ANTARA IMAM MAHADI, IMAM HADI DAN MEMALI

Pada 19 November 1985 pula, 18 orang telah terbunuh dalam kejadian di Kampung Memali Kedah, apabila polis cuba menangkap seorang pemimpin Pas, Ibrahim Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya yang mahu merampas kuasa di negara ini bagi membantu perjuangan partinya.
Sebelum itu pada 7 April 1981, Tuan Guru Haji Hadi Awang (sekarang Presiden Pas), telah memberikan amanat di Kampung Bunggul Peradung Kuala Terengganu, bahawa perjuangan menentang orang-orang Islam yang menentang perjuangan Pas adalah merupakan perjuangan jihad (lihat klip video SIAPA BAPA KAFIR dalam blog ini yang diposkan pada 13 Jun 2012).
Kata Haji Hadi, "Percayalah saudara-saudara perjuangan kita adalah JIHAD, ucapan kita adalah Jihat, kalau kita mati kerana melawan mereka, mati kita mati syahid, maka mati kita mati Islam."
Untuk pengetahun dan faedah generasi baru yang tidak melalui sejarah ini, maka diposkan semula peristiwa serangan "Imam Mahadi" ke atas Balai Polis Batu Pahat untuk dijadikan renungan. Secara kebetulan pada pagi peristiwa itu berlaku, saya sebagai Pengarang akhbar Utusan Malaysia ketika itu sedang melawat pejabat Utusan Johor Baharu. Saya dan Mokhtar Baginda, wartawan Utusan di Johor Baharu telah bekejar mengikuti komboi polis ke Batu Pahat dan tiba tidak lama kemudian di tempat kejadian itu.
Kami melihat mayat-mayat "Imam Mahadi" bergelimpangan di hadapan dan di belakang Balai Polis itu. Ikutilah laporan di bawah ini:-
Kumpulan fanatik Islam mengamuk cederakan 23 orang di Batu Pahat
BALAI POLIS DISERANG:
8 TERBUNUH

Kumpulan penyerang itu berumur antara 21 hingga 60 tahun tertulis di dahi mereka perkataan Allah, Mahadi dan Isa memakai pakaian serba putih termasuk tudung kepala yang menutup sebahagian dari muka mereka.
Pengarang Utusan Malaysia yang tiba di tempat itu telah melihat mayat yang bergelimpangan dengan pedang di sisi mereka. Pakaian mereka itu betul-betul seperti pakaian "Ninja" dalam filem jepun "Samurai." Salah seorang yang ditembak mati adalah pelarian Kampuchea, yang lain-lainnya dipercayai Melayu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Haniff Omar memberitahu satu sidang akhbar yang juga disertai oleh Menteri Besar Johor, Tan Sri Osman Saat bahawa kumpulan itu telah datang dengan dua buah kereta yang mereka rampas sebelumnya, pada kira-kira jam 9.10 pagi.
Satu Kumpulan masuk dari pintu pagar depan dan satu lagi dari pintu pagar belakang. Mereka dengan tiba-tiba mengamuk dan menetak siapa sahaja yang berada dalam ruang depan pejabat polis itu.
Polis membalas serangan itu dengan melepaskan tembakan dan membunuh enam orang dari mereka menyebabkan yang lain-lain melarikan diri.
Tiga dari mayat itu berada di kawasan letak kereta belakang ibu pejabat polis daerah itu, satu berada di depan dan satu lagi di kakilima berek bujang di bahagian belakang juga.
Pasukan polis yang memburu mereka yang lari terus bertempur dengan mereka itu di Kampung Parit Barat, enam batu dari sini menghala ke timur kira-kira jam 1.15 tengah hari.
Dua dari kumpulan itu ditembak mati di sini, empat cedera dan seorang dari mereka dapat ditangkap tanpa sebarang kecederaan. Seorang anggota awam juga turut cedera dalam serangan itu. Terdahulu dari itu pihak polis telah menemuk teksi yang mereka tinggal berhampiran di situ.
Motif serangan itu masih belum diketahui, tetapi Tan Sri Haniff berkata, "Ajaran sesat boleh menyebabkan kita melakukan sesuatu yang melampau."
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Tan Sri Osman Saat telah menyeru rakyat supaya bertenang, jangan gelisah dan bimbang atau mengambil tindakan terburu-buru di dalam perkara ini.
