Nurulsham Saidin's Blog, page 2

November 28, 2010

Syurga Di Wajahnya.

(Gambar di sebelah adalah sekadar hiasan)
Dia hanya orang biasa-biasa sahaja. Sewaktu aku bertemu dengannya pertama kali, aku tidak perasan akan keadaan itu. Kali kedua kami berjumpa, aku bagai terpegun melihat wajahnya, sehingga terpampang di ruang mataku di saat ini walaupun perkara ini telah berlaku tujuh tahun yang lalu.
Lalu pertanyaan demi pertanyaan bermain di fikiran yang sempit ini- siapakah sebenar-benarnya wanita ini? Bagaimana wajahnya boleh menjadi sebegitu tenang dan jernih? Apa yang telah dibuatnya, atau apakah amalannya?
Tidak dapat kugambarkan bagaimana jernihnya wajah wanita ini. Juga tidak dapat kuceritakan bagaimana perasaanku melihat wajahnya. Mungkin boleh kukatakan di sini, sebagaimana aku melihat wajah bayi yang sedang mekar, atau wajah arwah bapaku yang datang di dalam mimpi, atau wajah ibuku setiap kali kami bertemu ketika aku pulang ke kampung... Wajahnya, lebih lagi! Bagai ada syurga di situ!
Walaupun kulitnya sudah berkedut dimamah usia, ia tampak berseri. Matanya jernih telus dan senyumnya tidak lekang di bibir.
Aku mengenali wanita ini dari anaknya. Anaknya, Puan Katijah bekerja sebagai kerani di pusat tuisyen kepunyaanku. Katijah seorang yang sangat amanah. Sehinggakan aku tidak dapat lupa satu peristiwa dimana dia membuat satu tabung untuk diisi duit-duit silingnya setiap kali dia terpaksa menggunakan telefon pejabat untuk memanggil van yang membawanya pulang ke rumah. Tentu hebat didikan ibu bapanya sehingga lahirnya anak yang sebegitu amanah.
Kali pertama aku mengikut Katijah ke rumahnya, adalah apabila mengetahui yang ibunya telah diserang stroke seluruh tubuh badannya. Waktu pertama kali kami pergi (aku dan beberapa orang kawan), ibu ini tidak sedar dan segala perkara berkaitan dengannya terpaksa dibuat oleh Katijah dan saudara mara terdekat. Waktu itu Katijah meminta untuk berhenti kerja kerana perlu menjaga ibunya.
Aku berjumpa semula dengan ibu tua itu dua tahun kemudian, ketika itu Katijah telah berkahwin dengan sepupunya yang baru datang dari luar negara. Mereka dikahwinkan atas tujuan mulanya supaya nasib Katijah dan ibunya yang lumpuh itu terbela.
Untuk pengetahuan pembaca, Katijah ini orang susah. Mereka tinggal di rumah yang dibina dari papan lapis nipis yang hampir dengan gigi air di Pantai Bukit Malut, Langkawi. Pembaca mungkin mahu membuat carian di internet untuk mengetahui apakah yang telah berlaku di sana. Ada satu cerita besar di sana namun tidak dapat saya ceritakan dalam artikel ini.
Kali kedua inilah saya melihat wajah yang sangat jernih ini...
Waktu itu ibu tua ini sudahpun boleh duduk dan mengengsot, setelah hampir dua tahun berbaring di lantai yang dilapik tilam nipis. Katijah berkali-kali mengatakan yang beliau malu denganku kerana keadaan rumahnya yang dhaif itu. Waktu itu suaminya sedang membetulkan lantai papan yang sudah rosak di dapur yang dibawahnya merupakan air laut setiap kali waktu air pasang.
Aku memberitahu Katijah, bahawa aku tidak pernah melihat wajah orang tua yang sejernih wajah ibunya. Mulanya Katijah hanya tersenyum suram, kerana keletihan menjaga ibu ini. Yang menariknya, ibunya ketika berjumpa denganku telah menjadi sangat ramah, bercerita itu ini walaupun aku kurang memahami dialek percakapannya. Kata Katijah padaku, ibunya memang sangat gembira jika ada orang melawat. Tidak habis-habis dia bercerita.
Setelah kutanya lagi kemudiannya, ketika dia datang semula bekerja denganku, barulah aku tahu cerita sebenarnya ibu tua ini.
Menurut Katijah, ibunya datang ke Malaysia pada usia anak daranya, dengan menaiki bot kecil, yang mana tangan kita boleh mencecah air laut. Dia datang dengan beberapa orang adik perempuannya dan orang Melayu lain dari Burma, dan mendarat di Pulau Langkawi. Ibu ini kemudiannya menikah dengan seorang guru agama (bapa Katijah) pada usia 40 tahun, iaitu setelah memastikan adik-adiknya selamat berkahwin.
Ibu ini telah keguguran dan kematian anaknya sebanyak enam kali sebelum dia melahirkan Katijah. Pada usia Katijah 12 tahun, suaminya pula meninggal dunia. Lalu hiduplah mereka kais pagi makan pagi di kawasan perkampungan Bukit Malut yang didiami orang-orang Melayu Burma yang lain dirumah-rumah yang berlaga dindingnya . Kehidupan yang perit adalah asam garam orang-orang di situ, apatah lagi bagi ibu dan ank kecil yang telah hilang tempat bergantung ini.
Di kala membesarkan anaknya, ibu ini telah turun ke laut menjadi nelayan, ke pinggir pantai mengaut pasir dan mengutip batu-batu, membuat belacan untuk dijual, mengopek bilis, menjual laksa dan pelbagai kerja lagi yang begitu menduga kudrat wanita.
Syukurlah, anak yang dididik penuh kasih membesar menjadi manusia yang berguna. Dengan wang gajinya bekerja membantu saya, dia menghantar ibunya ke Mekah. Setelah setahun pulang dari Mekah, ibunya diserang stroke dan lumpuh sehingga kini.
Mendengar cerita Katijah, barulah saya sedar apa yang membuatkan wajahnya sebegitu jernih. Wanita ini adalah seorang yang telah redha dan menerima semua takdir yang tertulis pada dirinya. Waktu saya berbicara dengannya pun saya dapat merasakannya. Tiada yang sedih keluar dari mulutnya. Semuanya seronok sahaja. Seperti tajuk sebuah buku- INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA, wanita ini sebenarnya tidak memandang apa yang terjadi padanya sebagai derita.
Paling saya kagum, dia tidak rasa risau langsung dengan keadaannya itu. Saya pernah bertemu dengan orang sakit yang bercerita dengan saya yang mereka rasa sedih kerana menyusahkan anak-anak. Tapi, wanita ini, seperti tiada masa untuk bersedih dan memikirkan yang dia mungkin telah menyusahkan anak menantunya. Hairan saya.
Tentu banyak yang telah dilaluinya dalam hidup ini. Bayangkan kita sebagai ibu yang kematian anak sebanyak enam kali? Bukan tiada kes yang kita dengar si ibu mengahadapi tekanan dan menjadi meroyan.
Banyak yang saya pelajari dari pertemuan ini. Memang Allah Maha pengasih kerana menemukan saya dengannya, dan memberi saya ilham untuk berkongsi cerita ini dengan anda. Semoga kisah ini menjadi iktibar pada kita semua untuk melalui getaran hidup ini.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 28, 2010 10:09

