AMARAN TEPAT MENDIANG C.C TOO TERHADAP WARISAN PERJUANGAN CHIN PENG



Dalam saat-saat pemimpin PKM, Chin Peng menghadapi hari-hari akhirnya, perlu kita melihat secara ringkas perjuangan gurilanya lebih 40 tahun yang turut didukong oleh nasionalis-nasionalis kiri Melayu yang berhasrat untuk mewujudkan Melayu Raya sebagai kuasa Melayu Nusantara.

Beberapa orang nasionalis Melayu seperti Shamsiah Fakeh, Zainab Baginda, Musa Ahmad, Abu Samah, Ibrahim Cik dan lain-lain, menyertai PKM dalam perjuangan bersenjata di hutan rimba,  tetapi Dr. Burhanuddin, Pak Sako, Ahmad Boestaman dan lain-lain, berjuang di barisan depan dalam beberapa parti politik yang diharamkan semasa pemerintah kolonial British.

Malah selepas kemerdekaanpun, mereka terus tertekan dan pemimpin utama mereka seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestaman dan Ishak Haji Muhammad, dipenjarakan  kerana meneruskan perjuangan untuk menegakkan Melayu Raya.

Tan Sri C.C TooKecuali Rashid Maidin dan Abdullah C.D yang benar-benar berfahaman komunis, tetapi kebanyakan pejuang kiri merupakan nasionalis Melayu, tetapi mereka tidak pernah menampakkan penentangan terbuka  terhadap PKM dan kedua pihak, seperti mempunyai persafahaman dan keyakinan akan dapat terus bekerjasama sekiranya perjuangan mereka menentang British dan Kerajaan Malaya Merdeka yang pro British berjaya.

Mungkin demikianlah juga keyakinan yang tersirat dalam kerjasama antara parti DAP, PAS dan Keadilan di dalam Pakatan Rakyat sekarang, tetapi harus diingatkan, bahawa cita-cita Melayu Raya telah dipatahkan oleh PKM dari sejak baru mula berputik.

Gambaran berikut yang saya cuba berikan secara ringkas bersifat hypothesis dengan memberikan fakta-fakta benar dari kedua pihak, tidak sahaja dari pihak Polis Cawangan Khas Malaya dan Malaysia, tetapi juga dari buku-buku yang ditulis oleh pemimpin-pemimpin  Regement ke 10 sayap Melayu kepada PKM.

Apapun tafsiran yang diberikan kepada  mereka, sama ada sebagai pengganas atau penderhaka atau sebagai gurila pejuang kemerdekaan, tetapi yang tidak dapat dinafikan adalah iltizam dan pengorbanan mereka kepada keyakinan dan perjuangan sehingga sanggup meninggalkan keluarga, sengsara bertahun-tahun dalam hutan rimba, mengalami seksaan dan ancaman maut sepanjang masa.

Pejuang-pejuang kiri Melayu seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Mommad,  Samad Ismail, Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestaman dan ramai orang-orang Utusan Melayu sebelum mogok poiltik  Utusan pada tahun  1961,  meyakini bahawa kuasa Melayu  akan dapat memperkecilkan kuasa Cina di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura, jika perjuangan bersama itu berjaya.
Chin Peng
Ini jelas dari pemikiran Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu, A. Samad Ismail dalam interviunya dengan James Mitchener dalam bab The New Intellectual dalam bukunya The Voice of Asia (1951). Samad menyatakan keyakinan masalah orang Cina komunis akan dapat diatasi dengan tegaknya suatu kuasa baru.

Kuasa baru yang dimaksudkannya ialah Melayu Raya dan demikian juga yang difahami oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew rakan seperjuangan Samad di peringkat awal, dalam buku memoirnya yang menyebabkan beliau mempunyai prasangka kepada Samad.

Tetapi tulisan Rashid Maidin, Pemimpin Regimen ke 10 PKM, dalam buku memorinya  "Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian"  di halaman 20-21 memberikan bukti yang menolak keyakinan Samad itu, kerana menurut Rashid, apabila Jepun menyerah diri kepada pihak Bersekutu, PKM tidak  bersetuju  mengistiharkan kemerdekaan bersama Indonesia sepertimana dilakukan oleh Soekarno.

