Membaca – berbicara dengan hantu

Otak manusia merupakan satu ciptaan
yang mengkagumkan. Kita bukan sahaja boleh mengawal pergerakan badan dari
dalam, tetapi mampu menganalisa dunia luar. Otak kita berbeza dengan makhluk
lain seperti haiwan yang tidak mampu mencipta konsep dan teori abstrak
melangkaui batasan dunia fizikal. Contohnya konsep kenegaraan tidak dapat
difahami oleh monyet, jadi monyet dari Indonesia tidak berasa takut atau
bersalah merentasi sempadan hutan dan memasuki hutan negara Malaysia.
Namun otak yang kompleks ini mempunyai
batasan, kita mempunyai batasan dari sudut memori sebagai contoh. Kita mungkin
dapat mengingati sesuatu peristiwa sebagai contoh, tetapi kita akan melupainya
beberapa tahun akan datang. Atau kita mengingati peristiwa tersebut, tetapi
kita lupa akan setiap perincian peristiwa itu. Contohnya kita ingat bahawa kita
pernah memasuki sekolah rendah, tetapi lupa akan warna beg sekolah kita pada
masa tersebut.
Disebabkan keterbatasan otak dan
memori, manusia mula mencipta sistem tulisan, agar peristiwa, maklumat, dan
ilmu dapat dikumpulkan, dipelihara, dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Seorang tabib yang hidup 100,000 tahun yang lampau sebagai contoh, ilmu
tabibnya akan mati dan hilang selepas matinya dia. Generasi selepasnya perlu
mengumpul semula maklumat dari sifar, membuat kesilapan yang sama, mungkin
hanya sedikit ilmu yang dapat diwariskan secara oral. Tetapi tabib yang hidup
pada tahun 2019 boleh mewariskan ilmu dan pengalamannya dalam tulisan jurnal,
buku, blog dan sebagainya. Manakala generasi seterusnya boleh mendapat ilmu
dari tinggalan tulisan ini, dan pengumpulan ilmu itu boleh ditambah pada
peringkat baru yang lebih tinggi, tidak perlu dimulai dari sifar semula.
Penciptaan tulisan dan pembukuan
merupakan satu revolusi yang mengubah bagaimana manusia hidup pada hari ini.
Carl Sagan ketika membicarakan berkenaan dengan buku dan pembacaan menyatakan
bahawa buku merupakan sesuatu yang bersifat magikal, yang membolehkan seseorang
manusia berinteraksi dengan manusia di abad lain, yang mungkin sudah ratusan
tahun meninggalkan dunia. Sebagai contoh, kita boleh mengetahui apa yang
difikirkan oleh Annelies Frank 74 tahun yang lalu ketika dia bersembunyi dari
tentera Nazi. Kita dapat tahu apa perasaannya, bagaimana emosinya setiap hari
walaupun kita mungkin belum wujud pada ketika itu, kita tidak pernah berjumpa
dengannya, malah kita tidak fasih berbahasa German. Perkara ini dibolehkan
dengan penulisan diari, melalui usaha penterjemahan dan pembukuan.
Namun mungkin kebanyakan dari kita
merasakan bahawa menulis dan membaca merupakan sesuatu benda yang biasa. Apa
yang magikal tentang pembacaan sedangkan kita sudah pandai membaca sejak dari
tadika?
Kita telah terbiasa dengan menggunakan
membaca dalam aktiviti harian, seperti membaca papan tanda untuk mencari arah,
membaca arahan kerja untuk melakukan tugas, tiada yang unik. Seperti kita telah
terbiasa mengangkat gelas berisi kopi latte, ia tidak ajaib kecuali jika tangan
kita telah diishtiharkan lumpuh oleh doktor. Kita akan merasakan ia sesuatu
yang ajaib, seperti yang dirasai oleh Sagan jika kita menggunakannya untuk
membaca bahan ilmu yang dikumpul manusia zaman berzaman melalui penulisan dan
pembukuan.
Kita tidak perlu menjadi panglima perang untuk mengetahui bahawa dalam peperangan sistem logistik merupakan antara faktor penentu menang atau kalahnya sesebuah tentera. Kita tidak perlu mengambil risiko menyertai perang yang mungkin boleh mengorbankan nyawa kita. Kita boleh belajar dari kesilapan orang lain melalui pembacaan. Kita boleh membaca kisah kegagalan Jeneral Alexander Samsonov dalam pertembungan di Tannenburg dalam buku yang ditulis oleh Barbara Tuchman dalam bukunya The Gun of August sebagai contoh.
Kita juga tidak perlu mencipta mesin masa untuk kembali melihat peradaban manusia zaman silam, kita dapat memahami kehidupan tamadun silam dengan membaca tulisan pengembaraan Ibnu Khaldun dalam bukunya Muqaddimah. Atau mungkin kita hendak membaca nasihat tentang kehidupan dari seorang tua yang sedang terlantar sakit, kita tidak perlu ke hospital, kita boleh membaca buku Tuesday with Morrie.
Jika manusia yang telah mati tetapi
masih hidup digelar hantu. Kebanyakan buku sebenarnya adalah hantu, ia
merupakan cebisan minda manusia yang masih mampu berkomunikasi dengan manusia
lain, walaupun jasad asal penulis telah mereput lama di makam-makam perkuburan.