October 25, 2010

Ambillah masa untuk berfikir dalam


Penulis adalah pemikir. Mahu atau tidak, anda terpaksa melakukannya, supaya ada isi yang akan terhasil dalam penulisan anda. Bagaimana jika anda menulis hanya untuk mengeluarkan rasa hati anda? Tentunya ia kurang manfaatnya pada pembaca dan mungkin sia-sia sahaja.

Perkara ini benar samada anda penulis novel, blog, artikel akhbar, puisi, lirik lagu, skrip drama dan sebagainya.

Satu kejadian yang sama, akan dinilai dengan nilaian yang berbagai oleh orang-orang yang berbeza. Mat rempit contohnya- ada yang memandang dengan benci kerana mengganggu orang lain, ada yang mengagumi kerana kehebatannya merempit, ada yang berasa kasihan kerana mat rempit ini belum mendapat hidayah - dan berbagai tanggapan yang berbeza mengikut ketinggian ilmu dan pengalaman hidup si penilainya.

Bagamana pula penilaian ANDA sebagai seorang penulis?

Saya pernah terbaca kisah-kisah biasa yang tinggi tahap penilaiannya. Tidak dapatlah saya tuliskan kesemuanya di sini. Cukuplah dengan satu dua contoh yang mudah sahaja.

Kisah pertama saya dapat dari http://hahmat73.blogspot.com/2010/10/nilai-sebuku-roti.html
bertajuk 'nilai sebuku roti'. Kisah seorang pensyarah yang tidak sempat makan pagi dengan sempurna, dan berhasrat untuk singgah di kedai roti sebelum masuk kuliah, malangnya kedai roti itu tutup pula. Apabila beliau masuk ke dalam kelas (dalam keadaan perut lapar) tiba-tiba beliau terjumpa sebuku roti di dalam beg bahan pengajarannya. Rentetan dari kejadian itu, beliau telah berfikir beberapa perkara-

Apakah nilai sebuku roti?
kepada seorang kaya...
kepada seorang faqir...
kepada yang kenyang...
kepada yang lapar...

Biarpun hanya sebuku roti yang sama, jika penerima di dalam golongan yang berlainan, lain pula penerimaannya...


Dari situ, pensyarah ini sempat pula membuat kesimpulan sebegini-

Begitulah nikmatnya jika kita benar-benar perlukannya. Begitu juga pemberian ikhlas kita kepada golongan yang memerlukan. Biarpun nampak kecil di mata kita, tetapi, begitu besar di pandangan mereka. Marilah kita salurkan sedikit hasil dari habuan yang diterima tiap-tiap bulan untuk golongan yang tidak bernasib baik.

Inilah cerita biasa yang diiringi dengan penilaian yang manis. Hanya sebuku roti dan satu pagi yang lapar, penulis telah menulis sesuatu yang sangat bermanfaat untuk umum. Apa lagi anda penulis yang menulis artikel dengan kejadian-kejadian yang lebih besar? Penulis novel misalnya, yang memang menumpukan penulisan pada konflik hidup manusia, tentu perlu lebih banyak membuat penilain- dengan syarat, (1) tepat mengikut situasi, dan (2) penuh dengan gerak hati.

