Arun Mohamed
9.30 pagi nanti Arun Mohamed, seorang lagi pelajar PhD saya akan berhadapan dengan dua pemeriksa luar bagi mempertahan tesis beliau. Inilah pelajar saya yang paling manja.
Di peringkat sarjana muda, beliau pelajar senior saya. Umur kami hampir sebaya, kalau tidak pun beliau tua setahun. "Prof baliklah, saya bayar tambang prof," beliau memujuk saya.
Ia bukan soal tambang tetapi saya benar-benar tidak dapat meninggalkan Madinah. Lebih tepat lagi, universiti Taibah.
Kehadiran saya – barangkali – menaikkan semangat dalaman beliau. Namun saya nyatakan, "InsyaAllah, saya ada atau tiada, you akan berjaya".
Dan saya sentiasa berdoa di sini untuk anak-anak murid saya yang cemerlang. InsyaAllah, beliau akan bergelar Prof Madya Dr Arun Mohamed.
Lesen kereta Arab Saudi
Saya sudah memandu hampir 23 tahun.
Lalu jika di suruh mengambil lesen sekali lagi bersekali dengan ujian komputer tanda-tanda jalanraya, saya jangka akan gagal. Pertama, masalah bahasa. Kedua, di sini ada tanda unta!
Menurut cerita, ada orang Malaysia yang hanya perlu menukar lesen Malaysia tanpa perlu melalui ujian baru. Saya mencari yang ini. Namun ia tidak semudah A, B dan C.
Hari pertama mengisi borang. Salah satu borang yang perlu di isi ialah Medical Check-Up. Lalu berkejar ke King Fahd hospital. Ia selesai dalam masa yang singkat.
Mereka mempercayai apa yang saya sebut. Darah? O+.
Lalu terus ke litar. Saya rasa segalanya OK. Dua kali side-parking masuk dalam garisan yang tepat.
Saya tersengih bila keluar kereta tanda berpuas hati.
Bila keluar keputusan, "perlu 3 jam latihan". Saya akur dan membayar RM100 kepada sekolah memandu.
3 hari kemudian saya hadir semula untuk menjalani latihan. Saya memandu satu pusingan di litar dan diminta untuk mengambil peperiksaan komputer.
Saya balik tanpa mengikut arahan kerana tahu akan gagal kerana tidak bersedia. Sebelumnya, saya dimaklumkan tidak perlu mengambil ujian tersebut.
Semalam, saya hadir lagi. Terus ke litar dan mengambil ujian memandu. Ia seperti hari-hari sebelumnya. Sangat OK pada perasaan saya. Alahai… sekali lagi diminta untuk mengambil ujian komputer. Aduhai mati saya!
Wakil saya (orang Arab Saudi) memujuk, "Dr ambil, lulus atau gagal, kira lulus," saya tidak mempercayainya setelah melalui 3 hari yang sangsara.
Apa yang saya boleh lakukan? Hanya berdoa.
Sayalah orang terakhir yang memasuki bilik tersebut. Mereka sudah mahu tutup kedai. "Al-Ustaz, bahasa apa yang mahu digunakan?," mereka bertanya dalam bahasa Arab. Saya agak sahaja!
English.
Ha… ha.. ha… mereka ketawa. Ditekannya software dalam bahasa Arab. Kecut perut saya. Saya mengadap komputer dan menjawab kesemua soalan yang ditanya.
100% betul. Bagaimana saya menjawabnya, biar saya dan Allah sahaja yang tahu!
Kini, di dalam dompet saya sudah mempunyai lesen memandu Arab Saudi yang sah laku untuk selama 5 tahun. Ia harta yang sangat bernilai.
Sabar, sabar, sabar, sabar….. berakhir lagi satu episod dalam hijrah saya.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
