Rintih Jiwa Manusia dalam The Particular Sadness of Lemon Cake


Beberapa hari sebelum hari lahirnya yang kesembilan, Rose Edelstein pulang dari sekolah dan disambut dengan riang oleh ibunya, Lane. Lane kemudiannya membakar kek lemon yang dihias dengan kemasan coklat, sebagai latihan untuk menyediakan kek hari jadi Rose nanti. Rose menemani, memerhati ibunya menyediakan kek berkenaan dengan gembira.

Namun apabila dia mengigit potongan kek yang sudah siap itu, Rose tidak merasai lemak mentega, masam lemon, manis gula atau pahit coklat. Sebaliknya, tunas rasa Rose mengecam kekosongan jiwa Lane yang merasa terperangkap dalam kehidupan sebagai isteri seorang peguam dan ibu kepada dua anak yang sedang membesar di sebuah subbandar di kota Los Angeles.

Kejadian ini telah menyedarkan Rose tentang 'keistimewaan' yang dimilikinya, sekaligus merenggut kenaifan seorang budak perempuan yang masih mahu dilindungi daripada kerumitan kehidupan, terutamanya kehidupan orang-orang dewasa. Premis inilah yang menggerakkan novel The Particular Sadness of Lemon Cake karya Aimee Bender yang sudah menjadi buku laris di Amerika Syarikat.

Sungguh pun begitu, novel ini bukan tentang Rose. Paling tidak, bukan seratus-peratus seperti sangkaan awal saya. Oh ya, ia digerakkan oleh pencerita orang pertama (Rose). Ini penting kerana dengan cara ini barulah pembaca dapat menyelami resah jiwa Rose yang dipaksa menjadi dewasa sebelum masanya. Melalui teknik penceritaan sebegini, pembaca akan turut terseksa bersama Rose, sehingga akan tersentuh dengan raungan anak gadis itu agar mulutnya dibuang sahaja.

Rose juga menjadi fobia dengan makanan sehingga menjadikan makanan ringan sebagai diet ruji. Rose juga menyenangi makanan yang dibuat sepenuhnya di kilang, kerana dengan itu dia tidak perlu merasa lebih daripada sepatutnya. Ini merupakan cabaran besar buat Rose disebabkan ibunya suka memasak. Rose semakin menjeruk rasa apabila mengetahui tentang hubungan sulit ibunya melalui hidangan makan malam yang disediakan Lane juga.

Tetapi The Particular Sadness of Lemon Cake juga tentang orang-orang di sekeliling Rose. Ia tentang Lane, yang menyangka dia telah ditemukan jodoh oleh permainan takdir yang romantis sehinggalah pada hari perkahwinannya dia mendapat tahu bahawa takdir itu diatur.

Novel ini juga tentang Joseph. Joseph abang Rose yang genius dan merupakan anak emas Lane. Namun di sebalik kasih-sayang, perhatian dan potensi untuk menjadi seseorang, Joseph masih berasa sunyi dan tidak dikehendaki.

Sementara bapa Rose dan Joseph juga mempunyai isu peribadi sendiri. Isu itu bukan sahaja 'menghalangnya' menjadi bapa yang lebih cakna, tetapi juga menterjemahkannya sebagai suami yang kurang peka. Bayangkan, dia mempunyai fobia melampau pada hospital sehingga tidak sanggup berada di sisi, bahkan melawat Lane ketika kedua-dua anak mereka dilahirkan!

Saya paling gemar bagaimana Bender merakam resah jiwa semua manusia ini dalam bentuk makanan. Ini adalah percubaan yang menarik lagi pintar, sementelah kita tahu bagaimana sukarnya pelukisan emosi atau perasaan dilakukan.

Ini membolehkan fokus cerita kembali kepada Rose - si pencerita yang mengikat semua serabut emosi dalam novel ini. Kita akan menjadi simpati pada gadis kecil yang akhirnya besar dalam pengabaian - oleh ibu bapanya juga oleh dirinya sendiri, kerana dia terpaksa menumpukan seluruh tenaganya untuk melawan 'pengetahuan' tanpa rela yang menyusup hadir melalui deria rasa.

Tetapi Rose sendiri akhirnya mengaku pertarungan itu berbaloi meski pun apakala merasa masakan sendiri, dia merasai kekosongan serta rintih jiwa yang mahu kembali ke dunia semasa berusia kurang sembilan tahun.

Kenapa?

Setiap nyawa kehidupan manusia itu sesungguhnya amat bernilai untuk dinikmati!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 26, 2011 07:08
No comments have been added yet.