiada percaya untuk menyatakan sesuatu yang lebih daripada itu.
Perasaan marah yang tiba-tiba meluru dan cuba menguasai diri buat Burhan tidak mampu berkata lebih. Bimbang jika di baliknya ada nada marah turut berbaur. Dia tidak mahu Salmiha menyangka dia rasa marah. Dia tidak mahu Salmiha tahu dia sedang marah.
“Betul kata papa tu, Sal. Aku yakin dengan kemampuan kau. Kau tak akan kalah. Percayalah kata aku.” Badlee menyampuk tiba-tiba. Tidak sahaja diam mendengar. Kerana dia tidak mahu kakaknya hilang keyakinan kepada diri sendiri. Tidak mahu kakaknya hilang kepercayaan pada kekuatan sendiri.
Seperti Burhan, Badlee juga yakin dengan cadangan papanya—kakaknya menawan hati Azaim demi mendapatkan semula hak mereka, haknya. Badlee perlu pastikan Salmiha tidak mengalah sebelum berjuang. Dia tidak mahu Salmiha mengundur diri sebelum berada dalam medan pertempuran itu. Dia perlukan Salmiha untuk mendapatkan semula segala yang pernah menjadi milik mereka suatu ketika dahulu. Dia mahukan Salmiha dapatkan semula apa yang sepatutnya dia warisi daripada papa. Malah mereka semua mengharapkannya, jadi dia tak mahu Salmiha menarik diri. Tidak mahu dihampakan hanya kerana Salmiha hilang keyakinan serta kepercayaan dengan rancangan papa.
Dia tak akan benarkannya!
Salmiha menggeleng-geleng perlahan. “Sal tak tahu kenapa papa dan Bad tak cuba lihat apa yang Sal lihat. Kenapa papa dan Bad berdegil kaburkan mata? Semua ni tak akan berjaya, papa. Im hanya anggap Sal sebagai kawan. Sal tak rasa Sal boleh buat Im nakkan Sal, sukakan Sal.”
“Kau cantik, tak ada kekurangan. Takkanlah dia tak akan suka kau? Azaim lelaki, Sal, dia tak buta untuk lihat kecantikan kau.” Badlee masih mempertahankan pendapatnya.
“Tu yang salah, Bad. Im memang lelaki, memang tak buta lihat kecantikan Sal. Sal bersyukur dengan kecantikan ni malah Sal berharap agar tak perlu gunakannya untuk umpan cinta seorang lelaki. Percayalah kata Sal, kalau ada lelaki yang wujud, yang tak tergoda dengan kecantikan Sal atau seorang perempuan, orang tu Im. Be sensible, Bad. Sal dah kenal dia dekat dua tahun, tapi dia tak pernah jatuh hati kat Sal selama ni. Well, he likes me… a lot, which is certain, but never loves.”
“Apa kena-mengena cinta dalam semua ni? Aku tak rasa ia sesuatu yang diperlukan.” Badlee masih belum puas hati. Mula melenting.
Salmiha senyum kecil. Itulah Badlee, adik kembarnya yang tidak melihat dia sebagai kakak kerana mereka dilahirkan dalam jarak masa beberapa minit sahaja. Baran Badlee pula, sama meningkat dengan usianya. Dan Badlee adalah lelaki kacak yang yakin bahawa kecantikan adalah satu keperluan kepada pasangan serta ketampanan adalah satu bonus yang harus digunakan untuk dapatkan yang cantik dan berharta. Badlee tidak percaya pada hubungan hati yang wujud daripada cinta dan adik kembarnya itu mahu dia juga bertanggapan sebegitu.
“Sal?”
Panggilan lembut daripada papa membuatkan Salmiha melontar mata ke wajah itu. Sudah berusia 61 tahun, namun masih sihat dan kuat. Tapi sayang, kesihatan serta kekuatan yang masih berbaki itu, kurniaan Ilahi untuk papa, tidak papa gunakan ke jalan yang betul sebaliknya papa lebih sibuk merancang untuk mendapatkan sesuatu yang sudah lama dia hilang. Papa masih menjadi hamba harta dunia, kerana itulah papa mahu dia melakukan semua ini. Mahu dia menawan Azaim dan memikat pemuda itu, yang selama ini menjadi salah seorang temannya.
