.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 6] :.

Namun, semenjak mendapat tempat di universiti, dia sering mencari alasan untuk tidak pulang tiap kali cuti menjelma. Pelbagai alasan diberikan semata-mata kerana tidak mahu menghabiskan waktunya di sini. Mujur, jarak waktu yang jauh antara UK dengan Malaysia membuatkan Azaim sering mengalah apabila dia bertegas tidak mahu pulang kala cuti. Pilihannya, menghabiskan masa di Oxford sahaja, dengan melakukan kerja sambilan, mencari bahan untuk tesis atau melancong ke mana-mana tempat menarik bersama teman-teman baiknya.Robert, Jacob, Marie-Elena dan Alena adalah teman yang paling akrab dengannya selama dia menghabiskan pengajian di Oxford. Dari tahun pertama, sampailah ke tahun akhir dan sehingga kini. Dia menyewa sebuah apartmen yang berhampiran dengan universitinya bersama Robert dan Alena. Sama-sama berkongsi segala kos. Manakala Jacob dan Marie-Elena, pasangan kekasih yang sentiasa melekat ke mana pun, menyewa tiga pintu jauh daripada mereka.
Walaupun Azaim tak benarkan Sirin menyewa di luar, namun dia tetap berdegil dengan keputusannya. Apabila dia bekerja sambilan, Azaim orang pertama yang menentang. Namun Sirin terus dengan degilnya, yang memang Azaim selalu rasa. Sirin tahu Azaim lebih daripada sedia dengan kos dan tanggungannya selama di UK, namun Sirin tetap cuba untuk pastikan dia tidak terlalu banyak makan budi pemuda itu. Bukan takut tergadai body. Sebaliknya Sirin tahu, walaupun Azaim ada benci untuk dia, Azaim ikhlas dengan semua itu. Malah Sirin juga tahu, itu amanat kedua-dua orang tua lelaki itu sejak awal dulu.
Sebetulnya, Sirin mahu belajar berdikari. Juga sengaja sakitkan hati Azaim dengan melakukan apa yang Azaim tidak benarkan. Caranya sendiri untuk protes bagi proses berdikari. Selepas daripada itu, Azaim tidak lagi membantah apa pun hendaknya. Azaim mula belajar, lagi dia ditentang Azaim, lagi degillah dia dengan mahunya.
Cuma mahu yang akhir ini, protes yang akhir ini, Azaim seolah-olah benak. Lagi Sirin protes, lebih Azaim degil. Berpuluh kali ganda Azaim bantah dan tentang. Sampai ke tahap ugut! Kalau dia tak pulang, tak kembali ke Malaysia sebagaimana Azaim hendak kerana dia sudah pun lama tamat belajar, Azaim sendiri akan ke rumah sewanya di UK dan heret Sirin pulang. Personally.
Sirin nak terus protes dan keras kepala, tapi bila fikir Azaim adalah lelaki yang akan lakukannya, tambah pula apabila Mak Tua sendiri memberitahu lelaki itu sudah tempah tiket kapal terbang, Sirin mengalah.
Mengalah! Bukan mengaku kalah! Sebuah beg pakaian buktinya!
Dan dia mendapat sokongan protes penuh teman-teman baiknya-Jacob dan Marie-Elena sama-sama dari Bath serta Alena dari Myanmar. Kecuali Robert. Pemuda yang berasal dari Singapura itu menentang protesnya. Sirin tak faham mengapa sedang Robertlah penyokong tegarnya selama ini. Malah lelaki itu yang paling rapat dengannya berbanding Alena, Jacob dan Marie-Elena.
“Eh, Rin, kenapa berdiri kat sini aje? Masuklah…”
Sapaan lembut Mak Tua membuatkan Sirin kembali ke Malaysia. Tidak lagi kepada rakan-rakannya yang masih berada di Oxford, dengan agenda seterusnya.
