.: dalam satu rasa [7]

“SEKRETARI aku?” Terkebil sekejap Rasyad dengar syarat yang diletak Vincent. Bunyi macam hilang akal pun ada. Ada wayar longgar gamaknya kawannya ini. Sudah! Hilang pula pengarah bahagian operasi Astana yang paling bagus dan diyakini dia akan tambah-tambah bagus.

“Yup!” Tenang Vincent menjawab sambil bersandar santai pada kerusi berhadapan dengan Rasyad, di bilik lelaki itu. Mata pula tetap memandang dada kertas pada fail di tangan. “Kalau kau nak aku ke Johor tu… aku nak peneman. Teman sepanjang jalan dan teman buat kerja.”

“But why mine? You do have yours, right? Muda belia lagi. Cantik dan seksi.” Rasyad sengaja jongket sebelah kening.

Bukan Rasyad tak kenal dengan setiausaha Vincent. Setiausaha paling muda di Astana. Dan setiausaha paling cantik lagi seksi juga glamor. Atas tiket itu, gadis itu rasa diri itu sepatutnya jadi setiausaha Rasyad dan setiausaha Rasyad layak dicanang sebagai andartu kerana Subashini setiausaha paling tua dan paling lama di Astana. Bukan gadis itu hendak nampak pengalaman yang seiring dengan semua itu pada Subashini. Dasar!

“I do like her works. Bersungguh, tak main-main. Tapi aku tak suka lain daripada tu…” Vincent buat biasa. Masih belek fail.

“Kau pergi sana untuk kerja, kan? Jadi, kalau perlu, bawak sekretari kau dan jangan kacau sekretari aku.”

“Apa salahnya…? Setiausaha aku tu nak sangat merasa jadi setiausaha kau. Untuk dua hari tu, apa salahnya…” Vincent letak fail di atas meja sudahnya, angkat muka dan pandang paras Rasyad yang semacam tengok dia. Faham sangat Vincent.

Masuk bab Subashini, gadis berketurunan India yang Rasyad selesa dan mesra panggil Suba itu, memanglah jangan buat main. Subashini adalah setiausaha pertama Rasyad dan satu-satunya sekretari selama Rasyad di Astana. Bermula dari tangga bawah sebagaimana Rasyad, Subashini terus ikut naik. Sampai akhirnya kini menjadi setiausaha kepada Pengarah Urusan Astana. Hubungan Rasyad dengan Subashini baik sebagai majikan dengan pekerja. Namun hal peribadi, hal luar ofis, itu hal Rasyad tak kongsi walaupun dengan setiausaha sendiri. Tapi sebagai majikan, Rasyad sangat menjaga kebajikan Subanya itu.

“I know your type, Vincent. And she’s not. She’s the marriageable type. The one you always try not to be involved with. So, please don’t…” pinta Rasyad lembut, ada mengharap, terselit mengugut.

Tahu sangat dan jelas sangat Rasyad pada setiap pandangan dan renungan Vincent apabila terpandang atau berpapasan dengan Subashini semenjak dulu. Kadang, tak segan-segan Vincent bilang geram dengan lenggok Subashini. Vincent memang sudah lama hendak mendekati Subashini, namun mengenangkan Subashini yang agak konservatif pemikirannya, walaupun dilihat gaya pakaiannya nampak moden dan gemar bergaya, Vincent matikan niat awal dulu. Niat awal hampir 10 tahun yang dulu.

Vincent senyum tipis. Tak pekak lagi untuk menangkap ayat makan saman yang Rasyad hendak dia telan walaupun ia nyata. Kenyataannya, Subashini bukan spesies dia suka nak dekat. Subashini dalam golongan wanita dia selalu elak daripada nak ada apa-apa hubungan. Too clingy. Itulah alasannya kepada Rasyad. Sedang Rasyad sedas kemukakan kenyataan kepadanya. Bahawa dia, Vincent Goh, seorang lelaki yang penakut. Sebab itulah Vincent mengelak daripada terlibat dengan perempuan seperti Subashini. Too clingy comes with commitment. Dan, memberi komitmenlah yang paling Vincent takut.