Kisah ke dua saya ambil dari http://nurullhalawati.blogspot.com/2010/04/kisah-aku-dan-nenek-tua-part-2.html. Asalnya saya baca kisah ini dari facebook. Penulisnya, Nurull Halawati merupakan seorang penulis novel Islami. Kisah bagaimana beliau berjumpa seorang nenek tua berbangsa India yang berjalan seperti mabuk (mungkin kerana letih), tersesat di tengah panas dan tidak tahu berbahasa Melayu. Nenek ini membawa sekeping kertas tertulis nombor telefon di dalamnya, dan tiada wang pula untuk menelefon tuan punya nombor. Lalu penulis membantunya (bacalah kisah ini, sangat menarik!). Di akhirnya, nenek tua ini sangat berterima kasih, lalu sujud di kaki penulis! Kemudiannya pula, mencium-cium tangan penulis seperti rakyat jelata mencium tangan rajanya. begini tulisan beliau- nenek itu menghmpiriku dn kemudian terus sujud ke tanah sambil memegang kedua-dua belah kakiku.

"MasyaAllah.......", aku tersentak hebat sambil memegang bahunya. Babak itu sama sprt dlm cerita-cerita hindustan..dimana org muda yg dtg melawat org tua..atau ibunya..dia akan dtg dn sujud di kaki mereka. Nenek itu melakukn adengan dlm drama2 hindustan yg sering ku lihat dikaca tv.

"ya Allah..kenapa nenek ni sujud pada aku pulak..?", aku terkejut amat sambil mengangkat dia bangun. sambil itu aku perhatikn jua suasana sekeliling ..moga2 tiadalah org yg melihat aksi yg sgt luarbiasa itu, Pastilah org yg melihat akan pelik...seorg tua yg uzur sebegitu sujud padaku penuh hormat.

Saya mulanya tertarik dengan ceritanya sahaja. Tapi, kemudiannya terkesan dengan beberapa ayat di dalamnya, yang menunjukkan penilaian dalam penulis ini, yang menuju pada keEsaan Allah. Beginilah tulisannya-

HAtiku tersayat..sayu yg teramat. nenek yg separuh abad itu bersujud padaku!! Kasihan sungguh aku padanya....kerna sehingga ke hujung usianya..dia masih tidak menemui Tuhan sebenar yg harus disujudkan kepalanya..tuhan sebenar yg harus disembamkan wajahnya......Kasihan sungguh aku padanya...alangkh baiknya jika nenek itu kenal Allah...tahu bersujud pd tempat yg betul..Aku bersimpati padanya...kerna sehingga ke hujung usianya.....dia sujud pada yg salah. Malah sepanjang hayatnya dia sujud pd patung yg dicipta oleh makhluk yg bernama manusia. Lalu patung yg dicipta dan dihias cantik itu disembah pula dn dianggap Tuhan.

Tidak perlulah menjadi pensyarah, ahli motivasi atau ahli agama untuk mampu membuat penilaian sebegini. Cukuplah dimulakan dengan keihlasan untuk mendidik pembaca, kemudian carilah ilmu dengan memperbanyakkan pembacaan. Ilham itu datang kemudian dengan izin Allah.
Wassalam.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 25, 2010 18:19

October 16, 2010

Perancangan menulis (Soalan-soalan sewaktu brainstorming)


Saya bertemu semula sahabat saya selepas 21 tahun terpisah. Beliau kini telah berkahwin dengan seorang warga Jerman dan tinggal di Bavaria. Kami berbual-bual tentang kehidupan beliau di sana, dan entah mengapa, tiba-tiba timbul keinginan yang kuat di hati saya untuk menulis tentang kehidupan seorang wanita Melayu Islam di Bavaria. Keinginan menulis itu terlalu kuat sehingga saya sentiasa terfikirkannya. Apa lagi apabila saya mendengar tentang kehidupan muslim di sana, dan juga tanggapan orang Eropah tentang Islam yang begitu negatif. Inilah isu yang ingin saya ketengahkan dalam kisah ini, namun saya belum tahu jalan ceritanya.

Lalu saya membuat satu senarai soalan-soalan (melalui e mel), untuk saya ajukan pada sahabat saya itu. Maklumlah, saya belum pernah sampai ke sana. Maka banyaklah soalan saya itu. Saya berikan masa 2 minggu pada kawan saya tetapi dia membalas selepas seminggu. Selepas melihat fakta dari beliau, saya mula menulis bab 1 seminggu kemudian- itupun saya belum benar-benar tahu ke mana arah cerita saya itu.

Di bawah ini saya lampirkan soalan yang saya emelkan pada sahabat saya (namanya Nida). Mungkin senarai ini tidak sempurna, tetapi saya lampirkan di sini sebagai bantuan pada artikel saya kali ini. Semoga bermanfaat pada penulis-penulis baru kita.