Kehadiran Mak Tua membuatkan mata Sirin kembali terpaku ke bilik di hadapannya semula. Bilik yang diduduki semenjak usianya 13 tahun, ketika dia mula-mula berada di hadapan pintu rumah Vila Fatih, sesudah saudaranya sendiri mencampak dia dari pintu ke pintu, seorang demi seorang. Masing-masing tidak mampu menerima dia sehinggalah akhirnya Sirin berdiri di hadapan pintu Vila Fatih, menagih belas ihsan Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih.
Tuan Azamuddin tidak pernah lupa kepada arwah orang tua Sirin, yang merupakan staf Tuan Azamuddin sendiri. Arwah Hassan dan Saidah bertemu dan jatuh cinta ketika Fatih Sdn Bhd baru-baru hendak membangun. Malahan, di hadapan Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih jugalah mereka bersatu. Kelahiran puteri sulung Hassan dan Saidah, Sirin, turut disambut dengan penuh kegembiraan oleh pasangan suami isteri yang berhati mulia itu. Sesudah pemergian kedua-dua orang tua Sirin, setelah Sirin dicampak oleh sanak saudara sendiri, Sirin diambil oleh Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih.
“Kenapa, Rin?” soal Mak Tua lembut, menyentuh bahu Sirin, prihatin.
Gadis itu memang seorang yang tinggi. Mak Tua sendiri hanya paras bahu Sirin. Malahan, apabila berdiri dengan Azaim, yang membuatkan Mak Tua nampak hampir kerdil, Sirin masih kelihatan lampai. Diwarisi daripada abah Sirin pastinya.
“Hmm, tak ada apa-apa, MT. Tiba-tiba teringat masa Rin mula-mula ke sini. Waktu Rin mula-mula sampai Vila Fatih, lepas dibuang saudara sendiri.” Hambar senyum yang terlukis.
“Tak ada yang sanggup terima Rin. Tapi arwah uncle dengan aunty terima Sirin dengan hati terbuka. Tak langsung macam saudara Rin, yang sanggup campak darah daging sendiri. Rin diterima dengan baik oleh arwah uncle, arwah aunty. Malahan PT dan MT sendiri…” Sirin meraih tangan Mak Tua di bahunya. Digenggam erat.
“Arwah tuan dengan puan sayang sangat kat Rin, macam anak perempuan dia orang sendiri. Mak Tua dan Pak Tua pun macam tu. Kami semua sayangkan Rin, terima Rin sebagai ahli keluarga Vila Fatih,” ujar Mak Tua balas genggaman jari runcing Sirin. Walaupun gadis itu memanggilnya MT semenjak awal-awal di sini, dia masih membahasakan diri sebagai Mak Tua. Hanya suaminya saja suka jadi PT apabila berbahasa dengan Sirin serta memanggilnya MT sejak itu sampai kini.
Alasan Sirin memanggilnya MT, gelaran Mak Tua tidak ngam dengan muka comelnya yang tak tunjuk usia. Lalu, semenjak Sirin pandai senyum ketawa di dalam Vila Fatih, selepas berbulan juga di situ, gelaran MT dan PT jadi kebiasaan sangat untuk penghuninya.

“Rin…” Mak Tua mengekori langkah Sirin apabila gadis itu berlalu masuk ke dalam bilik tidur itu. Dia tengok saja Sirin meletak beg pakaian yang hanya sebuah dan tak sebesar mana ke atas katil bujang di dalam bilik itu.
“Rin tak apa-apa, MT.” Sirin angkat tangan, bak polis trafik. Tanda ia okey dan tak mengharap topik itu dipanjangkan oleh wanita yang menurutnya masuk ke bilik.
Mujur Mak Tua faham dengan kemahuan Sirin dan mengikut rentak Sirin. Akhirnya, Sirin melontar pandangan ke sekitar biliknya. Manakala Mak Tua menghantar pandangan ke raut Sirin. Walaupun Sirin sedar, namun dia pura-pura tak perasan. Itu lebih baik. Dia tak mahu bercerita mengenai Azaim. Topik taboo. Selama ini puas Sirin menghalang diri daripada menjadikan nama itu satu topik perbincangan. Jadi, dia tak mahu memulakannya. Sekalipun seketika tadi dia tersasar. Gatal mulut menyebut nama Azaim. Uh!