“Mungkin selera aku dah berubah. Wanna be commited with the too clingy type. The marriageable type.” Vincent bersuara, masih senyum.

Rasyad terus pandang Vincent yang tidak kalih mata daripadanya. Membalas, memberitahu. Berani menentang mata begitu maknanya Vincent tidak main kata. Vincent ada rasa-rasa. Vincent bukan omong biasa. “Apa yang Suba nak tolong kau kat sana?”

“Tolong…” Diam, angkat-angkat kening, sengih nakal, dalam makna.

Rasyad pandang semacam.

“Haisy… Jangan risaulah. Macam mana aku bawak pergi, macam tu aku bawak balik. Tak cacat mana pun. Janji.”

Memandang menilik sekejap, Rasyad tekan interkom. “Suba, come inside please.”

“Okey, Encik Rasyad.”

Rasyad jadi tersenyum pula lihat Vincent di depannya tiba-tiba sengih sampai ke telinga. Ada suka dan girang anak kecil pada senyum itu. Sesuatu yang dia atau Vincent semakin hilang semenjak tambah naik usia dan lihat pelbagai macam hal serta melalui macam-macam perkara. Naif yang mereka pernah ada pada usia muda belia telah hilang bersama naiknya angka usia. Namun kini, naif itu ada dalam senyum Vincent, selain nakal.

Namun senyum naif lagi nakal itu hilang dari bunga bibir Vincent, pemuda Cina yang entah bagaimana boleh menjadi rakan baiknya, sebaik sahaja pintu bilik itu dibuka dan Subashini melangkah masuk. Subashini mengatur kaki tenang, berdiri di belakang kerusi kosong di depan Rasyad. Rasyad pandang gelagat Subashini, jelas cuba hendak buat tak nampak Vincent. Sedang Vincent… amboi, serupa nak terkeluar mata tengok Subashini.

Walau rasa lucu, Rasyad simpan senyum dan pandang Subashini yang diam berdiri menunggu cakap-cakapnya. “Encik Vincent akan turun tapak projek kita di Johor dan awak ikut dia.”

Subashini terkejut sampai tersedu.

Rasydan senyum, masih hendak jaga hati setiausahanya itu. Tapi Vincent, selambak bantai gelak.

Subashini yang terkesan dengan ketawa kurang diajar Vincent, berdiri elok dan tegak saja pandang Rasyad. Sikit pun tak sudi hendak tengok Vincent. “Kenapa saya perlu ikut, Encik Rasyad?”

“I perlukan you. Sebab tu…” ujar Vincent sehabis ketawa. Kemudian dia sengih-sengih apabila Subashini kalih kepala sekejap ke arahnya, terkejut amat.

Subashini ketap bibir, pandang Rasyad. “Encik Rasyad, saya…” Subashini menelan air liur. Kesat.

“Ah, Rasyad, kau dah jumpa 007 kita?”

Pertanyaan tiba-tiba Vincent itu buat Rasyad keliru dan sentak. Tidak sangka akan dilanjutkan soal 007 yang kononnya jadi spy di dalam Astana, pemberi maklumat tulus lagi tidak telus kepada mamanya. Kononnya orientasinya bukan macam lelaki biasa. Bukan lelaki itu, tapi jenis lelaki ini.

Sebab sentak dan mata cepat ke muka Vincent yang sedang pandangnya, Rasyad terlepas apa yang melukisi dan melintasi wajah Subashini. Untuk seketika saja, secepat Subashini mengawal rautnya semula.

“Mmm… saya ikut apa Encik Rasyad nak. Saya keluar dulu,” kata Subashini tak sempat-sempat meluru keluar dari bilik tersebut.

