Jump to ratings and reviews
Rate this book

Sungai Mengalir Lesu

Rate this book
Sungai Mengalir Lesu adalah antara segelintir karya sastera yang sempat merakamkan satu fasa dekad terpenting dalam kehidupan bangsa kita Pengalaman getir kehidupan sekumpulan manusia di sepanjang sebatang sungai turut menjadi lambang kesengsaraan umum rakyat Malaya pada zaman Perang Dunia Kedua.

Kisah lara sekumpulan insan ini menunjukkan betapa durjananya kesan dan bencana perang terhadap manusia. dan betapa wajarnya kita menghindarinya daripada berulang semula.

Di samping sebuah karya sastera. Sungai Mengalir Lesu juga sebenarnya adalah satu himpunan dokumentasi sejarah sosial yang amat berharga

118 pages, Paperback

First published January 1, 1967

29 people are currently reading
550 people want to read

About the author

A. Samad Said

59 books428 followers
Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said ialah Sasterawan Negara 1986. Beliau juga pernah dianugerahkan dengan "Anugerah-anugerah Menulis Asia Tenggara" (SEA Write Awards).

Dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, A. Samad mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946) dan Institusi Victoria, Singapura (1956). Seorang yang berminat dalam penulisan sejak di bangku sekolah, beliau telah menulis banyak karya yang terkenal, termasuknya novel-novel berikut:

* Salina
* Langit Petang
* Sungai Mengalir Lesu
* Hujan Pagi
* Bulan Tak Bermadu di FatehpurSikri.
* Adik Datang
* Cinta Fansuri

Antara antologi puisinya ialah Suara Dari Dinding Dewan (2003), Dirgahayu Dr. Mahathir dan Rindu Ibu (2004).

Antologi Esei terbaru adalah Ilham Di Tepi Tasik (2006).

Datuk A.Samad Said pernah juga menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir.

(Sumber: Wikipedia)

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
132 (41%)
4 stars
119 (37%)
3 stars
49 (15%)
2 stars
13 (4%)
1 star
3 (<1%)
Displaying 1 - 30 of 55 reviews
Profile Image for Taufiq Yves.
509 reviews376 followers
September 24, 2025
Sungai itu tak sekadar mengalir - ia membawa luka, sejarah, dan jiwa yang tidak sempat sembuh.

Sungai Mengalir Lesu adalah sebuah elegi kepada kemanusiaan yang tercalar oleh perang, penjajahan, dan kelaparan. Berlatar di Singapura semasa pendudukan Jepun, novel ini merakamkan kehidupan masyarakat kampung Melayu yang bergelut dengan kelangsungan hidup dalam dunia yang sudah kehilangan arah, dengan cara yang "bogel".

Sungai dijadikan metafora kepada perjalanan hidup yang tak pernah berhenti, walau dihimpit derita dan kehinaan. Anak - anak kecil menyelongkar sungai yang tercemar demi sesuap nasi, gadis - gadis muda terpaksa menggadai maruah, dan pemuda - pemuda yang dulunya berwawasan kini menjadi penyamun demi kelangsungan hidup.

Nampaknya, Pak Samad tidak menulis novel ini untuk memujuk, tapi untuk menggugah.

Gaya bahasa Pak Samd sangat puitis, reflektif, dan penuh simbolisme. Ia mengalir seperti sungai – tenang di permukaan, tetapi bergelora di dasar. Setiap ayat membawa beban sejarah dan emosi, menjadikan pembacaan aku suatu pengalaman yang estetik dan intelektual.

Aku baca novel ini sebagai dokumen sejarah yang berjiwa, ia merakam emosi dan pengalaman rakyat biasa semasa pendudukan Jepun yang tak tergapai imaginasi. Naratifnya memperlihatkan tahap ketinggian yang mampu menyampaikan falsafah melalui estetika. Watak - watak dalam novel ini kompleks tapi manusiawi – tak ada watak hitam putih; semuanya bergelut dengan dilema yang berbeza.

Irwan, Mulyadi, Salimah, dan Tuminah adalah cerminan kepada dilema moral yang kita semua hadapi dalam bentuk yang berbeza. Dorang tidak sempurna, dan itulah kekuatan dorang – hidup, bergelut, dan gagal dengan bermaruah.

Membaca karya seorang Sasterawan Negara menuntut kesabaran yang tinggi. Pace naratifnya sangat perlahan. Aliran ceritanya terlalu tenang, "lesu" dan memang tiada yang dramatik. Watak - watak dalam novel ni pula tak menunjukkan perkembangan yang ketara dan significant, kalau kau tak membaca novel ini dengan lensa apresiasi sastera, kau akan rasa kecewa sebab novel ini lebih bersifat introspektif, kurang aksi dan konflik luaran yang boleh menggerakkan plot dengan lebih dinamik.

Sebuah novel yang nostalgik, memberi ruang untuk aku merenung kembali akar budaya dan sejarah asal usul aku sendiri. Ia bukan novel yang memberi jawapan, tapi seringkali menyebabkan aku berfikir - tentang siapa aku, dari mana aku datang, dan ke mana aku mengalir.

Ini adalah contoh karya yang hidup – menuntut kita untuk hidup bersamanya, bukan sekadar membacanya.

