.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 2] :.

Sirin tak pernah selesa hendak kembali ke dunia ini sesudah apa yang terjadi. Sesudah dunia ini sendiri membuang dia. Tak kisahlah kalau ada yang kata dia mahu larikan diri. Sejujurnya, itu memang benar. Itulah yang sedang dilakukannya. Melarikan diri daripada mendepani ini semua. Dia tak sekuat mana pun. Cukuplah dia dicampak keluar dari istana impiannya. Yang disangka akan jadi tempat dia berteduh untuk selama-selamanya. Yang disangka akan jadi rumah terakhirnya sampai ke sudah.Dia yang bermimpi dan lelaki itu sedarkan. Jadi dia tak ada hak untuk salahkan lelaki itu. Sememangnya Vila Fatih itu bukan rumahnya, tidak istana impiannya. Tapi…
Mengapa hatinya masih sakit sedang semua ini sudah terlalu lama dilalui? Mengapa perasaan marah masih menggebu sedang semua ini pernah berulang kali berlaku kepadanya? Mengapa ada perih yang amat, jauh di sudut hati, sedang sekian lama dia cuba ajar diri untuk jauhkan rasa tercarik luka itu?
Ah!
Sirin memang tak punya jawapan untuk semua soalan-soalan itu sekalipun selama ini dia teraba-raba mencari. Malah dia yakin, dia tak mungkin menemui jawapan bagi setiap soalan yang berlegar-legar dalam benaknya, semenjak usianya 16 tahun lagi. Melainkan kalau Sirin berani-berani nak soal lelaki itu, yang jadi penyebab dia rasai semua kegalauan ini. Pasti setiap persoalan bakal berjawab, malah mungkin saja akan turut mengakhirkan penantiannya.
Namun, Sirin tak punya kekuatan sedemikian. Bukan spesies Power Rangers bagai, boleh bertukar dengan sekali jerit. Jadi, adalah lebih elok jika dia terus teraba-raba, daripada mendepani kenyataan yang mungkin saja bakal menghancurlumatkan sekeping hati miliknya, yang sudah sekian lama ditoreh-toreh sampai luka. Itulah pilihan Sirin. Jadi penakut!
Sirin goncang lembut kepalanya. Hendak jauhkan semua perkara yang menyakitkan itu daripada sekeping hati. Juga kotak fikiran. Mata Sirin kembali menerpa bait kata pada dada kertas putih novel. Masih di halaman yang sama semenjak Sirin mula-mula masuk ke perut Honda City ini, 15 minit yang lalu. Masih tetap kembali pada ayat serupa.
Biasanya lelaki memberikan cinta untuk mendapatkan segalanya, sedang wanita memberikan segalanya untuk mendapatkan cinta.
Keluhan kecil terhambur keluar dari kerongkong Sirin. Luar kuasa, tak sempat halang. Tapi takkanlah nak brek tengah jalan kan. Sah-sah brek dah tak makan. Kalau makan pun lain macam bunyinya kut. Makanya, lepas sajalah. Dia terlalu tenggelam dengan permasalahan jiwa yang meragut ketenangan. Bahana jiwa kacau!
"Kenapa, Rin?"
Soalan yang kedengaran daripada pemuda di sebelahnya buat Sirin mengeluh sekali lagi. Penuh perasaan sebab kali ini memang sungguh-sungguh nak lepas tanpa brek. Nak tunjuk terang-terang kepada makhluk penyibuk ini, yang buat dia rasa nak makan orang saja. Sirin katup novel lebih 800 muka surat di tangan. Aci hentak saja. Sampaikan Syamsul yang senget kepala tengok dia, angkat kening. Sirin tak peduli semua itu. Tatkala fikiran sendiri tak mampu dikuasai oleh diri, tak ada masalah nak berusaha untuk tenangkan lelaki ini.Sirin toleh muka. Menumpah pandang ke muka anak mami jejaka bernama Syamsulbahri Abdulsalam yang ada bulu-bulu halus di atas bibir dan pada dagu. Tajam mata Sirin tujah paras yang manis melempar senyum buatnya. Walau seketika tadi senyum itu sumbing sikit sebab terkejut kalah kucing.