1. Perancangan novel
2. Bab dijangka 20 hingga 25, bergantung pada banyaknya konflik
3. Bilangan muka surat A4 single spacing 250 hingga 280m/s.
4. Perlu sedikit gambar foto keadaan/keindahan di sana
5. ...Minta Nida betulkan mana2 kalau silap atau idea tak cantik
6. ...

2 .Ringkasan cerita

Kisah seorang wanita Melayu yang berkahwin dengan warga Germany dan perlu mengikut suami ke perkampungan asal di Obermichelbach dan mempelajari serta menyesuaikan diri di perkampungan ladang. Majoriti masyarakat di situ tidak kenal Islam dan kurang berpengetahuan mengenai dunia luar.
Dalam kisah ini kesimpulannya akhirnya masyarakat disitu dapat menerima kehadiran mereka di situ seadanya.

3. Konflik Utama sepanjang pengisahan
(Ini yang penting sekali dan pengajaran banyak boleh diletakkan di sini) 1. Keadaan keluarga dan sahabat handai suami yang belum dapat menerima kehadiran sebuah keluarga Islam di situ. Banyak dorongan secara halus supaya suaminya kembali kepada kehidupan/kepercayaan asal.
2. Suaminya pada mulanya masih teguh berpendirian tetapi lama kelamaan mula keliru. Watak utama (wanita Melayu Islam tadi) mula merasa tekanan dan cuba mengatasi keadaan ini dengan pelbagai usaha tanpa menyerah kalah.
3.
4.
5.

.
.
.

3. Masalah kecil
(Ini adalah untuk menambah mukasurat dan kelangsungan cerita) Watak utama menemui banyak masalah di waktu awal menyesuaikan diri.
1.
2.
3.
.
.
.
4. Watak2

1. Wanita islam (Nida suggest one name)
2. Suaminya
3. Ibu dan bapa mertua yang menerima tapi belum 100%
4. Beberapa jiran yang ingin tahu
5. Seorang Reverand di Gereja berdekatan (dalam cerita ini perbincangan antara watak utama dan reverand adalah profesional dan bukanlah pergaduhan- both are open minded- perbincangan adalah untuk memahami dan sharing sesuai dengan ayat Al Quran ‘Lakum dinukum waliyadin’ bermaksud ‘bagimu agamamu dan bagiku agamaku’. (no conflict in the middle)
6. ....rasanya nak tambah watak 2 orang tua suami isteri (farmer) yang sangat tradisional dan tak tahu dunia luar macam Nida cerita tu. Kita jadikan isterinya pandai masak dan watak utama banyak belajar resepi2 tradisional darinya.
7. ....perlu ditambah satu watak yang menentang keras agama Islam untuk membuatkan klimaks cerita ini menarik dan pembaca tidak jadi bosan. Mungkin bapa saudara suaminya.
8. Anak lelaki mereka yang berada di sekolah rendah dan seorang bayi
9. ... mungkin ditambah seorang muslim (mungkin orang turki)/Arab yang boleh mereka buat rujukan
10. .....juga dicipta satu watak misteri – mungkin seorang wanita yang sangat pendiam dan rendah diri - tidak bergaul dengan orang2 di situ tetapi tiba2 boleh berbaik dengan watak utama. Watak misteri ini mungkin pernah dizalimi @ diperkosa sewaktu mudanya. Watak utama bukan boleh bantu dia ubah nasib tetapi bantu dia kembali bergaul dan menerima hidupnya.
11. ... apa lagi ye?
.
.
.
.
.
.
.

5. Quotes
Beberapa coutry quotes boleh ditambah untuk menceriakan cerita ini. Aku jumpa dalam Country Magazine yang pernah dibeli masa study kat Indiana dulu. Contoh2
1. It is the simple things that make living worthwhile... love and duty, work and rest, living close to nature
2. Kindness is like snow-it will make beautiful anything it covers.
3. Keep fears to yourself, but share courage with others.
4. I never saw it as dirt, I think of it as the end of a day of hard work!
5. ...
6. ....
7. ....
8. ....


1. Cuaca/musim

Musim panas
1. Dari bila sampai bila-tarikh...
2. keadaan tumbuh-tumbuhan
3. suhu, hujan kerap atau tidak, langit biru atau ber-awan, ada thunderstorm?
4. panas kering atau humid
5. keadaan pakaian orang di situ dalam musim ini?
6. ...

Musim bunga
1. Dari bila sampai bila-tarikh...
2. Jenis bunga awal musim - pertengahan musim- akhir musim (tulip ada tak kat sana?. Minta tolong namakan bunga2 yang Nida kenal dan descriptionnya)
3. Cuacanya, dingin atau panas, siang dan malamnya beza macam mana?
4. Rumput2 di situ- berbunga atau tidak- ada tak jenis daffodil atau dandelion yang melata atau berbawang
5. .. bagaimana keadaan peladang dalam musim ini? Adakah mula menanam waktu ini? Tanaman popular?
6.
7. ...