5 / 5 stars
Profile Image for Iman Danial Hakim.
Author 9 books384 followers
February 2, 2017
Sebab petang ini memang rasa malas ya ampun nak pergi main futsal atau jogging, jadi naskhah sederhana SN A Samad Said menjadi peneman.

Sungai yang tidak bernama dalam novel ini menjadi sumber kehidupan penghuni di tebing. Basir, Mak Buruk, Tuminah, Sukon, Giap Hong, Irwan, Ahmad Jani, Soosay dan ramai lagi manusia pada zaman edan Perang Dunia Kedua di Tanah Malaya.

Membaca SML membawa kita merasai sendiri denyut nadi masyarakat yang menderita, terseksa, terhimpit dengan suasana peperangan. Kekejaman Jepun yang menghadkan pemberian makanan, membunuh sesuka hati, memeras ugut memaksa manusia-manusia ini melupakan prinsip moral demi sesuap kehidupan.

Ada yang rela menggadaikan maruah demi sekampit beras, ada yang mengendahkan dosa mencuri dan memecah masuk gudang menyimpan makanan demi mendiamkan gelora perut, ada yang sanggup menelan makanan busuk yang terapung di sungai keruh, hanya untuk meneruskan hidup.

Setiap kali siren membingit, mereka terpaksa bersesak di dalam shelter untuk berlindung diri. Bau hapak peluh dan bahang panas yang memerangkap menyukarkan rasa tenang menyelinap. Deruan kapal terbang dan dentuman bom memburukkan lagi keadaan.

Setiap hari adalah perjuangan menentang kematian. Yang gigih akan kekal hidup, dan tak sedikit yang memilih untuk menamatkan segala penderitaan dunia dek azab peperangan dengan mengambil nyawa sendiri.

Pak Samad kalau bercerita perihal penderitaan masyarakat Tanah Melayu semasa dan pasca perang memang mengharukan.
Profile Image for ⠀.
122 reviews35 followers
August 1, 2020
Diceritakan dari sudut pandang beberapa watak penduduk berbilang bangsa dan peringkat umur, Sungai Mengalir Lesu menunjukkan bagaimana penduduk-penduduk kampung mengharungi hari-hari di zaman peperangan yang mereka tidak minta. Bagaimana ada yang sehingga terdesak melakukan apa sahaja bagi mengalas perut di saat sukarnya untuk mendapatkan makanan. Juga kerisauan setiap hari terpaksa bersempit di dalam tempat perlindungan sewaktu bom menghujani kampung mereka. Dan walaupun tersekat di saat yang sukar ini, penduduk-penduduk kampung masih lagi mempunyai rasa tanggungjawab untuk menjaga satu sama lain dan bagaimana kanak-kanak yang terpaksa mendewasakan diri di waktu ini masih lagi dapat mencari cara untuk menghiburkan diri mereka buat seketika.

Sebuah karya yang memilukan. Disarankan untuk membacanya sekiranya mahu menyaksikan cebisan kehidupan mereka yang terpaksa hidup di zaman penjajahan Jepun dan memberi sedikit kesedaran mengenai betapa berharganya kebebasan dan kesenangan bagi mereka yang bernasib baik pada waktu kini.
Profile Image for Apip.
82 reviews3 followers
August 24, 2020
Pada awal aku baca buku ni tak perasan pulak aku baca pada bulan kemerdekaan. How convenient.
Pada awalnya, agak perlahan aku baca, mungkin sebab ni sastera melayu pertama aku baca sejak tingkatan 5. Tapi dah lama sikit, baru laju. Laras bahasa tinggi barangkali?

Buku ni sangat memurungkan. Buku ni menceritakan kesan-kesan perang terhadap kehidupan masyarakat (berpusat di Singapura); bagaimana mereka kekurangan makanan lalu terpaksa makan makanan kotor dan menggadaikan maruah demi nak nak makan. Tak lupa juga insiden-insiden bunuh diri. Banyak juga sebut pasal bom. Ya...itu seram jugak.

All in all great book. Berbaloi setiap sen anda cumanya, memurungkan sikit. (as it was intended to be)
Profile Image for Iza B. Aziz.
236 reviews33 followers
October 10, 2024
Mungkin ini antara kisah-kisah yang sudah tidak lagi kita pedengarkan.

Perang yang bukan sahaja meragut nyawa, merompak harta benda bahkan membuka aib, menghina maruah diri dalam keterpaksaan demi untuk menyambung nyawa.

Sungai itu tetaplah mengalir lesu tanpa peduli ketawa anak-anak, teriakan manusia, dentuman bom dan kehancuran tanah. Kerana sungai itu lelah membawa sisa kematian.
_____________________
Penulisan Sasterawan A. Samad Said dalam novel ini tiada selindung dengan kata-kata puitis. Ratapan emosi cukup mengena..ada suka, ada duka dan luka.

Bacaan saya lancar sahaja, tiada keliru dengan watak yang ramai. Ini sebab penulis teratur dalam menyingkap cerita luar dan dalam mangsa peperangan yang tersisih ini.

Malah, saya agak terkejut rupanya ada beberapa babak saspens serta plot twist yang tak disangka-sangka!
_____________________
Cerita yang paling beri kesan pada saya ialah jalinan kasih antara Mak Buruk dan Tompang. Jarang sekali disebut kesan perang yang dihadapi oleh manusia istimewa seperti Tompang yang hilang penglihatan.

