Kembali ke Rutin Kehidupan Yang Biasa-biasa
Post Raya Syndrome…
Pergilah ke hospital.
Segalanya meningkat.
Tekanan darah meningkat, kadar gula dalam badan naik, hutang pun mencanak.
Kalau tidak berjaga-jaga, punah semua hasil mujahadah Ramadan.
Di Bandar Seri Putra, saya baru mahu belajar menyesuaikan diri dengan 'kehidupan sebenar' pasca Ramadan. Tiada lagi bazar, tiada lagi musim orang ke surau dan masjid. Yang tinggal hanyalah kehidupan yang biasa-biasa. Untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan yang biasa-biasa itu, seperkara yang pasti ialah, kejiranan kami memang anak perantau belaka. Bandar Seri Putra seperti dilanggar garuda.
Sepi.
Satu kedai makan pun tidak dibuka.
Bahan untuk memasak di rumah pun tiada.
Mujurlah ada kedai makan orang kampung Chennai yang setia sentiasa.
Hari ini saya cuba memulakan rutin kehidupan biasa.
Berpeluang bangun betul-betul awal setelah malam tadi berjaya tidur awal, solat Subuh di surau al-Hijrah cukup mendamaikan, biar pun jemaah amat kecil kerana masih ramai yang bercuti. Sahabat saya yang mengimamkan solat, kemudiannya mempelawa saya menyampaikan Tazkirah Subuh.
Saya mengambil ruang itu untuk memperingatkan diri sendiri dan sekalian yang hadir dengan tuntutan istiqamah pasca Ramadan. Hanya satu daripada empat rukun istiqamah saya sentuh, berdasarkan tafsir Surah Hud ayat 112 hingga 114.
Usai berkuliah, saya pulang ke rumah dan segera menyarung pakaian riadah.
Tidak pasti masyarakat Bangi beriadah di mana, saya kira kawasan kediaman kami sudah cukup baik untuk menjadi trek berjogging. Alhamdulillah, saya berjaya melangsaikan jarak 4km, sebelum isteri saya pula turun bersama dan saya menemankan beliau berjogging untuk sedikit tambahan jarak dan masa.
Terima kasih juga kepada empat ekor anjing yang menyergah saya di sebalik bukit.
Saya perlu membaca huraian ahli Tafsir tentang anjing Ashaab al-Kahf untuk meredakan 'kebencian' saya kepada spesis haiwan yang satu ini. Mungkin pengalaman cedera diserang anjing semasa kanak-kanak dahulu masih menebal traumanya di dalam ingatan.
Saya juga sempat menghantar sms kepada Zainal Lutfi dan Ahmad Shakir, mengajak mereka beriadah di mana-mana sahaja mereka berada, bagi merawat 'lemangitis' yang berbahaya itu. Saya mahu keluarga saya sihat. Saya juga mahu sahabat-sahabat saya sihat. STC perlu menjadi syarikat ikon Halalan Tayyiban.
Bersarapan pagi dengan epal, agak keterlaluan bunyinya. Namun itulah rezeki saya untuk baki seminggu dua program diet yang berbaki.
Catatan ini biasa-biasa sahaja.
Tidak ilmiah dan tiada falsafah.
Hanya mahu mencelikkan hati melihat 1001 perkara luar biasa, di sebalik rutin harian yang biasa-biasa.
Bukankah itu luar biasa?
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Related posts:Nostalgia Biasa-biasa Yang Luar Biasa
Kepercayaan Biasa dan Luar Biasa
Menghebatkan Tafsiran Sebuah Kehidupan