Musim sejuk
1. Dari bila sampai bila-tarikh...
2. Bersalji atau tidak, tebal salji berapa inci, susah atau senang bergerak pada musim salji, bagaimana keadaan peladang dalam musim ini?
3. Ada penyakit, demam atau sebagainya yang mungkin menjangkiti penduduk setempat?
4. Keadaan pokok di sana, botak? Ada pokok tirus? Haiwan dalam musim sejuk? Keadaan air sungai, membeku atau tidak?
5. Ada kesunyian yang terasa pada waktu itu? Ada angin yang memuput... mengembalikan nostalgia?
6. ...
7. ...
8. ...

Musim luruh
1. Warna-warna daun pokok pada waktu itu? Ada pokok maple... atau jenis2 lain yang cantik dan meriah warnanya dalam musim ini?
2. Adakah pada waktu ini peladang mula mengutip hasil tanaman. Ada tak farmer market. Berapa minggu sekali? Kalau nida pernah pergi farmer market, ceritakan.
3. Persediaan penduduk dan peladang sebelum masuk musim dingin. Memandangkan supermarket jauh, rasanya depa ni kena banyak buat bottling- jem, pickles, sauce etc.
4. Mungkin perlu buat simpanan makanan untuk haiwan ternakan? Ada silo, barn dsbnya?
5. ...
6. ....
Minta Nida tolong tambah bahagian ni. Lagi banyak lagi bagus. Cerita sebegini semakin banyak ilmu bantu, audience makin suka.

2. Bentuk muka bumi
1. Kawasan ini tanah dataran atau tanah tinggi. Jika dataran ada tak bukit yang berhampiran? Boleh tak watak melihat bukit itu dari rumahnya? Ada tak moor di sini (tanah bukit yang ditebang pokok untuk ternakan meragut rumput spt di UK dan Scotland.
2. Tanah gambut @ tanah merah @ batu dan pasir etc?
3. ...Ada tasik yang beku dalam musim dingin- orang boleh skating?
4. ....
5. ....

3. Bentuk rumah dan persekitarannya.
1. Besar atau kecil, dari kayu atau batu bata, bentuk rumah dan bumbungnya, ada loteng? Ada basement?
2. Compound- orang sana rajin tanam pokok bunga, ada buaian atau apa-2 hiasan luar rumah?
3. ...
4. ....
5. ....

4. Peristiwa menggelikan hati melibatkan perbezaan culture.
1. Mungkin melibatkan perkataan yang sebenarnya bermaksud lain tetapi watak utama tidak faham.
2. ... atau terjatuh masa bekerja di ladang...
3. ...
4. ...
5. ...



11.Gambar sekitar Obermichelbach


(Nida tambah apa2 lagi yang dirasakan perlu)

Sejarah Obermichelbach dan Bavaria Apa sejarah di sana? Ada perang tak dulu2. Apa kesannya pada penduduk kampung itu sehingga sekarang?

Kawasan kosong yang saya tinggalkan itu adalah untuk meminta sahabat saya menambat fakta-fakta sekiranya ada. Beliau banyak bekerja sama dan menghantar cadangan dan fakta sebanyak 16 muka surat semuanya sehingga habis selesai novel ini.

Syukurlah, pihak penerbit terus menerima manuskrip saya tanpa banyak soal, dan mereka berpendapat bahawa cerita ini sangat berisi. Saya juga banyak mengambil fakta dari GOOGLE map, Yahoo Image Search, Wikipedia dan Deutch Dictionary.

Bukanlah saya sengaja hendak mempromosi novel saya. Sebenarnya saya ingin berkongsi. Jika adik-adik penulis terutamanya, mahu penerbit menerima manuskrip anda, banyakkan membuat kajian, dan bertanyalah pada orang-orang di sekeliling anda. Kita sekarang menulis di zaman pembaca penuh dengan ilmu. Jadi, mereka suka sesuatu karya yang penuh dengan ilmu, disamping mendapat hiburan dan pengajaran.

Dalam penghasilan novel ini, saya telah berkongsi wang royalti dengan sahabat saya. Maksudnya, saya menggalakkan anda memberi sedikit sagu hati pada rakan yang membantu anda. Biar dia gembira dan kerja kita juga menjadi lebih barakah. Janganlah anda berasa rugi. Anda penulis boleh menulis bila-bila masa sahaja, dan berapa buah novel setahun. Tetapi, idea susah hendak dicari! Jadi, hargailah orang-orang yang memberi idea pada anda.

Semoga tulisan saya hari ini memberi inspirasi pada anda untuk menulis novel baru, tanpa rasa berat dan rugi. Novel yang anda sedang tulis, jangan ditinggalkan. Tulis kedua-duanya, susun jadual dan buat rangka yang baik.
Wassalam dan jumpa lagi.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 16, 2010 07:51

October 5, 2010

Menyusun perancangan I (Menulis dalam kepala?)


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sudah lama saya hendak berkongsi tentang topik ini, tetapi belum betul-betul berkesempatan membuat kajian tentangnya. Topik ini mungkin terbahagi kepada beberapa bahagian lagi, memandangkan 'MENYUSUN PERANCANGAN' inilah yang paling penting sekali, sebelum penulis betul-betul mendapat momentum untuk memulakan bab 1 karyanya!

