.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 3] :.

Sunyi dan sepi. Begitulah keadaan bilik bacaan Vila Fatih ketika ini. Ruang bilik yang luas di tingkat dua banglo mewah tiga tingkat itu sudah lama dijadikan bilik bacaan oleh pemiliknya. Sejak arwah Tuan Azamuddin masih ada lagi. Malahan hingga kini tiada sebarang perubahan dapat dilihat di situ. Melainkan banglo itu sudah naik satu tingkat lagi.
Di dalam bilik bacaan, masih susun atur yang serupa, masih pilihan perabot yang sama. Sekalipun sudah lebih tujuh tahun Tuan Azamuddin tidak lagi memenuhi ruang bilik itu. Bahkan ketika itu, bukan tubuh lelaki itu yang duduk di atas kerusi empuk di meja empat segi yang diperbuat daripada kayu jati itu. Sebaliknya tubuh lampai dan tegap milik anak tunggal lelaki itu—Azaim Haji Azamuddin.Ruang bilik bacaan itu seperti dahulu, penuh dengan pelbagai bahan bacaan. Memenuhi rak-rak buku yang mengambil ruang bilik itu. Di satu sudut pula terletak sofa tiga berangkai berwarna coklat gelap berserta dua buah kerusi daripada kayu jati. Di tengah-tengah di antara kerusi tersebut ada sebuah meja konsol, juga diperbuat daripada kayu jati. Di satu sudut bertentangan pula sebuah meja sederhana besar dan kerusi yang amat selesa mengambil ruang bilik bacaan tersebut. Sering digunakan oleh Tuan Azamuddin dan kini Azaim. Rak kabinet setinggi lapan kaki, diperbuat daripada kayu jati, terletak di belakang meja tersebut, rapat ke dinding. Sarat dengan fail-fail dan bahan bacaan.
Ketukan perlahan pada daun pintu membuatkan Azaim mengalih kepala ke situ. Pintu itu sendiri diperbuat daripada kayu jati.
Ya, bilik itu memang serba kayu jati, pelbagai. Sebab itu Syamsul letak nama bilik jati. Namun, itulah pilihan arwah ibu. Dan arwah ayah, yang amat mengasihi isterinya, tidak mungkin menghampakan kehendak ibu kerana segala usahanya memajukan syarikat mereka adalah demi si isteri serta anak tunggal mereka. Malah, berkat kesabaran dan kesungguhan ibu membantu ayahlah akhirnya lelaki itu menjadi salah seorang lelaki yang disanjungi dalam bidang yang diceburi, yang dimulakan dari peringkat paling bawah.
Benarlah, di balik kejayaan seorang lelaki pasti ada seorang wanita di belakangnya. Yang begitu juga dengan Tuan Azamuddin. Di belakangnya berdiri Puan Nurfatih. Tak pernah jemu. Tuan Azamuddin lemah ke belakang, Puan Nurfatih tukang tolak supaya lelaki itu maju. Tuan Azamuddin terkaku tak dapat bergerak, Puan Nurfatih pimpin lembut dari belakang, mengajar lelaki itu melangkah. Atas itu, maka lahirlah Fatih Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pengangkutan yang berdiri kerana titik peluh Tuan Azamuddin dan berkat sokongan tak putus Puan Nurfatih.
Fatih, bermaksud pembuka atau perintis, nama pilihan Tuan Azamuddin, daripada nama isteri tercinta tentunya.
Kini Fatih Sdn Bhd berkembang pesat dan mempunyai lebih 100 bas pengangkutan, sama ada bas ekspres, bas sekolah, bas pekerja mahupun bas pengangkutan awam yang lain. Merangkumi hampir kesemua negeri utara, terutama sekali Pulau Pinang sendiri.
Seiring dengan naiknya nama Fatih Sdn Bhd, begitulah memuncak jadinya nama Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih. Syarikat tersebut bukan saja ketekunan mereka sebaliknya ikut jadi kebangaan mereka. Kini, Azaim pula menjulang lagi nama Fatih Sdn Bhd, lebih tinggi lagi, sesudah menerajuinya lebih tujuh tahun sudah.
Ketukan yang kedengaran sekali lagi buat perhatian Azaim kembali ke bilik bacaan. Ah, dia mengelamun jauh rupanya. Sempat Azaim menggeleng kecil atas sikapnya itu.
