.: secukup rasa [22] :.

SEMAKIN tajam Amar tenung Zunah, semakin sakan pula Zunah renung depan, tilik dinding. Bagailah dinding ada mulut untuk berkata. Macamlah Amar patung cendana tiada bijak berkata. Amar kasik pandangan nak makan Zunah untuk beritahu Zunah bahawa apa yang Zunah lakukan adalah tak betul. Namun Zunah awal-awal tayang bahagian degil yang memang selalu khas untuk Amar. For you and only!
Amar mengeluh perlahan. Mengaku kalah. Campak tuala ke gelanggang. Mengerling Zunah, Amar perasan sangat pada senyum curi yang jongkang-jongket pada bibir itu. Alahai, bakal isteri... Kalau tak, lu fikirlah sendiri!
“Zunah tak rasa apa Zunah buat tu salah, kan?” tanya Amar masih menjaga pernafasan. Kawal perasaan. Saat ini, Zunah dalam senarai atas jadi bahan makan atau bahan ‘makan’. Jadi, dia perlu kawan hati dan diri. Sampai waktu Zunah jadi isteri. Masa tu memanglah Zunah bahan ‘makan’.
Adoyai, Amar... sejak bila kau jadi gatal kalah Hadi ni?
“Tak salah...” Zunah geleng-geleng kepala, kemudian badan yang tegak pada sofa di perpustakaan mini yang dia tak tahu pun wujud di situ, diiringkan supaya menghadap Amar betul-betul. Selamba pula kedua-dua kaki diangkat tinggi dan dia bersila senget di atas sofa.
Amar yang melihat rasa hendak terkam. Sebab bakal isterinya itu sangat comel. Selepas mandi dan hilangkan comot watercolor pada tangan dan muka, wajah Zunah jadi bersinar satu macam. Atau dia nampak begitu sebab dia kenan gatal Hadi. Malah, Zunah juga tampak terlebih-lebih comel dengan pijama tidur anak ayam kecil bertaburan pada baju berwarna merah jambu itu. So damn cute. Rasa nak picit-picit satu makna dan dua makna.
“Kenapa awak tengok saya macam tu?” soal Zunah curiga. Kerut sekejap dahi sebelum pandang baju pijamanya yang berleher bulat. Mana tahu terseksi-meksi di depan Amar. Tak cukup itu dia periksa pula setiap butang baju. Risau kalau-kalau ada yang tengah buat tayangan percuma. Tapi... semua okey.
Zunah angkat kepala, pandang Amar. “Awak tengok apa? Awak jangan nak macam-macam yek dengan saya. Saya korek biji mata tu nanti. Hah, jadi Amar Selamat! Pak M ada depan pintu tu... Jangan nak kotorkan otak!”
Amar mengeluh. Pak M. Mokhtar, ketua isi rumahnya itu sudah jadi Pak M untuk Zunah. Untuk Pak M pula, kalau Amar tak bertegas, mahunya dah lama Cik Zunah jadi Zunah, sebagaimana Firhal jadi adik. Rumahnya yang selama ini berpandu tegas dan berikut undang-undang tidak bertulis, mula jadi goyah. Pembantu rumah sudah pandai menyanyi kecil sambil bekerja, tukang kebun pula bijak pandai tiba-tiba dalam main mata dengan pelayan tamu, malah yang paling Amar tidak percaya, Mokhtar sudah iktiraf diri Pak M Zunah dengan tidak membenarkan dia berdua-duaan dengan Zunah di dalam bilik perpustakaan mini itu. Ketika ini Mokhtar sudah bertukar seperti superhero bernama Pak M, berdiri sebagai sentri tak bergaji di depan pintu bilik itu yang kini separuh nganga. Tinggal tak pakai seluar dalam kat luar saja.
Tuhan... baru hendak masuk dua hari di sini, Mokhtar sudah dibeli jiwanya dengan nama manja manakala pengasuh Iron Lady sudah jadi agar-agar di tangan Zunah. Bahana ubi!
