Ayu Emelda's Blog, page 5

March 3, 2012

3 X BENCI ~ Part 2


MAK TON letak telefon dengan nafas berat. Hampir biul kepalanya memikirkan satu-satunya kemahuan anak bujangnya. Belajar sampai ke luar negara, takkan tak ada langsung perempuan yang berkenan di hati. Si Qisya tu jugak yang dia angankan!

Agaknya, Zarif terkena sampuk atau sudah diguna-gunakan. Kalau di Amerika tu ada mandi bunga, boleh juga disuruh Zarif berubat. Buang sial atau apa yang patut. Tapi yang ada cuma mandi spa!

"Tak habis-habis keluarga kau menyusahkan aku, Ari!" gerutu hatinya dengan nafas keras. Wajah lelaki itu terus menjelma di ruangan mata. Membangkitkan amarahnya yang terpendam di dasar hati.

"Kenapa mak bohong dengan abang?" soal Fazura.

"Bohong apa?"

"Kenapa mak beritahu nak hantar rombongan meminang Kak Qisya?" soal Fazura lagi penuh tanda tanya. Pelik memikirkan apa yang diberitahu kepada abangnya walaupun perkara itu tidak berlaku.

"Itu saja caranya untuk buat abang kamu balik ke Malaysia," beritahunya bersama keluhan panjang. Bila cara lain sudah tidak menampakkan penyelesaian, dia terpaksa guna cara lebih licik.
Rindu kepada anak bujangnya itu sudah tidak tertahan. Dialah madu, dialah racun. Terlalu besar harapan dan impiannya terhadap Zarif.

Sudah empat tahun anaknya merantau ke negara orang. Belum pernah sekalipun dia pulang. Sampai hati Zarif tidak mahu menjejakkan semula kaki ke tanah kelahiran dan tempatnya membesar hanya kerana seorang perempuan.

"Zarif takkan balik selagi pinangan Zarif ditolak Qisya. Malu Zarif mak... malu nak tunjuk muka!"

"Habis kalau pihak di sana tak sudi, mak nak buat macam mana lagi? Takkan nak paksa?"

"Mak carilah jalan. Buatlah apa sekalipun asalkan Qisya jadi isteri Zarif. Kalau tak, biar Zarif bertapa di sini tak balik-balik. Biarlah emak tak jumpa Zarif lagi sampai bila-bila."

Kata-kata itu membuatkan dia sesak nafas. Tidak dapat dibayangkan kalau dia tidak bertemu lagi dengan anak kesayangannya itu.

Kerana itu juga dia sanggup turutkan apa sahaja permintaan Zarif. Tapi masalahnya, bukan semudah itu mahu mendapatkan apa yang dicita. Hati orang bukannya boleh dijual-beli dengan wang ringgit.

"Minta maaflah Ton, bukannya saya tak sudi kita berbesan, tapi Qisya tu masih belum bersedia nak kahwin."

"Tapi anak teruna aku tu berhajat benar, Jannah. Qisya juga yang dia mintak untuk dijadikan isteri. Kalau pasal hantaran kau letak berapa pun aku sanggup. Janji kita jadi besan."

"Entahlah Ton..."
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 03, 2012 19:30

February 16, 2012

3 X BENCI ~ Part 1

"KENAPA Mak Ton datang ibu?" soal Qisya sebaik turun dari motorsikal yang dibonceng.

Matanya terus memandang lenggang Mak Ton yang bertubuh rendang itu dengan anak daranya, Fazura. Jalan macam tak cukup tanah menuju ke kereta Audi A7 yang terpakir di simpang masuk ke rumahnya.

Adiknya, Alif yang sedang menongkat motor juga ikut memandang. Buka helmet lalu membetulkan rambutnya yang sudah penyet.

Puan Jannah mengeluh. Kemudian sambung menyapu daun-daun kering yang di laman.
"Ibu, Mak Ton datang rumah buat apa?" soal Qisya sekali lagi.

"Takkan kak long tak tahu. Mak Ton tu kan dah kemaruk sangat nak jadikan kak long menantu," sampuk Taufik sebelum Puan Jannah buka mulut.

Adik bongsu Qisya tersengeh sambil tangannya masih menabur dedak untuk ayam-ayam yang mereka ternak.