“Ya, papa,” sahut Salmiha sudahnya. Mencampak apa yang bermain dalam fikirannnya.
“Sal cantik, Sal baik hati. Sal tak kurang apa-apa. Sal ada segala-galanya yang diingini oleh mana-mana lelaki. Masakan Azaim tak akan pandang Sal?”
Salmiha diam cuma. Perkataan yang sama, ayat yang serupa. Cara pemikiran papa saling tak ubah dengan Badlee. Mentah. Kecantikan bukan segalanya yang dicari oleh seorang lelaki dalam diri seorang perempuan, namun papa tidak pernah terima hakikat itu. Mungkin untuk bermain-main, lelaki mencari wanita cantik, namun untuk dijadikan isteri, bukan cantik saja yang perlu ada. Lebih daripada itu dipandang, dilihat.
Kenapa papa tak faham? Kenapa papa taksub dengan keinginan dan kemahuan papa sahaja? Kenapa tak fikirkan apa yang dia inginkan? Kenapa tak fahami apa yang dia mahukan? rintih Salmiha dalam dada. Senak. Sesak.
“Selama ni, betul kata Sal, Azaim hanya anggap Sal sebagai kawan. Papa terima tu. Tapi, Sal, kalau Sal cuba dekati dan rapati Azaim lagi, papa yakin dia akan anggap Sal lebih daripada tu. Mungkin juga dia akan senang dan selesa dengan Sal. Masa tu, mesti dia jatuh sayang dengan kecantikan dan kelembutan Sal. Papa yakin Azaim akan sayangkan Sal. Tapi Sal pun kena berusaha sikit. Sal tak boleh macam ni aje. Sal kena tingkatkan usaha, kena cuba sedaya upaya untuk dapatkan Azaim. Lebih agresif. Pastikan dia dalam genggaman tangan Sal. Itu saja yang akan jamin masa depan kita, Sal. Papa amat harapkan Sal, malah mama dan Bad pun sama. Jangan hampakan kami, Sal. Sal aje harapan kami untuk dapatkan semula hak kita, masa depan kita.”
“Betul kata papa tu, Sal. Kau ni… tak usahakan apa-apa, terus mengalah. Terus kata tak boleh. Kau ada kecantikan, gunalah. Goda dia dengan kecantikan tu kalau perlu. Apa aje cara, asal kita dapat balik syarikat kita.” Beria-ia Badlee meyokong Burhan, sekali gus memberi cadangan. Dalam bentuk desakan.
“Hmm, betul jugak kata Bad tu. Sal… mmm, boleh ubah cara pakaian tu, bergaya seksi sikit macam budak-budak muda sekarang. Ni tak, skirt dengan baju tangan panjang gini. Tutup segalanya. Sal perempuan. Gunalah apa yang Sal ada untuk tawan hati Azaim, untuk goda kelakian Azaim, supaya Azaim nampak Sal aje. Boleh?”
“Betul tu. You’re too conservative, orthodox!” Lekas Badlee menyokong.
Mengangguk, Burhan tidak lepas merenung paras Salmiha yang masih tidak berubah. Kaku memandang jauh ke hadapan. Nampak hanyut. Tapi dia yakin Salmiha masih bersama mereka di ruang tamu ini. Salmiha mendengar setiap butir katanya, juga cadangan Badlee.
Burhan mengerling isterinya seketika. Sejak tadi hanya diam mendengar. Begitulah isterinya. Lebih senang menjadi pendengar daripada bersuara. Tidak begitu menonjol semenjak muda lagi. Malah Salmiha, ada mewarisi setiap sikap isterinya itu. Sebagaimana Salmiha mewarisi kecantikan Sarimah yang terus kekal sampai kini.
Akhirnya Burhan kembali talakan mata kepada Salmiha semula. Masih dengan dirinya sendiri. Entah apalah yang difikirkan oleh anak gadisnya itu. Hatinya sedikit tidak betah melihatkan keadaan Salmiha yang begitu. Tapi tidak lama. Kelegaan mengambil tempat apabila dilihat Salmiha mula mengangguk perlahan. Senyum Burhan terlukis luas.