“Permainan apa yang Zunah ajar Aisy, hah? Habis comot dia. Dah pukul 9.00, takkan Zunah tak dimaklumkan pengasuh dah masa Aisy tidur?” Amar kembali pada topik perlu. Bahana ubi. Itu sebab utama dia dan Zunah di dalam perpustakaan mini ini.
Ubi hiasan kertas putih yang melayang lalu jadi hiasan muka pengasuh Iron Lady. Dah meraung jadinya…
“Pukul 9.00 tu awal sangatlah untuk Aisy tidur.” Zunah cebik mulut. “Budak-budak ni kalau dia nak aktif, biar dia aktif… Jangan nak kekang-kekang. Aisy tak mengantuk lagi, biarlah dia. Mata yang tak dapat lelap, buat apa awak nak paksa tidur dengan staple, huh!”
Berkerut sekejap dahi Amar hendak faham. Apabila dapat tangkap, belum dia buka mulut, Zunah sudah sambung ujaran.
“Ibu dulu… kalau adik-adik tak hendak tidur, dia tak ada pun paksa-paksa tau. Sebab kata ibu, budak ni aktif… main sana, kejar sini, malam tu tahulah dia nak penat, tahulah nak lelap. Macam tu jugaklah dengan Aisy. Tidur bukan benda yang boleh masuk jaduallah, Encik Amar. Tambah pulak jadual pengasuh awak yang macam-macam tu… Penuh dengan belajar, belajar, belajar. Aisy tu baru lima tahun kut. Biarlah dia nak buat apa dia nak sekarang. Dah makin dewasa nanti dia akan lebih terikat sebagai pewaris awak, kan?” panah Zunah terang-terang.
“Sebab dia pewaris abang dan Setia Pertiwilah semua persediaan ni dijalankan dari sekarang. Dari awal. Membentuk buluh biar daripada rebungnya, kan?”
Terkukik-kukik Zunah ketawa sambil tangan tekap perut dan tubuh kian menyenget sampai ke tangan sofa dua rangkai reka bentuk Inggeris itu. Lucu. Dan lebih lucu apabila pandang raut Amar yang kehairanan. Kasihankan cik abang yang meningkat usia tapi kurang didikan dalam bab peribahasa Melayu, Zunah bantu beri penjelasan. “Melenturlah. Melentur buluh biar daripada rebungnya…”
Zunah terus gelak sakan, sampai nak ke lantai apabila lebih separuh daripada tubuh kecilnya sudah memanjat tangan sofa. Langsung tidak kisah pada geram yang mula meriak pada roman Amar dengan gelagatnya.
Amar baru angkat punggung sedikit, hendak cubit geram Zunah yang sudah hampir ke lantai itu. Cara lepas geram paling sempurna. Namun, tiba-tiba, Pak M aka Mokhtar, yang masih jadi sentri di hadapan pintu masuk ke perpustakaan mini itu, membelakangkan mereka berdua yang menjadi isinya, tiba-tiba paling kepala. Ngam-ngam toleh kepala, terus renungan mata itu sampai kepada Amar yang dari tempat duduknya, sofa tunggal rekaan Inggeris, arahkan kepala secukup rasa ke kiri dan kanan. Kemudian, serupa tak buat apa, Pak M Zunah it uterus pandang depan, membelakangkan Amar, penuh hemah superhero meneruskan tugas sentri.
Punggung sedikit terangkat, tak lepas. Terus teduduk jadinya. Dia baru diberi arahan oleh orang yang dia sendiri bayar gaji? Punah! Amar hanya boleh letak siku pada tangan sofa tunggal itu, memangku wajah dan terus mengeluh. Namun keluh itu tidak lama mana apabila Amar jadi ralit memandang Zunah. Zunah yang ketawa begini bukan selalu dia dapat tengok. Zunah yang tahu ceria seperti ini bukan boleh dia nampak apabila bersama begini. Di hadapannya, Zunah selalu sembunyi senyum, apatah pula ketawa. Zunah sangat kedekut menunjukkan bahagian bahagia itu kepada Amar. Dan Amar tahu mengapa. Apabila yang diberi hanyalah derita, manakan ada senyum ketawa.