Begitu juga kisah dua sahabat negara seberang Irwan dan Mulyadi seakan menyiat pedih hati saya. Tidak dipeduli dan hanya bergantung satu sama lain.

"𝙎𝙪𝙣𝙜𝙖𝙞 𝙈𝙚𝙣𝙜𝙖𝙡𝙞𝙧 𝙇𝙚𝙨𝙪 𝙟𝙪𝙜𝙖 𝙨𝙚𝙗𝙚𝙣𝙖𝙧𝙣𝙮𝙖 𝙖𝙙𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙨𝙖𝙩𝙪 𝙝𝙞𝙢𝙥𝙪𝙣𝙖𝙣 𝙙𝙤𝙠𝙪𝙢𝙚𝙣𝙩𝙖𝙨𝙞 𝙨𝙚𝙟𝙖𝙧𝙖𝙝 𝙨𝙤𝙨𝙞𝙖𝙡 𝙮𝙖𝙣𝙜 𝙖𝙢𝙖𝙩 𝙗𝙚𝙧𝙝𝙖𝙧𝙜𝙖."

Bacalah...
_____________________
Profile Image for Miyuke.
200 reviews3 followers
December 27, 2024
Naskah Sasterawan Negara ini tidak pernah mengecewakan. Latar perang yang diketengahkan seolah-olah tertayang jelas di hadapan mata.

Menceritakan pahit getir kesukaran masyarakat yang berumah tangga di sekitar sungai kotor berhampiran tempat yang dijadikan sebagai kem induk sang penjajah.

Hidup dalam kelaparan, bergelumang dengan penyakit, ketakutan dihujani bom, bermasyarakat dalam kalangan lelaki yang sesetengahnya berkudakan nafsu dan impian-impian yang hanya mampu dimimpikan menambah sulit kehidupan masyarakat pada zaman perang.

Peritnya kehidupan yang digambarkan sehingga ada antaranya yang menyerahkan nyawa ke sungai ini.

Bacalah dan nikmati kepahitannya!

NOTA :

Edisi naskah yang dibaca serta no ISBN berbeza daripada edisi ini.

Permohonan telah dibuat kepada pihak Goodreads Librarian pada 15 Dis 2024 untuk pertambahan edisi dan pengemaskinian kulit novel.

KEMASKINI :

Edisi ini telah ditambah oleh pihak Goodreads Librarian sebagaimana yang telah dimohon.
Profile Image for hans.
1,172 reviews152 followers
April 5, 2020
Melihat sejarah dan kehidupan masyarakat sewaktu pendudukan Jepun dan kedatangan British, Sungai Mengalir Lesu bawa aku kembali ke masa silam dalam tengking dan jerit kalut manusia, jatuhan bom rawak dan lepasan peluru tanpa belas kasihan. Penceritaan serba perinci dalam latar perang, keadaan sekitar yang hampir ranap dan manusia yang serba kurang dan cuba bertahan demi mahu hidup. Tertarik dengan karakter-karakter yang dari pelbagai lapisan bangsa, hidup bersatu dan saling menjaga. Susun bahasanya terbuai dalam emosi, realiti silam yang menyedihkan. Kekuatan novel ini pada bahas galur naratif yang seakan mencermin tepat nasib dan kepayahan waktu perang, berlindung di shelter dan mencari sesuap makan walau terpaksa menjual badan kepada tentera. Suka dengan simbolik sungai yang menjadi latar tempat tinggal para watak utamanya, yang 'melihat' dari awal bagaimana ketenangan bertukar kesusahan hingga ia sendiri menghadap putus asa manusia yang memilih untuk bunuh diri. Novel yang sarat moral dan dokumentasi sejarah sosial yang bagus.
Profile Image for Abdul Hakim Abdul Basir.
30 reviews5 followers
September 9, 2009
Dalam waktu peperangan, orang sudah tidak memberi kerana kemanusiaan. Setiap yang diberi minta dibalas. "Aku boleh beri susu tin ini, tapi aku mahu susu tu...". Dan susu manusia dan susu binatang pun bertukar ganti. Demikianlah allegory yang membayangkan betapa hodohnya wajah kemanusiaan yang mengambil kesempatan di waktu sempit dan melarat.

Dalam shelter, semua manusia tidak kira bangsa dan agama berlindung daripada bom-bom yang digugurkan oleh pesawat B24 dan B29 - pesawat British yang cuba merampas Singapura kembali daripada pihak Jepun. Serangan bom ini tidak bermata dan tidak mengenal mangsa. Serangan pengecut itu bukan sahaja memusnahkan bandar malah mengenai juga tempat-tempat awam dan mengorbankan rakyat setempat. Nyata sekali, strategi sama juga telah digunakan dalam 'perang' di Iraq dan Afghanistan pada dekad ini.

Ayat berikut dipetik daripada ayat pertama Sungai Mengalir Lesu: Pagi itu hujan masih rintik-rintik lagi. Sungai yang hitam airnya tidak putus-putus beralung-kalung kerana tikaman air hujan. Betapa indahnya naratif oleh Pak Samad ini. Ianya begitu komprehensif dan sangat imaginatif.

