.: princess [1] :.

“HOI!”

Izam yang sedang asyik membaca sejak tadi berpaling ke arah adiknya. Majalah yang hampir terpelanting dari tangan cepat sahaja ditangkap semula. Lalu diletak di atas paha sambil mengurut dada dan sesekali menampar kiri dadanya. Pujuk jantung supaya diam elok semula. Tak duk-dak, duk-dak terus.

“Izat… terkejut abang tau. Kalau ada heart-attack, sahih gol!” Dia terus mengurut dada seraya menggeleng-geleng tahan rasa peranjat. Mujur adik aku, kalau adik orang, dah lama kena sekeh!

Izat sengih. Terus saja dia melangkah masuk ke bilik abangnya itu walaupun tidak dipelawa. Sebab Izam memang jenis tak akan pelawa dia. Sebab Izam tahu dia reti nak pelawa diri sendiri.

Terus Izat mendekati Izam yang duduk di kerusi meja studi. Meja studi yang dulunya Izam guna waktu studi, kini masih menghuni bilik itu. Meja studi yang Izam tak hendak buang walaupun mummy tawarkan meja baru untuknya. Meja yang lebih up to-date kata mummy, malah mummy tawarkan nak keluarkan duit sendiri. Izam tak payah bayar satu sen pun. Abangnya itu tetap tak hendak. Sebaliknya lebih selesa dengan meja buatan kayu yang entah jenis apa itu. Sebab dia sudah lupa walaupun sudah sepuluh kali dia soal mummy dan sembilan kali mummy jawab. Sebab jawapan ke sepuluh mummy beri dia sehelai kertas untuk jadikan nota penting apabila dia terasa-rasa hendak tanya lagi!

Izam pula menyambung kembali pembacaannya yang terhenti seketika tadi. Tak layan adiknya yang sudah jemput diri, masuk ke bilik tidurnya dan duduk di birai katilnya.

“Amboi… asyik nampak? Apa yang abang baca?”

“Ini!” Izam menghulur artikel di dalam majalah yang dibacanya. Geram apabila diganggu terus. Mulut Izat dengan diam, tak pernah kamceng. Macam cas yang sama. Kalau nak didekatkan, paksa bagai nak rak pun, tak adanya hendak.

Izat bangun, kemudian capai majalah tersebut. Berdiri terus dekat meja studi sayang separuh mati Izam, dia mula membaca. Hanya tajuk. “Kahwin lari?”

“Yup…” Izam angguk.

“Hei, ada apa-apa ke…?” Izat tertilik-tilik. Setiap sudut muka kacak lagi tampan abangnya itu jadi bahan mata. Muka yang masih tak dapat tandingi dia. Ceh!

“Takkan baca pun salah?” Izam membetulkan letak punggung dengan aksi jongket kening The Rock. Bukan what the rock is cooking dah, tapi Izat kena masak! Stim hidup-hidup!

“Manalah tahu kalau abang nak…” Izat ketawa mengekek tanpa menyudahkan kata-katanya.

“Kepala otak engkau! Abang debik baru tau!” marah Izam. Pelik mamat ni. Tak pasal-pasal aku pulak kena. Takkanlah baca pun salah. Tapi otak adik aku, mana pernah berjaya diselam orang. Semua lemas dalam perjalanan. Berlambak tol!

“Alah… takkan itu pun nak marah?” ujar Izat bersuara lembut. Abangnya didekati. Tangan main sentuh dan raba bahu serta belakang tubuh lelaki yang dua sentimeter lebih tinggi daripadanya itu.

Isy, ini yang buat aku panik! Lembut sangat ni!

“Hai, sudah… sudah… Meremang bulu roma abang.” Izam terus bangun mendadak dari kerusi, yang memang sudah bertukar beberapa kali. Kemudian menggeliat kegelian.

Izat sengih lagi. Dia tahu abangnya tidak marahkannya. Saja gatal buat-buat marah. Dia letak majalah dengan topik kahwin lari itu di atas meja abangnya. Meja yang penuh tersusun dengan buku tebal berkaitan bidang kedoktoran, bersandar pada dinding.

“Jadi, bila abang nak mula kerja?” Izat menukar topik perbualan, terus kembali ke katil Izam dan melabuh punggung. Bukan di birai katil lagi, sebaliknya terus angkat kaki duduk bersila elok. Macam dijemput makan lagaknya.

“Esok… Ha, yang Izat tanya-tanya abang ni, hari ni tak kerja ke? Curi tulang yek!”

“Hei, cik abang, hari ni hari minggulah. Takkan nak pergi kerja jugak! Izat bukan doktorlah. Abang tu yang doktor. Izat ni kerja ofis. 9.00 am to 6.00 pm, Monday to Friday only.”