Hmm, siapa pula di balik pintu sana ketika ini? Hendak dikatakan Syamsul dan Sirin sudah tiba bersama Fahmi, tak mungkin. Sejak tadi dia memanjangkan leher ke luar jendela bilik itu, yang sengaja dibiar ternganga luas. Tiada sebarang tanda menunjukkan Sirin atau Syamsul sudah tiba. Malahan, telinga Azaim sendiri tidak menangkap bunyi kereta diparkir di halaman rumah atau nun di garaj sana.
Pendek kata, Azaim yakin bukan tubuh Sirin atau Syamsul di luar sana ketika ini, yang masih masih mengetuk pintu. Demi menagih perhatiannya yang asyik sasar semenjak tadi.
“Masuk,” kata Azaim sudahnya, melihat daun pintu tanpa jemu dengan aura Tuan Azaim.
Pintu bilik bacaan terkuak lalu seorang wanita bertubuh rendah dan gempal, menghampiri usia 65 tahun, comel macam arwah pelakon Yusni Jaafar, melangkah masuk ke dalam bilik bacaan. Bersama sebuah dulang di tangan.
Terus punah aura Tuan Azaim. Azaim sakan senyum.
“Mak Tua? Apa pulak yang Mak Tua bawa tu? Kan Im dah makan tengah hari tadi? Mak Tua sendiri duduk sebelah Im dan pastikan Im habiskan setiap butir nasi dalam pinggan Im. Dah lupa?” Azaim menjongket kening. Nakal, menggiat.
“Kalau Mak Tua tak buat gitu, mesti Im hanya akan jamah makan tengah hari tu. Bukan makan.” Mak Tua mencebik mulut.
“Ada beza ke jamah dengan makan?”
“Ya, ada,” cakap Mak Tua tegas. “Jamah, apa yang selalu Im buat. Sentuh sikit, tak habiskan, lepas tu terkejar-kejar ke sini semula, hadap kerja. Macamlah kenyang dengan kerja. Makan, apa yang Im buat tadi. Licin pinggan nasi tu. Tu kenyang yang betul. Bukan kenyang tak betul macam makan kerja. Faham!”
Mak Tua mendekati meja kerja Azaim, yang diduduki Azaim semenjak selesai makan tengah hari tadi. Sudah berjam-jam, Azaim di situ juga. Dengan kerja pejabatnya. Mangkuk putih di atas dulang di tangan Mak Tua tadinya diletak di atas meja sebaik pelapiknya lebih awal singgah ke situ. Berhati-hati, agar tidak mengotori meja itu mahupun kertas-kertas putih bertaip kemas yang bertaburan di situ. Membuatkan dia menjegil mata kepada Azaim kerana anak muda itu kembali memporak-perandakan meja itu. Sedang baru pagi tadi Mak Tua mengemasnya.
Sudah menjadi satu peraturan, bilik bacaan itu tidak pernah dibenarkan Azaim dikemas orang lain. Selain Mak Tua atau Azaim sendiri. Bab bila Azaim sendiri hanya akan berlaku apabila penyakit rajin Azaim singgah. Sedap jugalah mata memandang masa itu. Kalau masa rajin Azaim asyik pada suis tutup, heh! Sila bayangkan sendiri bagaimana rupa meja itu. Macam meja karam tak lepas-lepas.
Azaim menggaru telinga kiri. Sesuatu yang sering dilakukannya semenjak kecil tiap kali ditangkap kerana melakukan sebarang kesalahan. Akhirnya Azaim tayang gigi. Kerana itu sahajalah cara yang mampu elakkan dirinya daripada dimarah atau dibebel.
Mak Tua cuba-cuba berlagak serius. Tapi sengih manja mengada penuh gula-gula Azaim itu mengusir usahanya terus. Kalah lagi. Mak Tua menggeleng sambil senyum. “Tak berubah. Asal buat salah aje, mesti senyum manis gitu.”
“Selalunya, sebab senyum yang macam nilah Im dapat lepaskan diri kan…” Azaim kenyit mata pula.
Tawa Mak Tua meletus. Alahai, anak bujang yang seorang ini… Makin besar makin comel. Tambah pula dengan rupa fotokopi Kim Jae Wook itu.
“Hmm, kali ni pun sebab senyum yang ginilah Im terlepas,” ucap Mak Tua sambil usap rambut Azaim yang panjang dan lurus ke bahu. Lagilah nampak macam Kim Jae Wook, semacam sangat dengan pelakon Korea dalam drama Coffee Prince itu. Mata pun sepet begitu.