Membaca Sungai Mengalir Lesu akan membawa kita kembali ke Perang Dunia Kedua dengan setting di Pulau Singapura. Kampung di mana sungai itu mengalir dan di mana semua karakter berpusat tidak pernah dinyatakan secara tepat. Ianya disengajakan oleh Pak Samad agar para pembaca menjadi lebih tertanya-tanya dan lebih membantu untuk membuat telahan sendiri.
Profile Image for Sue Oshin.
Author 10 books56 followers
June 30, 2020
💧REVIEW💧

SUNGAI MENGALIR LESU bagi saya,buku ini tidaklah susah untuk difahami. Terdapat banyak penggunaan kata atau bahasa yang digunakan A.Samad Said yang jarang sekali saya dengar atau sebut sehinggalah saya sendiri terpaksa "google" untuk mencari maknanya, contohnya seperti Tokak (mungkin bg org lain sudah biasa mendengarnya tetapi ianya pertama kali buat saya)

Sungai Mengalir Lesu bukan kisah sungai semata-mata tetapi sebuah sungai yang telah banyak memakan jiwa dan nyawa manusia akibat kesempitan hidup dan pelbagai lagi kisah hidup yang mencengkam hidup mereka. Ia mengisahkan kehidupan di sebuah kampung di tepi sebuah sungai di Singapura semasa pendudukan Jepun. Kisahnya penuh tragedi, penyeksaan, kebuluran, kemelaratan dan maut. Di satu pihak, Jepun mengancam mereka dengan pedang dan senapang, sementara di pihak lain Inggeris mengancam mereka dengan serangan bom dari kapal terbang sehingga akhirnya Jepun terpaksa menyerah kalah dan mengundur diri.

Bagaimanapun, untuk terus hidup, penduduk kampung perlu berusaha. Desakan untuk hidup membuat anak-anak mencari rezeki di dalam sungai yang kotor, orang muda menjadi penyamun dan gadis-gadis menjadi pelacur. Penduduk kampung di tepi sungai ini sudah seperti keluarga walaupun mereka berlainan bangsa dan agama. Tempat persembunyian (shelter) mereka juga sama setiap kali berlakunya pengeboman dari udara.

Bahagian cerita yg membuatkan sy tidak berhenti terngiang² dari ingatan adalah kisah persahabatan antara Irwan dan juga Mulyadi. Mereka merempat. Mencari makanan hanya di tepi sungai iaitu sisa-sisa atau kadangkala terpaksa mencuri dgn menyeludup ke gudang makanan "sojar" jepun. Walaupun tahu akan bahaya yg membawa maut jika terjumpa oleh sojar jepun, mereka terpaksa dan tiada pilihan lain untuk mengisi perut malahan mereka juga terpaksa meminta ubat-ubatan dari kedai secara percuma dengan muka tebal akibat tiada wang dan harga barangan ketika itu mencanak naik. Ketika tokak Mulyadi semakin teruk dan dia tahu masanya tidak lama lagi, dia ada mewasiatkan sesuatu kepada Irwan supaya pulang ke kampung halamannya dan memberitahu isterinya yg kematiannya terkena peluru sesat,bukan mati sebegini (derita sakit tokak) dan kehidupannya bukanlah makan minum di pagar kubur tempat mereka merempat tetapi menyewa bilik. Pesanan yg terakhir pula meminta Irwan memberikan anak patung kain kepada anak perempuannya itu.

Kisah seterusnya pula mengenai Salimah dan Tuminah . Dua perempuan yg berbeza tetapi mempunyai satu niat yang sama iaitu terpaksa melacur diri untuk meneruskan hidup. Salimah seorang gadis remaja yang terpaksa memberikan badannya kepada Sojar Jepun sebagai gantian dengan makanan. Dia terpaksa melakukan hal sedemikian secara senyap untuk meneruskan kelangsungan bekalan makanan untuk dirinya dan keluarganya. Lain pula kisahnya dgn Tuminah iaitu seorang janda yg tidak mempunyai anak tetapi mempunyai seorang adik lelaki yang berusia 8tahun yang tinggal bersamanya. Dia terpaksa mempergunakan jejaka sekampung dengannya,Basir untuk memberikan dia makanan. Basir sanggup buat sahaja utk Tuminah walaupun terpaksa menyeludup ke gudang makanan sojar Jepun asalkan niatnya untuk menjamah tubuh Tuminah tercapai. Dalam masa yang sama mereka ini saling menyayangi kerana terlalu kerap berhubung walaupun secara sembunyi tanpa pengetahuan orang sekeliling.