Qisya kerut dahi. Pelik. Apa lagi kali ini? Takkan khabar yang sama? Kalau dah tahu orang tak nak, takkan lah mahu desak juga?! Hati Qisya menggumam sendiri, geram dengan orang yang tak faham bahasa.


"Mak Ton datang bertanya kak long lagi?" soal Alif.

Puan Jannah mengangguk.

"Tak faham bahasa betul orang tua tu. Si Zarif pun sama. Masuk ni dah tiga kali," gerutu Alif sambil melabuhkan punggung di pangkin bawah pokok jambu yang rendang berbuah.

Kalau pinangan dia yang kena reject, jangankan tiga kali, sekali pun dah rasa muka tebal berkepuk-kepuk. Tak tahu macam mana nak berdepan dengan orang kampung. Agaknya, sudah lama dia menyorok di Gunung Ledang. Bertapa di sana sampai tujuh keturunan.

"Kempunanlah Mak Ton. Abang Zarif pulak dah gigit jari agaknya," seloroh Taufik sambil ketawa mengekek.

"Habis… ibu cakap apa?" soal Qisya dalam debar.

"Kalau kak long tak mahu, macam mana ibu boleh setuju?" ujar Puan Jannah mendatar.

Zaura yang sejak tadi berdiri di ambang pintu menjeling tajam ke arah kakaknya. Mencebik bibir.

Qisya mengucap syukur dalam hati. Nasib baik ibu memang sporting. Tak ada lagi istilah kahwin paksa.

"Kak Long memang… suka tolak rezeki. Kalau keluarga kita berbesan dengan Mak Ton tu kan kita boleh tumpang senang."

Siapa tak kenal Mak Ton... taukeh emas Kampung Tanjung Kuala. Dalam kampung ni dialah yang paling berharta. Ada beberapa cawangan kedai emas di pekan. Lima keturunan pun makan tak habis.

"Engkau yang sibuk sangat tu kenapa? Suka hati kak longlah nak terima atau tak. Kahwin bukannya sebab nak cari laki kaya," bidas Alif pada Zaura. Amat tidak setuju dengan pendapat kurang matang adik perempuannya.

Itulah kebanyakan perempuan zaman sekarang. Harta sahaja yang dicari. Ada duit adik sayang, tak ada duit abang melayang.

Zaura tayang muncung. Protes!

"Mana boleh kahwin kalau hati tak cinta," celah Taufik sambil tersengeh-sengeh. Baru tingkatan lima sudah pandai cakap soal hati dan perasaan. Cuba tanya soalan sejarah, mesti tergagap-gagap nak jawab.

"Betullah alang cakap. Kalau kak long jadi isteri Abang Zarif kan boleh hidup senang..."

"Apa yang senangnya?" celah Alif sebelum Zaura sempat menghabiskan ayatnya lagi. Siap tenung macam nak telan orang.

"Mak Ton tu kan kaya. Lombong emas."

"Harta dia orang tak ada kena mengena dengan kita."

"Kan senang bila jadi menantu Mak Ton. Tak payahlah susah-susah kak long nak kerja lagi. Boleh duduk rumah goyang kaki pun tak mahu! Memang tolak rezeki namanya tu."

"Lebih baik berdiri atas kaki sendiri daripada minta ehsan orang lain untuk hidup!" bangkang Alif.

"Tapi setakat gaji kerani tu apalah sangat!" gumam Zaura perlahan sambil mencemuh. Geram kerana kakaknya tidak tahu mengambil peluang yang terbentang di depan mata.

Malah, sikap kakaknya membuatkan Zaura sakit hati. Bodoh! Dia sebenarnya sudah terbayang mahu tumpang kesenangan Mak Ton kalau kakaknya jadi menantu keluarga itu.

Puan Jannah mengeluh lagi. Lalu duduk di sebelah Alif. "Sudahlah tu... kalau kak long tak mahu Mak Ton datang sepuluh kali pun ibu tetap jawab tidak. Biarlah kita tak berduit asal kita ada maruah," ulas Puan Jannah sekadar mahu menghentikan pertelingkahan anak-anaknya.

Qisya yang mahu masuk ke rumah berpatah balik. Duduk di sebelah ibunya. Kepalanya disandar ke bahu Puan Jannah. Dia bersyukur kerana ibu begitu memahami. Tiada paksaan dalam soal jodoh.