Syamsul dengan senyuman, memanglah tak mampu dipisah sejak dulu. Sebagaimana kemesraan dan keramahan milik Syamsul, begitu juga senyuman. Ramah mesra sepanjang zaman. Sekalipun yang berdiri di depannya adalah seorang musuh.
"Tak ada apa-apa, Abang Syam." Sirin jawab juga sudahnya. Dengan senyum plastik ajuk senyum ori cik abang sebelah. Sambil itu dia betul-betulkan tee melintang hitam putih yang hampir terselak pada bahagian perut sebab sejak tadi asyik alih punggung. Nasib tak nampak apa-apa yang tak patut.
Dia, Sirin binti Hassan, memang sejak dulu selesa dengan tee. Biasanya berlengan panjang dengan padanan jean. Cuma yang ini berlengan pendek lalu dia padankan dengan kardigan ala kotnya itu. Hadiah daripada salah satu tempat ‘kerja' Sirin. Dan selalunya, yang sangat selalu, pakaian pilihannya serba hitam. Bagi Sirin, apa saja yang berwarna hitam adalah sesuai dengan warna kulitnya yang coklat keseluruhan. Pilihan pakaiannya banyaknya daripada gender-bender clothing. Pakaian yang sesuai untuk lelaki atau perempuan. Kerana ia sesuai untuk bentuk tubuhnya yang sangat kurus dan cukup tinggi.
Kata Robert, teman baik Sirin, kulit Sirin tanned. Macam brownies coklat yang sedap dimakan. Cumanya Sirin macam brownies coklat yang sedap dipandang. Mungkin sedap dimakan boleh masuk senarai kalau kena gaya, kata Robert lagi. Bahagian itu Sirin tak faham. Sebab tak faham, sudahnya Sirin tak kisah. Tak kisah juga Robert dan kawan sekuliah lain yang rapat, Jacob, Marie-Elena dan Alena, memanggilnya Brownies malah selalu ejek-ejek dia tak kenal warna lain selain hitam. Biarlah dia nak suka hitam, yang dia rasa satu-satunya warna yang padan dengan warna kulitnya. Itu pula balasannya kepada mereka selalu.
Tapi Robert, kawan paling baik yang selalu cari pasal tapi sangat sayang dia itu, gemar sangat panggil dia B di khalayak ramai. Untuk sakitkan jiwanya sebab dia selalu marah Robert kalau Robert panggil begitu. Sirin cuma tak gemar dan tak nak orang lain anggap dia spesial untuk Robert. Kalau orang baru nak kenal, memanglah akan sangka B Robert itu untuk baby, gadis sayang-sayang Robert. Walaupun hakikat, memang dia gadis sayang-sayang pemuda itu, tapi taklah ke tahap baby, I love you. Sikit pun tak layak!
B Robert pendek untuk Brownieslah tentunya.
Sememangnya sejak Sirin mula-mula jejak kaki ke School of the Built Environment, kebanyakan rakan-rakannya adalah dalam kalangan bukan rakyat Malaysia. Bukan Sirin tak nak kawan dengan teman senegaranya sendiri. Dia nak. Tapi, dia jenisnya berat mulut selagi tak ditegur orang. Teman senegara pula tak pernah meneka yang Sirin dari tanah air yang sama kerana kulit dan wajahnya yang selalu dianggap orang gadis Siam. Malah, sebab itu jugalah Alena tegur dia dulu sebab sangka mereka berjiran saja. Rupanya Alena salah sangka.
Malahan, yang menegur dia selepas itu pun, selepas Alena, hanyalah orang negara luar. Tak satu tanah tumpahnya darahku. Dah ditegur, retilah Sirin nak buka mulut membalas.
Bila geng satu kapal terbang dapat tahu Sirin orang Malaysia kemudiannya, tambah menjauh pula mereka jadinya. Tanggapan mereka, Sirin seorang gadis sombong kerana memilih untuk bergaul dengan pelajar bangsa asing sahaja. Dan tak sedar diri kerana mengubah penampilannya agar nampak lebih barat supaya boleh bergaul dengan lelaki-lelaki barat, terutamanya Robert dan Jacob, yang memanglah kacak lagi tampan orangnya. Sedang mereka tak tahu pun hakikat penampilannya atau sebab keakrabannya dengan Robert dan Jacob.
