Elbakyan dan gerakan pembebasan progres sains

Walaupun kita sekarang hidup di
zaman sains moden, ada masalah kepada penerusan dan progres sains hari ini. Sebuah artikel yang ditulis oleh
Benjamin Kaube dalam portal The Guardian menyatakan masalah ini dengan menulis “para
saintis sepatutnya menyelesaikan masalah bukan bersusah payah untuk mengakses
jurnal”. Ya, masalah kepada sains moden hari ini adalah akses. Masalah ini
berpunca dari sistem penerbitan jurnal saintifik yang berpaksikan keuntungan,
sedangkan ilmu mempunyai konsep keuntungan yang lain, tidak seperti harta, ilmu
bertambah apabila dikongsi.
Bagaimana sistem keuntungan ini berfungsi? Penyelidik sentiasa perlu menerbitkan artikel untuk relevan di peringkat universiti – penyelidikan yang kebiasaannya menggunakan wang awam. Mereka akan menandatangani perjanjian untuk memberi hak cipta dan kerja mereka kepada penerbit secara percuma. Penerbit menghantar artikel untuk direview secara percuma oleh penyelidik lain. Hasil terbitan dijual semula kepada penyelidik dan universiti untuk akses.
Dengan sistem keuntungan penerbitan
saintifik, setiap penulisan perlu dibayar untuk akses, ini mencipta barrier
kepada penyelidik dari negara-negara kurang membangun untuk memajukan progres
penyelidikan mereka. Ia bukan sahaja
melambatkan proses pengembangan sains, ia juga menghalang penyelidik dari
mendapatkan bahan-bahan ilmu berkualiti bagi mengembangkan keilmuan.
Pada tahun 2011, seorang wanita muda
berusia 23 tahun bangun untuk melawan sistem ini. Beliau adalah Alexandra
Asanovna Elbakyan.
Beliau lahir di Kesatuan Soviet, yang kemudiannya menjadi sebuah negara bebas bernama Kazakhstan. Beliau merupakan lepasan dari Universiti Teknikal Nasional Kazakh dalam bidang sains komputer dan mahir dalam skil computer hacking. Beliau kemudian berkhidmat disebuah syarikat sekuriti komputer di Moscow sebelum ke Freiburg untuk mengikuti projek brain-computer interface, dan pernah menjadi intern di Institut Teknologi Georgia di Amerika Syarikat.
Elbakyan
sendiri merupakan penyelidik, beliau sendiri menghadapi masalah untuk mengakses
penulisan saintifik dan mendapati penyelidik sering meminta satu sama lain
dalam forum yang tidak efisien. Pada 5 September 2011 beliau melancarkan portal
Sci-Hub dimana penyelidik dapat mengakses 50 juta penulisan akademik tanpa sekatan
paywall secara percuma. Sci-Hub menjadi popular dengan cepat dikalangan
penyelidik dan menyebabkan kerugian
dianggarkan sebanyak 10 billion USD setiap tahun.
Sci-Hub
mendapatkan jurnal dari maklumat yang dibocorkan dan memberikan akses percuma
hampir dari semua penyelidikan akademik. Pada tahun 2015, penerbit penyelidikan
terbesar dunia, Elsevier menyaman Sci-Hub atas alasan hak cipta. Sci-Hub
disaman sekali lagi oleh Persatuan Kimia Amerika pada tahun 2017. Tindakan
undang-undang ini menyebabkan domain Sci-Hub di tutup, namun Sci-Hub berpindah
kepada satu domain ke satu domain yang lain dan terus kekal boleh diakses
hingga ke hari ini.
Sesetengah
orang membandingkan usaha beliau dengan karakter Robin Hood, beliau berkata
“Saya fikir ia bukanlah perumpamaan yang bagus, kerana apa yang dilakukan adalah
salah. Dan berkongsi buku dan jurnal penyelidikan bukanlah satu kesalahan”.
Sementara itu, beliau dianggap sebagai heroin oleh golongan yang mengadvokasi
akses percuma buat ilmu, Heather Joseph adalah salah seorang daripadanya, dia
berkata “Saya hargai usaha beliau, beliau menyinarkan cahaya kepada masalah
pada sistem kini yang tempang, universiti dan penyelidik memerlukan akses yang
mudah bagi membangunkan sains”.
Sehingga
sekarang, Elbakyan masih mengumpulkan artikel ke dalam database Sci-Hub bagi
kegunaan umat manusia secara percuma. Bagi pendokong progres sains beliau
adalah heroin manakala bagi penerbit yang ingin mengumpul keuntungan beliau
adalah penjenayah hak cipta. Kerana bimbang akan di ekstradisi, beliau kini
bersembunyi di lokasi rahsia.