“Mmm, bilik ni masih serupa, MT. Tak ada perubahan.” Mata Sirin masih meliar.
Mak Tua duduk di atas katil bujang yang terletak di bilik Sirin. Sudahnya dia sama melontar mata ke sekitar ruang bilik yang sederhana besar itu. Bilik inilah yang dihuni oleh Sirin sejak kali pertama gadis itu berada di Vila Fatih.
Sebuah katil bujang di sebelah kanan bilik, meja studi yang digunakan oleh Sirin untuk menelaah ketika kecil dahulu di sebelah kiri dinding serta sebuah alamari pakaian dua pintu. Rak tuala yang menempatkan tuala serta kain telekung dulunya kini kosong. Ada juga sebuah cermin berdiri yang lebih kurang tinggi Sirin di satu sudut. Betul-betul di sebelah cermin tinggi itu adalah pintu sebuah bilik closet—yang bukannya berisi pakaian. Itu sahaja di dalam bilik itu. Semuanya serba hitam.
Sirin tidak suka barang yang terlalu banyak di dalam biliknya. Tidak mahu sesak-sesak dengan perabot sebaliknya selesa dengan ruang luas yang berbaki tanpa apa-apa perabot di situ. Walaupun awal dulu arwah Puan Nurfatih hendak letakkan sofa di ruang kosong itu sebab Sirin suka baring-baring di atas lantai berkarpet di situ, membaca novel. Semuanya sebab kalau Sirin sudah baring-baring baca novel yang selalunya dihadiahkan Tuan Azamuddin atau Puan Nurfatih dan banyak kalinya adalah Azaim, selepas itu mesti Sirin tertidur di situ juga.
Dah tertidur, kecil-kecil dulu Azaimlah tukang angkat. Tapi selepas usia Sirin masuk 14 tahun, pada bulan November dan ‘cukup umur’, Azaim dilarang sama sekali berbuat begitu. Biasanya Puan Nurfatih atau Mak Tua kejut Sirin bangun, arah tidur di atas katil. Sebab mereka takkan laratlah angkat Sirin yang sudah memanjang itu. Meninggi sakan kata Puan Nurfatih dan Mak Tua. Dan Sirin terus meninggi sampai usianya 17 tahun, kemudian tak tinggi-tinggi. Tetap pada 177 sentimeter sampai kini.
Sirin mengorak kaki dekati pintu bilik closet. Bilik closet di situ awalnya Puan Nurfatih hendak jadikan closet terbuka pakaian Sirin. Tapi sebabkan Sirin terlalu gilakan novel, sudahnya bilik closet itu jadi perpustakaan mini. Dan semua buku selama tiga tahun tinggal dalam keluarga itu, masih tersusun rapi di situ. Semuanya masih kemas dan elok terjaga. Senyum tipis sentuh kelopak bibir Sirin.
Kemudian Sirin sentuh wallpaper biru lembut di situ. Pilihannya sendiri. Sebab, bila tutup lampu biliknya, akan terlihatlah bintang-bintang yang sembunyi apabila lampu dibuka. Dan selalunya, apabila dia tidur di atas katil, bintang-bintang itulah peneman tidurnya, yang dia suka-suka nak kira, tapi tak pernah habis kira, sampailah terlelap.
Ah! Bilik ini masih bilik anak kecil 13 tahun, walaupun dia bakal 23 tahun November ini. Memikirkannya, tawa halus Sirin terlontar, membuatkan kening Mak Tua terjongket. Mahu tahu.
Sirin geleng sekejap. “Tak ada apa. Cuma… dah besar macam ni, Rin masih dalam bilik anak kecil yang sama. Itu yang rasa kelakar.”
“Kenapa? Rin rasa bilik ni perlu diubah ke? Im tak benarkan. Sebab dia tahu betapa bermaknanya bilik ni untuk Rin dan dia tak mahu apa-apa pun diubah tanpa kemahuan atau kehendak Rin.”