Rambut Sirin memang asli perang dan ada sentuhan keemasan. Bukan tempek warna. Kulitnya memang perang keemasan, seolah-olah dapat servis tanning. Bukan dia buat sesuatu untuk hasilkannya. Sepasang anak mata pula coklat cair. Bulu romanya memang perang emas yang kadang nampak lebih emas. Bukan dia sendiri cari penyakit untuk dapatkan hasil sebegitu.
Pendek kata, satu sen pun tak keluar tahu!
Panjang kata, setiap apa yang ada pada tubuh Sirin, fizikal Sirin, adalah asli lagi tulen! Tulen, bang, punya kes tau!
Apabila desas-desus ini bermula, Sirin hendak cuba terangkan pun tak guna. Tak seorang pun antara geng satu kapal terbang itu terasa mahu tanya atau selidik hal betul. Terus menghukum dengan teori tanpa asas. Dan Sirin, tak pernah ada kuasa mahu buka mulut dan jelaskan yang nyata kerana mereka-mereka itu tak adanya nak percaya. Tetap yakin dia mengubah ciptaan Tuhan. Jadi, baik dia jimatkan air liur.
Sudahnya, lantaklah!
Itulah perkataan yang berkali-kali diulang oleh Sirin demi memujuk hati sendiri.
Mereka tak pernah cuba dekati, tapi sudah buat kesimpulan. Sirin tak pernah elok dalam apa saja hal berkait dengan tanggapan pertama. Selalu disalah tebak orang. Jadi, dia diam tanpa betulkan persepsi teman-teman senegaranya itu. Tapi, ada juga antara kawan-kawan yang cuba mendekat. Kawan-kawan yang memanglah sudah rupa orang UK asli. Berbaju sedikit, berkain sedikit. Mendekati Sirin sebab hendak kenal Robert dan Jacob. Dia jadi batu loncatan saja. Apabila Robert dan Jason tidak layan, sudahnya Sirin yang disalahkan. Sirin saja yang tak betul.
Maka… lantaklah! Ayat pujuk hati dan diri kan, guna pakai selalulah!
"Betul Rin tak apa-apa?" Syamsul pecahkan bungkam ruang Honda City sesudah lama memandang saja raut Sirin. Walaupun terpaksa senget-senget badan menengok.
Wajah yang semenjak masuk ke perut kereta hanya pamerkan serius tiba-tiba disambar suram. Itulah yang pancing perhatian Syamsul. Membuatkan Syamsul menghadiahkan soalan tersebut di luar sedar. Namun kini, Syamsul sedar akan kesalahannya. Sebaik saja mendengar soalannya, Sirin kembali pada persona ciptaannya semula. Topeng kembali ke muka. Kembali pamerkan riak serius demi menutup apa yang ada dalam hatinya kerana Sirin tidak percaya dia perlu berkongsi hal perasannya dengan sesiapa.
Sirin ini hanya percaya kepada dirinya sendiri. Bukan orang lain.
Sirin menggeleng kepala. Menjawab soalan Syamsul yang masih setia merenung dia seolah-olah dia baru tumbuh telinga ketiga. Aku cuma ada dua telingalah. Macam kau jugak! Yang duk perhati macam tak pernah tengok rupa telinga, apa hal! Tapi Sirin sedar, Syamsul bukan memerhatinya sebegitu sebab tak pernah lihat rupa telinga sebelum ini, sebaliknya kerana pemuda itu sempat membaca apa yang tersua pada wajahnya seketika tadi. Dalam kegalauan minda, dia tersasar daripada menyekolahkan mukanya seperti selalu.
Ah, bodohnya dia! Bukankah selama ini dia bijak sembunyikan perasaan daripada terlihat pada raut? Kenapa pula sekejap tadi dia gagal? Syamsul lebih dulu menangkap itu semua sebelum dia sedar. Ah, tentu saja berita ini akan sampai ke telinga itu apabila mereka tiba di Vila Fatih nanti. Telinga Azaim.
Syamsul dan Azaim, tak pernahnya biarlah rahsia. Sungguh punah!
"Rin tak nak tahu apa-apa pasal Vila Fatih atau penghuni-penghuninya?" Berhati-hati Syamsul menghadiahkan soalan. Tidak mahu Sirin terus meradang dengan diri sendiri kerana tersasar topengnya, sehinggakan Syamsul sempat menangkap suram wajah itu.