Cadangan peristiharan kemerdekaan  serentak itu telah dibuat oleh Ibrahim Yaacob kepada PKM.

Kata Rashid, "Malah Ibrahim Yaacob sendiri, Ketua Kesatuan Melayu Muda dan Ketua Keris ketika pendudukan Jepun, pernah mencadangkan kepada Lai Tek, (Setiausaha Agung PKM yang pertama) untuk sama-sama mengisytiharkan kemerdekaan, bersatu menentang kemasukan semula British, masing-masing ada senjata, Ibrahim Yaacob ada senjata peninggalan Jepun dan PKM ada senjata yang dibekalkan oleh British, tetapi saranan Ibrahim Yaacob ditolak oleh Lai Tek dan Ibrahim Yaacob yang terpaksa lari ke Indonesia".

Sekiranya ini dilakukan oleh Lai Tek kerana dia adalah ejen British, maka bagaimana pula sikap Chin Peng ketika Menteri Luar Indonesia, Subandrio yang juga seorang anggota Parti Komunis Indonesia, (PKI) meminta sokongan PKM kepada Konfrantasi Indonesia?

Aloysius Chin, Timbalan Pengarah Cawangan Khas (Operasi), Polis Diraja Malaysia, yang bersara pada tahun 1985, menyatakan dalam bukunya The Communist Party Of Malaya The Inside Story (halaman 115), bahawa Setiausaha Agung PKM, Chin Peng membuat kenyataan dasar PKM menyokong konfrantasi Indonesia hanyalah sekadarkan di bibir sahaja sebagai menghormati Subandrio (ini tentunya berdasarkan maklumat yang jatuh ke tangan Cawangan Khas).

Shamsiah Fakeh"Pada hakikatnya, PKM tidak menyokong kempen ganyang Malaysia yang dianjurkan oleh Indonesia, kerana kejayaannya kelak akan membawa kepada kemungkinan Parti Komunis Indonesia (PKI) berpengaruh di Malaysia dan kemungkinan PKM dikuasai oleh PKI," katanya.

Ini memberikan persepsi bahawa PKM bimbang kepada penguasaan Melayu (PKI) dan bahawa chauvanisme mengatasi ideologi komunis.

Sementara itu, Shamsiah Fakeh yang berjuang bersama PKM dan akhirnya di hantar ke Cina untuk didoktrinasikan dalam tahun 60han dalam bukunya Memoir Shamsiah Fakeh, telah menceritakan bagaimana dia di seksa di China bersama suaminya, setelah dipecat dari PKM di Beijing dan dihukum penjara selama dua tahun kerana tidak cukup beriman dengan komunisme atau  ajaran Mao Tze Tong.

Mereka dihadapkan di depan anggota PKM di Dewan Mahkamah PKM di Beijing, "Kami diikat tangan, ditempeleng, dipaksa membongkok dan mengaku salah. Tukang pukul ialah Barisan Pemuda PKM daripada anak-anak anggota PKM di China (halaman 118).

"Waktu itu, Chin Peng menjadi Ketua Delegasi Jawatankuasa Pusat PKM di China pada tahun 1982. Ini semua berlaku di depan mata Chin Peng," (halaman 116). PKM mempunyai organisasinya di Beijing.

Ternyatalah bahawa  Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu, A. Samad Ismail seorang nasionalis  yang menjadi anggota barisan depan komunis di Singapore ABL (Anti British League) juga meleset dari ramalannya  yang dinyatakan kepada James Mitchener bahawa  "Some of the Chinese are comunists yes, but they are of no significance. I choose to believe that the Chinese we have will not follow communism but will instead become a part of a new Malay nation. Their interest is with us and not with China."

Apakah yang dimaksudkan oleh Samad dengan new Malay Nation? tentunya Melayu Raya.

