Menyantuni Manusia Dengan WALYATALATTHOF

[image error]


Dia peka dengan semua perkara.


Teliti.


Konsentrasi yang amat tinggi.


Bukan kashaf, tetapi seperti tahu apa yang orang lain fikir.


Sensitiviti yang amat tinggi, menjadikan perisik-perisik berprofail tinggi seperti Ethan Hunt di dalam siri filem Mission Impossible mampu menjalankan tugasnya dengan penuh sukses. Masakan tidak, sedikit kecuaian akan mengundang pelbagai bencana. Tidak ada satu perkara kecil pun dianggap tidak signifikan, kerana pada yang kecil-kecil itu ada makna dan kesan yang besar.



Memerhatikan gelagat perisik tersebut memudahkan kita untuk faham, apakah yang dimaksudkan dengan pesan Ashaab al-Kahf kepada rakan mereka yang diutus ke bandar untuk mencari makanan.


[image error]



Nasihat berbunyi (وليتلطف) di dalam ayat berkenaan merupakan pra-syarat untuk si utusan masuk ke bandar secara low-profile.


Semasa Ashaab al-Kahf itu ditidurkan, mereka berada di era pemerintah yang zalim. Mereka tidak tahu apa yang hendak dijangka. Tidak pasti tidurnya berapa lama, tidak tahu siapa yang berkuasa dan apa risiko yang perlu dihadapi. Justeru si utusan diberikan pesanan agar walyatalatthof kerana hanya dengan itu, kehadirannya di pasar tidak disedari oleh 'musuh'.


Kalimah walyatalatthof itu sangat unik.


Ia merupakan satu kaedah universal yang penting untuk mengundang manfaat serta mencegah mudarat terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan komunikasi. Untuk menterjemahkannya sebagai berlemah-lembut, berhalus, berhati-hati, amat sukar untuk menyampaikan keseluruhan maksud, melainkan kita kembali kepada kata akarnya, LA-THO-FA.


Kalimah la-th0-fa itu mempunyai makna 'lembut', 'halus' atau 'teliti pada benda-benda yang kecil'.


Daripada sendi-sendi makna ini, perkataan AL-LUTHF mendatangkan maksud 'ketersembunyian' dan 'ketelitian'.


Salah satu daripada nama Allah Subhanahu wa Ta'aala di dalam Al-Asmaa' al-Husna ialah AL-LATHEEF (اللطيف). Ia disebut sebanyak tujuh kali di dalam al-Quran, dengan lima kali daripadanya digandingkan bersama AL-KHABEER.


Sifat Allah yang LATHEEF pada menyantuni hamba-hambaNya terserlah di dalam firman-Nya:


اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ


"Allah itu LATHEEF kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa." [Al-Shoora 42: 19]


Betapa telitinya Allah dalam menyantuni keperluan kita, dia memberikan kita bukan hanya benda-benda yang kita minta, kita, sedar dan kita tahu, malah sangat banyak keperluan kita yang di luar kesedaran kita sendiri, dipelihara oleh Allah yang MAHA LATHEEF itu. Kita hanya nampak keperluan diri pada pakaian membalut tubuh, makanan disuap ke mulut, oksigen disedut hidung dan vitamin D daripada pancaran matahari Dhuha.


Tetapi jika itu sahaja yang diberikan oleh Allah kepada kita, nescaya pelbagai musibah dan bencana yang datang merosak diri kerana kita ini sendiri tidak peka dengan seluruh keperluan kita. Hanya yang MAHA LATHEEF sahaja mampu meneliti, menyedari dan memeliharanya.


Berkali-kali nama AL-LATHEEF itu diulang di dalam al-Quran, agar kita dapat menginsafi betapa telitinya Allah mencipta kita dan alam ini, serta membekalkan segala keperluan, lebih daripada yang mampu kita fikir, minta, apatah lagi mengusahakannya.


Namun di dalam surah al-Kahf, Allah Subhanahu Wa Ta'aala membentangkan suatu nasihat di atas lisan Ashaab al-Kahf kepada rakan mereka, betapa perlunya kita sebagai hamba Allah dalam serba kedaifan ini, meneladani AL-LATHEEF dalam kehidupan melalui perintah WAL-YATALATTHOF.


Perintah itu mengkehendaki kita menyantuni sesama insan dengan sifat AL-LUTF itu.


Menjadi manusia yang berhalus, teliti, peka dan terpeinci dalam berinteraksi.


MELAYAN TETAMU


"Ini kain pelekat, sejadah dan tualanya. Qiblatnya ke arah sini. Suis bilik air di sini, ya" kata tuan rumah.


"Atas meja itu ada air kosong. Manalah tahu, kalau tengah malam dahaga pula" tambahnya lagi.


"Buatlah macam rumah sendiri. Kalau ada apa-apa panggil sahaja saya. Oh ya, soket ada di tepi katil tu, kalau nak cas telefon bimbit" ujarnya.


Senarai keperluan tetamu itu sudah semacam satu skrip standard bagi tuan rumah generasi ibu bapa kita. Apabila ada sahaja tetamu menyinggah dan bermalam, mereka tahu apa yang diperlukan oleh tetamu supaya mereka selesa. Rumah tidak perlu mewah atau besar, hatta rumah kampung yang serba daif dan sederhana itu pun, tuan rumahnya boleh menyantuni tetamu dengan begitu baik.