Sirin terlalu sensitif apabila libatkan itu semua. Sirin tak mahu sesiapa pun tahu akan apa yang dirasainya sekiranya Sirin tak mahukan ia. Kerana itulah Sirin memilih untuk bersembunyi di balik topeng buatannya itu. Sesuatu yang Sirin pandai buat semenjak pagi tujuh tahun yang sudah.
Sejak berada di dalam perut kereta, bersama senyum manis, Syamsul cuba ajak Sirin berbual. Mengeluarkan lebih daripada dua patah kata-ya dan tak saja, sambil angguk dan geleng saja. Dan, kegagalan jadi hadiah. Sirin, kalau dia nak jadi bisu buatan sehingga mereka tiba ke Vila Fatih, gadis itu pasti akan lakukannya. Akan begitu teruslah Sirin.
Maksudnya, Syamsul kena tukar strategi. Dia perlu bijak eksploitasi keadaan. Daripada menunggu Sirin buka mulut keluarkan suara, lebih baik Syamsul saja bercakap. Tak kisahlah cakap seorang diri pun. Asalkan ruang kereta ini tidak disambar kebisuan dan kesepian, yang kian menghambat kebosanan Syamsul. Ah! Ini bukan satu perkara baru, jadi mengapa dia masih rasa hampa? Bukankah Sirin sudah jauh berubah? Bukan lagi Sirin yang malu-malu tiap kali berdepan dengannya, menjawab setiap soalannya dengan wajah tunduk-tunduk segan. Sirin yang dia rasa selalu nak peluk sebab comel sangat dan selalu pula Azaim akan bagi dia pandangan nak makan orang kalau Syamsul cakap begitu. Pantang besar punya.

Kini, Sirin sudah lain sama sekali. Kalau Syamsul rasa nak peluk, tak payah tunggu Azaim pelangkung, Sirin akan bagi dulu dengan jayanya. Mahu benjol kepalanya tiga hari berturut!
Sirin yang kini hanya reti bersikap dingin dan serius. Namun ada dua perkara baru sudah berlaku. Inilah kali pertama dia nampak suram yang Sirin sembunyikan. Selama masa ini, sesudah tujuh tahun ini, inilah kali pertama Sirin tak mampu kaburi mata kasarnya. Silapnya hanya satu, menyoal di luar perasan. Dah Sirin sedar diri. Sepatutnya dia diamkan saja. Ini tidak, gatal mulut bertanya. Lebih tidak selesa jadinya Sirin sebab kantoi sudah…
"Tak."
Jawapan singkat daripada Sirin, akhirnya, membuatkan Syamsul tayang gigi. Tidak terus melayan perasaan lagi. Sesudah sekian lama sengaja senyap kalah tunggul, jawapan Sirin adalah tak? Itu menandakan gadis itu tidak berminat untuk dengar apa-apa berita mengenai Vila Fatih atau penghuninya. Nampaknya Sirin sudah kembali pada topeng ciptaannya. Tapi Syamsul tak sebaik itu untuk menuruti kemahuan Sirin.
"Eh, mana boleh tak…" Saja-saja Syamsul leretkan kata. "Rin kenalah tahu pasal Vila Fatih, penghuni Vila Fatih. Dah dekat lima tahun tak balik, mestilah ada banyak perubahan. Dan Rin perlu tahu tentangnya. Kalau tak semua, sikit pun tak apalah."
Syamsul sengetkan tubuh sakan. Bersandar pada pintu kereta, ngam-ngam selesa. Terus Syamsul nampak jegilan mata coklat cair Sirin. Mata yang boleh patahkan mana-mana renungan. Dan dia juga boleh nampak tahi lalat kecil yang jelas pada sebelah kanan batang hidung mancung itu.
"Saya tak naklah!" Sirin sengaja bulatkan mata lebih-lebih. Gertak ekstra. Dengan harapan lelaki itu memahami maksudnya.
Tapi tak ada maknanya. Syamsul tiba-tiba jadi pekak. Selamba mengatur kata walaupun mata Sirin hampir terlolos keluar dari soket mata.