Senyap dan sunyi yang hanya mengiring gelak sukanya membuatkan Zunah mula sedar diri. Terus dia angkat tubuh dari tangan sofa, menyelesakan duduk yang masih bersila. Zunah lihat Amar. Amar yang sedang pandang dia. Amar yang bukan tengok saja, sebaliknya asyik tilik dia. Sungguh, tenung yang begini, renung serupa ini… sangat-sangat menggugah satu rasa dalam hati.
Rasa yang Zunah bawa semenjak kali pertama kenali Amar sebagai abang sepupu sesudah dia kembali ke Malaysia bertahun lama yang dulu. Rasa yang Zunah terus rasa-rasa selama Amar di samping Zunah dan arwah mama. Malahan, sesudah adanya perpisahan antara mereka, rasa itu tetap ada saja. Cuma Zunah sendiri memaksa rasa itu untuk sembunyi dalam hati, ditutup tekap supaya tiada keluar-keluar lagi.
Namun… aduhai, hati… renung tenung yang begini… bagaimanalah kau tak tahu hendak goyah sendiri…
Tangan yang tadinya tahan senak pada perut, mula ke dada kiri. Hati yang melompat-lompat dengan rasa yang dipendam cuba ditenangkan. Hati yang tiba-tiba hendak jadi taman bunga penuh laman, ditarik dan dicabut bunga-bunga yang pandai sendiri hendak memekar tanpa siraman air.
Masih biar tangan kiri memangku muka, raut yang tadinya mengunjuk terbuai dengan tertawa Zunah mula jadi serius, gusar. “Kenapa, Zunah? Sakit dada ke?”
“Taklah,” ujar Zunah cepat-cepat malah cepat juga tangan pada dada dialih dari situ. Dia mula kemam-kemam bibir, mata melingas ke arah perpustakaan mini itu tapi tidak langsung ke raut Amar.
Muka Amar berubah roman lagi. Serius dan gusar nyah pergi. Datang menjenguk senyum tipis sarat nakal dan suka. “Nak jaga hati ya? Takut tergadai dekat abang?”
“Perasan!” Zunah buat muka sesudah mencebik ia-ia.
Amar mula bangun perlahan-lahan, dengan kedua-dua tangan pada tangan sofa kiri dan kanan. Sepanjang itu mata Amar tidak terkalih dari wajah Zunah yang hilang cebik-cebik, mula berjaga-jaga. Lagi tubuhnya menegak, lagi Zunah mengengsot jauh ke kiri sofa dua tempat duduk itu. Dan apabila tubuh lampai Amar berdiri tegak, Amar sakan ukir senyum sarat makna, Zunah jelas gelabah. Besar mata, Zunah tak lagi menengsot, malah tanpa kisah sama ada Amar bakal mengusik dan mengata dia yang jelas takut, Zunah hampir hendak meluru ke arah daun pintu yang menganga itu. Namun tidak berjaya. Sekali lagi dia jumpa dinding ada nama. Amar cekap lagi tangkas sudah berdiri di hadapannya.
Terkejut sangat, bahana tak sempat brek, Zunah terpeluk tubuh tegap itu. Terperanjat sangat, bahana terpeluk seorang lelaki bernama Amar, Zunah cepat-cepat atur kaki ke belakang, sampai terlompat naik ke atas sofa dan hampir saja jadi stuntwoman amatur apabila belakang kakinya terkena tempat sandar sofa dan hampir terjatuh ke belakang. Kalau tidak sebab Amar punya tindakan refleks yang tangkas, sah Zunah sudah terkelepek di atas lantai di sebelah sana sofa.
Tangan kanan Amar lekas paut pergelangan tangan kiri Zunah sebelum gadis itu tersadung ke belakang. Terus ditarik tubuh Zunah ke hadapan, terus ke arahnya. Sepatutnya ke arah Amar, sepatutnya mungkin saja memeluk Amar dan sepatutnya juga Amar yang jadi tempat Zunah ‘bergantung’.
Bukan Pak M!