Tidak dapat dinafikan tanggungjawabnya kini berat. Sebagai anak sulung, dia perlu memikul amanah yang abah tinggalkan kepadanya. Dengan tulang empat kerat yang dimiliki, dia sanggup bersusah payah mencari rezeki untuk keluarga. Sekali-kali tidak akan mengeluh atau berputus asa.

Dengan gajinya sebagai kerani memanglah tak banyak. Tapi tetap cukup untuk mereka sekeluarga. Yang penting, kena pandai berjimat-cermat. Dia tetap bersyukur dengan rezaki pemberian ALLAH.

Biarlah pelajarannya sekerat jalan, asalkan adik-adik boleh habiskan pengajian. Kalau ada rezeki, esok lusa dia akan tetap genggam ijazah juga. Biarlah lambat asalkan cita-citanya tetap membara.

"Kak long tunggu Abang Akim, ya?"

Soalan Taufik hanya dibalas keluhan panjang. Entah ada jodoh atau tidak antara mereka. Susah nak cakap.

Dari dulu sampai sekarang masih juga tak berubah. Balik-balik...

"Saya sayang awak. Awak sayang saya."

Sejak dari mereka sekolah menengah sehinggalah belajar ke pusat pengajian tinggi, Akim terus mengikat janji atas angin. Atau lebih tepat setakat berjanji pakai air liur.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 16, 2012 02:02

February 5, 2012

January 24, 2012

Karnival Karangkraf 2012


Nak beli buku dengan diskaun hebat? Jom ke Karnival Karangkraf pd 27 - 29 Jan 2012! Insya Allah, AE akan ada d sana @ 28 Jan (Sabtu).

♥ Ayu Emelda ♥ 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 24, 2012 05:39

January 9, 2012

Calon2 pemenang MAHAR SETULUS HATI...

Terima kasih kpd pembaca yg telah memberi komen & pemenangnya akan dinilai & dipilih oleh Alaf21...

~ 001
part yang paling menyentuh hati dlm MSH time emir buat tak tahu je kt lynn..part last2 tu...sedih bila emir tak amik tahu langsung pasal lynn...sampai dh besar perut lynn emir tak prnh nk tnye sepatah dua pn pasal baby n kesihatan lynn..sadis time tu...sedih jd seorg isteri bila perubahan lynn tak dihargai malah siap diherdik lg ada la...padahal time tu lynn dh sedar akan kesilapan dia siap brubah perangai utk menjd yg lbh baik n memohon maaf..tp disbbkn ego emir lynn makan hati baik punya sampai kita as readers pn terasa... :(

part yang paling mencuit hati pula bila lynn bawa kawan dia yg si lembut tu n then kenalkan kt emir as bf dia...padahal emir dh tau dh muslihat lynn time tu...mmng lawak sbb terasa mcm lynn bodohkn diri sndr...n drama sebabak dia time tu tak jadi n emir xmkn hati pun... :)

~ 002
Part menyentuh hati..
Semasa majlis akad nikah.. kita dpt menyelami perasaan harlina.. yg dipaksa berkahwin tanpa rela.. tiada ibu tersayang di sisi pada saat2 yg sepatutnya paling membahagiakan bagi seorang gadis.. menjadi isteri kpd lelaki yg dicintai.. tp dia.. sudahlah dipaksa berkahwin.. si suami pulak bukan pilihan hati.. pastinya pelbagai persoalan menghantui mindanya.. mampukah menjadi isteri yg baik?.. mampukah menjlnkan tanggungjawab apatah lagi dgn ilmu r/tgga yg sgt kurang di dada.. bolehkah mencintai si suami?.. dan paling penting, adakah si suami benar2 mencintai dan boleh menerima dirinya seadanya..

Part mencuit hati..
Masa lynn balik lewat mlm.. emir tak buka pintu dan kena tido dlm kereta.. lynn siap nyanyi lagu yg sama p.ramlee nyanyikan dlm filem "ali baba bujang lapuk".. tp pintu tak jgk terbuka.. w/pun kelihatannya spt melucukan, namun masih terselit mesej pada babak ini.. berdosa bagi seorang isteri yg keluar rumah tanpa keizinan suami.. apatah lagi keluar utk bersosial yg tiada faedahnya...

