Penulis Muda dan Dialog Orang Muda

Dialog Orang Muda (DOM) kelolaan Sekretariat Penulis Muda PENA rupa-rupanya telah diadakan secara konsisten selama lebih setahun. Pelbagai isu telah dibincangkan dalam tempoh tersebut, dengan keutamaan seputar hal-hal bahasa, sastera dan budaya, tanpa mengenepikan perkara-perkara lain yang berkaitan seperti politik dan pendidikan.

Namun, seperkara yang menyedihkan sepanjang berlangsungnya DOM adalah sambutan khalayak. Ada ketikanya, hadirin yang hadir tidak ramai. Ini tidak menjadi hal, kerana selalunya hadirin yang kecil saiznya ini selalunya berkualiti - dari segi menerima dan menyampaikan pendapat berkaitan tajuk perbincangan. Tetapi yang menyedihkan, sambutan khalayak penulis, iaitu penulis muda terutamanya terhadap DOM. Memang ada penulis muda yang hadir secara konsisten, tetapi setiap bulan, 'muka-muka' itu sahajalah yang kelihatan.

Mengapa perkara ini terjadi? Tajuk tidak cukup menarikkah, atau penulis muda yang tidak cakna? Perlukah tajuk perbincangan memperkatakan tentang sastera dan bahasa per se, barulah penulis muda akan menunjukkan muka? Ini mengajak kita merenung satu perkara lain: iaitu perlukah wujud pengkategorian apabila kita mempolemikkan sesuatu - ia tidak berkaitan dengan aku, jadi buat apa aku ambil tahu?

Tidakkah sebagai penulis; penulis muda terutamanya, kita sepatutnya ramah dengan apa jenis isu sekali pun? Untuk memiliki bank idea yang besar serta meneguhkan landas perjuangan, tidakkah wajar kita bermesra dengan isu yang mungkin tidak akan kita cintai tanpa terlebih dahulu mengenali?

Apa-apa pun, jemputlah ke DOM April 2011 pada 17 April nanti. Tajuk perbincangan "Sastera Kebangsaan: Anak Tiri di Sekolah?"
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 20, 2011 04:35
No comments have been added yet.