Ulasan Bacaan Kali Kedua (27 September - 04 September 2021)
Sword Point merupakan novel pertama yang menampilkan watak Scott Dixon oleh penulis buku ini,Harold Coyle.
Seperti novel yang pertama iaitu Team Yankee,novel kali ini masih menjadikan military - thriller sebagai genre utamanya. Cuma,apa yang membuatkan Sword Point berbeza daripada Team Yankee adalah skop penceritaan yang lebih meluas dan tidak hanya terhad kepada satu pihak saja semata-mata.
Novel yang bergenre sebegini sememangnya tidak begitu mementingkan perkembangan watak-watak utama,baik protagonis atau antagonis. Walaupun masih ada perkembangan watak,aspek ini bukanlah keutamaan. Sebaliknya,aksi-aksi pertempuran lebih menjadi tumpuan dan sesungguhnya,saya sendiri selaku peminat genre sebegini,tidak ada masalah dengan pendekatan penceritaan yang sedemikian rupa. Inilah kekuatan genre ini yang menarik minat saya untuk membacanya. Malah,ada watak-watak yang saya fikir boleh dikembangkan oleh penulis di masa hadapan 'dimatikan' oleh penulis. Sesuatu yang agak mengejutkan juga pada saya!
Premis dan latar belakang cerita di dalam novel ini menyaksikan Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet berperang di dalam peperangan konvensional yang terhad. Medan perang utama adalah di Iran yang menyaksikan negara itu diserang dan ditakluki sebahagiannya di sebelah utara oleh Kesatuan Soviet sebelum turut menyaksikan pendaratan tentera Amerika Syarikat di sebelah selatan dan timur Iran.
Selain itu,Coyle cuba memaparkan secara hipotesis tentang apakah yang akan berlaku sekiranya dua doktrin ketenteraan yang berbeza bertembung antara satu sama lain. Doktrin ketenteraan Kesatuan Soviet menekankan kepada disiplin dan kepatuhan yang bersifat rigid kepada hierarki ketenteraan. Yakni,pangkat bawahan kena patuh dan menuruti arahan yang diberikan oleh pihak atasan tanpa soalan dan melaksanakan arahan tersebut sebaik mungkin. Manakala,doktrin angkatan tentera Amerika Syarikat pula lebih longgar dan memberikan kebebasan kepada unit-unit kecil untuk bertindak sendiri jika tiada arahan dari pihak atasan. Coyle berpandangan bahawa kedua-dua doktrin berfungsi dan kejayaan kedua-dua doktrin bukan sahaja bergantung kepada peralatan ketenteraan sahaja semata-mata. Malah,yang paling penting adalah sumber manusia itu sendiri.
Ulasan Bacaan Kali Pertama
Berbanding Team Yankee,Sword Point ditulis dengan lebih baik oleh penulis bagi kedua-dua buku iaitu Harold Coyle.
Sepanjang pembacaan saya,penulisan Coyle didapati semakin matang dan skop penceritaannya juga semakin meluas. Jika di dalam Team Yankee,fokus utama hanya diberikan kepada peranan dan perspektif yang dimainkan oleh Team Yankee dan komandernya sahaja. Manakala,di dalam Sword Point,fokus penceritaan dipelbagaikan spektrumnya. Ini adalah satu kematangan yang ditunjukkan oleh penulis. Malahan,beliau bersikap lebih 'adil' ketika menggambarkan keupayaan dan etika ketenteraan tentera Soviet Union. Tentera Kesatuan Soviet diperihalkan cekap dan mampu memberikan tentangan yang hebat serta tidak dijangka kepada tentera Amerika Syarikat.