Sirin senyum, pandang sekitar bilik itu terus. Ya, bilik ini amat bermakna untuknya. Ini biliknya sendiri. Tidak perlu kongsi dengan sesiapa. Itulah kata arwah aunty kepadanya ketika dia mula-mula ditempatkan di sini.
Dia yang biasanya perlu berkongsi bilik ketika berada di rumah saudara-saudaranya sebelum itu, malah ada ketikanya perlu tidur beralas tikar di dalam bilik stor yang sempit, tiba-tiba mendapat bilik sendiri. Yang sangat luas dan sungguh selesa. Hanya untuk dia. Semua itu buat Sirin teruja lalu bilik ini jadi begitu bermakna untuk seorang anak kecil berusia 13 tahun. Malah jauh di sudut hati, Sirin akui sehingga kini pun bilik ini punya makna sentimental untuknya. Sangat-sangat ada makna.
Masih senyum, Sirin berkata, “Rin suka semua macam ni, MT. Macam dulu…”
Sirin menghampiri katil lalu mencapai beg pakaiannya. Dibuka zip.
Mak Tua yang masih duduk di birai katil, kembali lihat paras muka gadis itu. Gadis yang sudah lima tahun dia tidak jumpa. Dan Sirin ini sudah kembali jadi anak gadis yang mula-mula menjejak kaki ke Vila Fatih lewat sepuluh tahun yang lalu. Sirin yang amat menjaga diri dan hati kerana yakin ia bakal disakiti dan dilukai lagi. Bimbang akan dicampak keluar sekali lagi.
Namun, akhirnya keyakinan yang Sirin terima di Vila Fatih mula bersama Sirin. Sirin bukan lagi anak kecil yang mudah ragu kepada penghuni Vila Fatih. Sirin mula mempercayai Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih. Yakin dia diterima oleh kedua-dua mereka. Sirin mula berubah, daripada anak kecil yang pendiam menjadi anak kecil yang girang. Tidak menyembunyikan apa-apa perasaan hatinya. Namun, tiga tahun kemudian semua itu direnggut daripada Sirin. Sirin berubah lagi, menjadi anak kecil berusia 13 tahun itu semula. Sirin mula hilang kepercayaan kepada mana-mana penghuni Vila Fatih semenjak berusia 16 tahun.
Mak Tua menghempas keluhan kecil. Harapan hatinya cuma satu, Azaim mampu kembalikan kepercayaan dan keyakinan hati Sirin yang telah hilang. Kembalikan Sirin yang hilang daripada mereka semenjak lebih tujuh tahun yang lalu.
“Nak Mak Tua tolong?” tanya Mak Tua sudahnya apabila Sirin kelihatan sibuk mengeluarkan isi-isi dari dalam beg pakaiannya.
Sirin menggeleng kepala. Menjawab begitu.
Mak Tua terus lihat Sirin sibuk-sibuk dengan beg pakaian. Hanya sebuah beg pakaian yang dibawa bersama oleh gadis itu. Sedangkan melalui apa yang diketahuinya daripada Azaim, Sirin sudah tamat belajar dan akan pulang ke Vila Fatih untuk selama-lamanya. Namun apa yang dilihatnya menunjukkan pemikiran Sirin dan Azaim adalah berbeza. Sama sekali tidak sama. Bertentangan.
Mungkin Azaim menginginkan kehadiran Sirin di Vila Fatih, namun Sirin tidak mahu berada di sini. Sirin tidak mahu punya apa-apa hubungan dengan penghuni Vila Fatih. Lebih tepat, Sirin tidak mahu punya sebarang hubungan dengan Azaim. Apa yang telah dilakukan oleh Azaim membuatkan Sirin nekad memutuskan hubungan dengan ahli keluarga Tuan Azamuddin. Jika suatu ketika dahulu Sirin pernah memuja keluarga Tuan Azamuddin, terutama sekali Azaim, kini diyakini hanya ada perasaan benci sahaja kepada lelaki itu.
Sirin mengerling Mak Tua yang hanya melihat dia. Mak Tua, wanita yang sudah pun berusia lebih 65 tahun itu sudah lama berada di Vila Fatih. Semenjak dia mula-mula jejakkan kaki ke vila ini, yang ketika itu tidak berubah sampai begini, wanita itu terus meraih tubuhnya dalam pelukan. Cuba memberitahu kedatangannya ke sini amat dialu-alukan.
