Ibnu Rijal's Blog, page 2
December 23, 2011
senarai watak penting, dan perwatakan dalam novel Putera Multazam..
1. haji Idris - ayahnda kepada multazam, pelakar sejarah buat kampung Muara Panjang.
2. Hajjah Salma - Ibunda Multazam, wanita berusia 70-an, cekal, tabah dengan dugaan hidup.
3. Multazam- watak utama novel, pendukung cerita, pemuda bujang berusia 20 an, tenang dan besederhana.
4. Fatimah - anak sulung Hj Idris- janda tanpa anak, berusia 50-an.. kuat beribadah dan tidak banyak berbicara.
5. Zarifah - anak kedua Hj Idris,
6. Sumayyah - anak ketiga hj Idris, ramah dan suka mengusik, tegas terhadap anak-anak.
7. Hasyim- suami kepada Zarifah, berjawatan besar di Kota.
8. Rahman- suami kepada Sumayyah, tinggal bersama Long Ma, menyara hidup dengan menjadi penyelia kilang.
9. Hj Imran- kawan lama Hj Idris, orang berada, disegani di Muara Panjang.
10. Majid- pembantu peribadi Hj Imran.
11. hj Karim - imam surau Muara Panjang, baik namun sifat egonya menguasai diri.
12. Rahmat- bilal surau, orang kuat Hj Imran.
13. Tahir- lelaki berusia awal 40-an, tergas, garang, panas baran, meski ada ilmu agama.
14. ustaz Bakar- pengarah Pejabat agama, disegani ramai, tenang, namun ada kalanya tegas.
Published on December 23, 2011 23:54
petikan novel Putera Multazam - ibnuRijal,2011-
1. Kepulangan yang Dinanti
Suasana dingin pagi mulai menyapa diri. Sayup-sayup kedengaran si pemanggil memanggil ke jalan Ilahi. Ada yang masih dibaluti selimut dan ada yang masih lagi didakapan mimpi yang sudah pun berlarutan ke masa tambahan. Ada juga yang sudah pun melangkahkan kaki untuk keluar mencari rezeki, tidak kurang juga yang baru pulang dari mencuri. Haji Imran serta Majid melangkahkan kaki perlahan-lahan menuju ke surau.
“Suara siapa tadi tu Haji? Lain benar. Sayu pula rasa apabila mendengar azan tadi,” soal Majid, lelaki berusia 40-an yang bekerja kampung mengurus segala urusan ladang-ladang Haji Imran serta bertindak sebagai pembantu peribadinya.
“Entahlah, Haji sendiri pun tidak dapat mengecam suara tu. Yang pasti, sudah lama surau kita ni tidak kedengaran azan Subuh. Entah siapa gerangan pemilik suara itu, haji pun tidak tahu,” balas Haji Imran, orang lama di Kampung Muara Panjang yang disegani kerana sifat dermawannya kepada penduduk kampung.
“Entah–entah malaikat yang turun azan kot, sebab orang kampung kita malas sangat nak bangun Subuh,” gurau Majid sambil menepuk bahu Haji Imran.
“Hisyyy kamu ni Majid, ke situ pula. Haji yakin ini mungkin suara jemaah tabligh yang datang bermalam di kampung kita ni,” balas Haji Imran.
“Hai, Haji dah lupa ke? Jemaah tabligh tak pernah masuk ke kampung kita dah. Sejak dihalau oleh imam surau, Haji Karim, dua tahun lepas...” kata-kata Majid itu benar-benar menambahkan lagi tanda tanya di lubuk hati Haji Imran. Semakin hampir mereka ke surau, semakin kuat keinginan mereka untuk mengenali muazin tersebut.
Sebaik sahaja tiba di surau, Haji Imran serta Majid menaiki tangga surau dan kelihatan dari belakang, seorang yang sedang bersembahyang sunat rawatib. Wajahnya kelihatan tenang, jubahnya terurus dan amat berseri. Suasana surau yang malap menyerlahkan lagi cahaya putih dari jubah pemuda itu. Pergerakannya lembut dan teratur. Terkedu seketika Haji Imran dan Majid apabila melihat kekhusyukan pemuda itu.
“Haji, kan saya dah cakap tadi, malaikat yang azan. Tengok tu, subhanallah kita diberi peluang tengok malaikat pagi ni,” bisik Majid perlahan-lahan ke telinga Haji Imran.
“hisyhh..Kamu ni Majid, itu manusia. Haji rasa muda lagi budak ni. Marilah kita solat sunat dulu, nanti kita tanyakan siapa sebenar budak ini dan mana asalnya,” balas Haji Imran.
Hati Haji Imran terasa amat berdebar. Jantungnya berdegup kencang. Sepanjang bersolat sunat, Haji Imran memikirkan siapakah pemuda ini. “Ya Allah, apakah yang sedang engkau tunjukkan padaku ini? Lain benar rasanya perasaanku terhadap pemuda ini, bagai ada suatu rahsia dan petanda yang dibawa bersamanya,” bisik hati Haji Imran..
.......................................................................................................... ...........
Published on December 23, 2011 23:20
Ibnu Rijal's Blog
- Ibnu Rijal's profile
- 41 followers
Ibnu Rijal isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.