“Aaa… betul jugak. Abang terlupalah.” Izam melurut belakang rambut, sembunyi malu, tunjuk gigi. Kemudian capai kerusi meja studi lalu duduk semula.

“Teringatkan siapa sampai terlupa? Aiza ya…?”

“Jangan nak mengarutlah,” sangkal Izam. Mula kalut letak punggungnya pada kerusi. Tukar sini, ubah sana.

Izat tersenyum. “Abang ingat Izat tak tahu ke? Izat tahulah abang ada hati dengan si Aiza tu.” Dia masih terus mengusik. Sebab dia tak tahu kosong. Tahu ada isi. Dengan mata sendiri dia nampak adegan dalam hati ada taman abangnya itu. Siaran langsung lagi!

“Tak adalah… Izat aje yang perasan tak.” Izam masih menyangkal sedang dalam hati… ya, ya, ya!

“Baik abang bertindak cepat-cepat. Nanti disambar dek orang baru tahu.” Sengaja Izat menakut-nakutkan.

“Hah, ada orang tengah cuba nak sambar ke? Tapi, tapi… abang mana tau benda-benda ni semua,” ujar Izam mula gabra dalam takut. Siap buat pengakuan mengenai kurang kemampuan diri.

Hakikat. Memang kalau bab hendak memikat dia lemah sikit. Sikit? Tak, rasanya lebih daripada sikit. Banyak. Tapi kalau Izat… ha, dia memang expert. Susah nak terlepas daripada jeratnya. Sampaikan ketika mereka masih di sekolah menengah dulu ramai yang tidak percaya bahawa dia dan Izat adalah adik dan abang. Tapi kalau dah seorang nama Mohd Izat Effy dan seorang lagi Mohd Izam Effy, takkanlah tak percaya lagi. Angguklah terima dengan muka saya-macam-tak-percaya-jugalah.

“Ha… mengaku pun!” Bertenggek ke depan katil Izat dek seronok melampau. Terjerat juga akhirnya!

Izam senyum mengenangkan kebodohan sendiri. Sekarang kan Izat dah tau? Alamak, malunya! Kena sorok muka dalam peti ais ni!

“Abang taklah sekacak Izat. Izat lainlah… mat bunga, bukan abang. Kut bunga manggar adalah.”

Izat sengih merenung abangnya. Nak dikatakan tak kacak, kacak. Kalah jugalah Tom Cruise kalau letak sebelah. Cuma… mungkin sebab abang tak sepakar aku. Hehehe!

“Itulah… abang sepatutnya bersyukur sebab ada adik macam Izat. Tak susah nak cari orang bagi idea bernas untuk mengurat. Abang jangan risau… Izat akan tolong abang. Dia pasti milik abang!” Izat unjuk-unjuk ibu jari tangan yang menegak.

“Boys, turunlah. Kita makan sekali,” pekik Puan Zefrina dari bawah, dari dapur.

Mematikan terus mulut Izat yang baru dibuka untuk sesi menurunkan ilmu bunga-bungaan. Tak nak taman dalam hati abangnya rosak tanpa bunga yang segar. Sia-sia saja dalam hati ada taman kalau begitu!

“Jom, mummy dah buat adegan Panggilan Pulau.” Izam susun majalah elok di tempatnya. Tidak suka kalau meja studinya yang sudah naik pangkat ke meja kerja ada isi kalau dia tidak mengisi tempat itu. Selalu memang kosong dengan susunan buku tebal dan majalah rapat pada dinding.

“Alah, mummy ni kacaulah! Izat baru mula nak ajar abang cara-cara nak memikat. Baru nak perturun ilmu. Huh, ada saja yang nak kacau,” omel Izat mengherot-herotkan mulut.

“Tak apalah, Izat. Terima kasih sebab sudi nak tolong abang. Terima kasihlah sebab nak perturun ilmu-ilmu memikat Izat tu. Kali ni biar abang pikat dia dengan cara abang sendiri. Okey, kan?” Izam menolak dengan sengihan.

Dia pernah guna ilmu pikat Izat. Dan, memang Izam berjaya memikat gadis yang dia mahu itu. Malahan mereka pernah bersama, bercinta. Cumanya, dia tidak pernah rasa gadis itu mencintai dia yang sebenar. Sebaliknya mencintai pemuda yang dicipta Izat demi mendapatkannya. Akhirnya, Izam berlalu daripada hubungan itu apabila dia tidak pernah berjaya puaskan hati gadis tersebut sebagai diri sendiri. Izam yang betul dan bukan Izam ciptaan Izat.

Kali ini, Izam tidak mahu begitu. Dia mahu jadi Izam, dirinya sendiri, dalam mendekati Aiza. Bukan lagi Izam ciptaan Izat. Kerana, dia tidak mahu berlalu daripada hubungan yang bakal diciptanya bersama Aiza nanti. Dia mahu ia kekal. Seumur hayat. Kalau ada rezeki dan andai itulah jodoh.