Anda yang mengikuti blog ini kebanyakannya penulis, bukan? Tentu anda tahu bagaimana rasanya jika mahu memulakan sesuatu penulisan anda (tidak kira novel, cerpen, menulis blog dan sebagainya). Bagaimana keadaan anda ketika itu. Beberapa orang penulis yang pernah berkongsi dengan saya memberitahu bahawa fikiran mereka akan penuh dengan segala yang dirancang itu, sehingga ada antara mereka mendifinisikannya sebagai 'menulis dalam kepala'.

Sebenarnya, sedar atau tidak, menulis dalam kepala ini sangat merugikan. Malangnya, ia berlaku, terutama ketika penulis (seperti saya) hendak tidur dan ada kalanya sehingga bermimpi. Saya ingin memberi cadangan pada anda, sekiranya anda berada di dalam situasi ini, kuatkan tenaga dan hati anda untuk membuka komputer atau buku catatan anda dan.... tuliskan segala yang keluar dalam kepala anda itu. Sebenarnya, waktu itulah idea anda sedang mengalir dengan laju sekali. Jika anda biarkan, anda sedang kehilangan lebih dari separuh idea yang bagus-bagus kerana sifat kita sebagai insan yang pelupa ini!

Jadi, ketika anda mula mendapat momentum untuk memulakan bab 1, anda telah diiringi oleh idea-idea yang mungkin akan digunakan dalam bab-bab lain juga. Idea-idea ini mungkin tidak digunakan kesemuanya, tetapi itu anda boleh fikirkan kemudian. Yang penting anda tidak kehilangan idea-idea yang bagus ini. Dan idea-idea itu juga mungkin belum sempurna... tetapi, jangan risau... anda sempurnakannya kemudian!

Inilah cara yang saya gunakan ketika saya menulis dua buah novel serentak baru-baru ini.

Dengan latihan membuat catatan dan rangka yang baik, kecenderungan anda untuk menulis berdasarkan mood dan emosi akan berkurangan. Tidak saya nafikan, penulis mahu atau tidak terpaksa melayan juga moodnya ketika menulis, kerana penulis (terutamanya novel) perlu kuat bermain dengan emosi. Tetapi, mengharapkan mood semata-mata boleh menurunkan produktiviti anda.

Sewaktu saya merangka dua buah novel serentak baru-baru ini, sebuah novel fiksyen sains remaja dan sebuah novel cinta Islam, saya telah menyusun dua buah fail untuk rangka kedua-dua buah novel ini. Caranya, apabila saya rasa bosan untk berfikir tentang novel remaja itu, atau ketandusan idea, saya beralih ke fail yang mengandungi novel cinta pula. Waktu ini. juga saya panggilnya sebagai waktu brainstorming (ribut idea) saya ambil lebih kurang tiga minggu. Apabila saya rasa cukup kuat, barulah saya mula menulis.

Ketika itu saya tersedar bahawa saya telah menjadi seorang penulis yang objektif, dan tidak lagi menulis mengikut emosi. Cuma, saya tetapkan dalam fikiran saya, novel remaja ini, corak ceritanya kelakar dan emosi wataknya mesti saya jadikan keanak-anakan dan adventerous manakala novel cinta ini pula, corak ceritanya tegang dan emosi wataknya penuh kesedihan dan pengharapan. Kalau saya mengharapkan mood dan emosi saya sendiri waktu itu untuk menggerakkan penulisan saya, harus saya pening di tengah-tengahnya.

Kata pepatah Rusia 'Sekiranya anda cuba duduk di atas dua buah kerusi serentak, anda bakal jatuh'! Ya! Anda akan jatuh jika cuba duduk tanpa teknik dan perancangan yang teliti. Saya tidak berkata hanya untuk kes saya semata-mata. Sebenarnya, ramai orang suka menulis, dan bercita-cita untuk menulis... tetapi mereka ada perkara lain yang perlu dilakukan pada waktu yang sama (masalah kerja, menjaga anak dll), dan tidak dapat menyediakan emosi untuk menggarap sesebuah karya. Dalam hal ini, teknik amat penting dengan syarat anda telah menyusun bahawa emosi watak A akan jadi begini, emosi watak B akan jadi begitu... dan bukannya anda tumpukan pada emosi anda!

Artikel berikutnya, saya akan menyenaraikan soalan-soalan dan nota yang perlu ditulis sewaktu anda berada dalam 'ribut idea' ini. Saya biarkan anda fikirkan dahulu tentang artikel hari ini, dan ambil masa untuk menyerap logiknya dalam kepala anda.

Semoga artikel ini dapat membantu memberi momentum pada anda yang ingin menulis dan belum berkesempatan, insya Allah.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 05, 2010 17:14

October 1, 2010

Kerjaya sebagai penulis?

Hari ini saya lampirkan artikel penulis lain, memandangkan saya sangat tertarik dengan artikel ini dan nampak banyak manfaat yang boleh diambil oleh penulis-penulis kita di sini. Semoga sahabat penulis dapat mengikuti dan mengambil manfaat dari artikel ini. Saya juga letakkan pautan ke blog penulis besar ini, Puan Nisah Haron. Selamat membaca-

Nurolshamshi Saidin---

Saya seringkali ditanya tentang mengapa bertukar kerjaya. Benarkah menjadi penulis itu boleh hidup, sehingga saya tinggalkan kerjaya peguam yang dikatakan lebih menjanjikan dan mempunyai masa depan yang sungguh cerah.

