U-Wei dan buku


apabila nama U-Wei HajiSaari disebut dalam laman BukuWajah Borak Buku, saya membayangkan khalayak yang sesak di dalam kafe Coffee Bean KL Sentral. 18 Mac pada petang ahad itu bagaimana pun, jumlah hadirin tidak sebagaimana yang dijangkakan saya. U-wei HajiSaari, pengarah filem penting negara kita. menyebut tentang latar belakang pengarah filem yang dianggap berjaya di negara kita selalunya membawa konotasi "berbeza".
saya sangat bertuah pada hari itu. bukan kerana adanya dalam kalangan pembikin filem di negara kita yang akrab dengan teks sastera, sebaliknya kerana berpeluang melihat keluasan pengetahuan U-Wei tentang karya sastera. dia memuji William Faulkner yang disebutnya (dalam bahasa Inggeris) sebagai antara pengarang terbagus. untuk itulah saya bertanya kepada dia mengapa atau atas alasan apa cerpen Barn Burning diangkat menjadi bentuk filem. "setiap filem harus mewakili diri kita, dan filem ini dipilih kerana ia dapat mewakili sikap saya," tegas U-Wei HajiSaari. filem yang dihasilkan sekian banyak tetapi tanpa jiwa dan pemikiran, mengecewakannya.
saya mengikuti tulisan U-Wei HajiSaari dalam akhbar Harian Metro suatu ketika dahulu. drama-drama yang pernah dihasilkannya untuk saluran TV3 dahulu membekas dalam ingatan saya. kemudian apabila Zhang Yimou mengatakan bahawa tanpa teks sastera yang kuat tidak mungkin muncul filem yang bagus, saya memikirkan sejauh mana keghairahan pengarah-pengarah filem tempatan pada teks sastera? apakah mereka membaca buku (selain akhbar) sebagai budaya kemestian dalam hidup? apakah mereka ambil tahu siapakah individu misalnya Baharudin Kahar, Fatimah Busu atau Dr. Faisal Tehrani? siapa yang menjangka U-Wei HajiSaari meminati karya Gabriel Garcia Marquez?
"Saya meminati kata-kata dan suka mendengar kata-kata dilafazkan," cerita U-Wei HajiSaari. sebelum Lutfi Ishak datang, entah bagaimana, saya turut dihukum membaca teks buku Odisi Anak Kampar (buku yang dibicarakan pada hari tersebut) dan kemudian giliran Lutfi Ishak membaca. melihat ketokohan dan kelainan corak penceritaan dalam setiap karya filemnya, jelaslah kepada khalayak pada petang Ahad itu, sudah tentu ada bahan bantu yang menyokong nilai pemikiran seorang pengarah filem seperti U-Wei HajiSaari. dengan mengasihi sastera dan meletakkan keghairahan yang tinggi pada teks sastera, saya berasa puas hati meninggalkan kafe Coffee Bean KL Sentral. dan petang Ahad itu saya terlepas drama bersiri Indonesia, Lorong Waktu yang sungguh lucu dan mencerdaskan.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 20, 2012 08:57
No comments have been added yet.


Roslan Jomel's Blog

Roslan Jomel
Roslan Jomel isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Jomel's blog with rss.