Seerat dan sehangat pelukan tuan rumahnya, Puan Nurfatih.
Namun semua itu adalah kisah silam, yang tidak mungkin berulang kerana kini dia jelas kedatangannya mungkin dialukan oleh bekas tuannya dan penghuni Vila Fatih yang lain, tapi bukan Azaim Haji Azamuddin, yang kini menjadi pemilik penuh Vila Fatih serta Fatih Sdn Bhd dan beberapa syarikat kecil yang menjadi anak syarikat Fatih Sdn Bhd sesudah dibeli oleh syarikat itu. Fatih Sdn Bhd kini sudah berkembang pesat di negeri-negeri sebelah utara. Sudah masyhur banding dulu.
“Sikit aje barang yang Rin bawak. Kan Rin dah habis belajar kat sana? Im kata Rin akan tinggal kat sini. Tinggal kat Vila Fatih semula.” Mak Tua akhirnya meluahkan apa yang ada dalam benaknya semenjak tadi.
“Memang Rin dah habis belajar, tapi Rin tak akan tinggal kat sini. Rin cuma balik sekejap. Itu pun sebab nak jumpa MT dengan PT untuk kali terakhir. Rin tak akan lama. Rin kena balik UK semula.” Sirin mula mengasingkan pakaiannya, antara baju dan seluar lalu beg pakaian yang ternganga luas dikatup kemas. Sudahnya dia mengangkat muka, menentang Mak Tua, yang jelas peranjat dengan penjelasannya.
Maafkan Rin, MT. Rin tak boleh diam lagi sebab sampai waktu, MT perlu tahu jugak. Pada Sirin, masa inilah yang terbaik. Daripada memberi harapan kosong, baik dia berterus terang sebab Rin tahu apa rasanya menelan harapan kosong, MT…
“Tapi, Im kata…”
Sirin lekas memotong, “Biar apa pun yang dia kata, Rin akan balik ke sana semula. Itu keputusan Rin. Dan… ni bukan tempat Rin, MT.” Merendah suara pada ayat akhirnya.
“Tapi… Rin membesar kat sini. Malah arwah tuan sendiri nak Rin terus kat sini kalau apa-apa menimpa dia dan dia tak mampu jaga Rin lagi. Rin adalah sebahagian daripada keluarga arwah. Rin adalah anak perempuan arwah yang tak pernah lahir. Sanggup Rin hampakan arwah tuan?”
Mak Tua tahu mengapa Sirin tidak selesa di sini. Malah dia boleh mengagak Sirin tak akan berlama-lama di sini. Namun dia tak pernah sangka Sirin akan memilih untuk terus tinggal di luar negara. Sangkanya jika tidak tinggal di Vila Fatih pun, Sirin akan memilih untuk tinggal tidak jauh daripada mereka. Tapi kini, dia sudah tahu apakah keputusan Sirin. Sirin bukan sahaja mahu tinggalkan Vila Fatih tapi juga Malaysia. Memikirkan itu, hati Mak Tua jadi rusuh.
“Cukuplah selama mana Rin ada kat sini dulu. Rin dah tak harapkan apa-apa lagi. Tambahan pulak uncle dah lama tak ada. Maknanya Rin dah tak ada tempat kat sini lagi. Ni bukan rumah uncle lagi, MT. Rumah yang terima kedatangan Rin. Tempat Rin bukan kat sini lagi. Ni rumah Abang Im…”
“Rumah Im kan rumah Rin jugak? Im adalah sebahagian daripada keluarga ni. Im anak uncle dan aunty Rin, yang anggap Rin macam anak sendiri. Maksudnya Rin keluarga Im jugak.”
“Tak! Abang Im bukan keluarga Rin!” ucap Sirin tegas. Wajahnya tegang. Namun dia cuba untuk tenangkan hatinya yang mula berang. Tidak mahu melenting kepada wanita di hadapannya ini. Yang tak ubah bak seorang ibu untuknya.
