Buku ini merupakan terjemahan Man and Islam karya seorang revolusioner Iran, Dr. Ali Syari’ati. Tajuk buku yang digunakan (versi Indonesia) diambil dari sebuah tajuk penulisan dalam buku tersebut. Secara jujurnya, buku ini mampu ‘mengerakkan’ sesiapa yang membacanya. Ia benar-benar menggugah jiwa. Tulisan-tulisan serta idea-idea provokatif Syariati itu ibarat ‘sihir’ yang berkuasa untuk meyakinkan pembaca sekaligus menyetujuinya. Secara peribadi, agak menyesal kerana lambat menjumpai buku ini. Sepatutnya lebih awal membacanya. Idea dan gaya penulisan beliau mirip karya-karya Syed Hussein Alatas jika kita mahu samakannya dengan tokoh tanah air. Tidak hairan kerana kedua-duanya datang daripada bidang ilmu yang sama, iaitu Sosiologi.
Melalui pembacaan buku ini, dapatlah kita lihat kedalaman dan keluasan ilmu Syari’ati tentang Peradaban Barat. Sepertinya seluruh tamadun Barat itu berada dalam genggamannya. Beliau memetik Sartre, Camus, Heidegger, Weber, Durkheim dan ramai lagi. Secara overallnya, banyak kritikan-kritikannya yang pedas tertuju kepada kelompok borjuasi. Juga beliau banyak mempertahankan kelompok tertindas dari kelompok petani atau proletar. Idea-idea beliau dilihat mirip Marxis, pun begitu beliau juga mengkritik semula idea-idea Marx.
Beberapa tema besar yang menarik untuk saya keluarkan melalui pembacaan buku ini:
1. Humanisme dan Islam
Saya mulai ghairah ketika membaca buku ini tatkala sampai kepada ulasan Syari’ati tentang konsep humanisme dalam Islam. Tema Humanisme milik Barat terkenal dengan pemujaan untuk mengembalikan semula nilai-nilai esensi manusia sekaligus menekankan human-centric yang mengenepikan sebarang peranan Tuhan. Kecelaruan yang berlaku dalam tamadun Barat terlalu banyak terkesan oleh Rennaisance yang pada awalnya hanya mahu menenetang kebobrokan kelompok gereja sahaja, sebaliknya ia memusnahkan langsung elemen spiritual dan menekankan elemen materi. Syari’ati mengkritik dengan keras sekali kegagalan peradaban Barat dalam mengembalikan nilai-nilai kemanusiaan itu.
Cara Syari’ati menghuraikan konsep humanisme Islam berbalik kepada kisah penciptaan Nabi Adam a.s di dalam Al-Quran. Apabila Allah s.w.t mengarahkan sekalian makhluk untuk sujud kepada Adam a.s termasuk malaikat yang diciptakan dengan cahaya dan merupakan hamba Tuhan yang paling taat. Syari’ati menjadikan peristiwa sekalian makhluk bersujud itu merupakan penghargaan terhadap makhluk yang bernama manusia. Malah, penghargaan ini ‘dirasmikan’ sendiri oleh Allah s.w.t.. Syari’ati juga banyak memetik tokoh tasawuf besar Andalusia, Jalaluddin Rumi dalam mengekspresikan pandangan beliau tentang keindahan manusia itu.
2. Manusia makluk progresif
Beliau mengutarakan konsep ‘progres’ dalam insan. Progres yang merupakan ‘perjalanan’ atau proses men-jadi (becoming) makhluk bernama ‘basyar’ kepada ‘Insan’. Ia semacam perjalanan menuju tahap kesempurnaan. Basyar itu sendiri mempunyai sifat asal atau fitrah mirip haiwan. Ia makan, minum, bersaing pengaruh, mengawan, dan membiak. Inilah manusia jika ia tidak mempunyai sebarang progres untuk menjadi Insan. Syari’ati menyebut, proses menuju tahap keinsanan juga ialah “bergeraknya manusia secara permanen ke arah Tuhan, ke arah Kesempurnaan Ideal”. Pada Syari’ati, insan itu mempunyai tiga karakteristik; Kesedaran diri, Kemauan bebas, dan Kreativiti.
Bertentangan dengan itu, saya teringat apa yang ditulis oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam magnum opus beliau, Islam and Secularism. Beliau menyebut, insan itu asalnya sudah ‘being’ dan bukan ‘becoming’. Kerana di alam roh, setiap insan sudahpun berikirar membenarkan Perjanjian (mithaq) di hadapan Tuhan. Ini terdapat dalam Surah Al-A’raf ayat 172. Malah, Syed Naquib mengkritik progresif kerana ia seperti faham Barat yang menekankan progresivisme menuju tidak berTuhan yang berkait rapat dengan Pencerahan (enlightment) atau evolusi milik Darwinisme. Pandangan ini juga dipegang oleh intelektual Muslim yang berpengaruh abad ini, Seyyed Hossein Nasr.
3. Intelektual dan masyarakat
Pada Syari’ati, intelektual tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat. Intelektual tidak boleh bersifat elitis dengan erti kata tidak boleh untuk turun bersama menyelesaikan masalah masyarakat yang paling asasi. Dalam konteks penulisan Syari’ati, adalah kelompok petani. Beliau berpendapat, jika kita mahu mengambil strategi intelektual dalam lipatan sejarah Barat, beliau mencadangkan untuk merujuk intelektual abad ke-13 dan 14. Intelektual pada dua abad yang dimaksudkan ialah gerakan religius Luther dan Calvin dalam memerangi kelompok gereja Katolik seterusnya mengasaskan mazhab Protestan.
Syari’ati berpandangan sebegini kerana gerakan Luther dan Calvin itu ialah berhadapan dengan sosial masyarakat yang religius. Jadinya, ia sesuai dengan konteks masyarakat Iran pada ketika itu (sehingga sekarang) yang kuat berpegang dengan agama. Bukan seperti kondisi masyarakat Barat abad ke-19 yang sudah teruk disekularkan. Tesis utama disebalik semua ini, ialah intelektual perlu benar memahami dan menguasai keadaan masyarakatnya.
Kerja-kerja intelektual bukanlah sekadar memuaskan nafsu berfikir, ia perlu disintesiskan dengan merubah keadaan masyarakat. Menarik, apabila Syaria’ti menyelar ahli falsafah Greek kuno yang pada pendapatnya kurang berperanan menggerakkan revolusi:
“Aristotles bukanlah seorang roushanfikir, kerana ia tidak memprakarsai gerakan sosial atau revolusi satu pun dalam masyarakatnya,....Yang dibutuhkan Yunani bukanlah filosof atau ilmuwan, tetapi ideolog-ideolog aktif untuk memperbaiki dan mengubah nasib para budak yang malang,...”(hlm. 224).
Kita baca dan kita lancar revolusi!