MSH juga membuktikan bahawa tidak semua yg jahat / nakal itu tidak boleh berubah menjadi sebaik2 manusia.. LYNN, JOJO, REMY & TANIA.. sesungguhnya kalau ALLAH memberikan HidayahNya.. tak siapa mampu menghalang..

~ 003
MSH..kisah cinta Emir Nazreen & Chempaka Herlina berkasih sayang unik dan keegoan yg melangit tinggi menyaksikan cinta hingga ke hujung nyawa.

Emir melayan Herlina sebagai pendamping, pendorong dan penjaga yg tulus menyintainya. Kedegilan & keegoaan Herlina berjaya ditundukkan dengan kuasa, pujukan kasih dan emosi Emir menanganinya. Keistimewaan, kelucuan dan kesedihan melayan hati yg rawan byk mencuit hati dlm melayari bahtera kehidupan. Tapi dengan kuasa sang suami dan KUASA DIA..menentukan segalanya.

Sy suka dgn cara Emir melenturkan kedegilan dan kekhilafan Herlina dengan nasihat dan pujukan yang lembut menusuk kalbu sentiasa mengingatkan tentang kebesaranNya sbg mahklukNya. Paling lucu Herlina malas bangun tidur menunaikan solat subuh, maka Emir akan mendodoikan lagu" sepohon kayu..daunnya rimbun...." lengkap pakej dunia & akhirat ..beriman dan penyayang...

~ 004
kelakar, sedih, gembira semua dalam satu kisah, satu novel..
kelakar bila lynn datang office dengan jeans koyak, bila helahnya xmenjadi untuk tunjuk daring couple dgn remy@ramzan (maknyah y insaf jugak akhirnya), kelakar bila baju lynn basah xpasal2 kene pakai jubah... mesti muke lynn dah merah padam,
kalu boleh nk dicekik2nye di emir kan…

sedih bila dicaci oleh adik ipar die, zetty smpi lynn menghalau ibu mertua die keluar rumah, sedih bagi lynn, sedih jugak tuk hajah, sedih bila emir langsung tak ambil kisah bila lynn ckp die xlarat, sedangkan lynn dah sarat, sedih bila zetty halau lynn keluar dari hospital bila emir excident. sedih bile rupenye lynn t'salah anggap pada papa die ngan puan sri marlia mmg mengalir jer air mata, nak2 time ujung2 citer bile lynn sedih gile2...
gembira la akhirnya semua dah baek, n zetty dah boleh maafkan lynn... bila kedua2 kawan lynn sudah insaf..

~ YG MANA SATU PEMENANG DARIPADA 4 CALON YG TERSENARAI? all d best! nantikan keputusan dari Alaf21...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 09, 2012 03:04

December 29, 2011

Milik siapakah Cik Beruang kiut miut ni :D


Sudah ada beberapa komen yg AE terima ttg MSH yang dirasakan amat2 menarik. Bkn shj mengulas tntg plot menyentuh/mencuit hati... ttp juga diselitkan pendapat tntg MAHAR SETULUS HATI scara keseluruhan...
Kepada yang msh blm berkesempatan, tinggal 2 hari lg sblm tarikh tutup :)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 29, 2011 00:19

December 26, 2011

Terima kasih ....


TERIMA KASIH kepada para pembaca yg sudi dapatkan MAHAR SETULUS HATI (Aduhai Isteri). Kepada yg berminat untuk mendapatkan MSH dan masih tercari2, boleh dapatkan secara terus drpd AE (ada cenderahati istimewa menanti :D )...

BUAT PESANAN SECARA ONLINE
♥ Ayu Emelda ♥
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 26, 2011 03:09