"Mak Tua sekarang ni dah jadi ketua maids Vila Fatih. Kalau dulu hanya ada Mak Tua dengan Pak Tua dan dua orang tukang kebun dengan dua pembantu rumah aje, kan?"
Sirin diam.
Syamsul tak kisah. Selamba pula meneruskan cerita terbaru Vila Fatih dan penghuni-penghuninya. Nak dengar ke tak nak ke, awak punya hal, Cik Sirin. Asalkan suaranya kedengaran.
"Now, we have six maids. Locals. Im senang tolong orang satu negara sebelum orang luar. Kebanyakan maid tu daripada keluarga kurang senang dan perlukan bantuan. Azi, Leha, Jihan, Farah, Fati dan Lili. Liliyang paling tua antara dia orang, anak yatim piatu. Walaupun Abang Syam tak pernah jumpa dia. Which is remarkably weird.
"Azi dengan Leha bertugas kat tingkat satu. Pastikan setiap sudut sentiasa bersih dan kemas. Jugak bertugas untuk layan tetamu. Fati dengan Farah pulak kat tingkat dua dan tiga, bersihkan setiap bilik serta… apa yang patutlah agaknya. I don't know their job's spec that much. Kadang tu kalau ramai sangat tetamu kat Vila Fatih, dia orang tolong Azi dengan Leha. Jihan pulak bertugas di dapur. Lili bahagian dobi, yang mana Abang Syam rasa tulah sebab Abang Syam belum jumpa dia. Mak Tua akan perhatikan kerja-kerja dia orang dan setakat ni semuanya memuaskan hati. Mak Tua masih pengasuh Im, sampai sekarang. Jugak Rin. Malah, Mak Tua masih memasak untuk Im yang nakkan air tangan dia. Tambah pulak dapur memang department Mak Tua kan. Jihan tu pembantu Mak Tua."
Sirin tayang muka bosan. Tanda setiap cerita terkini dan agak-agak sensasi yang dilagukan Syamsul tidak menarik perhatiannya. Namun, dalam tak sudi, telinganya tangkap juga bait-bait itu. Dah duduk sebelah-sebelah macam ini, mana boleh nak tahan-tahan telinga. Ingat pili air ke boleh buka tutup!
"Pak Tua sekarang ketua untuk semua pekerja lelaki. Kita ada lima pekerja bawah Pak Tua. Fahmi, yang tengah memandu ni…" Syamsul muncungkan mulut ke arah Fahmi yang sempat tayang gigi apabila namanya disebut. "Fahmi, pemandu kita. Tiga orang tukang kebun, Ali, Omar dan Saleh, yang ditugaskan untuk pastikan setiap tanaman arwah aunty dijaga dengan rapi. Rin sendiri tahu macam mana sayangnya aunty kat semua pokok-pokok dan bunga-bunga yang dia tanam tu. Fuad, bertugas kat bahagian dobi, dengan Lili.
"Pak Tua sekarang tak macam dulu lagi. Bukan main segak lagi. Siap pakai vest dengan tali leher bagai. Tugas dia, terima tetamu. Asal ada orang nak masuk Vila Fatih, hah… dari pintu luar lagi kena hadap dia. Lulus soal jawab dengan Pak Tua barulah dibenarkan masuk. Macam… apa masa zaman Inggeris dulu? Hmm?" Syamsul menggaru-garu dagu, berfikir.
"Butler." Sirin gigit bibir. Gatal mulut! Dia menyumpah diri sendiri. Siapalah yang suruh jawab!
Syamsul mengangguk sambil memegang hidung dengan jari telunjuk dan ibu jari. Tiga jari lain mengembang ke bawah. Mencari peluang untuk sembunyikan senyuman yang melebar apabila mendengar jawapan Sirin. Mungkin Sirin tidak mahu tahu apa-apa perkembangan Vila Fatih mahupun penghuninya, namun gadis itu tetap beri perhatian pada setiap kata-katanya. Hehehe!
"Yeah, butler. Thanks, Rin. Abang Syam terlupa…" ujar Syamsul selepas mampu mengawal senyuman girang.
Sirin diam beku.
