Jangan Tutup Mulut Yang Mengata

[image error]


"Hah, macam ini baru smart. Kalau dulu…." ulas seorang rakan.


Ayatnya tidak habis.


Saya tersenyum.


Tidak perlu ayat itu dihabiskan. Saya boleh menyambungnya sendiri dengan realiti semalam yang saya hidup dengannya.



Bukan sekali, tetapi kerap sekali. Sangat kerap kenalan yang memuji perubahan diri, ada ayat yang tidak habis di hujungnya.


Saya mengambil 'fenomena' itu sebagai hakikat bahawa selama ini, orang mempunyai pendapat tentang keadaan fizikal saya. Mereka mungkin tidak senang, tidak suka, menyampah, atau mungkin kecewa malah skeptis dengan kegemukan yang saya 'miliki'. Namun dek rasa hormat, atau enggan jaga tepi kain orang, maka komen-komen itu tidak sampai ke telinga saya.


Saya menghargainya.


Sekurang-kurangnya pada ketika itu, mereka tidak menyeksa atau menambah seksaan kepada emosi saya. Tidak sekejam mereka yang menulis komen di blog dan Facebook, "ustaz gemuk ini, satu antara dua sahaja; sama ada banyak makan benda haram, atau banyak makan benda halal banyak-banyak, akhirnya haram!"


Sakit.


Tanpa iman, ada orang mungkin boleh nekad membunuh diri kerana kata-kata itu.


Tiada orang gemuk yang gembira dengan kegemukannya. Malah orang-orang gemuk itu sudah secara senyap-senyap mula percaya bahawa mereka ditakdirkan gemuk, dan mati akibat komplikasi kegemukan. Satu bentuk 'bunuh diri' yang halus, kerana berhenti berharap dan menyarung sebuah putus asa.


Tetapi…


Mendiamkan diri (apatah lagi berpendapat namun sekadar mengumpat di belakang) tidak akan mengubah apa-apa. Bagaimana anda boleh mengatakan anda sayang kepada ustaz itu, tetapi anda membiarkan dia menzalimi dirinya sendiri. Atau kerana kononnya sayang, apabila berkata-kata, anda tidak memilih untuk mengurangkan bisa pada bilah perkataan yang diguna?


Orang gemuk itu sakit.


Apakah adabnya menyakiti orang sakit?


Bukankah Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam telah bersabda,



عن أنس رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: انصر أخاك ظالماً أو مظلوماً، فقال: رجل يا رسول الله صلى الله عليه وسلم أنصره إذ كان مظلوماً، أفرأيت إذا كان ظالماً كيف أنصره؟! قال: تحجزه أو تمنعه من الظلم، فإن ذلك نصره

Daripada Anas Radhiyallahu 'anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam telah bersabda, "bantulah saudaramu, sama ada dia itu menzalimi atau dizalimi." (Seorang sahabat) bertanya, "seorang lelaki itu wahai Utusan Allah, aku membantunya jika dia dizalimi. Bagaimana pula boleh seorang yang menzalimi itu aku membantunya?" Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam menjawab, "Engkau menyekat atau menghalangnya daripada melakukan kezaliman, maka sesungguhnya demikian itu adalah bantuan untuknya" [Hadith riwayat al-Bukhari]


Orang yang kegemukan sedang menzalimi dirinya.


Dan jika dia itu seorang suami, bapa, pemimpin, majikan, dia juga sedang menzalimi mereka yang berada di bawah tanggungannya.


Mereka mesti dibantu.


Mereka perlu diberitahu.


Atas rasa kasih sayang dan ukhuwwah, pada mengimani pesanan Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam, "tidak sempurna iman sesiapa dari kalangan kamu, sehinggalah dia suka untuk saudaranya apa yang dia suka untuk dirinya" izinkan artikel pendek ini memberitahu:


"Ustaz, jangan mengalah. Kena berubah. Kena bermujahadah. Kegemukan itu musibah"


Orang tidak menyebut di hadapan kita. Tetapi di belakang mereka mengata, ustaz.


Tolong mereka agar mereka berhenti menzalimi diri mereka dengan mengumpat lagi mengata.


Jangan cuba tutup mulut mereka.


Buatlah yang lebih mudah.


Iaitu kita berubah.


Susah, tetapi… Insha Allah!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Kurus Atau Gemuk, Bertandinglah Dengan Diri Sendiri
Layan Jangan, Lawan Pun Jangan
'Tentang Bulan' Yang Mengecewakan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 02, 2011 19:57
No comments have been added yet.