Eksperimentalis Menurut Pandangan SN Shahnon Ahmad

Akhirnya majalah Dewan Sastera isu Julai berjaya diterbitkan. Kesemua golongan penulis berasa sedikit cemas apabila majalah kesayangan ramai ini teramat luar biasa jarak kelambatannya menemui para pembaca. Sementara penulis yang mendapat bayaran honorarium atas penyiaran karya di dalam majalah tersebut, ganjaran duitnya sudah lama "habis licin" - bak kata penyair Raihani Mohd Saaid. Tidak terkecuali saya.



Selain cerpen dan puisi saya turut dimuatkan dalam majalah sastera bulanan tersebut, tulisan SN Shahnon Ahmad dalam kolum Pabila Hujan Turun, semestinya wajib dibaca berkali-kali. Calon penulis sama ada mantan MPR atau tidak, kolum yang membawa pemikiran dan sikap SN Shahnon Ahmad tentang dunia kesusasteraan, wajar dijadikan bahan bacaan untuk mengembangkan wawasan penulisan masing-masing. Ewah.



Saya tidak pernah bersua muka dengan beliau, sedihnya, sementara orang rumah saya pernah. Suatu perkara yang sering saya fikirkan, mengapa sehingga ke usia sebegini, SN Shahnon Ahmad masih lagi ghairah berbicara tentang usaha eksperimental dalam pengkaryaan? Malah beliau sentiasa menekankan betapa perlunya penulis melakukan usaha "penyimpangan" dalam kerja atau pertukangan karya.



Menulis pada kadar biasa-biasa sahaja tidak menarik? Dan apakah pandangan SN Shahnon Ahmad mengenai seseorang eksperimentalis? Beliau menulis pandangannya dalam perenggan ke lima:



"Untuk menjadi seorang sasterawan yang besar, seseorang sasterawan perlu juga menjadi seorang eksperimentalis yang berilmu. Ilmu apakah yang diperlukan oleh seorang eksperimentalis? Banyak. Memang terlalu banyak dan tidak akan habis-habis."



Untuk menjelaskan maksud ilmu dan kepentingannya kepada seseorang eksperimentalis, SN Shahnon Ahmad menghuraikan beberapa pandangan dan sokongan hujahnya di perenggan yang seterusnya. Membuat sesuatu perkara tanpa ilmu, memang tidak mendatangkan sebarang hasil. Membeli lauk-pauk di pasar ramadan sebagai juadah untuk berbuka pun harus memerlukan "ilmu kewangan." Syaitan memang suka menambah kenalan FB-nya yang membazir semasa bulan berpuasa. Ewah.



Namun, menurut SN Shahnon Ahmad, ekperimentalis tidak akan memilih andai kata "sasterawan itu (masih) leka berprosa atau berpuisi dengan olahan-olahan konvensi yang itu sahaja." Maka, "kalau sasterawan tidak berani menjadi seorang eksperimentalis, lebih-lebih bagi eksperimentalis yang revolusiner dan radikal, maka sasterawan itu boleh juga mengasah bakatnya dengan gaya yang lama dan dengan ilmu yang tidak berubah-ubah."



Jika melalui tulisan-tulisan SN Muhammad Haji Salleh, para penulis diseru supaya sentiasa mengamalkan sikap kerendahan hati, jangan sesekali berlagak angkuh atau bersikap kasar sesama penulis yang berbeza fahaman, manakala SN Shahnon Ahmad secara tekal menuntut agar seseorang penulis itu harus keluar dari kepompong zon konvensi dan menulis sebuah karya yang lebih mencabar struktur penulisan biasa.



Kedua-dua pandangan ini sentiasa saya cuba tertanam di dalam sanubari. Sedangkan penulis seperti Haruki Murakami ketika menjawab soalan dari salah satu wawancara, dengan penuh sikap rendah diri menjawab, bahawa bakat kepenulisannya, tidak lain dan tidak bukan, adalah datang dari Tuhan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 09, 2011 21:28
No comments have been added yet.


Roslan Jomel's Blog

Roslan Jomel
Roslan Jomel isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Jomel's blog with rss.