.: dalam satu rasa [6]

Bilik Zahirah yang selama ini kemas, mejanya yang sebelum ini rapi, kini mula dihiasi dengan kertas putih malahan ada juga buku-buku serta kepingan-kepingan foto. Mungkin dia rasa privasinya di bilik ini dikacau, namun Zahirah relakannya sahaja kerana yang mengganggunya bukan orang luar. Adik bongsunya yang memang dikenali dengan sikap aci campak saja setiap barangnya. Yang pelik, Mahirah masih mampu mencari apa yang dikehendaki, walau di ceruk mana pun ia dicampak. Tetap akan ditemui. Ada GPS dalam badan gamaknya adiknya ini. GPS cari barang!
“How was it?” tanya Zahirah sudahnya. Bukan mahukan jawapan sangat pun, kerana setakat ini dia sudah tahu hampir keseluruhan kes Farina.
Mahirah sering berkongsi dengannya dan Zafifah. Adiknya bukan jenis bodoh sombong. Jika tidak reti, jika tidak tahu, akan disoal sehingga punya jawapan yang memuaskan hati demi memastikan apa yang diletakkan di bahunya digalasi dengan baik hingga ke akhir masanya.
“Okey. Masih okey.” Mahirah mengangguk sendiri lalu membawa sehelai kertas di tangan lebih dekat ke muka. Dahinya sedikit berkerut.
Hmm, nampaknya aku tak akan dapat apa-apa sapaan mesra daripada minah ni. Semenjak mula bergelumang dengan bidang baru ini, walaupun baru empat hari, Mahirah benar-benar serius dengan tugasnya. Terlalu serius rasanya. Selama ini dia pernah berdepan dengan ramai penyiasat-penyiasat mereka. Rasanya mereka masih boleh bermuka ceria di balik setiap tugasan, walau diakui ada kalanya nampak stres. Namun masih boleh senyum dan menggiat mesra. Tapi bukan dialah mangsa mereka.
Dia, Zahirah, adik kepada pengurus Agensi 3SAI, dikenali oleh setiap staf di sini sebagai gadis yang pendiam dan penyepi. Sukar mengukir senyuman apatah lagi ketawa. Pendek kata, dia seorang gadis yang susah didekati, dimesrai. Unapproachable. Bukan seperti alongnya yang masih mengehadkan kemesraan namun bijak mengadaptasikan diri dengan keadaan dan suasana. Apbila perlu bermesra dengan orang ramai, Zafifah mampu lakukannya. Apabila perlu sama-sama rasai kesedihan, nyata Zafifah boleh membawa diri ke dalamnya.
Mahirah pula paling mesra antara mereka. Suka tersenyum, suka mengusik dan gemar sekali berkawan. Siapa sahaja yang ada di sekelilingnya, bersamanya, akan merasa gembira. Mahirah hanya tahu buat orang ketawa dan menceriakan apa sahaja suasana.
Sedang dia…
Dia bukan Zafifah, apatah lagi Mahirah. Dia Zahirah yang senang dan selesa dengan dirinya. Dia suka bersendirian sebegini. Kerana takkan ada yang mengganggu dia dan setiap kerja-kerjanya. Dia sering dibiarkan sendirian dengan semua itu. Jika perlu didepani pun oleh stafnya, selalunya hanya seorang wakil yang akan dihantar. Salmiha.
Hanya Salmiha yang tidak rasa gentar atau tidak selesa dengan wajah masam atau serius miliknya. Pembantu kakaknya itu nyata boleh melihat di balik permukaan—apa yang ditonjolkannya selama ini. Mungkin kerana baiknya hubungan Salmiha, yang muda setahun daripada Zafifah, malah merupakan antara staf terawal Agensi 3SAI, gadis itu boleh mengenali dasar dirinya, yang tidak pernah tertonjol selama ini. Kenal Zahirah di balik wajah tanpa segarit senyum atau roman serius yang ditampilkan.
Zahirah sendiri selesa dengan Salmiha, namun tidaklah sampai begitu mesra dan baik dengannya. Cukup syarat sahaja. Mungkin dia tidak bijak bergaul dengan orang luar, selain kakak dan adiknya, juga satu-satu anak kecil di rumahnya. Semenjak bersekolah dan sampai ke universiti, dia dikenali sebagai gadis yang pelik. Suka menyendiri dan gemar berdiam diri dalam apa keadaan pun. Tidak juga pernah menjadi perhatian kerana wajah yang tidak pernah menonjol.