“Papa nak Sal mantapkan usaha. Papa yakin Sal tak akan hampakan keluarga kita. Papa tahu papa boleh percayakan Sal. Sal kena buat sesuatu. Papa tak nak budak perempuan tadi tu cuba jadi pesaing Sal.”
Kerutan halus terlukis pada dahi Salmiha. “Rin?”
“Ya, budak tu. Papa tak percayakan dia. Papa takut dia ambil peluang, goda Azaim. Dahlah duduk serumah… Bahaya!” Tidak senang, itulah lukisan wajahnya kini.
“Papa, Rin tu adik Im. Takkanlah…” Salmiha menggeleng kecil. Dan entah mengapa tercetus soalan yang ada dalam benaknya sebelumnya, kembali semula. Mengapa Azaim tidak benarkan sangat dia panggil Sirin dengan nama itu? Bukan sekali dia tersasul memanggil Rin Sirin. Dan bukan sekali juga Azaim membetulkan panggilan itu.
Rin, Rin, Rin! Tidak Sirin, tapi Rin.
“Adik angkat,” tekan Burhan. “Papa tak percaya dia. Buat sesuatu, Sal. Jangan hampakan kami.”
Dengan lembut, ada arahan di baliknya. Yang mana mampu ditangkap oleh Salmiha. Sekali lagi Salmiha mengangguk lalu bangun dari tempatnya. Walau sofa itu empuk dan selesa, tiba-tiba saja dia rasa rimas dan sesak. Seolah-olah tidak mampu bernafas jika terus di situ.
“Sal nak naik ke bilik, penat. Lagipun Sal ada kerja nak disiapkan. Sal naik dulu…” Salmiha berlalu tanpa menanti balasan daripada papa, mama mahupun Badlee. Terus memanjat anak tangga dan mengatur kaki sepantas mungkin ke biliknya. Satu-satunya tempat yang mampu buat dia jadi dirinya sendiri.
Burhan lama mengekor langkah teratur Salmiha. Sebaik anak sulungnya hilang di anak tangga ke tingkat dua, matanya dialih, bertemu pandang dengan anak lelakinya. Dia faham makna renungan Badlee.
“Ma, ambilkan pa kopi. Rasa nak minum pulak…” pinta Burhan merenung Sarimah, bersama senyuman. Membalas ia, isterinya menurut. Berlalu ke dapur.
“Kita kena buat sesuatu, papa!” tekan Badlee dalam bisikan sebaik tubuh mamanya menghilang dari ruang tamu.
Burhan anggguk. “Bagi masa dulu pada Sal. Papa tahu dia boleh. Cumanya… yang papa bimbangkan sekarang budak perempuan tu. Dah dua tahun kita usahakan supaya Azaim akan suka Sal, tapi budak perempuan tu mungkin akan rosakkannya.”
“Maksud papa, adik angkat Azaim tu?”
“Dia bukan sekadar adik angkat Azaim. Papa tak pernah dengar Tuan Azamuddin ada anak angkat…”
“Papa rasa dia ada hubungan lain dengan Azaim?” Badlee keresahan. Hanya kakaknya layak jadi isteri pemilik Fatih Sdn Bhd itu. Bukan gadis lain! Tidak boleh perempuan lain!
“Papa tak pasti…” Burhan berfikir seketika sebelum menyambung, “Tapi kita memang kena buat sesuatu…”
“Apa papa nak buat?” Hilang resah, diganti ceria. Badlee percaya kepada papa.
Papa adalah lelaki yang akan kotakan janjinya, sebagaimana sejak Badlee kecil dulu. Janji papa kali ini, dia akan mewarisi Dlee Transport, syarikat mereka yang telah dibeli dan dimiliki Fatih Sdn Bhd sejak empat tahun lalu.
“Papa akan dekatkan lagi Sal dengan Azaim, lebih rapat.” Senyum berbunga, luas.
Published on February 28, 2013 13:08
No comments have been added yet.
Bikash Nur Idris's Blog
- Bikash Nur Idris's profile
- 78 followers
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