Ramai juga yang terlupa bahawa saya menulis bukanlah kerana mahu menjadi kaya. Rezeki itu di tangan Allah tetapi jika kita berusaha bersungguh-sungguh, insya-Allah, Tuhan tidak akan menghampakan malah memberikan ganjaran atas apa yang telah diusahakan. Kerja menulis ialah kerja, ertinya, tiada siapa mengatakan bahawa kerja menulis itu lebih mudah daripada menjadi peguam ataupun apa-apa kerjaya yang lain.

Kerja menulis memberikan bukan sahaja pulangan kewangan, bahkan pulangan dari sisi lain seperti kepuasan dan rasa bahagia apabila pembaca memberikan pelbagai respons kepada apa yang telah kita hasilkan. Jika kita menghasilkan sesuatu yang sungguh-sungguh bermanfaat, tulisan kita itu tetap diperkatakan walaupun setelah kita meninggal dunia. Urusan pahala bukanlah urusan kita, namun Allah itu Maha Adil lagi Berkuasa.

Menjadi penulis sepenuh masa, haruslah berstrategi. Jika anda tidak jelas dengan strategi dan keadah untuk menjadikan penulisan sebagai kerjaya, simpan dulu surat atau e-mel untuk meletak jawatan yang sudah dikarang. Jika baru menulis satu novel, belum ada nama pula, royaltinya bukannya dapat segera. Ertinya, hari ini kirim manuskrip, esok sudah dapat cek pertama. Penerbitan ada proses yang tersendiri yang harus difahami.

Menulis itu seni, tetapi penerbitan ialah bisnes.

Kita harus fahami konsep penerbitan terlebih dahulu, sebelum ghairah meletakkan jawatan dan mahu menjadi penulis sepenuh masa dan seterusnya mahu menerbitkan karya sendiri. Penulis atau calon penulis seringkali keliru dengan fakta berikut :
Royalti pengarang : 10% (contoh)

Oleh itu, penerbit mendapat 90%.

Jika pengarang menerbitkan sendiri, untungnya 100%.

Maaf, ya. Ini suatu falasi!

Benar, jika 10% royalti untuk pengarang, penerbit memiliki bakinya. Namun, baki itu bukanlah suatu jumlah yang bersih. 90% itu harus biasanya dibahagi 2 : 45% pergi kepada pengurusan dan diskaun untuk pengedar (bergantung kepada jenis pengedar) dan 45% lagi pergi kepada pengurusan penerbit, termasuklah bayaran gaji, sewa kedai dan lain-lain.

Menurut beberapa penerbit yang saya temui, biasanya bagi setiap buku, penulis dapat nilai wang yang lebih tinggi daripada penerbit. Ertinya, bagi setiap buku, jika 10% royalti pengarang, penerbit hanya dapat suatu jumlah kurang daripada 10%. Penerbit hanya boleh untung jika menerbitkan lebih daripada sebuah buku. Itulah yang dilakukan oleh syarikat-syarikat besar. Keuntungan mereka menaik apabila buku berkenaan dicetak ulang.

Kembali kepada penulis : jika mahu 'kaya' sebagai penulis, untuk tahap permulaan - menulis novel boleh sahaja. Setiap tahun kewangan, biasanya selepas bulan Jun penerbit akan mula membayar royalti. Royalti bergantung kepada jumlah jualan. Jika buku pertama anda meletup-letup di pasaran, dicetak 3 kali dalam tempoh tidak sampai setahun, ya, anda akan tersenyum apabila menerima cek pertama.

Kita pun akan berjalan di atas awan. Paling tinggi 9 hari, selepas itu Newton Law akan diaplikasi : setiap yang berada di atas, harus akur dengan hukum graviti. Kita terpaksa turun ke bumi dan meninggalkan awan di awang-awangan. Realiti pun sampai di muka pintu. Wang royalti pun susut. Gunung jika dicangkul setiap hari pasti akan rata.

Oleh itu, jadikan royalti sebagai passive income.

Cuba jadi penulis pelbagai genre. Jika tidak mahir, belajarlah. Saya ini, misalnya tidak pernah menulis lakon layar (screen writing) atau biasa disebut orang sebagai skrip tv atau skrip filem. Oleh itu, jika ada peluang mengikuti kelas begini, saya pergi dan bayar berapa sahaja yang ditawarkan. Bagi saya, setiap harga yang diletakkan itu masih murah (walaupun beratus-ratus) kerana nilai ilmu yang terkandung di dalamnya itu jauh lebih tinggi. Menghadiri kursus dan bengkel ialah suatu pelaburan. Usah berkira sangat apabila ada wang lebih.

Jika tidak boleh menulis genre lain selain novel, anda perlu tulis lebih dari satu novel. Ungkapan yang sering digunakan Puan Ainon Mohd (Pengerusi PTS Publications & Distributors) - untuk memiliki sebuah estet, haruslah tanam banyak pokok getah. Sebatang pokok getah tidak akan menjadi estet (ubah suai dari peribahasa tamil). Jika mahu hidup dengan passive income daripada royalti novel, banyakkan novel anda.

