Boleh dikategorikan sebagai buku yang payah untuk aku faham kerana mungkin pengetahuan aku tentang dunia senibina dan seni sangat cetek ditambah pula dengan terhadnya kosa kata akademik aku. Bahan bacaan akademik memang payah dan memenatkan tetapi ini semua tak boleh dipandang dalam kerangka negatif kerana buku inilah yang membuatkan aku benar-benar menerokai sisi sudut pandang yang baru.
Selesai membaca buku ini, aku cuma faham mungkin sekitar 30-40% tentang apa yang ingin disampaikan penulis. Penulis menganjurkan satu sudut pandang yang baru dalam teori filem dengan mengambil kira sejarah perjalanan disiplin seni bina, seni, kartografi, fesyen dan budaya mengembara yang saling bersilang tindih sehingga mewujudkan suatu disiplin yang kita kenali sebagai seni filem hari ini. Dengan menjadikan Peta Emosi yang di pernah di pakai dalam novel Madeleine de Scudéry, penulis mengajak kita meneroka satu pandangan kritikal yang baru yang katanya kurang dipandang dalam pengajian filem hari ini.
Seperti yang aku katakan awal tadi, aku tidak berapa faham tentang apa yang dikatakan penulis dan banyak sebab yang mempengaruhinya salah satunya mungkin aku sendiri tidak faham bagaimana teori filem itu sendiri. Tetapi apa yang menarik tentang buku ini ialah banyak perkara yang aku pelajari terutamanya dalam perkembangan budaya barat seperti bagaimana rumah sinema itu muncul hasil daripada cerdik pandai Barat yang ingin meneroka deria rasa sehingga hari ini tidak henti-henti penerokaan tersebut. Keadaan ini bukanlah berlaku secara tiba-tiba dan semua ini bergerak seiring dengan perubahan keadaan sosial yang berlaku di barat sejak awal lagi Zaman Renaisans ditambah pesat sejak kurun ke 19 dimana era-era tersebut ramai pengembara barat menjelajah dan menjajah dunia dan membawa pulang berjuta-juta bahan-bahan yang dipamerkan di ruang awam di bandar-bandar besar Eropah seperti Inggeris dan Perancis. Keadaan ini juga mempengaruhi tindak balas sosial masyarakat ketika itu sehingga munculah apa yang dikenali sebagai rumah sinema atau panggung wayang yang merupakan sebahagian daripada proses urbanisasi.
Susah untuk aku terangkan sebab mungkin aku tidak berapa faham tentang gagasan yang ingin disampaikan penulis. Buku ini merupakan karya yang terbaik dalam genre seni/media/filem/budaya dan memenangi banyak anugerah. Mungkin satu hari nanti aku akan baca ulang.