KERAGUAN (doubt) sebagai ilmu yang menjadi asas pemikiran saintifik Barat dan dualisme yang menjejerkan permasalahan yang tak terselesai sehingga kini; bukanlah mudah untuk diselongkar terutama mengingatkan Rene Descartes adalah pelopor kepada falsafah moden yang turut menamatkan era skolastik dari gereja.
Bagaimanapun, Dave Robinson dan artis grafiknya, Chris Garratt, melakarkan jalan yang sederhana sifatnya untuk kita susuri bersama pemikiran penting Descartes, selain kehidupannya yang banyak dihabiskan di Belanda.
Secara peribadi, buku Introducing Descartes ini lebih mudah untuk saya hadamkan berbanding buku lain dalam siri yang sama sebelum ini. Mungkin juga, semakin lama kita merentas dunia penuh keliru dan ragu ini, kita dapat mengecam sedikit sebanyak persekitarannya.