Katanya, dari apa yang berlaku kita akan dapat mencegah keadaan dari berlaku lagi di di masa akan datang.
Beliau juga memberitahu, kesemua mayat kumpulan ajaran sesat itu diserahkan kepada pejabat agama untuk dimandi dan dikapankan mengikut cara Islam dan "akan diserahkan kepada keluarga mereka sekiranya dituntut."

Kumpulan ajaran sesat itu mulai bertindak pagi ini dengan menahan sebuah kereta pakai di Batu 5 Jalan Parit Sulong, Batu Pahat, kira-kira jam 9.15 pagi dengan meletakkan kayu-kayu di tengah jalanraya.
Mereka menarik keluar pemandunya dan menyuruh dua orang lagi wanita supaya keluar. Mereka menaiki kereta itu menuju ke arah Yong Peng.
Beberapa minit kemudian, kumpulan kedua pula telah menahan sebuah teksi yang menuju ke Kuala Lumpur di Batu 80 Jalan Johor Bahru-Muar.
Kumpulan yang lari telah melakukan serangan di ibu pejabat polis Daerah Batu Pahat menyeru Allahu Akhbar beberapa kali dan kemudian singgah pula di mahkamah daerah sambil melaungkan Allahu Akhbar.Sekatan-sekatan jalanraya ketat telah diadakan sepanjang jalanraya menuju ke bandar ini.
Keadaan bandar Penggaram (Batu Pahat) pada keseluruhannya adalah seperti biasa kecuali di jalan-jalan yang berhampiran dengan ibu pejabat polis daerah. Setengah-setengah kedai telah menutup kedai mereka dengan sendirinya.
Titisan darah dapat dilihat di sekitar jalan yang berhampiran dengan ibu pejabat polis daerah itu dan juga dalam kawasannya.
Orang Ramai kelihatan berhimpun di hadapan ibu pejabat polis daerah dan juga hospital daerah kerana keinginan mereka untuk mengetahui apa yang telah berlaku.
Tan Sri Haniff dan timbalannya, Tan Sri Mohd Amin dan lain-lain pegawai kanan polis telah tiba dengan sebuah helikopter TUDM dan turun di padang Majlis Daerah untuk mendengar taklimat tentang kejadian itu selama kira-kira lebih sejam.
Menteri Besar, Tan Sri Osman Saat telah tiba terdahulu telah berkejar dari Johor Bahru sebaik-baik sahaja menerima laporan kejadian itu.
Nama-nama penyerang dan juga kumpulan mereka belum dikenali lagi kerana polis masih menjalankan siasatan tapi, Tan Sri Haniff tidak menafikan tentang penglibatan mereka dengan suatu kumpulan yang dikatakan menjalankan ajaran sesat di beberapa tempat di Kampung Sri Medan dan Parit Sulong sejak Ogos lalu.
Kadi daerah, Sheikh Haji Mokhtaram Sajadi telahpun menyebutkan tentang ajaran ini di satu majlis di sini baru-baru ini. Dua lelaki dari Kampuchea dikatakan mengaku sebagai ulamak mengajaran tersebut.
Sementara itu, Ibu pejabat Polis Bukit Aman Kuala Lumpur telah mengeluarkan satu kenyataan seperti berikut:-
"Kira-kira pada jam 9.10 pagi 16 Oktober, sekumpulan kira-kira 20 orang fanatik Islam Melayu memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat dan menetak kakitangan di bilik kerani besar mencederakan 19 orang termasuk 7 orang awam empat daripadanya berada dalam keadaan tenat.
"Polis menembak mati enam dari penyerang-penyerang itu yang lain-lainnya melarikan diri di kawasan sekitar dan mereka sedang diburu.
Polis mengesyaki bahawa serangan tersebut mungkin terlibat dengan sebuah rencana dalam Berita Harian bertarikh 9.10.1980 mengenai penyiasatan yang dilakukan oleh kadi Batu Pahat tentang ajaran sesat yang disebarkan oleh dua orang pelarian Kampuchea yang telah menetap di Batu Pahat."
Rumah penoreh jadi tempat berlindung
buruan polis
Oleh: Mazlan Sanusi
Batu Pahat 16 Okt. - Rumah seorang penoreh getah di Kampung Jorak Darat, enam batu dari sini telah dijadikan tempat berlindung oleh kumpulan yang lari dari buruan polis setelah mengamuk di ibu pejabat polis daerah di sini pagi ini.