Dia tidak cantik, namun bukan hodoh. Dia mampu jadi cantik jika dia mahu kerana dia mewarisi keindahan paras arwah ibu, yang turut ada pada Zafifah dan Mahirah. Namun dia tidak pernah lakukannya, kerana selesa dan senang dengan diri sekarang, yang tidak pernah jadi perhatian. Tiada yang akan memandangnya untuk kali kedua, itu yang dia mahu. Parasnya yang sering serius, lagak orang sombong dan kedekut senyum itu membolehkan inginnya jadi realisasi.
“Angah?”
Panggilan Mahirah meracik lamun Zahirah, kembali ke biliknya semula. Tidak terus tenggelam dibuai perasaan. Dia kembali menyusun kewarasan minda lalu tumpukan sepenuh perhatian kepada adiknya, yang sedang memandang dengan kerutan pada dahi.
“Kenapa?” ujar Zahirah memaniskan muka. Cuba mengorak senyum buat gadis itu. Namun dia bimbang ia sudah terlalu lewat. Mahirah sudah lebih dulu menangkap dia yang tiada dengan dirinya sekejap tadi.
“Ada apa-apa yang tak kena? Atau… angah marah kat adik?” Penuh hati-hati Mahirah mengatur kata.
Zahirah terus memasang senyum. Mahirah, walau setiap perkara hanya mainan dan usikan untuknya, namun masih tahu bila perlu serius dan ambil berat akan sesuatu hal.
“Tak ada apa, adik. Angah okey, cuma tenggelam dengan benda yang angah fikirkan dan… angah memang tak marahkan adik. Mungkin rasa geram sebab adik e-mel si Hanun tu tanpa pengetahuan angah. Tapi… nak marah pun tak guna. Satu aje harapan angah, takkan terima balasan dia.”
Paras serius Mahirah, yang berkerut tadi, langsung hilang. Diganti dengan senyuman yang mengangkat seri wajah itu mendadak. Cukup indah. “Sebab kalau dia balas, angah akan rasa satu tanggungjawab untuk membalasnya. Kan?”
“You do know me well. Sebab tulah adik hantar e-mel tu, kan? Actually, I was fighting over myself that day. Sama ada nak hantarkan semula e-mel tu dan bagi tau kat si Hanun ni yang dia tersalah hantar. Macam kena jugak bagi tau pulak, sebab rasa kesian dengan Hans.”
“Dan jugak Hanun! Mengakulah…”
“Nak mengaku apa? Cuba bagi tau dan angah akan cuba akuinya… Kalau perlulah.” Zahirah menjongket sebelah kening. Pen di tangan diketuk-ketuk ke atas fail di hadapannya, yang berisi akaun-akaun tertentu Agensi 3SAI.
Mahirah turut mengangkat sebelah kening, bersama bibir terjuih nakal. “Yang angah dah tau Hanun ni lelaki. Hanun bukan perempuan, macam yang angah asyik kata. Ngaku?”
Zahirah senyum tipis sambil menggeleng kecil. “Memanglah adik kenal angah. Ya, memang angah dah agak. Dan sekarang, di depan adik kesayangan angah yang bijak ni, angah akuinya. Puas hati?”
Mahirah menepuk tangan gembira. Bak anak kecil girang, seolah-olah kakaknya baru beritahu akan hadiahkan aiskrim coklat kegemarannya.
“Hmm, sekurang-kurangnya dengan pengakuan ni angah boleh tengok senyuman adik. Kalau tak… muka tu serius aje. Too absorb with your works.”
“Ya ke?” Apabila Zahirah mengangguk perlahan, Mahirah menghamburkan keluhan.
“Terpaksalah, angah. Adik baru sangat dengan semua ni. Nak tak nak adik kena usaha lebih. Kena sentiasa buat homework dan ambil tau hal-hal yang perlu. Kena ngadap soalan-soalan along, perlu yakinkan Kak Rina yang adik sedang cuba yang terbaik dan harus tebalkan muka hadapi semua senior adik kat luar sana.” Mahirah juih bibir ke ruang kubikel sana. “Nak belajar tak bolehlah rasa malu. Mujur jugak dia orang semua tak lokek nak menolong dan bagi tunjuk ajar.”
“Semua staf along memang gitu, adik. Along dah jampi serapah dia orang awal-awal lagi. Biar apa pun, dalam kalangan teman sekerja, kena ada sikap saling membantu dan ringan menolong. Itu rahsia agensi kita mendapat tempat dalam kalangan kilen.”
Mahirah mengangguk setuju. Terima bulat-bulat kata Zahirah. Bukan demi menyokong kakak sulungnya, namun kerana tahu bagaimana kerasnya usaha Zafifah dalam memastikan agensi yang bermula dari satu tapak paling rendah ini terus berdiri sebagaimana yang diingini oleh arwah mak su. Zafifah yang paling banyak berjerih dalam menambat hati klien. Zafifah yang bijak mencari peluang dalam semua keadaan. Memang ini periuk nasi mereka, namun untuk Zafifah ini juga satu usaha secara tidak langsung mereka agar apa yang pernah mereka lalui tak akan dilalui oleh sesiapa pun di luar sana. Dan ia mendapat sokongan padu mereka adik-beradik.
