Puasa Dan Hubungan Antara Agama

PUASA DAN HUBUNGAN ANTARA AGAMA

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Sekarang saya berada dalam bulan terakhir di UK ini. Tempoh fellowship saya akan berakhir dalam bulan Ogos ini. Saya merancang untuk pulang pada awal Ogos. Jadi inshaAllah, saya akan sempat menjalani separuh Ramadan di sini. Ini merupakan pengalaman pertama saya berpuasa Ramadan di UK.


Waktu berpuasa dalam musim summer ini agak panjang. Subuh bermula pada jam 3 pagi dan maghrib pula pada jam 9.15 malam. Hanya enam jam ruang yang ada. Waktu malam begitu pendek. Jika dicampur segala aktiviti; iftar, solat maghrib, isyak, tarawih dan sahur tentu amat sedikit ruangannya. Ditambah lagi dengan masa untuk membaca al-Quran dan ibadah yang lain, maka tentu lebih sempit ruangan masanya.


Namun masa itu relatif. Jika Allah memberkati, waktu yang pendek mempunyai ruang yang luas dan amat bermanfaat. Jika DIA tidak memberkati, waktu yang banyak menjadi sempit dan terbatas. Maka, ada manusia yang panjang umur, tiada hasil yang dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Ada yang pendek umurnya, tetapi mempunyai hasil kerja yang bermanfaat yang banyak.



Pada zahirnya tentulah di Malaysia lebih beruntung kerana ruang ibadah malam itu lebih banyak. Kita mempunyai lebih sepuluh jam waktu malam. Pun begitu, tidaklah semuanya dapat dimanfaatkan dengan baik oleh setiap orang. Bahkan mungkin ada yang waktu yang disia-siakan. Ini mengingatkan kita kepada hadis Nabi s.a.w:


“Dua nikmat yang ramai orang terpedaya; kesihatan dan waktu lapang” (Riwayat al-Bukhari).


 


Amalan Bersejarah


Ramadan menjelang, kita berpuasa. Puasa bukanlah ibadah baru yang bermula sejak kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. Puasa telah wujud sejak zaman berzaman lagi sebelum Nabi Muhammad s.a.w dibangkitkan sebagai rasul. Justeru itu Allah menyebut: (maksudnya)


“Wahai mereka yang beriman! diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”. (Surah al-Baqarah 183).


Ayat ini mengingatkan kita bahawa ibadah ini bukan ibadah baru. Ia satu ibadah yang telah diamalkan dalam syariat nabi-nabi sebelum kita. Mereka sebelum kita telah berpuasa bagi mematuhi arahan Allah.


Ini memberikan kita kesedaran, betapa adanya hubung kait antara agama-agama yang dianuti oleh manusia. Islam mengiktiraf itu semua. Jika Allah mahu, boleh sahaja Allah hanya menyebut ‘diwajibkan kepada kamu puasa’, tanpa disebut ‘seperti mana diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu’. Namun dengan hikmah yang besar Allah mengingatkan hubungan ini bagi mengingatkan kita sejarah agama.


Maka jangan hairan jika kita dapati beberapa persamaan dalam amalan agama antara Yahudi, Kristian dan Islam. Hanya orang yang tidak memahami al-Quran, as-sunnah dan sejarah agama sahaja yang menafikan kewujudan persamaan. Mereka inilah yang cuba menjadikan isu-isu seperti berkongsi panggilan Allah, panggilan nabi dan nama-nama tertentu sebagai isu permusuhan dalam agama. Mereka lupa sejarah yang disebutkan oleh al-Quran di atas.



 


Persamaan


Al-Quran dan as-Sunnah menjadikan isu persamaan ini sebagai penggerak yang memboleh dakwah Islam sampai ataupun lebih mudah difahami oleh mereka yang beragama yahudi dan kristianiti. Maka, layanan untuk mereka lebih istimewa dalam Islam. Dalam surah al-Maidah ayat 5, Allah menghalalkan muslim memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka.


Walaupun ada mazhab yang menyempitkan tafsiran bahawa itu merujuk kepada Ahlil Kitab (People of the book) keturunan tertentu sahaja, namun majoriti ulama berpendapat ia merangkumi semua yahudi dan kristian. Sudah pasti di sana ada ikatan dan syarat tertentu. Apapun, tujuannya untuk mendekatkan mereka dengan dakwah Islam yang mempunyai kesinambungan dari ajaran para nabi sebelum ini.


Disebabkan kelemahan sikap sesetengah umat Islam, nampaknya orang Kristian lebih menggunakan persamaan ini untuk berkempen dakwah mereka dibandingkan orang muslim. Lebih teruk lagi, ada orang muslim yang menggunakan isu persamaan ini untuk menghidupkan suasana tegang dan modal politik. Sepatutnya seperti mana al-Quran dan as-Sunnah ajar muslim, isu persamaan digunakan untuk membawa dan menyampaikan mesej Islam kepada mereka. Nabi Muhammad s.a.w bersabda:


“Para nabi itu saudara dari keluarga yang berbeza. Ibu mereka ramai namun agama mereka satu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Dalam hadis al-Bukhari, apabila Nabi s.a.w berada di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Ashura (hari ke sepuluh Muharram). Baginda bertanya kenapa mereka berpuasa. Mereka menyatakan kerana sejarah perjuangan Nabi Musa a.s. Mendengar alasan tersebut, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Daku ini lebih berhak untuk menghormati Musa dibandingkan mereka” lalu baginda berpuasa dan mengajak umat Islam berpuasa.


 


Ruang


Pendekatan al-Quran dan as-Sunnah adalah mengambil ruang persamaan untuk membawa dan memahamkan penganut agama lain tentang peranan Islam sebagai agama yang terakhir. Mengingatkan bahawa semua nabi itu atas ajaran Allah yang satu. Mereka hakikatnya membawa akidah Islam yang sama, walaupun syariat ataupun peraturan hukum antara mereka ada beberapa perbezaan. Namun banyak juga yang sama. Kesan-kesan persamaan itu terus diwarisi dan tidak boleh dinafikan. Bahkan ada masanya al-Quran memuji agama Kristian dan sikap sesetengah rahib mereka. Firman Allah: (maksudnya)


“..demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak sombong” (Surah al-Maidah: 82).


Islam mengajak kita mengambil ruang untuk meredakan ketegangan dan memudahkan perbincangan. Sementara sesetangah pihak samada Kristian ataupun Muslim, cuba menjadikan persamaan yang ada sebagai titik permusuhan dan ketegangan. Kita patut kembali kepada pendakatan al-Quran dan as-Sunnah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 19, 2012 05:08
No comments have been added yet.


Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog

Mohd. Asri Zainul Abidin
Mohd. Asri Zainul Abidin isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mohd. Asri Zainul Abidin's blog with rss.