December 25, 2011

Mahar Setulus Hati (Aduhai Isteri) ~ Part 10

SEBAIK pintu bilik dibuka, mata Emir terbelalak. Dia beristighfar berkali-kali. Sakit mata melihat pakaian bersepah-sepah di atas lantai. Majalah berterabur tidak bersusun. Mengalahkan bilik anak teruna. 
"Aduh! Lynn... Lynn... bila lagi nak sedar diri? Lynn dah besar panjang. Sudah jadi isteri abang tapi masih malas macam dulu juga," leter Emir sendirian sambil tepuk dahi.
Pandangannya terus terpaku ke atas katil. Sudah dinihari tapi tuan puteri masih enak beradu atas tilam empuk. Kalau Hamdi atau Aril tahu apa yang berlaku dengan rumah tangganya, mesti dah lama dia kena bantai gelak.
Itulah padahnya kalau kahwin dengan gadis manja yang belum matang. Bukan hanya tak pandai melayan suami, semua kerja-kerja rumah pun tak tahu buat. Balik-balik dia juga yang perlu uruskan semuanya.
Baik memasak, mengemas atau membasuh pakaian, semuanya dia sediakan. Isterinya hanya jadi tuan puteri. Tak perlu bersusah payah atau pening kepala. Segala-galanya telah tersedia.
Puas mengeluh sambil mengutip pakaian dan mengemas apa yang patut, Emir menghempas punggungnya ke sebelah Harlyna. Lama dipandang tubuh kaku yang masih berbungkus selimut tebal.


Nak menyesal pun tak guna. Dia sendiri yang rela. Sekarang perlu redha dan tahan dengan kerenah gadis itu. Malas bagaimanapun, Harlyna tetap dah jadi isteri. Dia yang perlu mengubah sikap manjanya.
"Masa untuk bangun tuan puteri," ucap Emir sambil menggoyang sekujur tubuh di bawah selimut.

Tidak berkutik. 
"Lyynnn... baaangunnn..." laungnya sambil merentap selimut Harlyna dengan kasar. Terserlah tubuhnya yang hanya bersalut baju tidur nipis separas lutut. Emir cuba alih anak mata ke lain.
'Tak salah Mir... tak berdosa pun. Halal di sisi agama.' Ada suara yang mula mengasut naluri lelakinya.

Ya... memang dia berhak ke atas Harlyna. Tapi sebagai suami yang ingin dihormati, itu bukanlah cara yang paling baik memenangi hati isteri. Dia mahu kasih sayang dan rasa hormat-menghormati menjadi pegangan dalam rumah tangga mereka tanpa dipaksa-paksa. 
Dan kerana itu juga setiap malam sebelum tidur dia sentiasa cuba memaafkan apa sahaja kekhilafan Harlyna sepanjang bergelar isterinya. Malah, dipohon kepada-NYA agar sentiasa melindungi hubungan mereka berdua hingga ke hujung nyawa. 
Apabila tubuh gadis itu masih mengeras, Emir baring di sebelah. Wajah polos itu ditenung lama. Kemudian bibirnya mengucup dahi isterinya.
Harlyna berpisat-pisat. Perlahan-lahan matanya dibuka. Sebaik melihat wajah Emir begitu hampir, sedang merenung padanya, tubuhnya terus tegak.
Emir hadiahkan senyuman gula tebu. Kalau dipandang setiap hari tentu sahaja hati gadis itu boleh cair.
"Eh, helo! Tak ada kerja ke?"
"Adaaa..." Panjang jawapan Emir.
"Hisy! Tak senang orang nak tidur," omel Harlyna sambil menyental pelupuk mata dan membetulkan rambut kusutnya dengan jari. Malu juga bila diserang hendap dalam keadaan begitu.
"Tidur apa lagi... dah tengah hari. Cuba buka mata luas-luas. Tengok jam dah pukul berapa."
"Ah! Tak kisahlah pukul berapa pun!" bentak Harlyna kasar. Geram betul, setiap kali cuti hujung minggu ada sahaja yang mengganggu tidur. Tak aman!
"Kenapa bilik bersepah sangat? Lynn bukannya budak kecik lagi. Takkan nak uruskan barang sendiri pun tak tahu."

Harlyna mengeliat sambil menutup mulutnya yang ternganga-nganga menahan kantuk. Kemudian matanya meliar ke segenap sudut bilik.
"Mana ada sepah. Kan kemas tu..." ujarnya selamba sambil tersengih.
"Ooo... pandai menjawab." Emir tarik hidung isterinya hingga Harlyna mengaduh sakit. 

"Hitler!"

"Sekarang memanglah dah kemas. Masa abang masuk tadi macam tongkang pecah."
"Itu salah awak jugak sebab tak mahu ambil orang gaji. Leceh tahu... nak mengemas." Lancar sahaja gadis itu membalas.