Im, ni semua salah kau. Walaupun niat kau baik, tapi cara yang kau guna adalah salah. Sampaikan jadi luka dan luka lagi hati Sirin. Luka itu amat dalam. Apalah yang mampu difahami gadis kecil yang belum pun sampai usia 16 tahun tu? Sudahnya, Sirin membesar dengan kelukaan itu. Membuatkan Sirin lebih berjaga-jaga agar hati itu tak sakit lagi. Sama ada dalam sedar atau luar sedar, Sirin akan pastikannya. Syamsul yakin.
Aku tak yakin kau akan berjaya, Im. Tapi aku akan tepati janji aku. Sebab kau nyata perlukan aku. Seperti dijanjikan, aku akan tolong kau. Aku akan sentiasa di belakang kau sebab aku jelas pada perkara yang Sirin tak pernah tahu sampai sekarang. Dalam diam, Syamsul hampar janji yang sudah berulang kali jadi halwa telinga Azaim, sahabat baiknya semenjak kecil lagi.
"Hmm, tak nak tahu perkembangan terbaru Abang Im Rin?" Sengaja Syamsul menggiat begitu, dengan senyum nakal.
Apabila laju nonong Sirin toleh kepada Syamsul, memandang geram serupa nak makan orang dengan pilihan ayat Syamsul, naik dua kali ganda Syamsul kerdip mata. Nakal kuasa dua.
"Dia bukan Abang Im saya!" Sirin menekan penuh perasaan tiap payat perkataan. Tegas dan sarat perasaan sebenarnya, yang dia hadiahkan khas untuk Azaim. Segala perasaan sangat tidak suka kepada Azaim dia sua pada sebaris ayat itu.
Bukankah Syamsul tidak pernah rahsiakan apa yang dia kata? Bukankah Syamsul akan sogok setiap yang dia kata ke telinga Azaim? Bagus. Keranan dia mahu Syamsul nyatakan ia kepada Azaim. Sebiji-sebiji, dengan tak suka sedebik-sedebik juga! Biar Azaim sedar betapa dia benci pemuda itu, yang pernah memberi peluang kemudiannya merampas ia secara kasar sebelum dia sempat nikmati ia.
Syamsul tayang gigi. Tersengih macam anak kambing tak cukup gigi. Hmm, Im, kau kena kerja lebih ni. Ni bukan tahap serpihan api dah. Ni… api menyala marak membara tahu. Kalau kau cuba nak dekat, sah-sah kau kena bakar punya. Tapi aku tahu kau sanggup sama terbakar. Lagipun, marak api, kawannya api. Hati Syamsul ada jugalah nak rasa simpati untuk Azaim. Tapi seketika saja rasa itu. Sengihnya kian melebar saat membayangkan Azaim terkial-kial memujuk hati yang pernah dilukainya ini. Bermain-main di hadapan mata.
Walaupun Azaim teman paling baik pernah Syamsul ada, benar-benar sahabat yang tiada dua, namun adegan sebaik itu, yang sekali seumur hidup, masakan dia hendak lepas. Dia belum pernah lihat Azaim berlutut di hadapan seorang perempuan. Jadi, janganlah salahkan dia kalau dia sudah tak sabar menunggu saat itu tiba.
Sirin menarik muka masam apabila Syamsul terus menjalankan upacara mengira batang-batang gigi daku. Ingat aku doktor gigi gamaknya. Duk tayang gigi-gigi putih dia macam tu, nak minta tolong cek kut. Kalau aku cek, aku gril kasi lubang bolehlah! Hati Sirin kian jelak. Syamsul pun sama dengan teman akrabnya. Reti menyakitkan hati orang saja. Sebab itulah jadi sahabat sehidup sejiwa kut! Uh!
Dengan muncung mulut mendepa sakan tunjuk sakit hati, Sirin kembali membuka novel di tangan dan membaca…
Biasanya lelaki memberikan cinta untuk mendapatkan segalanya, sedang wanita memberikan segalanya untuk mendapatkan cinta.
Uh! Sirin merengus tanpa pedulikan Syamsul di sisinya, yang sudah mula ketawa lanjut bak orang hilang akal, terlekap pada dinding kereta, tiada upaya tahan diri.
Published on December 29, 2012 06:12
No comments have been added yet.
Bikash Nur Idris's Blog
- Bikash Nur Idris's profile
- 78 followers
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
