Bermula lagi…..

Masjid Nawabi selepas tiga hari menerima tetamu Allah


Ia hari ke 3 Madinah menerima tetamu Allah.


MasyaAllah, tiga subuh terakhir yang sangat berbeza. Hari ini saya tertolak ke saf yang ke belakang. Alasannya, saya masih menggunakan jadual lama. Begitulah hakikatnya. Masa dan suasana yang berbeza memerlukan kita bersegera mengubah rutin kehidupan.


Namun saya suka dan teruja suasana sebegini. Saf menjadi lebih padat. Malah rasa seronok menyaksikan pelbagai tingkah laku tetamu Allah terutamanya bagi mereka yang pertama kali berada di sini.


Usai subuh tadi saya menyaksikan tiga rakan kelihatan bermasalah.


“Haji, macam ada masalah aje,?” saya menyapa memikirkan tidak perlu tergesa-gesa pulang ke rumah.


“Kami kehilangan selipar?”


“Nombor berapa rak?”


“42″


“Haji, di sini nombornya 300 ke atas. Betul di kawasan ini?,” saya memerhatikan kawasan sekitar pintu King Fahd, pintu di kawasan belakang Masjid Nabawi.


“Saya letak di rak begini,” ditunjuknya rak kasut bertingkat.


“OK… haji dari hotel mana?”


“Al-Haram….”


“OK, jika itu hotelnya, InsyaAllah pintu inilah yang paling hampir. Ada kemungkinan Haji letak di kawasan dalam masjid. Mari kita ke hadapan sedikit”


MasyaAllah, letak di dalam dikatakan di luar. Tersengih mereka bertemu kembali selipar kesayangan.


Ketiga-tiganya mahu mencium tangan saya. Allah… cepat-cepat saya tarik tangan sambil tersenyum memikirkan ada suatu perkara yang tidak mereka ketahui, “sudah berpasang-pasang saya dan Amirul hilang selipar di sini”.


Tetamu Allah

Kumpulan pertama berkunjung ke rumah kami di Jabal Uhud


Nurul dan suami (Amir) menghantar e-mel untuk berkunjung ke rumah kami. Mereka orang yang pertama. Tahun lepas, saya terus mencatatkannya ke dalam kalendar.


Tahun ini sistemnya berbeza. Saya membalas e-mel dan menyatakan, “sampai sahaja di Madinah, telefon saya. InsyaAllah saya akan maklumkan bila masa dan ketikanya saya akan jemput Nurul ke rumah”.


Pengalaman mengajar saya sesuatu. Ia lebih mudah begitu. Notis sehari-dua mengatasi masalah kelewatan pernebangan, logistik dan perubahan keutamaan jemaah.


“Prof, kami sudah sampai di Madinah”.


“OK, besok malam selepas Isya tunggu kami di parking 11A”.


Kemudian Syukur dan Isteri juga membuat panggilan, “Prof kami sudah sampai di Madinah”. Maka saya memberi jawapan yang serupa. Genap 4 orang yang membenarkan Dodge mengisi penumpang.


Lebih awal, seorang pelajar Madinah yang berkenderaan memohon untuk membawa tetamu ke rumah. Akhirnya mereka berlima.


Beberapa jam sebelum tiba waktunya, kedua pasangan [Nurul dan Amir serta Syukur dan Liza (?)] menghantar SMS dan bertanya, “ada kawan kami ingin turut serta ke rumah prof, boleh tak?”


Maka saya memberi jawapan, “mohon maaf, tidak boleh. Saya sudah mempunyai tetamu lain”.


Allah… Allah… terujanya hati saya menerima kembali tetamu Allah. Lebih gembira lagi kerana dapat menyampaikan sedikit ilmu yang mungkin boleh difikirkan oleh mereka.


“Besok hari Khamis. Mari kita mulakan puasa Isnin-Khamis di sini. Kita belajar bagaimana para Nabi dan Anbiya berpuasa”.


Mudah-mudahan ada di antara mereka yang mahu melakukannya. Allahu Akbar… SubhanaAllah… Kami hanya menyampai dan memberi motivasi, Engkaulah ya Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Buka dan lembutkanlah hati mereka untuk menjadi manusia yang lebih hampir kepadaMu.


Kami mohon keampunanMu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2012 21:35
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.