Kalau tak kerana muka yang sama itu, mungkin dia tak melayan habis drama tersebut. Yalah, Kim Jae Wook bukan hero utama kan. Tapi, sebabkan ada imbasan Azaim pada lelaki itu, atau sebaliknya, dia layan sakan drama itu malah Azaim siap belikan dia DVD drama tersebut untuk layanan semula demi cemburukan suaminya. Anak ini…
Berbalik pada rambut Azaim, memang semenjak dulu Azaim gemar sangat berambut panjang. Beberapa kali pernah ditangkap guru disiplin sekolah. Malah selalu sangat dapat potongan rambut secara percuma di khalayak ramai, di depan ruang perhimpunan sekolah. Tapi kini, tiada lagi guru disiplin untuk beri amaran atau percuma-percuma potong rambutnya ikut stail tak pernah diiktiraf. Azaim yang selesa berambut panjang, terus berambut panjang, sepertimana dia hendak. Sebagaimana ketika ini Azaim selamba ikat separuh rambutnya. Mode saya-sedang-bekerja.
Sekalipun usia Azaim sudah menginjak ke angka 31, namun untuk Mak Tua, Azaim masih anak kecil yang membesar di bawah perhatiannya. Walaupun Azaim sudah besar panjang begini, sangat-sangat tinggi daripadanya, namun Mak Tua tetap anggap diri pengasuh Azaim. Malahan, Azaim sendiri masih anggap dia begitu. Kerana itulah Azaim masih mahu bermanja dengannya dan tak pernah penat mengusiknya.
Tapi semua itu hanyalah ketika mereka berduaan atau di hadapan suaminya. Kalau ada orang lain bersama, Azaim tidak pernah jadi anak kecil Mak Tua. Sebaliknya memegang peranan tuan rumah dalam kalangan penghuni Vila Fatih. Bangkit aura Tuan Azaim. Namun, setiap ahli vila itu tahu perasaan sebenar Azaim kepada Mak Tua. Azaim menyayangi dia dan Pak Tua, suaminya, selayak keluarga sendiri. Jadi, jangan cuba-cuba buat pasal dengan mereka berdua. Buruk padahnya.
“Apa ni, Mak Tua?”
Perhatian Mak Tua jadi pegangan Azaim sepenuhnya. Tersenyum dia lihat gelagat Azaim menghidu hidangan di hadapannya. Kembang kempis hidung yang memang mancung itu. Mujur dapat ia daripada darah Pakistan belah arwah ibunya. Kalau daripada arwah ayahnya, tak adalah sebegitu mancung. Seadanya saja. Namun, cerita pasal rupa, Azaim memang lebih banyak ada darah Cina daripada Pakistan.
“Bubur kacang?” Azaim menggaul bubur kacang itu dengan sudu. Masih panas dan baunya sungguh menyelerakan. Walau perutnya sudah sedia kenyang dengan hidangan tengah hari tadi, namun kewangian bubur itu mampu mengundang seleranya semula. Masakan Mak Tua, apa sahaja, mampu menggodanya.
“Hmm, bubur kacang. Mak Tua baru masak tadi.”
Azaim senyum tipis. “Mak Tua ingat lagi…”
“Tentulah Mak Tua ingat. Mesti Rin sendiri rindukan bubur kacang ni. Kegemaran dia sejak dulu. Mak Tua tak mungkin lupa macam mana kita semua pujuk dia supaya jamah nasi masa dia mula-mula ke sini. Tapi sikit pun tak nak. Bila Mak Tua hidang bubur kacang ni, bukan main lahap dia makan. Sejak tu, bubur kacang ni jadi kemestian kat Vila Fatih. Dimasak setiap hari. Tak ada bubur kacang, tak makanlah budak tu.” Mak Tua macamnya hanyut. Mungkin kembali pada sepuluh tahun sudah.
Azaim angguk. “Bubur kacang memang segalanya untuk Rin. Dan, jangan lupa… tengah malam pun raid dapur nak makan bubur kacang punya pasal.”
Ketawa kecil Mak Tua terletus, mengenang. Kemudiannya, tawa Mak Tua berpadu dengan gelak Azaim. Ceria, lanjut. Namun, tawanya itu putus dulu. Ada keluh, ada sedar. Membuatkan Azaim diam. Disapa berat perasaan. Azaim boleh selam perasaan bergulung bagaimana yang ada dalam hati wanita yang bersamanya semenjak usianya 10 tahun.