Siapa yang mengajarnya?


Tiada di sekolah.


Tiada di kelas mengaji.


Ia datang daripada sifat walyatalatthof, peka dan teliti dalam interaksi.


Di suatu ketika ia adalah amalan biasa hingga tiada kelihatan kelebihan dan keistimewaannya. Tetapi apabila amalan ini mula terhakis daripada generasi muda yang semakin hilang courtesy dalam melayan tetamu, kita mula sedar ada kekurangan besar dalam habl min al-naas kontemporari.


Malah kalau ada yang berbuat begitu, dikatakan terlebih baik pula!


BERMINAT DENGAN MANUSIA


[image error]


"Berikan sekeping foto bergambar ramai, siapakah yang yang akan manusia cari di dalam foto itu?" tanya Dale Carnegie di dalam bukunya How to Win Friends and Influence People.


Setiap orang akan mencari dirinya.


Manusia berminat dengan dirinya sendiri.


Justeru dalam membina keberkesanan dakwah dan persahabatan, kita tidak akan mampu melakukannya jika kaedah yang dipakai adalah berusaha menjadikan orang lain berminat dengan kita. Bukan soal betul atau salah, tetapi kita menyanggah Sunnatullah. Kita hakikatnya manusia lebih berminat dengan diri mereka sendiri, kita pula mahu mereka berminat dengan kita.


Orang-orang yang berpengaruh dan berjaya dalam hidup ini, biasanya adalah mereka yang selain mematuhi Syariatullah, mereka juga mematuhi Sunnatullah dalam komunikasi. Mereka berminat dengan manusia. Minat yang tidak boleh dibuat-buat, minat yang lahir daripada dalam diri.


Renungi sahaja kisah yang dipaparkan oleh Abbas al-Sisi di dalam bukunya al-Thariq ila al-Quloob (Jalan Menuju Hati) tentang Hassan al-Banna.


Seorang lelaki datang ke Maktab al-Ikhwan al-Muslimoon mahu mendaftar diri sebagai ahli.


Hasaan al-Banna mempelawa beliau duduk dan mencatat namanya, "Muhammad… apa nama keluarga tuan?"


Lelaki itu kaget.


"Bagaimana tuan tahu nama saya Muhammad?" tanya lelaki itu.


"Oh, pernah suatu hari, semasa menunggu keretapi, saya terdengar rakan kamu memanggil nama kamu Muhammad" jawab Hassan al-Banna.


Sungguh luar biasa, bagaimana dalam manusia yang begitu ramai di stesyen keretapi, Hassan al-Banna boleh mengecap pelbagai benda yang berlaku di sekitarnya, termasuk mendaftar nama Muhammad sebagai nama seorang lelaki, yang tidak disangka-sangka pada suatu hari kemudian, dia hadir menjadi ahli.


Sebagai majikan kepada sebuah syarikat yang besar, kita menyapa pekerja pada nama mesra mereka, bertanya khabar tentang ibu mereka yang sakit, atau anak mereka yang demam, malah kereta rosak yang sudah diperbaiki atau belum, merupakan simptom betapa kita bukan hanya berminat dengan pekerja itu sebagai pekerja yang memberikan manfaat secara spesifik kepada diri, malah berminat dengannnya sebagai seorang MANUSIA.


Al-Marhum Prof. Necmettin Erbakan semasa menjadi Perdana Menteri Turki, melantik ramai pegawai yang membuat kajian tentang latar belakang tetamu yang bakal berkunjung, isu-isu domestik di negaranya hatta di negara terpencil benua Afrika. Setiap yang menemui beliau, terasa istimewa dan dihargai. Itu menjadi salah satu teras sukses beliau sebagai seorang pemimpin.


APLIKASI HARIAN


Semasa kita menjadi tuan rumah kepada sebuah majlis dan menerima kehadiran tetamu kehormat yang diundang, beramal dengan walyatalatthof itu menjadikan kita peka bukan hanya pada tetamu kehormat yang hadir tetapi kita juga peka dia hadir dengan siapa. Jika dia hadir bersama isteri, bukan hanya tetamu kehormat itu yang dirai, malah isterinya juga disantuni.


Tatkala tetamu kehormat itu hadir, kondisinya diberi perhatian. Letihkah dia, apa keperluannya, berikan siap-siap nama-nama 'orang besar' untuk diberi ucap hormat semasa permulaan ceramah (jika itu penting buat tuan rumah) dan membantu pengiringnya untuk duduk di lokasi yang betul tanpa perlu terpinga-pinga.


Kepekaan ini datang daripada sifat rahmah di dalam diri, jujur dengan sebuah perhubungan, berusaha mempelajari teknik-tekniknya serta menghargai pengalaman dalam menjayakannya.


Kegagalan mengaplikasikan walyatalatthof untuk kerja-kerja berisiko akan mendedahkan diri kepada silap langkah serta mengundang bahaya.


Kegagalan mengaplikasikan walyatalatthof untuk kerja-kerja biasa menjadikan kita sering kecewa, kerana sering gagal memperolehi kepuasan dalam perhubungan. Bukan tidak berusaha, tetapi salah cara.


Santunilah manusia dengan ketelitian, kepekaan, kehalusan dalam berurusan.


Ia harus datang daripada hati percaya yang kuat.


Bukan teknik yang dibuat-buat.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 15, 2012 02:11
No comments have been added yet.