Mengisahkan 'Bandito Platoon' (BP) dari 'Seal (Sea,Air,Land) Team Seven' yang dipimpin oleh Leftenan Roark Engel dan orang kanannya Chief Dave Nolan. Apabila berlakunya letupan bom di Indonesia yang didalangi oleh Shabal,pengganas dari Chechnya. Letupan tersebut turut membunuh duta Amerika Syarikat dan anaknya. BP telah diarahkan untuk diaturgerakkan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan terjadi akibat kejadian letupan itu. Sementara itu,Lisa Morales,seorang doktor di dalam pertubuhan sukarelawan dunia,'Doctors Without Borders',telah ditangkap oleh seorang ketua kartel dadah Costa Rica bernama Christo. Morales ditangkap kerana dia juga merupakan ejen perisik CIA (Central Intelligence Agency) Amerika Syarikat (AS). Apabila Morales berjaya diselamatkan,BP berjaya mendapatkan beberapa bukti perkaitan antara Shabal dan Christo. Penemuan ini juga akan membawa mereka ke beberapa lokasi dunia dan membuka hijab ancaman kepada AS yang lebih berbahaya berbanding peristiwa 9/11!
Saya membaca novel ini dengan tidak terlebih dahulu membaca versi filemnya. Lantas,saya tidak boleh melakukan perbandingan antara versi filem dan novel (menentukan versi yang mana satu lebih menarik). Walaupun demikian,novel ini sebenarnya ditulis berdasarkan versi filemnya. Ini bermakna,novel ini diadaptasi dan ditulis dari filem yang juga bertajuk sama,iaitu 'Act of Valor'. Untuk versi novel ini,ia ditulis oleh Dick Couch dan George Galdorisi. Kedua-duanya pernah berkhidmat di dalam Tentera Laut Amerika Syarikat. Jangan terpedaya dengan nama Tom Clancy yang terpapar di muka hadapan novel ini. Tom Clancy,seorang penulis 'thriller-ketenteraan' yang terkenal ini hanya menyumbang tulisannya di dalam bahagian prakata sahaja. Namun,difahamkan,beliau juga memainkan peranan yang penting di dalam penghasilan filem dan novel Act of Valor.
Act of Valor merupakan sebuah novel yang saya fikir agak lain daripada yang lain. Seperti versi filemnya,aspek realisme ditekankan (walaupun saya masih belum menonton versi filemnya,tetapi,melalui sinopsis dan ulasan filem di internet,saya mendapat tahu bahawa filem Act of Valor ini merupakan sebuah filem aksi yang sangat realistik. Tiada unsur-unsur aksi ala-Hollywood di dalamnya. Malahan,para pelakon utamanya merupakan mereka yang pernah atau masih berkhidmat di dalam pasukan SEAL!). Aspek ini juga merupakan kekuatan utama novel ini. Saya juga secara peribadi menyukai aspek ini. Tiadanya unsur 'bravado' dan tidak realistik di dalamnya.
Perlu ditegaskan di sini bahawa plot dan aksi yang dipaparkan di dalam novel ini adalah berdasarkan melalui pengolahan semula peristiwa sebenar yang dihadapi oleh pasukan SEAL sepanjang penubuhannya. Dengan membaca novel ini juga,kita dapat mengetahui sedikit sebanyak peranan dan tatacara bagaimana pasukan khas seperti SEAL bertindak di dalam dunia nyata.
Elemen aksi dan pertempuran lebih mewarnai novel ini. Oleh sebab itu,aspek-aspek lain seperti cinta,konflik,'twist' dan lain-lain aspek tidak begitu dititikberatkan. Jadi,jika anda mengharapkan novel ini mempunyai spektrum elemen yang meluas,Act of Valor bukanlah sebuah novel yang mempunyai ciri itu.
Dari segi bahasa,bahasa Inggeris yang digunakan adalah seperti apa yang boleh kita baca di dalam mana-mana novel Inggeris-Amerika,dengan penambahan istilah-istilah atau jargon-jargon ketenteraan. Adalah satu kelebihan sekiranya seseorang pembaca itu mempunyai pemahaman yang baik di dalam hal-ehwal ketenteraan untuk memudahkannya memahami keseluruhan novel ini. Tambahan pula,novel ini tidak menyediakan glosari khusus yang menerangkan istilah dan jargon ketenteraan yang sering digunakan di dalam novel ini.
Perlu saya nyatakan di sini,untuk perhatian rakan-rakan (yang beragama Islam terutamnya) di Goodreads dan Buku Tiga Lima. Memandangkan plot cerita novel ini berkaitan dengan pengganas,terdapat beberapa ketikanya di dalam novel ini,penghinaan terhadap Islam berlaku,baik secara sembunyi dan terang-terangan (di dalam naratif dan dialog). Justeru itu,bacalah novel ini dengan minda yang terbuka. Nikmatilah keseronokan membaca novel aksi ini. Tetapi,pada masa yang sama janganlah terpedaya dengan mudah propaganda AS mengenai Islam (menurut 'kaca mata' mereka).