“Tapi, sejak Rin masuk asrama, Rin dah tak nak bubur kacang. Dah pergi luar negara ni… mungkin tekak Rin dah tak boleh terima lagi. Tapi Mak Tua tak boleh nak halang diri. Tahu aje Rin akan balik, Mak Tua terus masak. Sebab Mak Tua tahu macam mana sukanya Rin dengan bubur kacang.” Mak Tua mengeluh kecil. Wajah tuanya mula digarisi kemurungan.
Azaim bangkit dari kerusi yang diduduki. Dia kaut tangan Mak Tua, yang hanya tahu membelainya semenjak kecil. Dia tidak kisah pada kata-kata mahupun tanggapan orang lain terhadapnya. Paling penting selepas arwah ibu adalah wanita ini, yang menjadi ibu keduanya semenjak dulu, mampu memahami apa yang telah dia lakukan lewat masa lalu. Pengertian wanita ini begitu penting buat Azaim.
“Mak Tua, bukan niat Im untuk ubah hati Sirin jadi macam tu. Mak Tua faham kan kenapa Im buat macam tu dulu? Kenapa Im nak Sirin keluar dari sini waktu tu?”
Soalan yang sarat dengan harapan agar diri difahami dan tak disalah erti itu buat Mak Tua memaniskan muka kembali. Tidak mahu Azaim menyangka dia menuding jari kepada anak muda itu. Mungkin Sirin berubah kerana Azaim, namun jauh di sudut hati Mak Tua, dia tahu bukan itu mahunya Azaim.
Mak Tua tahu apa yang cuba dilakukan oleh Azaim ketika itu. Faham mengapa adanya tindakan sedemikian, walau diakui ia terlalu kejam untuk diterima oleh anak gadis 16 tahun. Sirin terlalu mentah untuk tangkap niat sebenar Azaim hinggakan hati kecil itu begitu terluka. Keputusan Azaim pula buat Sirin tutup terus pintu hati. Tak ada ruang.
Wajarkah dia menyalahkan Azaim untuk semua itu?
Tidak, ucap hati Mak Tua sendiri sudahnya.
“Im,” ujar Mak Tua, mengelus telapak tangan Azaim yang ada dalam tangannya. Demi menenangkan debaran yang dirasai oleh pemuda itu, yang tersua pada air mukanya saat ini.
Mak Tua sambung bicara, “Mak Tua faham semua tu. Im buat semua tu untuk masa depan Rin. Tapi… Rin tak faham, Im…”
Azaim mengeluh perlahan. Membalas semula elusan tangan Mak Tua, Azaim buka peti suara. “Im tahu. Dia masih tak nak maafkan Im untuk tu. Masih marah dan benci Im. Kalau tak, dia takkan buat keputusan untuk ke UK lepas habis SPM dulu. Dia memang sengaja nak lari daripada Im. Im tahu…”
Mak Tua angguk-angguk. Faham sangat pada dilema Azaim itu. Dia masih dongak muka pandang Azaim yang menggalah. “Im, Mak Tua rasa dah sampai masanya…”
Dalam hati, Mak Tua panjangkan doa yang tak pernah henti dipanjatkan ke hadrat-Nya selama tahun berganjak ini. Berharap sangat agar Azaim tak memilih untuk terus bersembunyi di balik kisah silam itu. Azaim perlu depani Sirin, juga perasaan benci serta marah Sirin. Itu sahaja yang akan kembalikan Sirin kepada mereka. Kepada Azaim.
Azaim menggoyang kepala. Setuju dengan cakap-cakap wanita itu. “Memang dah sampai…”
Bunyi enjin kereta di halaman Vila Fatih menerjah kuping Azaim dan Mak Tua ketika itu juga. Membuatkan mereka menoleh ke arah jendela bilik itu. Dari situ, terus nampak tubuh Honda City yang selalu dipandu Fahmi.
Dari pintu belakang sebelah kiri kereta, keluar tubuh kurus setinggi 177 sentimeter, milik Sirin. Bersama pakaian serba hitam serta rambut berombak yang diikat ala-ala sanggul kontot. Malahan jelas beberapa helai rambut perang dengan sentuhan keemasan itu sudah mula longgar daripada ikatan, jatuh sentuh bahu. Ketidaksempurnaan yang mengindahkan mata melihat. Mata Azaim, bicara begitulah.