“Hmm, adik pulak yang mengelamun. Dahlah… teruskan kerja adik tu. Bukan ke petang ini adik akan jumpa Kak Rina? Jadi kenalah studi apa yang perlu, kan?”
“Hmm, memang pun. Setakat ni adik dah dapat sedikit maklumat, tapi belum cukup untuk buat satu keputusan. Masih kena gali sedalamnya. Not enough to convince her, even myself.”
“Jumpa kat mana?”
“Definitely not her office. He’s there.”
“Pernah jumpa dia? Face to face?”
“Eh, pernahlah! Kan ke dia ada datang ke sini hari tu!”
“Not her, him! Najmi!”
Mahirah menggeleng. “Tak pernah dari dekat. Tapi dari jauh. Adik ekori dia beberapa hari ni. Dari situlah dapat foto-foto ni.” Mahirah yang duduk berhadapa Zahirah melayangkan beberapa kepingan gambar di hadapan muka kakaknya itu, yang hampir juling dek kerana terkejut. Mana taknya, hampir tertempek foto tersebut ke muka Zahirah. Mahirah hanya tayang gigi apabila Zahirah menerkamkan pandangan tajam.
“Jadi, adik tak taulah… sama ada dia handsome ke tak?”
“Adik rasa dia handsome. Daripada pemerhatian adik, foto ni, jugak cerita Kak Rina. He is definitely good looking with a stink heart!”
“Belum tau lagi dia bersalah, dik. You cannot judge him so cruely. Mungkin dia betul-betul sayangkan Kak Rina.”
Mahirah mengeluh kecil. “Itu jugaklah yang adik harapkan, angah. Amat-amat adik harapkan. Kak Rina tu baik, malah dia memang lonely. Bayangkan dalam usia yang muda dia dah jadi janda. Sebabkan kesepian dia mula bina syarikat arwah suaminya sampailah jadi satu syarikat yang disanjung namanya. Dia dah jadi janda yang kaya, tapi masih kesepian. Tak ada anak, apatah lagi saudara dekat. Sendirian aje.
“Bila tengok kawan baik dia, Kak Dy tu, mula rapat dengan laki muda yang kita siasat dulu, dia tambah rasa bosan. Dah tak ada kawan nak berbual. Jadi, dia mula baik dengan PA dia sampaikan betul-betul jatuh sayang, sebab pada pandangan Kak Rina, pada rasa hati Kak Rina, PA dia tu pun rasakannya. Tapi… entahlah. Segalanya terletak di tangan adik. Kadang rasa takut sangat nak kecewakan Kak Rina. Rasa nak biar aje dia dengan kebahagiaan dia sekarang. Tak sanggup nak rampasnya daripada Kak Rina. Entahlah…” Sekali lagi Mahirah menghempas keluhan. Sarat dengan rasa serba salah serta perasaan yang saling bertelingkah dalam hati.
Zahirah panjangkan tangannya, mencapai jemari Mahirah. Digenggam erat. “Jika kebahagiaan yang bakal diberi hanya seketika, tak ada salahnya ia dirampas. Biar sakit hati, asal nanti hati belajar daripada kesakitan tu. Ada kalanya, kenyataan yang pahit lebih elok daripada impian yang indah, adik.”
Mahirah mengangguk kepala. “Hmm, okay then. I better get back to my ‘studies’. Nanti tak ada apa pula nak dikongsi dengan Kak Rina. Ah, lupa nak tanya…”
“Apa?”
“Dah dapat e-mel daripada Hanun?”
“Harap-harap tak akan dapat… Tapi kalau dapat pun angah tak kisah, sebab adik yang akan membalasnya.” Zahirah talakan jari telunjuk ke arah Mahirah, seraya menyambung kata, “Adik yang hantar e-mel pertama tu, jadi adiklah yang akan balas, kan? Tak semestinya e-mel company, angah yang kena balas!” Zahirah mengenyit mata.
“My dear sister, it is not about the company’s e-mail address but your name. Adik tulis nama angah. Besar-besar, adik tulis Nur Zahirah Alya.” Mahirah kemudiannya saja-saja mengeja nama Zahirah satu demi satu lalu kembali mengenyit mata apabila Zahirah melongo tidak percaya.
Published on May 30, 2012 09:30
No comments have been added yet.
Bikash Nur Idris's Blog
- Bikash Nur Idris's profile
- 78 followers
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