Tidak dan tidak-tidak Pak M berdiri di antara Amar dengan Zunah. Pak M datang entah bila, tiba-tiba sua tubuh dari bawah dan sudah terdiri elok depan Amar. Berdiri elok sampaikan Zunah yang sepatutnya jatuh ke tubuh Amar terkelepek kemas pada belakang badan lelaki 50-an itu. Dah jadi anak koalo yang tergantung pada belakang tubuh lelaki itu.
Zunah yang mulanya menyangka akan terpeluk Amar, jadi lega. Namun lega itu jadi gelak tak ingat apabila perasankan perubahan muka Amar. Nampak sangat hendak lepas marah kepada Pak M dia. Nampak jelas juga lelaki itu sedang menahan marah dengan urat muka timbul sakan. Lalu, dengan tangan kanan di atas bahu Pak M dia dan tangan kiri masih dipaut lembut Amar, Zunah kawal peranjat serta diri, akhirnya elok berdiri di atas sofa. Sisa tawa menghilang, senyum nakal memagut bibir. Suka tengok muka masam telan cuka Amar.
“Mokhtar,” ujar Amar dengan suara terteran.
Mokhtar tahu sangat dia baru buat salah. Dia berani-berani bangkang apa yang hampir dilakukan Amar. Namun Mokhtar tidak peduli. Dia harus tegar dan tegas dalam hal ini, sekalipun dimarah Amar. Pasal dipecat, memanglah dia berani-berani takut. Tapi, Puan Wafiah sudah member janji. Seminit Amar pecat dia kerana dia menjaga kebajikan bakal isteri Amar, daripada diapa-apakan atau ‘diapa-apakan’ Amar, minit kedua dia akan dapat balik kerja. Puan Wafiah sendiri akan lantik semula Mokhtar.
“Ya, Tuan Amar,” jawab Mokhtar masih tenang sambil telan-telan liur kesat. Amar cukup menakutkan dia. Kecut perut kepada arwah bapa lelaki itu tidak boleh gerun kepada Amar. Arwah bapa lelaki itu suaranya meninggi selalu sedang Amar, pandangannya beradu selalu. Melalui pandangan saja Amar boleh ajak orang bergaduh.
“Saya rasa awak lupa yang awak bekerja dengan saya,” tekan Amar memeluk tubuh. Baju kerjanya masih tidak berganti. Masih yang sama tadi.
“Tak, Tuan Amar.” Mokhtar menjawab kemudian telan liur lagi. “Saya memang bekerja dengan tuan. Tapi setahu saya tuan dengan cik masuk sini untuk bincang ubi yang melayang kena muka cik pengasuh, bukan adegan…” Dia selamba berdeham sambil kepal tangan di depan mulut, curi-curi pandang Amar yang ketat muka.
Zunah gelak kecil. Apabila tajam mata Amar singgah kepada dia yang berdiri di belakang Mokhtar, di atas sofa, dia kemam bibir, simpan gelak itu.
“You, young girl, behave! Soalan abang masih tak berjawab. Tapi… jangan kacau-kacau jadual yang pengasuh dah siapkan untuk Aisy. Tu untuk masa depan Aisy, untuk Aisy yang bakal bertanggungjawab ke atas Setia Pertiwi. Jangan main-main dengan masa depan anak abang…”
Zunah mula ketap bibir. “Don’t call me young girl and don’t ever say he’s your son!”
Amar sedikit terkejut dengan lentingan penuh perasaan Zunah yang sudah melompat turun dari sofa. Berdiri di sebelah Mokhtar, sengit pandang Amar dengan wajah mendongak sedikit. Kalau tak, tak akan nampaklah Amar muka nak telan dia itu. Telan satu makna, bukan dua makna.
“He’s my son too! Kalau saya kahwin dengan awaklah…” kata Zunah sengit. Sangat-sangat nak cari gaduh.
Amar spontan tersenyum dengar cakap begitu. Walaupun ayat bermula kalau selepas itu dia tak gemar. Namun ayat di depan lebih menyentuh jiwa, perasaan. Tangan yang memeluk tubuh dilepas lalu kaki dibawa selangkah ke depan, berdiri dengan kepala menunduk pandang Zunah yang besarkan mata unik itu sakan, terus hendak tunjuk baran.