“Abang pasti?” Izat masih tidak puas hati. Baru saja nak mula perturun ilmu, ada yang mengganggu. Dah tu, abangnya pula tak nak!

“Boys!”

“Ya, abang teramat pasti. Jomlah… Mummy tengah tunggu kita kat bawah tu. Karang lagi panjang bebelan dia,” ajak Izam seraya berlalu. Tak sanggup dia hendak dengar bebelan mummy itu. Boleh nipis kuping mendengar.

Izat angkat bahu sambil melihat abangnya yang berlalu itu. Lantak abanglah kalau tak nak. Jangan menyesal sudah. Setakat ni belum ada gadis yang menolak cinta aku. Ada juga yang separuh nyawa tergila-gilakan aku. Dia senyum mengingatkan zaman persekolahannya dahulu. Zaman penuh jiwa-jiwa.

*****

“APA nak jadi dengan kamu ni, Izat? Teruk mummy pujuk budak-budak perempuan tu, tau tak! Kalau ya pun, satu sudahlah. Ini, rembat sampai lima orang sekali gus tu buat apa? Muat pulak pinggang tak besar mana tu…” Puan Zefrina menggeleng-geleng. Kamu lebih hebat daripada papa kamu! Tapi… kerana kehebatan papa kamu jugalah mummy tertawan.

“Bukan salah Izat, mummy. Dia orang tu yang tergila-gilakan Izat. Izat nak buat apa?”

“Yalah… Tapi kenapa sampai ada yang menangis-nangis, meraung-raung macam orang kena histeria?”

“Entah… mana Izat tahu.” Izat cebik. Selamba itu motonya!

“Izat nak makan tak?” pekik Puan Zefrina.

Tapi yang pasti, aku masih hebat hingga kini. Kesian aku tengok perempuan-perempuan tu. Tapi salah dia orang jugak. Tuhan beri akal suruh fikir… tak nak guna. Bodoh. Mudah sangat percaya pada cinta yang baru diucap! Tambah yang diucap dengan tak seikhlas hati!

“Izat! Kamu dengar apa mummy cakap tak?!” pekik Puan Zefrina lantang. Tahap anak tekak boleh jatuh keluar dan terus lari. Tak tahan!

Izat yang sedang mengelamun tersentak. Terkejut gaban sekejap sampai nak pelanting jatuh dari katil. Mujur sebelah kaki sempat parkir. Aiseh… mummy marah tu! Nahas aku kalau tak turun.

“Mummy, Izat datanglah ni!” Izat pantas lompat turun dari katil dan berlari ke bawah. Terus ke ruang makan. Gerun punya pasal.

Di ruang makan, Izam dan Encik Shafei sudah siap menunggu dengan senyum. Lucu dengan gelagat Izat lari pegang kain pelekat gaya baru kena sunat.

“Ya Allah… kenapa dengan kamu ni, Izat? Berapa kali mummy kena panggil baru nak turun makan?” soal Puan Zefrina setelah terpandangkan anak terunanya.

“Sorry, mummy.” Izat sengih seraya capai kerusi di sebelah Izam, terus letak punggung.

“Hmm, yalah… Makan,” arah Puan Zefrina melihat anak terunanya itu yang tersengih seperti kerang busuk.

Izat menyenduk nasi ke dalam pinggan. Dia makan dengan lahap sekali. Begitu juga dengan Izam.

Puan Zefrina sekadar geleng kepala melihat telatah kedua-dua anak terunanya. Anak terunanya yang dua orang ini memang tidak boleh berenggang, walaupun sekali-sekala gemar bertekak. Adatlah tu… air dicincang tidak akan putus! Kalau bergaduh pun sekejap saja.

Sudah hampir dua tahun kedua beradik itu tidak bertemu kerana Izam bertugas sebagai seorang doktor di salah sebuah hospital di Pulau Pinang. Kini, Izam telah berjaya menempatkan diri di hospital di sini dan akan melapor diri esok. Syukurlah kedua-dua anaknya itu sudah bersama. Riuh-rendahlah nanti suasana rumah teres dua tingkat yang didiami mereka empat beranak.

Sempat Puan Zefrina mengerling suaminya, berkongsi senyum kemudian melihat semula dua anak bujangnya makan. Suka melihat. Lapang hati dan dada.

Dan Encik Shafei tidak menegur kerana sudah biasa dengan keadaan itu. Terpisah dengan anak, begitulah isterinya untuk lima hari. Kemudian, tahulah isterinya hendak makan dulu sebelum anak. Terus makan, sempat lagi Encik Shafei menyengih.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 04, 2012 13:30
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.