Rasyad menganga kali kedua. Kemudian cepat-cepat pandang Vincent semula. “What’s going on?”

Vincent kerdip mata, terus bangun. “Jumpa lunch nanti. Bye.”

Vincent pula laju-laju tinggalkan Rasyad, yang menganga-nganga tak percaya, tengok saja pintu biliknya dibuka dan kembali ke tempatnya semula.

*****

SUBASHINI yang baru hendak letak punggung semula ke tempat duduknya, hampir terbalik ke belakang sebab terkejut apabila Vincent laju-laju menjengul keluar dari bilik Rasyad dan terus bergerak ke arahnya. Yakin jitu tanpa agak-agak. Berkat tangan cepat paut mejanya, yang letak duduknya di sebelah kanan bilik bosnya, Subashini berjaya selamatkan diri daripada aksi kuak lentang berskirt. Sahlah dia juara bertahan kalau jadi tadinya.

Subashini buat-buat tak ada apa apabila Vincent hampir ke mejanya, letak tangan kanan dan kiri di atas meja lalu menunduk tubuh dekat dengan wajahnya yang menunduk, pura-pura sibuk. Tidak mahu isi pejabat lain yang masih tidak perasankan apa-apa jadi perasan. Dia tidak suka jadi bahan cerita ofis itu, lagi!

“Why are you shying away from me now?” tanya Vincent menghampirkan bibir dekat dengan kuping Subashini yang jelas nampak. Telinga yang punya satu tindik di atasnya, sebelah kiri. Itu saja.

“Go away! Saya tak suka jadi bahan dalam Astana lagi. Saya bukan peran, Encik Vincent.”

“Peran? Apa tu?”

Subashini angkat muka sedikit. “Setiap cerita kena ada pelawak. Tulah gunanya peran. Bahan lawak, bahan kata. Kalau Encik Vincent kat sini… nanti apa pulak setiausaha Encik Vin…”

“I tak peduli dia. Apa hal you nak peduli?”

“Sebab saya tak suka jadi bahan peduli orang lain. Dan, jangan kacau saya!”

“Aaa… jangan, jangan. Ingat rahsia you tu… 007.” Vincent selamba kenyit mata. “Dahlah salah maklumat…” Kali ini matanya tunak saja ke mata bulat Subashini yang jadi lebih bulat.

Gamam Subashini membuatkan Vincent tangkas bergerak ke bahagian sana, di balik meja yang diduduki Subashini. Tak agak-agak, terus dia paut kedua-dua pergelangan tangan Subashini, menarik wajah itu ke wajahnya.

Mata bulat Subashini dua kali bulat dengan adegan tak malu Vincent, sekali lagi.

“Jumpa lagi…” ujar Vincent dan kali ini hidung mancung Subashini jadi tempat bibirnya mendarat. Terus diluruskan tubuh, berdiri elok, membetulkan kota pada tubuh lalu terus berjalan sambil bersiul kecil. Suka, ceria.

Sedang Subashini masih belum hilang kejut. Kalau tadi tubuhnya tertarik ke depan bahana sasa sentuhan Vincent, kali ini dengan sendirinya tubuhnya tergelongsor ke depan, terduduk di bawah meja dengan kedua-dua tangan pada pipi. Walaupun dia hitam manis, walaupun kulitnya tidak secerah Vincent, tapi mukanya tahu menghangat juga apabila ditimpa perasaan dalam keadaan penuh perasan begini.

Vincent sudah gila dan sedang berusaha gilakan diakah? Balas dendam atas maklumat salah 007 dia kepada Datin Suraiyah ke? Sebab dia gila sangka Vincent dan bosnya ada ‘hubungan’, maka Vincent sedang cuba buat dia gila dalam membuktikan? Ah… kalau terus kena proses dera begini, memang sahlah dia akan gila. Mentally challenged due to being harassed. Ah, akan gilalah dia! Tampoi satu!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 06, 2012 09:30
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.