Permulaan Hari Yang Indah
Pagi tadi (11 Mei 2013), bertempat di Balai Seni Visual Negara, saya bersama² teman Buku Jalanan TITI telah menjayakan program Melagukan Puisi sempena pameran seni "60 Tahun Latiff Mohidin". Saya dijemput untuk turut serta di atas pelawaan saudaraPerewa malam semalam. Walau isi-kandung program telah diubah sedikit untuk kesesuaian perjalanan acara, namun objektifnya tercapai penuh! Dipersembahkan ahli² kumpulan kelolaan saudari Khairiah dan saya; adik² ini comel² belaka (dan seorang ibu muda bersama anaknya).
Program yang berjalan setiap minggu ini membawa tema dan pengisian berbeza tetapi bersandarkan kepada elemen teras iaitu karya² nukilan Sasterawan Latiff Mohidin, terutamanya kepada penghasilan karya² lukisan. Dengan itu, pada hari ini - untuk Melagukan Puisi - para peserta dikehendaki menukilkan sendiri sajak yang diilhamkan oleh lukisan² yang dipamerkan. Untuk kesesuaian umur dan latar belakang, kami berdua bersetuju membawa teman² baru kami ke galeri yang menempatkan karya pasca-moden circa 90an - 2000an? Di sini, lukisan² berasaskan acrylic lebih ceria warnanya; satu tarikan dan rangsangan minda buat teman² cilik kami.
Hasilnya sangat² memberangsangkan kami berdua; saya terutamanya! Hanya dengan sedikit tunjuk ajar menginterpretasi lukisan dan panduan asas bersajak (dan juga sedikit ajaran mengeja kepada adik Nurul yang termuda, berusia 8 tahun), kami berasa sangat bangga dengan penghasilan karya² yang saya kira jauh menjangkaui umur dan pengetahuan mereka, apatah lagi mereka langsung tidak pernah bersajak! Saya harap sajak² ini akan dimuatnaik oleh saudara Perewa kelak di FBnya.
Melayankan keletah mereka terutamanya adik Nurul yang pada mulanya jual mahal dengan saya, adik Anaqi (anarchy?) yang tidak berhenti berbicara, dan juga adik Siti yang tidak dapat bertutur sempurna dan dibantu kakaknya, Balqis; sangat² membahagiakan saya, dalam masa yang sama, turut menyedarkan saya bahawa kenaifan itu adalah satu sifat yang sering kali dipandang sinis sedangkan ia merupakan satu sisi mulia yang menjadikan kita semua manusia; manusia.
Kepada teman² baru saya, terima kasih yang tidak terhingga untuk hari ini! dari kiri ke kanan: adik Nurul, adik Anaqi dan ibunya, Tina, adik Alif (ini bukan namanya tetapi saya selalu silap memanggilnya begitu, hahahaha!), Balqis, adik Siti, dan adik Wani — with Khairiah Musafir Kasih and Wan Nurul Alya Najwa.

Published on May 11, 2013 11:24
No comments have been added yet.