A.Samad Said berjaya menggambarkan sebahagian keluarga yg menderita dalam setiap bab kemudian dikaitkan pula setiap satu keluarga dengan mereka yang lain supaya pembaca faham yang mereka ini tinggal sekampung dan saling mengenali cuma berbeza "kasut" mengikut penceritaan yg digambarkan beliau.
Profile Image for Fahmi Khir.
71 reviews3 followers
December 10, 2015
Begitu buruk dan busuknya sungai itu, begitulah perit dan sakitnya penderitaan yang dialami oleh mangsa perang di dalam kisah yang ditulis ini. Setiap penderitaan yang dialami digambarkan melalui watak-watak seperti Tuminah,Mak Buruk,Irwan,Giap Hong dan Ahmad Jani yang mampu memberi kesan kepada pembaca. Mereka bukanlah pejuang-pejuang yang mencari kematian untuk mendapat nikmat syurga, apatah lagi berjuang memenangi perang untuk mempertahankan wilayah dan kawasan. Merekalah mangsa yang telah diragut nikmat dan erti kehidupan, yang berjuang menghindarkan kematian yang bagai menunggu mereka setiap hari, meneruskan kehidupan yang bagaikan saban hari seakan berada di neraka.
Pertarungan di antara hidup dan mati tatkala siren berbunyi dan bersabung ajal berlari mendapatkan shelter yang menjadi pelindung dari hentaman bom dan hujan peluru dari B25 dan B29. Kisah kematian dan kekejaman tentera Jepun menjadi berita dan bualan setiap hari. Bagaimana peperangan telah mengubah hidup mereka dengan pengorbanan,kehilangan dan penderitaan yang mereka alami telah diceritakan dan menduga akal pembaca untuk menggambarkan kehidupan di dalam kekejaman sebuah peperangan.
Walaupun buruk dan busuk, sungai itulah yang telah mewarnai hidup mereka, memercikkan dan meriakkan kegembiraan dalam hati anak-anak kecil yang tidak mengenal erti kehidupan lagi, menenggelamkan kisah sedih dari kematian ke dalam dasarnya dan menimbulkan sedikit harapan yang memberi tujuan kepada mereka untuk hidup bersama sungai yang mengalir lesu itu. Sungai itu juga yang menjadi saksi utama kepada kehilangan,kematian dan kesengsaraan watak-watak akibat daripada peperangan
Adakah akibat peperangan, melahirkan sifat di dalam diri yang mengubah manusia menjadi orang lain yang bukan dirinya? Atau memang setiap manusia itu telah lama menyembunyikannya di dalam hati dan jiwa mereka, menunggu masa dan ketika untuk diluahkan? Perasaan sesal dan sedih dan juga sanggup berkorban apa saja termasuk maruah dan harga diri, adakah wajar bagi seseorang yang menjadi mangsa perang?
Setiap pencirian dan penceritaan yang digarap penulis memberikan ruang kepada pembaca menggambarkan sendiri suasana peperangan yang dikisahkan oleh penulis. Biarkan aliran sungai itu yang lesu membawa pembaca mengalir bersama kisah dan penceritaan di dalam buku ini dan mengungkapkan sendiri penderitaan dan kesengsaraan yang dialami manusia atas nama peperangan.

Profile Image for books.bintulu.
268 reviews7 followers
March 2, 2024
Terdesak. Pada masa perang semuanya terdesak.

Terdesak mencari makan.
Terdesak mencuri
Terdesak untuk hidup.
Terdesak mengurus nafsu.

Mungkin kanak-kanak saja yang masih mampu ketawa.

Ngilu sedikit buat saya bilamana selain Mak Burok yang kuat menyembunyikan pilunya, watak wanita lain semuanya mengalah kepada si pemberi makanan dan simpati.

Setiakawan antara Mulyadi dan Irwan agak mengharukan. Terjawab juga persoalan dalam fikiran bagaimana berselindung semasa serangan. Shelter yang menyatukan setiap bangsa di kampung tepi sungai itu.

Semoga perang cepat pupus di dunia ini.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Profile Image for Syima Misrin.
35 reviews
July 24, 2023
Walaupun buku ni cuma 160+ muka surat... Tetapi setiap baris ayat dan cerita dalam buku ni akan kekal melekat dan terkesan sepanjang hidup saya.

Buku ini terlalu derita. Penulis sangat handal mengunakan setiap bait ayat untuk mengambarkan betapa deritanya manusia di sepanjang sungai yang lesu itu.

Watak yang memberi kesan mendalam kepada saya ialah watak Irwan dan Mulyadi.
Profile Image for ainisreading.
86 reviews12 followers
December 29, 2023
Setiap yang dihulur minta diganti. Dalam masa perang-perang begitu, orang sudah tidak memberi kerana kemanusiaan.
Profile Image for Haliza Zurah.
3 reviews
February 21, 2023
Sungai Mengalir Lesu (Lazy River) by A. Samad Said

In the era we live in today (about 80 years post-WWII), we have lesser idea of how life was like during the war. Locally, we have several literatures or movies that depicted the cruelty of the Japanese soldiers during the Japanese occupation in Malaya. However, Pak Samad decided to approach this aspect of story in a different angle in which instead of describing the Japanese brutality, he brings the readers to suffer along with his characters in this story. A well known habit of Pak Samad in many of his books is, he loves to 'torture' his characters and he successfully did it in Sungai Mengalir Lesu.

This is a story about a kampung near a river that was heavily contaminated by rubbish, food waste and human soil (Pak Samad even described the shape of fecal materials in detail). Despite its state added with severe food shortage, the river became the source of food for the people by picking on the spoiled food waste. Sometimes they would catch frogs for protein but it would be far-fetched because even animals could hardly survive. The kids treated the river as a playground for them to swim and jump. But they were somewhat happy.

