menganugerahkan hasil karya

jika tiada aral melintang, saya akan balik ke Sarawak 3 hb November. juga jika tiada hal menghalang, pada pukul 2 petang hari yang sama, saya akan menghadirkan diri di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak sempena Majlis Tinta Kenyalang 2011. majlis apakah itu? saya akan menceritakannya di perenggan ke tiga di bawah.

dengan buku memoir Istanbul karangan Orham Pamuk, novel Pedro Paramo karangan Juan Rulfo dan buku puisi Setitik Darah di Bilik Bundar karangan SN Muhammad Haji Salleh dibekal, menjadi peneman masa senggang selama seminggu di tanah kelahiran, Bumi Kenyalang tercinta. buku cerpen After Quake karangan Haruki Murakami, dibeli dari jualan murah di tingkat bawah Amcorp Mall akan diulang baca.

pada tahun 1991, jika tidak silap, saya pertama kali menghadirkan diri pada sebuah majlis yang dikenali dahulu dengan nama Hadiah Penghargaan Penulis-Penulis Sarawak. majlis diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak pada sebelah malam, selepas waktu Isyak, jika tidak silap. waktu solat di negeri Sarawak memang lebih awal dari waktu solat di negeri-negeri Semenanjung. saya hadir dengan lagak kononnya orang seni. rambut diminyak code 10 dan baju berbunga ala Zainal Abidin penyanyi lagu Hijau. o yeah!

dengan sedikit tersipu bercampur ghairah, maka saya pun menghadirkan diri. tahu-tahu sahaja kerana gugup, saya tersalah tempat duduk di kerusi vip. Puan Hajijah Jais (orang besar Jabatan Penerbitan DBPKL sekarang)dengan senyuman melihat kecanggungan saya, mengarahkan saya untuk duduk di meja belakang. haha! pada majlis yang menganugerahkan pencapaian para penulis Sarawak menghasilkan karya-karya sastera itu, penilai hadiah belum lagi memilih saya sebagai pemenangnya. saya masih muda ketika itu, pipi masih terbentuk dan sekarang sudah tembam ditambah dagu yang berlipat dua.

duduk di meja belakang, saya merenung diri sendiri, melihat barisan pemenang diraikan. duduk menyandar di kerusi ketika itu, saya sedar akan pembacaan yang masih sempit, darjah kefahaman masih cetek apalagi dengan jangkauan intelek agak terbatas. ketika masih muda, saya sering menyalahkan hal-hal tanpa sebab, mudah terlepas cakap kerana keterbatasan fahaman dan selalu dialahkan oleh kerendahan adab serta ilmu. maka, lebih kurang 20 tahun kemudian, jika tiada aral mengganggu, saya akan menghadirkan diri untuk Majlis Tinta Kenyalang (nama baru kepada Hadiah Penghargaan Penulis-Penulis Sarawak)dan mungkin tidak lagi duduk di meja sebagai hadirin.

merindui kau Pasar Kuching..
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 20, 2011 18:58
No comments have been added yet.


Roslan Jomel's Blog

Roslan Jomel
Roslan Jomel isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Jomel's blog with rss.