“Memang dah sampai. Dan masih macam dulu…” Azaim mengenyit mata kepada Mak Tua yang tersengih mendengar kata-katanya.
“Mari,” ajak Mak Tua dengan wajah ceria. Masakan tidak, sudah lima tahun dia menanti saat ini. Menunggu kepulangan Sirin, kembali ke Vila Fatih.
Sekalipun Sirin marahkan Azaim atas apa yang berlaku, Sirin tetap ahli keluarga Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih. Sebahagian daripada penghuni Vila Fatih. Semua itu termaktub semenjak Sirin jejakkan kaki ke rumah ini 10 tahun lalu.
“Mak Tua pergilah dulu. Pastikan dia selesa dengan bilik dia. Sebab Im tahu betapa bermaknanya bilik tu untuk dialah Im tak benarkan sesiapa pun ubah apa-apa kat situ. Melainkan satu. Itu pun sebab perlu.”
“Dia akan melenting.”
Azaim sengih. “Tu yang Im nak. Barulah dia akan cari Im, tak mengelak.”
Mak Tua senyum, mengangguk. “Yalah. Mak Tua pergi sambut Rin dulu.”
“Mak Tua, jangan bagi tahu Sirin Im kat situ. Biar dia ingat Im masih kat pejabat. Dan… tolong bawa bubur kacang ni keluar. Im nak makan dengan Sirin.”
Mak Tua turut saja. Dia kembali mencapai mangkuk putih di atas meja lalu melenggang keluar dari bilik bacaan, sambil menyanyi kecil. Menggambarkan apa yang ada di hatinya ketika ini. Sirin sudah pulang dan dia tak perlu menunggu lagi. Jika Azaim anak bujangnya, Sirin pula tak ubah seperti anak gadisnya. Sekalipun Azaim tak pernah mahukan sebarang hubungan kekeluargaan dengan Sirin—melainkan satu sahaja, yang akan Azaim usahakan sampai berjaya.
Dan Mak Tua yakin, Azaim akan berjaya. Kerana darah Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih turut mengalir dalam tubuh Azaim. Darah yang tidak tahu apa itu erti putus asa, juga tidak pernah mengaku kalah sebelum memulakan perjuangan.
Azaim pandang Mak Tua sehinggalah wanita itu hilang dari bilik bacaan. Sebaik daun pintu terkatup kemas, bingkas Azaim melangkah menghampiri jendela. Mencuri peluang untuk melihat Sirin tanpa gadis itu sedar.
Itulah yang dilakukan Azaim semenjak Sirin nekad buang dia daripada hidupnya. Sirin tak pernah sudi untuk menentang mukanya. Sirin sering mencari alasan untuk mengelak daripadanya. Dia pula selalu menurut, kerana tidak mahu membantah kemahuan Sirin yang tiba-tiba sahaja pandai degil yang sangat. Selain itu, tidak mahu menambah benci di hati Sirin, buatnya.
Mata Azaim lembut menyapa tubuh berpakaian serba hitam itu, hanya sedikit putih melintang saja pada tee di balik kardigan ala kotnya. Tanpa jemu, merenung semuanya, dari atas ke bawah. Mencari sebarang perubahan. Namun, Sirin ini tetap Sirin itu. Masih serupa pada kasarnya mata. Dan dia yakin tahi lalat di atas hidung mancung itu juga masih di situ, walau tidak boleh dilihat dari jaraknya. Malahan, warna kulit Sirin masih keperangan begitu, punya sentuhan keemasan seperti yang dulu juga. Dan sinar yang menyelesakan mata Azaim itu buat dia tak hendak lepas melihat langsung. Indahnya ciptaan Tuhan itu.
Itu baru jarak jauh, kalau jarak dekat… ah, betapa lebih indah!
Tiba-tiba, Syamsul yang masih setia di samping Sirin, menoleh kepala. Tepat ke wajah Azaim yang tersua di balik jendela bilik bacaan. Seolah-olah tahu Azaim akan berdiri di situ. Sahabatnya itu sempat mengerdip mata kepadanya sambil tersengih.
Azaim ikut sengih, kemudian tumpuan Azaim semula kepada Sirin. Sudah sampai masanya, Sirin. Sudah sampai…
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 31, 2012 09:32
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.