Wajah Emir tetap tenang. "Dah besar panjang tapi masih buat hal macam budak tadika. Abang baru ingat nak cari kereta baru untuk Lynn. Tapi nampaknya terpaksalah cancel. Takut esok-esok kereta pun tak tahan dengan tuannya yang pengotor."
Serta-merta mata Harlyna membuntang. Dia pandang wajah suaminya dengan rasa tidak percaya. "Ke... kereta? Awak nak bagi kereta?" soalnya dengan nada teruja dan seolah tidak percaya.
"Maaf... tak jadi." Tegas nada Emir. Dia terus bangun.
Wajah Harlyna sudah jadi kecut. Dia tahu lelaki itu tidak bersungguh sebenarnya. Masakan dia sanggup menghabiskan wang untuk membeli kereta baru. Teringat kata-kata Tania dan Kyle semalam buatkan hatinya panas.
"Bangun mandi. Kita sarapan. Lepas tu buat kerja rumah sama-sama. Basuh baju, kemas rumah dan sambung kelas memasak Lynn yang masih belum lulus tu," luah Emir sedikit membebel.

"Awak saja yang layak buat kerja tu."
Emir tersentak. Kaki Emir yang baru mahu melangkah keluar terhenti. Dia berpusing mangadap gadis itu.
Harlyna jongket kening dengan wajah sinis. "Kenapa... terasa?" bidasnya tanpa ada rasa bersalah.
"Apa maksud Lynn?" soal Emir, masih mengawal dadanya yang sudah bergetar. Masakan hatinya tidak terasa apa-apa setiap kali menerima sindiran sebegitu. Betapa dia juga punya perasaan.
Gadis itu mencebir.
"Sebagai suami abang cuma mahu kita saling bantu-membantu dalam hal rumah tangga."
"Ah! Would you stop it! Bingit tau! Pagi-pagi dah kena leter. Dah tak ada kerja lain ke?" hambur Harlyna dengan hati radang. "Syuh... syuhhh... keluarlah!" suaranya sudah mula melengking.

Emir pejam mata. Berkali-kali dia beristighfar. Teguhkanlah kesabaranku ya ALLAH, serunya bersungguh-sungguh.
"Dasar tak sedar diri!" Lancar sekali ayat itu meluncur keluar dari bibir Harlyna. Bersama rasa hati yang mula tertipu dengan bisikan syaitan. 'Memang patut Emir dihina! biar dia tahu asal-usulnya.' Suara itu terus menghasut.
"Lynn..." Sayu dan bergetar suara Emir. Dia berdiri tegak dengan tangan digenggam erat. Giginya diketap kuat dengan mata terpejam. Sepotong doa dari surah al-Baqarah diulang di dalam hati berkali-kali. Semoga kesabaran takkan goyah. Dia sedikit tercabar dengan penghinaan isterinya itu.
"Sedarlah diri tu sikit. Jangan senang-senang nak kawal hidup orang. Kalau tak kerana papa, agaknya dah lama engkau sekeluarga merempat," hambur Harlyna lagi. Biar puas rasa hati.
Buat seketika Emir tertunduk. Hatinya terguris, dihina dan diherdik isteri sendiri. Terasa bergeger tubuhnya menahan perasaan. 
"Kenapa diam? Why does that not surprise you? Memang kenyataannya, kan!" tempelak Harlyna lagi.
Emir pandang wajah isterinya dengan rasa terluka. Namun, dalam dada sudah beristighfar. Cuba menyabarkan hati yang sakit. Kenapa kelembutan dan keayuannya tidak seindah kata-kata yang dilafazkan?
"He has done so much for me. Abang tak pernah lupa. Kerana itu juga abang sanggup lakukan apa sahaja untuk membalas jasa papa selama ini."
"Huh! Tahu pun."
"Abang juga percaya papa ikhlas membantu selama ini. He give without any expectation of anything at all in return."
Harlyna mencebek. Meluat!
"Dan abang percaya papa juga telah banyak berkorban untuk anaknya. Menanti kelahirannya dengan penuh kegembiraan lantas membesarkan dengan memberi segala kesempurnaan pada seoarang anak. Semua itu bukanlah satu tanggungjawab yang ringan." Buat beberapa saat Emir berhenti. Menarik nafas dalam.
Mata Harlyna sudah mengecil. Wajah lelaki itu dipandang tepat. Hatinya kurang enak dengan bicaranya.
"Dan sebagai anak jangan sekali-kali kita lupa untuk membalas pengorbanan seorang bapa selama ini. Jangan sampai jadi anak derhaka."
"Hey!!!" Suara Harlyna bergema. Tahu dia sedang disindir. Sakit hatinya semakin menyala-nyala. 
Siapa Emir untuk berkata begitu. Dia tidak layak untuk mempertikaikan tindakannya selama ini. Dia cuma orang luar yang tidak tahu apa-apa. Memang senang membuat kesimpulan, tetapi bukan hatinya yang disakiti. Bukan jiwanya yang terluka selama ini!
"Abang harap Lynn juga sedar siapa Lynn sebenarnya. Harta dan pangkat tak akan menjadikan kita manusia yang istimewa atau disanjung. Lynn juga patut sedar diri. Sedar betapa kita manusia perlu tahu menghargai orang lain."
Harlyna gigit bibir. 
"Malah, kita juga perlu taat kepada DIA... yang telah memberi kita nyawa dan hidup di bumi yang indah ini." Tenang kata-kata itu diucapkan biarpun bibirnya sudah bergetar.
"Hey! Kalau tak menyakitkan hati orang boleh tak?" Suara Harlyna kian melengking. Dia sudah penat ditarbiah sepanjang masa. Tidak ada satu pun pada dirinya yang nampak elok di mata Emir. Hatinya jadi sakit sekali.
"The truth hurts more than a lie. Tetapi kita tidak seharusnnya lari dari kenyataan."
"Diam! Keluar! Keluar!!!" Jeritan Harlyna sudah meledak.