Bukan salah Mak Tua semua ini berlaku, jadi dia tidak mahu melepaskan kemarahan di hati kepada Mak Tua. Dia menarik nafas panjang lalu bersuara lagi.
“MT, tolonglah faham. Ni bukan rumah Rin lagi sejak Abang Im hantar Rin ke asrama penuh waktu tu. Bagi Rin, semenjak tu tak ada apa-apa antara Rin dan Vila Fatih. Rin sayang arwah uncle dengan aunty macam keluarga sendiri, tapi darah daging uncle dengan aunty tak inginkan Rin. Ni bukan tempat yang sesuai untuk Rin, MT. Rin datang pun sebab nak jelaskan kat dia dan semua, yang Rin balik sekejap aje. Rin akan ke UK semula, selama-lamanya.” Sirin tekad. Dia sudah buat keputusan dan tidak akan berganjak daripada keputusan itu. Tidak mahu terus-menerus makan budi.
Mak Tua terkaku di tempatnya. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan atau dilakukan. Sirin sudah membuat keputusan dan dia yakin walau apa pun yang dikatanya, keputusan gadis ini tak akan berubah. Sirin akan kotakan katanya.
Kini, hanya satu harapan Mak Tua—Azaim.
Sirin capai beberapa helai seluar yang terlipat kemas di atas katil lalu mendapatkan almari pakaian. Sebelah tangan memegang kemas seluarnya manakala sebelah lagi mencapai tombol, dibuka daun pintu.
“What the…!” Sirin terlongo melihat almari pakaiannya yang kini luas ternganga. Beberapa helaian pakaian tergantung di dalamnya.
Kalau pakaiannya sendiri, dia tak mungkin terkejut beruk begini. Namun bukan satu pun antara pakaian-pakaian di dalam itu adalah miliknya. Tentulah bukan miliknya. Mana pernah dia pakai baju kurung atau kebaya sebegini. Kebaya pendek pula tu! Tak cukup dengan itu, ada pula skirt labuh serta beberapa helai blaus perempuan—diulangi, perempuan—pun ada.
Seumur hidupnya, hanya sekali Sirin berbaju kurung. Itu pun tahun terakhir dia menyambut Aidilfitri bersama arwah uncle dan aunty. Kerana kehendak aunty yang begitu teringin melihatnya memakai pakaian sebegitu, bukan jean atau tee yang sering jadi pilihannya sejak dulu. Malah, hingga saat ini. Kecuali masa… ehem!
“MT, kerja siapa…?” Sirin tidak mampu teruskan kata. Rasa tercekik. Tangannya masih terawang di hadapan almari pakaiannya, yang nyata bukan miliknya lagi.
“Sebenarnya…” Mak Tua nampak tidak kena. Sekejap garu telinga, sekejap garu tudung kepala hitam yang menutup kepala.
“MT?” Sirin mendesak lembut. Walau hatinya sudah terlebih dahulu memberikan jawapan, dia cuba menidakkannya.
“Im…”
“Kat mana dia sekarang, MT? Rin yakin dia tak ada di pejabat. Dia bukan pengecut untuk menyorok.”
“Bilik bacaan, tapi…”
Mak Tua tidak sempat menyudahkan kata apabila Sirin, bersama omelan dan kata-kata yang tidak enak didengar oleh mana-mana telinga di bawah 18 tahun, melangkah keluar dari bilik itu. Bersama helaian seluar yang masih berada di tangan.
Mak Tua tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Melihatkan Sirin dengan seluar di tangan, dia rasa mahu gelak kuat. Namun apabila kenangkan perbalahan mulut yang bakal berlaku antara Azaim dengan Sirin sekejap lagi, dia jadi risau. Tapi sekarang…
Mak Tua akhirnya tergelak sakan apabila pandai bijak membayangkan Sirin memarahi Azaim dengan seluar di tangan. Uhahaha!
Published on February 10, 2013 08:24
No comments have been added yet.
Bikash Nur Idris's Blog
- Bikash Nur Idris's profile
- 78 followers
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