Due to hardship, young women would do whatever they could to survive, to feed the family. Malaria was endemic at the time but the medical supply was inadequate. The illness spread and people were deteriorating. Two unique characters that I find interesting would be Mulyadi and Irwan who lived at the graveyard in the worst state of life imaginable. To survive, they ate anything they could while missing the family they once knew.

My favorite dialogue between Mulyadi and Irwan is when they discovered people were commiting suicide at a nearby bridge as below:
"Semua orang derita dalam masa begini," kata Mulyadi, "tapi kenapa harus membuang nyawa dengan sesia begitu." (Everybody is suffering, but why must the life wasted?).

I wish the younger generation who are now obsessing over life that is lacking in depth or solidity would pick up this book and look at life differently. I purchased this book directly from Helemy Samad in a package of 3 signed books by Pak Samad himself.
Profile Image for Affendi Alias.
15 reviews5 followers
March 6, 2023
Sungai Mengalir lesu menyaksikan disepanjang aliran yang mengalir air hitam dan lesu wujudnya azab dan sengsara manusia menghadapi zaman perang. Perang yang dimulakan oleh orang2x yang tamak haloba akan kuasa dan sumber dari orang lain demi kelangsungan hidup bangsanya sendiri dengan cara menindas bangsa lain.
Tidak kira orang dewasa atau kanak2x, semuanya merasakan derita. Kehidupan sehari2xan yang penuh dengan ketakutan akibat pengeboman selang beberapa jam sekali yang membuatkan mereka terpaksa berlindung dalam shelter yang sempit dan pada bila2x masa juga boleh jadi sasaran bom, kelaparan akibat makanan yang semakin berkurang yang menyebab terjadinya perkelahian dan perompakan yang boleh meragut nyawa, perempuan2x yang menjual diri demi secebis makanan, para pemuda yang berani cuba menyelinap masuk ke gudang makanan. Namun disebalik kesengsaraan itu ada sekelompok manusia yang dinamakan kanak2x yang tetap ceria dalam sengsara, bermain sesama mereka di dalam air sungai yang mengalir lesu yang kalau kita baca dan gambarkan boleh membuatkan mual dan loya.
Peristiwa yang digambarkan oleh Pak Samad ini berlaku di Singapura di penghujung zaman perang Dunia Kedua, disaat Jepang hampir dikalahkan tapi masih gagah menunjukkan taringnya kepada kaum yang lemah tetapi terbirit2x menyorok dikeroyok pihak lawan.
Sebagaimana tulisan Pak Pram, novel2x Pak Samad memang menyentuh tentang hal2x kemanusiaan. Bagaimana manusia itu dalam keadaan sengsara mampu berfikir demi hidup walaupun adakala yang diperdagangkan itu tubuh dan nyawa mereka sendiri demi kelangsungan hidup keluarganya dan lingkungannya. Begitu juga dalm novel ni ada terselit kisah persahabatan yang mendalam antara 2 orang pelarian dari Pekalongan dan Semarang, Indonesia yang akan mengejutkan kita yang membaca. Betapa demi persahabatan apa yang sanggup dilakukan mereka demi meneruskan secebis hidup yang sekarat (nazak).
Tak perlu aku bagi bintang bagai untuk novel Pak Samad ni sebab aku tahu aku tak layak untuk menilai. Hanya ucapan terima kasih dan doa dipermudahkan segala urusan Pak Samad dalam meneruskan karya2xnya selagi nyawa dikandung badan.
Profile Image for umairahmn.
28 reviews2 followers
June 24, 2021
Buku ini bagi saya, sangat berpasakkan dunia nyata. Berlatarkan Zaman Perang Dunia ke-2, buku ini mengisahkan pergelutan sehari-hari masyarakat di kampung bersaksikan sebatang sungai lesu di Singapura (yang ketika itu masih dalam Tanah Melayu) Buku ini tiada protagonis atau watak utama, tiada yang benar-benar baik belaka, masing-masing punya cara berbeza bagi mengharungi tekanan hidup yang mendesak rata-rata mereka. Ibarat kata Mulyadi (watak dalam buku ni), dapat tengok matahari esok pagi pun sudah satu nikmat besar.

Bunyi bom dan meriam seperti muzik hari-hari mereka. Cuma muzik itu indah, letupan bom tidak. Setiap kali siren berbunyi, penduduk kampung itu akan berlari, menumpang teduh di dalam 𝘴𝘩𝘦𝘭𝘵𝘦𝘳 yang disediakan. Anak-anak kecil dipeluk, yang buta kudung sama-sama dicempung masuk. Berkumpul dalam satu 𝘴𝘩𝘦𝘭𝘵𝘦𝘳 yang sama dengan latar kisah yang berbeza. Ada yang setia pada dendam, ada yang punya rindu tak bersulam, ada yang terkenangkan kampung halaman nun di seberang, ada juga yang hipokrit dalam kebaikan. Susu tin ditukar dengan susu badan, sekeping maruah diri buat seplastik makanan. Sedang tentera Jepun sibuk beradu gah dengan pihak British, rakyat marhaen juga berperang, antara mati kebuluran atau mendakap ajal di picu senapang. Bak kata pepatah Melayu, gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

