Borak Buku dengan U-wei Haji Shaari

U-wei dan Rahimidin Zahari sebelum Borak Buku bermula
Saya berada di front row seat untuk Borak Buku kali ini, betul-betul bertentangan sutradara U-wei Haji Shaari. Beliau bercakap tentang dua buah buku yang sedang diladeninya - Odisi Tanah Kampar (Affifudin Omar; mantan Menteri Kewangan Malaysia) dan Hitch-22: A Memoir (Christopher Hitchens).

Tetapi kami bukan sahaja berbual tentang buku, tetapi juga filem dan pengkaryaan. Apabila menyebut tentang karya, tentu sahaja tidak boleh dipisahkan dengan pemikiran, seperti tegas U-wei juga.

Ada soalan yang mencuit tentang adaptasi novel Juara kepada filem Jogho. U-wei mengaku beliau tidak setia dengan buku itu. Kata U-wei, penulis berfikir dengan kata-kata (teks) tetapi beliau berfikir dengan gambar. Sesebuah novel perlu sinematik pada matanya untuk sesuai diadaptasi. U-wei kemudiannya mencuit semula; penulis, katanya, tidak boleh mendesak pembuat filem setia dengan bukunya. Dia bergurau, kesetiaan itu hanya pada isteri dan itu pun sukar dilakukan!

Namun seusai lelucon itu, kata U-wei lagi, sesebuah buku itu sudah kebal apabila diterbitkan; biarlah securang mana sekali pun adaptasinya, buku itu tidak terkesan. Malah, rentetan pertanyaan wartawan Sastera BH tentang kriteria sebuah novel yang baik untuk adaptasi itu, U-wei menyebut bahawa kecurangan (infidelity) adalah kemestian apabila memindahkan teks ke layar perak.

Bahkan, kata U-wei, beliau pernah menyebut jika filemnya Hanyut, adaptasi daripada novel Almayer's Folly dibenci penulisnya Joseph Conrad sekalipun, beliau akan mengatakan: "Mr Conrad, it's my story now."

Kami turut mengorek tentang buku-buku lain yang menjadi kegemarannya. U-wei mengaku beliau tidak mempunyai keperluan untuk membaca buku-buku sastera Melayu, tetapi beliau tetap membacanya kerana mencintai Bahasa Melayu. Sewaktu berborak tentang buku itu juga, U-wei meminta hadirin untuk turut membaca beberapa perenggan daripada buku Odisi Anak Kampar yang sedang diulitinya. Kata U-wei, beliau mahu mendengar, dan mahu kami mendengar, keindahan Bahasa Melayu.

Apabila diminta untuk menamakan novel sastera klasik-moden Melayu yang paling mengesankan padanya, U-wei menyebut karya Keris Mas, selain mengaku 'bermasalah' dengan novel Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad) dan Salina (A. Samad Said). U-wei turut mengakui padanya William Faulkner merupakan salah seorang penulis Bahasa Inggeris terbaik. Filem Kaki Bakar merupakan adaptasi daripada cerpen Faulkner The Barn Burning. Namun, menurut U-wei, apabila ditayangkan di luar negara, rakyat Amerika sendiri mengakui tiada lagi Faulkner dalam filem itu. Sebaliknya, Kaki Bakar sarat, tepu dengan jiwa Melayu.

Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan; memetik kata-kata U-wei sendiri (tentang filem Hanyut), "Ini poskad saya kepaad Hollywood; engkau tak perlu selamatkan aku!"
 •  1 comment  •  flag
Share on Twitter
Published on March 18, 2012 06:22
Comments Showing 1-1 of 1 (1 new)    post a comment »
dateUp arrow    newest »

message 1: by Najibah (new)

Najibah Bakar Sangat menusuk, kata-kata U-Wei yang Sdr Rebecca letakkan di akhir sekali.


back to top