Premis Rumah Bonda Dibuka Semula Tetapi Tidak Boleh Digunakan Sebagai Pusat Jagaan
Mahkamah Majistret hari ini membenarkan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur di Setapak yang dikenali sebagai Rumah bonda untuk dibuka semula, namun premis berkenaan tidak boleh beroperasi sebagai pusat jagaan lagi.
Rumah perlindungan berkenaan dikenakan tindakan Lak (penutupan) pada 12 Julai tahun lalu selepas menerima Notis Lak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) kerana tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.
Majistret Nur Syafiqah Noorinda hari ini membenarkan perintah untuk menanggalkan Lak seperti yang dipohon Rumah Bonda melalui pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali dalam saman pemula difailkan 7 Jun lalu terhadap Jabatan JKM WPKL supaya premis itu dibuka semula.
Menurut peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Rumah Bonda iaitu selaku plaintif kepada media, perintah menanggalkan Lak diberikan Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993, tanpa bantahan daripada pihak JKM
Melalui perintah itu, Rumah Bonda hendaklah mengaku janji bahawa premis berkenaan tidak akan digunakan sebagai pusat jagaan.
Rumah Bonda telah dikompaun dan dikatakan sudah menjelaskan kompaun berjumlah RM5,000 pada 25 April 2022 lalu.
Dalam prosiding tersebut, Pengarah JKMWPKL turut diwakili Peguam Persekutuan, Fatin Shafira Ab Patah.
Melalui afidavit sokongan difailkan bersama saman pemula berkenaan, Siti Bainun berkata, Pertubuhan Rumah Bonda ditubuhkan pada 31 Januari 2019 yang pada mulanya beroperasi di Laman Residen, Kipark Seri Utara sebelum berpindah ke Taman Setapak pada 27 Oktober 2020.
Menurut Siti Bainun, dia menerima Notis Lak daripada JKMWPKL, yang memaklumkan Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.
Dia berkata, tindakan Lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar kerana JKMWPKL mengetahui ia dalam proses permohonan pendaftaran.
Pada tarihk 20 April 2022 pula, rumah itu menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKMWPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993, sehubungan dengan itu dia telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022.
Siti Bainun menyatakan rasa kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKMWPKL bahawa Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya.
Malah selepas tindakan Lak itu dilaksanakan, Siti Bainun, ahli jawatankuasa dan sukarelawan tidak lagi mempunyai akses untuk memasuki Rumah Bonda, sekali gus menyukarkan usaha permohonan pendaftaran dan pihak mereka tidak boleh lagi menjalankan kerja amal yang lain, seperti penyediaan makanan bagi gelandangan dan pusat bank makanan.
Sumber : Berita Harian.
Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog
- Mohd. Asri Zainul Abidin's profile
- 126 followers