Mereka itu seramai tujuh orng telah memberikan salam sebaik sahaja tiba di rumah itu.
Tuanpunya rumah itu memberitahu sewaktu ditemui "salah seorang dari lelaki itu meminta untuk menumpang sementara bagi mengubati rakan-rakan mereka yang cedera."
Menurutnya lagi, ketibaan mereka itu mengejutkannya kerana ia dan keluarganya sedang tidur selepas makan tengah hari.
Oleh kerana mengesyaki sesuatu, penoreh getah itu telah membuat helah untuk pergi membuang air besar. Beliau sebaliknya telah berkejar ke balai polis untuk membuat laporan mengenai adanya sekumpulan lelaki bersenjata pedang dan pisau di rumahnya. Keluarganya juga kemudian meninggalkan rumah itu dan pergi ke rumah-rumah jiran mereka.
Kumpulan tersebut telah datang dengan sebuah teksi yang pecah cermin belakangnya dipercayai akibat tembakan polis ketika mereka lari dari ibu pejabat polis Daerah Batu Pahat.
Anggota polis tiba di rumah tersebut kemudiannya semua tingkap dan pintunya ditutup rapat.
Mereka tidak menghiraukan amaran polis supaya menyerah diri sebaliknya semua mereka terjun ke tanah dengan memegang pedang lalu menyerang anggota-anggota polis sambil memekik Allahu Akhbar.
Polis terpaksa melepaskan tembakan dan membunuh dua dari mereka dan mencederakan empat orang dan seorang lagi ditawan.
Seorang orang awam mendapat cedera dipercayai akibat peluru sesat. Polis telah menjumpai sebuah teksi berhampiran di situ.
Pemandu ceritakan kumpulan lelaki
"berpakaian ala-arab" merampas keretanya
Oleh: Tukiran Kitam
Batu Pahat, 16 Okt. - Dua orang pemandu hari ini menceritakan bagaimana mereka ditahan dan kenderaan mereka dirampas oleh sekumpulan lelaki "berpakaian Ala-Arab" untuk menyerang Ibu pejabat polis daerah di sini pagi ini.
Seorang pemandu teksi yang sedang membawa 4 penumpang menuju ke Kuala Lumpur menceritakan, ketika sampai di Batu 80 Jalan Johor Bahru - Muar sekumpulan lelaki berpakaian serba putih telah menahannya awal pagi ini.
Menurut pemandu teksi tersebut, lelaki-lelaki itu telah memaksa ia bersama 4 penumpangnya turun dan merampas teksinya. Kemudian mereka memandu kenderaan itu sama ada ke Muar atau bandar Penggaram.
Terdahulu dari itu sekumpulan lelaki dari kumpulan yang sama telah menahan sebuah kereta Mazda 808 di Batu 5, Jalan Parit Sulong, Batu Pahat dan merampasnya untuk digunakan dalam serangan yang sama.
Pemandu tersebut bersama dua orang lagi keluarganya yang sedang dalam perjalanan dari Pulai Ke Kuala Lumpur berkata, dia terpaksa berhenti apabila melihat jalan di situ dihalang oleh batang-batang kayu getah.
Menurutnya lagi, dengan tiba-tiba muncul sekumpulan pemuda Melayu yang berpakaian secara Arab dan bersenjatakan pedang menyerbu ke arahnya lalu merentapnya keluar serta memaksa isteri serta keluarganya keluar dari kereta.
Kelima-lima lelaki itu terus menaiki kereta tersebut dan memandunya menghala ke bandar Batu Pahat.
Beliau bersama keluarganya yang ditinggalkan di tempat kejadian itu bagaimanapun telah diselamatkan oleh pihak polis beberapa minit kemudian.
Kereta kepunyaan telah dijumpai semula dalam kawasan letak kereta itu pejabat polis daerah di sini, setelah ditinggalkan oleh kumpulan yang mengamuk itu.
Sementara teksi yang dirampas pula telah dikesan dan dijumpai oleh pihaik polis kira-kira sebatu dari tempat pertempuran di Kampung Jorak Darat, 6 batu dari sini kira-kira jam 1.15 petang ini.
Published on July 14, 2012 19:08
No comments have been added yet.
Zainuddin Maidin's Blog
- Zainuddin Maidin's profile
- 9 followers
Zainuddin Maidin isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
