Semakin tua
Saya mendapat khabar beberapa kenalan ditimpa ujian badan. Pankreas, Bell Palsy, sindrom kecelaruan antibodi dan beberapa kategori yang mungkin tidak terlalu kronik. Ia bukan suatu kepelikan dengan usia yang semakin meningkat.
Saya telah melalui beberapa ketika yang mendebarkan apabila ditimpa bencana tubuh ini. Batu Karang, jantung dan akhir sekali Bell Palsy. Saya telah melalui proses Angiogram di Subang Jaya Medical Center. Seingat saya telah saya dokumenkan melalui Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman.
Agak saya ia sinonim dengan semua orang. Bila terjadi bencana badan maka ingatan kepada Allah SWT muncul dengan begitu pantas sekali. Lalu kita bertaubat kerana memikirkan masa kita semakin hampir.
Misalnya, ramai kawan-kawan golfer saya mula berniat meninggalkan permainan ini, tambah-tambah lagi jika ia terselit dengan unsur-unsur pertaruhan.
Mereka yang gila golf akan bermusafir kerana permainan ini. Mereka sanggup memandu beratus KM kerana mahu menyertai suatu pertandingan.
Lalu bila bencana badan menimpa, itu semua terpaksa dan mahu ditinggalkan. Masa kelihatan suntuk. Alangkah ruginya menghabiskan puluhan jam untuk bermusafir dan menghabiskan beberapa jam lagi di lapangan.
Namun Allah sering mengingatkan betapa lemahnya kita. Dipesannya kepada kita, “Kau ingat Aku semasa susah, lupa ketika senang”. Tanda-tandanya sangat jelas dalam kehidupan seharian kita.
Allah… Allah… Allah Dia bagi sedikit kelegaan kepada ujian badan tersebut supaya kita berpeluang hampir kepadaNya bagi mereka yang mahu berfikir. DIA mahu kita memikirkan pola kehidupan yang harus kita rencanakan dengan sisa kehidupan.
Namun kita jadi alpa kerana memikirkan ia kesembuhan yang tidak berbekas lagi.
Pendapatan Pasif
Saya selalu tersenyum memikir begitu ramai mahu mempunyai pendapatan pasif dalam dunia perniagaan. Lakukan sesuatu kemudian hasilnya akan sentiasa muncul tanpa perlu berbuat apa-apa yang signifikan.
Di dalam Quran dan hadis dinyatakan beberapa kali istilah perbandingan perniagaan yang menguntungkan (nota: saya telah menulis istilah ini di dalam buku yang telah diterbitkan. Saya mohon maaf tidak dapat membuat rujukan kembali pada hari ini). Ia dikaitkan dengan sedekah dan zakat.
Malah konsep “beramal ketika sihat” juga melambangkan pendapatan pasif bakal kita terima ketika sakit. Misal, jika kita sentiasa solat berjemaah di masjid ketika segar bugar, maka Allah telah memerintahkan para malaikat terus juga menulis amalan tersebut walaupun insan tersebut gagal ke masjid atas sebab penyakitnya.
Tentu sekala saya sangat bersimpati dengan mereka yang mahu bekerja bersungguh-sungguh mencari pendapatan ketika muda dan mahu ia menjadi pendapatan pasif tetapi tidak mampu melakukan amal ibadat semaksimumnya.
Misalnya, kegagalan solat berjemaah di masjid akibat kekangan kerja yang dicipta sendiri.
Carilah kekayaan tetapi jangan menjadi hamba kepada kekayaan tersebut. Hakikatnya, kekayaan yang dijana bersama dengan prosedur tepat di sisi Allah merupakan pakej pendapatan pasif.
Pendapatan pasif yang paling saya ingini ialah sebagaimana yang dinyatakan melalui hadis berikut:
Wahai anak Adam!
Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! (Hadis Qudsi, riwayat Ahmad).
MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akhbar, kami mohon keampunan Mu.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