𝘞𝘢𝘳 𝘥𝘦𝘮𝘢𝘯𝘥𝘴 𝘴𝘢𝘤𝘳𝘪𝘧𝘪𝘤𝘦 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦 𝘱𝘦𝘰𝘱𝘭𝘦. 𝘐𝘵 𝘨𝘪𝘷𝘦𝘴 𝘰𝘯𝘭𝘺 𝘴𝘶𝘧𝘧𝘦𝘳𝘪𝘯𝘨 𝘪𝘯 𝘳𝘦𝘵𝘶𝘳𝘯. - 𝘍𝘳𝘦𝘥𝘦𝘳𝘪𝘤 𝘊. 𝘏𝘰𝘸𝘦

Sejujurnya, sesak dada baca buku ni. Air sungai hitam dianggap syurga dunia, sayur buruk ibarat makanan ruji, beras hanya dalam imaginasi, ubi pun dapat yang curi-curi, beratapkan tikar, berlantaikan tanah kubur, kain compang-camping apatah lagi. Kuatnya jiwa mereka-mereka di zaman perang ini.
Profile Image for Hamidah Effendi.
414 reviews5 followers
July 18, 2025
Ulasan Buku: Sungai Mengalir Lesu oleh A. Samad Said

Penulisan dalam buku ini memang berpuitis dan mendalam — aku ambil masa juga untuk benar-benar faham setiap baitnya. Cerita ini mengangkat latar zaman Tanah Melayu ketika dijajah Jepun dan menjelang saat-saat akhir penjajahan tersebut.

Antara permasalahan yang digambarkan:

Anak-anak gadis yang terpaksa menggadaikan maruah demi mendapatkan sesuap makanan.

Kanak-kanak yang kebuluran, terpaksa menyelongkar sungai yang kotor untuk mencari sisa makanan.

Penduduk yang nekad mencuri dari gudang makanan milik Jepun demi kelangsungan hidup.

Kekurangan bekalan ubat dan tempat perlindungan yang tidak selamat; ramai yang terpaksa bersembunyi, bimbang ditangkap tentera Jepun.


Buku ini sangat menyayat hati. Kelaparan, maruah tergadai, penyakit yang tiada ubat, serta kematian yang menghantui setiap hari. Percintaan pula seakan tiada masa depan, seolah-olah tidak mungkin bersatu. Ia benar-benar membuka mata dan hati — seperti melihat sendiri penderitaan rakyat di Palestin atau mana-mana negara yang sedang berperang.

Kenapa perlu baca buku ini?
A. Samad Said dengan kepakaran sasteranya berjaya menyampaikan kepayahan hidup zaman perang secara halus tetapi meruntun jiwa. Ia bukan sekadar cerita sejarah, tapi sebuah peringatan tentang ketabahan, kehilangan, dan nilai kemanusiaan yang diuji pada tahap paling getir. Membaca buku ini membuatkan kita lebih menghargai keamanan dan keselesaan hidup hari ini.
Profile Image for HafirahT.
7 reviews1 follower
May 26, 2018
Membaca karya sasterawan negara tidak pernah mengecewakan . Sungai menjadi objek yang menarik pembaca untuk memahami mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang . Saya suka naratif karya ini . Mudah untuk difahami oleh pemikiran masyarakat pada hari ini . Kisah perang yang meragut nyawa,menghancurkan tempat tinggal dan memalit titik hitam pada zaman kanak-kanak merupakan tragedi yang akan memberi kesan sepanjang hayat.

Desakan hidup pada masa itu menyebabkan nilai moral tidak lagi menjadi pegangan . Anak muda mencuri , perempuan melacurkan diri . Walaubagaimanapun , kehidupan yang terdesak merupakan punca nilai kemanusiaan sudah tiada dalam diri . Segalanya sanggup dilakukan asalkan dapat meneruskan hidup .

Pelbagai unsur didaktik yang boleh diambil daripada karya ini . Nilai persahabatan, kasih sayang , pengorbanan, semangat juang yang tinggi dapat mengubah persepsi masyarakat bahawa kesukaran hidup pada zaman perang adalah sejarah yang tidak boleh diubah. Perang berlaku dan berakhir, sungai itu tetap mengalir .
Profile Image for Naliza Fahro-Rozi.
298 reviews13 followers
February 26, 2019
SUNGAI MENGALIR LESU adalah antara segelintir karya sastera yang sempat merakamkan satu fasa dekad terpenting dalam kehidupan bangsa kita. Pengalaman getir kehidupan sekumpulan manusia di sepanjang sebatang sungai turut menjadi lambang kesengsaraan umum rakyat Malaya pada zaman Perang Dunia Kedua. Kisah lara sekumpulan insan ini menunjukkan betapa durjananya kesan dan bencana perang terhadap manusia, dan betapa wajarnya kita menghindarinya daripada berulang semula. Di samping sebuah karya sastera, SUNGAI MENGALIR LESU juga sebenarnya adalah satu himpunan dokumentasi sejarah sosial yang amat berharga.
Profile Image for Ilynn Virgobiru.
52 reviews
November 8, 2019
Tentang kehidupan masyarakat yang tinggal di pinggir Singapura ketika penjajahan Jepun. Setiap watak diceritakan sebaiknya, kita dapat menyingkap sedikit sebanyak tentang kepayahan sewaktu zaman itu bersama tahap kerohanian masing2 yang tidak seperti sekarang. Namun, mungkin itulah cara untuk kemandirian diri pada zaman itu. Aku selalu nampak org2 tua yang menghafal yasin dan sentiasa berfikir mcm mana mereka boleh. Jadi, mungkin sahaja kerana banyak membaca yasin waktu2 kesusahan menyebabkan yasin itu satu rutin atau habit yg susah dilupakan, tersemat dalam jiwa. Aku suka buku ni, bunga2 dalam cerita mengesankan.
3 reviews
April 11, 2021
Buku ini bukan untuk mereka yang lemah semangat.