Emir berpaling. Dia melangkah keluar dengan hati retak seribu. Sampai bila benteng kesabarannya akan terus diuji dengan kata-kata yang begitu menghiris kalbu? Sesungghunya dia hanya manusia biasa yang lemah. Hanya pada-NYA tempat dia memohon kekuatan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 25, 2011 17:33

Mahar Setulus Hati a.k.a. Aduhai Isteri ~ Abang terima Lynn seadanya ...


"BETUL abang sudi terima Lynn sebagai isteri?" soal gadis itu di hujung talian dengan suara perlahan dan lembut. Sedangkan bibirnya sedang menguntum senyuman yang penuh seribu makna. Tapi sayangnya lelaki itu tidak dapat melihat.

Emir mendengar suara Harlyna dengan hati cukup senang. Suara lemak merdu itu sudah mula mencuri perhatiannya. Dia sendiri tertanya. Benarkah Harlyna yang sedang berkata begitu? Kenapa sikapnya begitu tenang dan santun?

"Abang terima Lynn seadanya. Tak perlulah Lynn bimbangkan soal tu," ujar Emir bersahaja.

"Betul? Bukan sebab papa paksa?" soalnya menagih jawapan jujur dan ikhlas. Sebelum hubungan mereka dipatri. Dia perlu tahu kebenaran. Malah, dia sudah mula membuat andaian bahawa lelaki itu sanggup menikahinya kerana desakan papa atau dia sebenarnya mahu membalas budi yang telah papanya tabur selama ini.

"I'm big enough to decide what I want."

"Are you sure?" Harlyna masih curiga.

"Tak ada istilah paksaan untuk mengikat perhubungan kita. Abang jujur mahu mengambil Lynn sebagai isteri. Tak ada siapa suruh. Malah, abang juga tak mahu Lynn terima abang kerana desakan sesiapa."

"Maksud abang?"

"Kalau Lynn rasa abang bukan lelaki yang selayaknya untuk bergelar suami Lynn, kita tak perlu teruskan rancangan ini. Kerana untuk memulakan sesuatu hubungan yang suci, ia perlu lahir dari keyakinan."

Harlyna terus mendengar tanpa mencelah. Suara lelaki itu yang kedengaran begitu yakin membuatkan dia bertambah cuak.

"A relationship based on trust and faith, Lynn. Kalau ada rasa sangsi walaupun sekelumit cuma boleh mengundang masalah di kemudian hari."

Terdengar keluhan daripada bibir Harlyna. Emir jadi tertanya sendiri. Apa sebenarnya yang bermain di fikiran gadis itu? Kenapa kedengaran berat benar desahnya. Mungkinkah dia rasa terpaksa?

"Lynn..."