Sebenarnya, kerjasama antara Pakatan Rakyat yang terdiri dari Pas, Parti Keadilan dan DAP yang mahu menukarkan perlembagaan negara, adalah hampir menyerupai konsep kerjasama antara PKM dan parti-parti kiri Melayu dan nasionalis-nasionalis Melayu termasuk Utusan Melayu sendiri yang mahu menukarkan Perlembagan Persekutuan kepada Parlembagaan Rakyat yang bermula dari sejak akhir tahun 40han.

Anwar Ibrahim sendiri mempunyai sejarah perjuangan yang kekirian dari sejak alam universitinya lagi yang menyerlah dalam cara tindakan revolusioner yang  menjadikan pembohongan sebagai budaya. Umpamanya dalam tahun 1974 negara di gemparkan oleh  tunjuk perasaan  penoreh penoreh getah  di Baling kerana ada penoreh mati kebuluran. Tunjuk perasaan ini didalangi oleh ABIM.

Saya sendiri sebagai wartawan Utusan telah dikejarkan ke Baling untuk menyiasat berita ini, tetapi setelah menjalankan siasatan menyeluruh dari kalangan Polis, Doktor, Penghulu dan termasuk penduduk di Wing, kampung di mana kematian itu dikatakan berlaku, ternyata cerita ini tidak berasas langsung.

Sebaik sahaja dipecat dari UMNO, Anwar  bertindak seperti kilat melancarkan demonstrasi jalanan yang tidak putus-putus menggegarkan tanah air dalam pelbagai gambaran perjuangan rakyat yang dijangka akan semakin hebat apabila mendekati pilihanraya.

Sebenarnya, ramai pemimpin Pas yang tidak percaya kepada Anwar, tetapi matlamat menghalalkan cara. Pas mempunyai keyakinan jika berjaya menduduki Putaraya, ia akan dapat menguasai Anwar atau Keadilan. Tetapi apakah Keadilan akan bersama dengan Pas dalam percaturan selepas Pilihanraya?.

Barangkali Pas yang pernah menyokong konfrantasi Indonesia di bawah pimpinan nasionalis-nasionalis Melayu untuk menjayakan gagasan Melayu Raya, sekarang di bawah pimpinan ulama, percaya sebuah negara Islam baru bersama dengan DAP dan Parti Keadilan akan dapat ditubuhkan selepas Pilihanraya Umum ke 13.

Hal ini tidak mustahil boleh menjadi realiti kerana DAP tidak akan mengikuti langkah PKM yang menentang Melayu Raya, kerana DAP mempunyai keyakinan kepada liberalisme ulama Pas yang terbukti dengan penerimaan Pas terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim yang  mempunyai masalah moral dan lain-lain sikap tolak ansur Pas mengenai agama.

Jika sekarang dapat berkerjasama dan membenamkan perbezaan prinsip masing-masing demi untuk menuju ke arah kuasa,  maka apatahlagi selepas pilihanraya, demi untuk mengekalkan kuasa.

Kabinet bayangan Pemerintah Republik Rakyat Malaysia di bawah Pakatan Rakyat yang paling mantap, ialah Haji Abdul  Hadi Awang sebagai Presiden, Lim Kit Siang Perdana Menteri dan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Berbagai Agama.

Adalah tepat sekali ramalan Ketua Perang Sarap Negara (1956-1983) mendiang Tan Sri C.C. Too, bahawa "CPM(PKM) was merely "temporarily suspending" its armed struggle,but through infiltration and subversion  with the help of communist surrogates would create a " new revolutionary  situatian" which would be expedited and aggravated by any future economic recession in the country.


"History is likely to repeat itself unless timely and positive action are taken to prevent any recurrence" (The CPM The Inside Story  Aloysius Chin halaman 248).

Tetapi sekarang pertolongan bukan lagi datang dari suatu sumber, tetapi dari berbagai-bagai sumber, namun matlamat perjuangan anasir-anasir ini tetap satu. Cuma yang masih menjadi tembok kekuatan sekarang ialah ekonomi, tetapi gangsterism sedang mengikis kepercayaan rakyat dan luar negara setiap hari.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 25, 2012 08:13
No comments have been added yet.


Zainuddin Maidin's Blog

Zainuddin Maidin
Zainuddin Maidin isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Zainuddin Maidin's blog with rss.