Karangan A. Samad Said ini ditulis dengan sangat deskriptif dan jujur. Tidak ada realiti yang diselindungkan dengan kata-kata manis. Pembaca akan disajikan dengan keperitan dan penderitaan masyarakat Tanah Melayu pada zaman penjajahan. Pembaca akan merasakan bagaikan mereka dibawa menyelam ke dalam sungai yang penuh dengan barang-barang asing yang mengganggu pergerakan dan dada akan rasa sesak kerana air yang keruh dan toksik. Begitulah gambaran buku ini. Bacaan yang menginsafkan.

Bacalah untuk belajar daripada sejarah dan lebih memahami keadaan negara kita dahulu.
Profile Image for kamy.
6 reviews
September 27, 2025
this sungai definitely mengalir lesu......... oh a samad said we're really in it now........ loved how the war was portrayed through its effect on the characters and the village people as opposed to focusing abt the soldiers etc because in the end the true victims of war are always the innocent bystanders... and i love love LOVE the children in this book n their innocent viewpoint of the war/the river as a place they fish for food and play around lmao who can forget the iconic 'kalau makan taik jadi pisang tak?' line from dalim LOVE HIM BROOOOO i had so much fun studying this book in malay lit class!!!
Profile Image for Ismim Putera.
116 reviews5 followers
February 15, 2022
I read the translated versions by Harry Aveling. The story is told by multiple characters via different perspectives. A bit messy to grasp the main flow of the story due to seemingly convoluting plot linking multiple events together.The author struggles to highlight important issues such as war, poverty, oppression, corruption, death, separation and negligence during the Japanese occupation in Singapore. The story flows as slow and as lazy as the river, perhaps reflecting the huge chunks of heavy, murky and abstract ideas in it. This historical novel is thin and yet it is not an easy read.
Profile Image for Nadiah.
15 reviews
February 23, 2024
Ceritanya berkisar tentang kehidupan sekumpulan masyarakat di Singapura yang tinggal di pinggir sebatang sungai ketika dijajah oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Sarat dengan emosi yang menyentuh isu sosial, kekeluargaan dan pegangan agama. Titik tengahnya ialah tentang bagaimana setiap orang berusaha untuk memenuhkan perut sendiri dan tanggungannya saat bom yang jatuh tak pernah kenal mangsa dan masa.

Sepanjang pembacaanku, sering kali terdetik dalam otak; barangkali begini yang sedang dihadapi oleh rakyat di negara perang, atau mungkin lebih lagi.
1 review
October 20, 2018
Berlatar belakangkan zaman penjajahan jepun, kisah ini menceritakan dengan jujur bagaimana manusia pada ketika itu terpaksa melakukan apa sahaja untuk survival, bila baik atau buruk bukan lagi pilihan. Berpasakkan sungai yang menjadi sumber rezeki, tempat pertemuan berbilang kaum, saksi kepada kejadian yang tragis.. kisah pengakhiran mengundang persoalan
Profile Image for Faiz • فائز.
370 reviews3 followers
March 29, 2022
Sungai menjadi perlambangan utama kepada karya ini. Menjadi saksi suka duka dan gelak tawa, pahit dan lara, kubur tidak bernisan dan sumber kehidupan.

Penulis pada hemat saya, berjaya menceritakan semula zaman Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu dengan baik. Gambaran dan emosi turut dapat dirasai meskipun tidak hidup di zaman itu.

Perang; betapa kejamnya manusia terhadap keamanan.

Profile Image for Fuad Syazwan Ramli.
52 reviews5 followers
March 12, 2020
Tiada yang menggembirakan tentang perang. Novel pendek ini adalah potret peperangan yang terlalu jujur.

Tiada yang muluk, yang ada cuma derita. Kerana itulah perang, nyamuk yang menghisap setiap titis kehidupan dari mereka yang terhimpit tanpa daya.
Profile Image for Nureem.
15 reviews
Read
July 2, 2020
#SungaiMengalirLesu oleh #ASamadSaid ~ Memaparkan penderitaan sehari-hari sekumpulan penduduk yang menjadi mangsa peperangan. Sungai itu kotor, hitam, lesu... Tapi di situlah mereka bermandi-manda, di situlah mereka merencana, di situlah mereka rebah...
Profile Image for Juita.
10 reviews
June 18, 2021
Penulisan yang sangat menarik dan berjaya membawa jiwa bersama ketika membacanya. Perjuangan setiap watak ketika darurat melanda sangat menyentuh hati. Setiap satu watak memberi pengaruh dan peranan yang tersendiri.
Displaying 1 - 30 of 55 reviews

Can't find what you're looking for?

Get help and learn more about the design.