"Errr... " Gadis itu bagai tersentak.

"Keputusan di tangan Lynn sekarang. Terima atau tidak abang akan terima dengan hati terbuka. Fikirlah semasak-masaknya."

"Lynn akan fikirkan. Tapi Lynn juga tak mahu abang buat keputusan terburu-buru dalam hal ini. Abang belum kenal siapa Lynn." Tutur kata Harlyna bagaikan mencabar dan memberi amaran.

"Abang terima Lynn seadanya. Baik dan buruk. Lagipun kita dah lama kenal. Dan abang tahu siapa gadis yang akan abang nikahi nanti." Emir tidak tergugat. Malah dia cukup bersedia untuk berdepan dengan apa sahaja helah bakal isterinya.

Sebaik meletak telefon, Harlyna mengigit bibirnya. Dia mendengus geram. Nampaknya laluannya kali ini lebih sukar. Penuh berliku. Tidak seperti Kamal Efendy atau Hairul. Senang saja mereka ditundukkannya. Tapi dengan Emir, hmmm...

"Macam mana Lynn?" soal Tania dengan kening terjongket. Muka kelat temannya sudah memberi petanda kurang baik.

"Uhh! Payah beb! Payah!" jawab Harlyna sambil meramas rambut lurusnya separas bahu hingga kusut masai. Dia mengangkat kaki ke sofa. Memeluk erat kedua lututnya.

"Apa yang payahnya?" soal Jojo pula sambil memandang temannya dengan rasa ingin tahu yang menebal. Perhatiannya ke kaca TV mula beralih pada gadis itu. Dia mengubah posisi duduk bertentangan dengannya.

"Macam kebal jer yang sorang ni..." Meleret suara Harlyna sambil memandang kedua teman baiknya bersilih ganti. Mulutnya yang muncung sudah ke depan dengan mata terkelip-kelip bagai menahan perasaan. Kemudian keluhan berat dan panjang dilepaskan. Hatinya semakin walang.

"Eh! Kau kan banyak idea-idea pelik selama ni. Takkan kali ni dah mengeluh," tempelak Jojo sambil mengangkat tangan kanannya. Menyindir. Geli hati bila tengok wajah gentar dan kelat gadis itu.

"Masalahnya... dia ni lain sikit. Tak sama..." kata Harlyna sambil menepuk paha kanan.

"Lain yang macam mana? Apa yang tak sama? Kan lelaki jugak. Pilihan papa kau dan bakal suami kau seperti si Kamal dan Hairul." Tania sudah mula garu kepala. Keliru dengan reaksi Harlyna.

"Tapi dia lainlah Tania, Jojo... kau orang kan tahu kami dah lama kenal. Sejak kecil lagi. Dia dah tahu siapa aku, perangai aku. Baik dan buruk aku memang ada dalam kocek dia. Kiranya aku memang dah kantoi kali ni. Macam mana nak berlakon? Kau orang ingat senang ke?!"

"Habis tu kau dah mengalah. Kau sanggup kahwin dengan si Emir tu?" Mata Jojo sudah bulat. Mulutnya ternganga. Dia saling toleh-menoleh dengan Tania. Kemudian keduanya nganga.

"Parah aku kalau macam ni!" Keluhan Harlyna kian berat. Jarinya mengurut dagu. Saling tak tumpah gaya seorang panglima tentera sedang mengatur strategi mahu bertempur di medan perang.

Tania tersengeh. "Baru mencabar beb! Buku bertemu ruas. Aku pun dah teruja nak dengar muslihat kau kali ni. Hangat ke hangit," seloroh Tania sambil menepuk paha temannya yang sedang kegelisahan...

BUAT PESANAN SECARA ONLINE

♥ Ayu Emelda ♥ 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 25, 2011 04:14

December 22, 2011

Hadiah Untuk Pembaca...

Teristimewa untuk pembaca MAHAR SETULUS HATI... Cuma perlu komen di facebook Ayu Emelda, part mana dlm novel MSH yg paling menyentuh/mencuit hati... Komen paling menarik adalah pemenang... Tarikh tutup ~ 31 Disember 2011SELAMAT MENCUBA... ^_^
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 22, 2011 17:25

Ayu Emelda's Blog

Ayu Emelda
Ayu Emelda isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Ayu Emelda's blog with rss.