Mokhtar berdeham-deham. Isyarat.
“Berhenti, Mokhtar. Saya masih nak cerita pasal ubi.” Amar berkata tanpa alih mata daripada tautan unik mata Zunah. Senyum Amar jadi melebar. “Zunah akan kahwin dengan abang dalam masa empat hari lagi. Abang tak boleh tahan lagi…”
Mata yang besar itu jadi lebih besar. Kalau tak kerana dia sendiri melihat, Amar pasti tidak percaya.
Dan tiba-tiba Zunah menunduk muka, memejam mata dan kedua-dua tangan katup telinga, menjerit, “Eii, tak malulah awak ni!”
Ketawa seketika Amar. Kemudian dia dekatkan wajah dengan telinga kiri Zunah, tanpa kisah Mokhtar yang terus berdeham seperti sakit tekak, membisik kepada Zunah. “Lepas ni… nak main ubi ajak abang sekali...”
Sebaik habis berkata begitu, sengaja Amar tiup lembut ke telinga Zunah yang menggeliat geli dan terus menjerit kecil dengan “Tak malu…!” lalu tak agak-agak hentak kaki dengan lenggok tubuh geli penuh marah, berlalu.
Amar merenung saja. Namun ketawanya hilang apabila dilihat Mokhtar laju-laju hendak kejar atur kaki bakal isterinya. Walaupun lelaki itu pekerjanya, walaupun lelaki itu baya bapa untuk Zunah dan apa saja walaupun yang muncul dalam benak, tidak satu pun menghalang rasa cemburu buta yang mencuit jiwa. Dia tidak suka! Tititk!
“Mokhtar!” seru Amar, menghentikan kaki Mokhtar, yang mengalih tubuh pandangnya. “Saya tak suka awak rapat dengan bakal isteri saya.”
Amaran. Pekak dan butalah Mokhtar kalau tak dapat. Suara dah kata, muka dah tunjuk.
“Saya hanya jaga Cik Zunah atas permintaan Puan Wafiah. Kalau dipecat pun tak apa…” Berani-berani pula Mokhtar menjawab sambil tenung sofa tunggal di belakang Amar. Nampak saja macam tengah tengok Amar. Acah mak labu, dia saja tertipu!
“Sebab Puan Wafiah dah janji akan ambil awak kerja balik, kan?” Amar sembunyi senyum. Mamanya itu memang lebih awal nampak bahagian kenan gatalnya apabila Zunah dekat dengan dia, banding Amar sendiri. Dia memang tak boleh kalau Zunah hampir dengannya semenjak-semenjak dia pasang niat hendak jadi suami gadis itu.
Sesungguhnya, perkahwinan yang kali ini, walaupun adalah satu bentuk kontrak urus niaga, ia adalah urus niaga yang dia hendak masuk sangat-sangat. Sejujurnya, dia sudah tidak sabar. Kerana itulah dia memilih tarikh tercepat dan terdekat malah tega berpenat satu hari ini dalam menyiapkan kerja satu minggu. Begitulah tidak sabarnya dia dalam hendak dapat status suami. Suami kepada Zunah Alisia!
Amar pandang Mokhtar yang masih tengok sofa tunggal belakangnya. “Sebut pasal puan awak… Mana mama saya? Dah tidur ke?”
Mokhtar nampak serba salah.
“Mokhtar, jawab soalan saya,” tegas Amar. Tahu ada benda tidak sedap dia bakal dengar.
“Puan Wafiah belum pulang selepas keluar lepas isyak tadi.” Mokhtar menurut, walaupun tergagak-agak.
“Dengan driver yang sama?” Serius paras Amar. Ada sama lukisan tegang.
Mokhtar angguk perlahan-lahan.
“Ke tempat yang sama!” ujar Amar perlahan.
Walaupun Mokhtar dengar, dia diam saja tanpa mengulas. Tidak perlu kerana majikannya itu sudah membungkus kata. Itulah kesimpulan yang sudah dibuat lelaki itu dan sebarang bantahan takkan diterima.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 11, 2012 08:23
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.