Pilihan lain, seperti yang saya lakukan ialah menulis genre yang lain secara eceran. Tulis cerpen, puisi, artikel atau apa-apa bentuk penulisan yang lain. Jika ada tawaran menulis genre yang baharu, cuba dulu sebelum menolaknya.

Rezeki jangan ditolak, merbahaya jangan dicari.

Semoga ada manfaatnya.





Untuk ke blog beliau klik--- http://annyss.blogspot.com/2010/08/menulis-sebagai-sumber-rezeki.html
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 01, 2010 02:45

September 23, 2010

Merangka berdasarkan Plot vs Watak

Salam lebaran buat rakan-rakan,

Maaf kerana lama tidak menulis di sini. Komputer saya rosak dan terpaksa diformatkan semula. Mudah-mudahan masalah ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin, insya Allah.

Bagaimana cara anda menulis. Terus sahaja, atau anda membuat rangka terlebih dahulu? Ada penulis yang merangka di dalam kepalanya, dan dia ingat semuanya. Bagi saya sendiri, saya tidak mampu merangka tanpa mencatitnya di mana-mana. Saya kagum pada penulis yang mampu menghasilkan karya bermutu dengan merangka di dalam fikirannya sahaja.

Bagi kita yang menulis dengan cara biasa ini (dengan membuat catatan kerana sifat manusia yang pelupa ini), anda tentu ada cara merangka manuskrip anda. Setiap penulis mempunyai cara masing-masing, mengikut keselesaan dan kemampuan masing-masing juga. Saya akan membincangkan tentang dua cara merancang yang biasa digunakan- iaitu merangka berdasarkan watak dan merangka berdasarkan plot cerita.

Setiap satu cara itu mempunyai kelebihan masing-masing. Seorang penulis yang merangka karyanya melalui watak biasanya mempunyai satu kertas/tempat catatan yang disusun mengikut nama watak-watak di dalam ceritanya. Dari situ, penulis ini akan menulis apa sahaja berkaitan setiap wataknya seperti rupa, sikap, apa sahaja konflik yang dihadapi oleh watak-watak ciptaannya dan sebagainya. Sambil itu, dia akan menulis ceritanya dan menggabungkan watak-watak tersebut. Penulisan sebegini akan membuatkan watak kelihatan hidup, tidak lari dari segi sikap, rupanya dan kisah dan penyelesaian bagi setiap watak tidak tergantung dan selesai dengan elok.

Malangnya, anda tidak boleh bergantung pada teknik sebegini semata-mata. Menulis sebegini boleh membuatkan konflik menjadi meleret dan sukar merangka penyelesaian cerita. Contohnya, pernahkah anda melihat drama bersiri Indonesia di televisyen yang disiarkan setiap petang. Sebagai penulis, anda tentu perasan bagaimana hidupnya watak baik dan jahatnya, tetapi ceritanya berulang-ulang dan menjemukan. Cerita sebegini, jika tidak ditonton selama seminggu sekalipun, anda masih tidak ketinggalan apa-apa, kerana anda telah boleh menjangka apa yang akan terjadi.

Bagaimana pula merangka menggunakan plot semata-mata? Contohnya, anda telah merangka apa yang akan terjadi di bab pertama, kedua dan seterusnya sehinggalah anda telah tahu apa yang akan ditulis di bab akhir . Kebaikan menulis sebegini, cerita anda akan jadi kemas, setiap bab ada signifikannya pada bab yang lain, contohnya satu kejadian di bab tiga rupa-rupanya amat penting dan cerita tentangnya timbul semula di bab enam belas! Maksudnya, jika pembaca lompat beberapa perenggan, mungkin dia akan rugi dan tidak faham apa yang berlaku di bab yang berkait dengannya itu. Jadi, pembaca tidak akan mahu tertinggal membaca walau sebaris!

Malangnya, cara begini juga ada kekurangannya. Sekiranya anda hanya bergantung pada plot, cerita anda akan jadi kaku, dan watak akan kurang hidup. Mungkin pembaca akan berasa seperti membaca rencana pula.

Kesimpulannya, anda mesti bersedia untuk menulis berdasarkan kedua-dua teknik ini. Anda haruslah mempunyai satu catatan berdasarkan watak-watak dan satu lagi catatan berdasarkan plot antara bab-bab. Dengan gabungan dua cara ini, cerita anda akan nampak hidup dan menarik plotnya. Namun, saya ingin menambah satu lagi cadangan. Kalau boleh, plot anda itu janganlah terlalu tetap, sehingga tidak berubah-ubah lagi. Sekiranya sesuai dan perlu, anda ubah suailah sedikit sebanyak. Apabila anda tidak berasa terkongkong, penulisan anda akan menjadi lebih bebas, dan karya anda akan menjadi lebih menarik.

Semoga artikel ini bermanfaat untuk anda, insya Allah.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 23, 2010 03:46

Nurulsham Saidin's Blog

Nurulsham Saidin
Nurulsham Saidin isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Nurulsham Saidin's blog with rss.