Ia umpama Qahwah

Khairul merakamkan saat ini. Apa yang ada di hati hanya Allah sahaja yang Mengetahui....
Bangsa Arab sangat sukar menerima perubahan.
Saya fikir begitu setelah 10 bulan di Madinah. Misalnya soal makanan. Mereka sangat berkira. Malah pandangan awal sesuatu yang diperkenal sangat-sangat mempengaruhi tindakan segera selepas juadah itu tersentuh pada deria rasa.
Raut wajah mereka menyatakan begitu.
Itulah pengalaman saya bersama Sheikh Khalid dan keluarga. Hampir dua minggu saya melayani soal makanan. Secara keseluruhan saya dapat merasakan mereka sukar menerimanya.
Apabila sampai masanya, saya berterus-terang dengan menyatakan,
“Qahwah Arab (kopi) adalah minuman paling teruk yang pernah saya jumpa. Ia minuman yang tidak masuk akal untuk disukai. Kali pertama saya merasainya, mahu saya semburkan keluar. Namun saya bertahan. Saya kawal kerana ia rezeki Allah. Saya bertanya, kenapa orang Arab boleh menyukainya, kenapa tidak saya?
Kali kedua, saya cuba lagi. Minda saya sudah dapat membayangkan rasa yang tidak senonoh itu. Allah.. Allah… rasa itu hilang hampir 50 peratus. Kali ketiga, saya cuba lagi. Allah… Allah hampir hilang rasa buruk tersebut…
Seterusnya… ia jadi sejarah. Di dalamnya ada nikmat yang tidak ternilai”
Allah memberi ilham untuk saya bercakap selancar itu. Lalu saya ambil kesempatan untuk mengaitkan dengan amal-ibadat,
“Orang Arab suka tidur. Kuat tidur. Lalu mereka merasai nikmat tidur. Tidur umpama berlian yang berharga. Islam mengajar kita agar kurang tidur. Tidur sedikit sahaja. Ia kelihatan sukar. Namun jika diasuh seumpama saya belajar minum Qahwah, InsyaAllah akan ada nikmat tidur yang sedikit. Akhirnya, banyak tidur akan menjadikan kita bosan”.
Seminggu yang lepas saya dan Roza berpakat. Kami tidak lagi mempedulikan soal makanan kepada tetamu kami. Saya bisikkan kepada semua yang mengundang atau meraikan kami sekeluarga dan tetamu dengan satu kenyataan, “hidangkan kami dengan makanan yang biasa kita makan, jangan pedulikan samada mereka boleh atau tidak boleh makan”.
Kini – benar - ia seumpama Qahwah. Ia tidak mengambil masa panjang untuk merasai nikmat masakan Malaysia. Malah anak remaja Lara berkata, “saya tidak kisah jika jodoh saya dengan orang Malaysia”.
Ia sangat-sangat bertentangan pada saat-saat awal di sini!
Kenangan

Kami diraikan dengan makan tengahari oleh Dato' Zakee usai majlis pelancaran. Ia tidak termasuk dalam agenda. Terima kasih tuan...

Dahlia, wajahnya secantik namanya. Inilah editor buku-buku Roza di PTS. Beliau menunggu lama untuk berjumpa kami berdua.

Roza memeluk gadis ini bersama titisan airmata....
Breakfast, Makan tengahari dan Dinner

Makan pagi di Kondo Kemuncak. Ia pengalaman baru buat keluarga Khalid
Makan tengahari di Bangi, hubungan yang sentiasa berkekalan, InsyaAllah.

Makan malam di sini....
Semalam, sarapan pagi kami lewat. TV3 melakukan rakaman untuk siri Al-Hidayah. Ingat saya, mereka hanya mahu merakamkan kami sekeluarga makan pagi bersama tetamu. Fokusnya bagaimana keluarga Sheikh Khalid menerima makanan Malaysia.
Ia tidak jadi begitu. Isu-isu lain juga diketengahkan. Ia jadi sesi rakaman yang panjang. Kemudian, kami diraikan oleh Dr Nizam dan keluarga di Bandar Baru Bangi.
Mereka adalah rakan keluarga.
Di sebelah malam kami dihidangkan dengan nasi lemak, mee dan kuih-muih di surau Al-Husna, Seksyen 20 Shah Alam usai menyampaikan kuliah Maghrib.
TV3 turut membuat liputan. Alahai… pastinya ia menjadi kenangan manis buat kami dan jemaah surau ini.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
