Masuk ke Dalam Cahaya ditulis oleh Abdullah Hussain, sasterawan negara kelapan—berkisarkan “kelana” (melarikan diri) Zaman untuk mencari erti kehidupan. Dirinya tenat dan lelah dengan kehidupan yang dijalaninya; penuh dengan hal bersifat duniawi. Kelananya kemudian tertangguh apabila dengan tidak sengaja, beliau menjumpai sebuah kampung yang didirikan mengikut lunas-lunas Islam, digelar Kampung Cahaya. Menariknya, kampung ini tidak ditemui di peta Kuala Lumpur, bahkan juga tidak pernah diketahui kewujudannya!
Zaman kemudian menjadi sebahagian daripada marga Kampung Cahaya. Kampung yang begitu sederhana, tenang, damai dan rukun. Walaupun kedudukan kampung ini terpencil, namun segala keperluan dan kemudahan seperti yang didapati di kota-kota, boleh ditemui di sini. Melalui kehidupan seharian Zaman di kampung ini—Abdullah Hussain banyak membetulkan salah faham masyarakat berkenaan amalan keagamaan seperti perkahwinan, pengebumian, zakat dan harta peribadi. Pengolahan yang begitu lunak dalam bentuk cerita ini menjadikan pembetulan salah faham ini lebih mudah diterima dan dicerna oleh pembaca.
Cerita ini turut menyisipkan babak Raja Ifrit bersama rakyat-rakyatnya yang terdiri daripada jembalang, hantu, jin, langsuir dan segala macam jenis sifat mazmumah seperti khianat, bodoh, tamak, hasut, fitnah, tahayul dan khurafat. Pakatan dan rancangan mereka untuk menghancurkan Kampung Cahaya menjadi paksi cerita. Segala macam usaha dilakukan untuk meruntuhkan kampung yang tertegak atas pasak-pasak Islam ini. Menariknya lagi, penulis turut menukilkan beberapa kisah agama yang masyhur seperti Grigori Rasputin, seorang manusia “mulia” yang telah mengucar-kacirkan kerajaan Rusia melalui pengaruhnya ke atas kerabat diraja sekitar awal tahun 1900-an dan Jonestown massacre, tragedi bunuh diri secara besar-besaran di Jonestown, Amerika Syarikat pada 18 November 1978 yang mengorbankan sebanyak 918 orang. Selain itu, ada juga kisah fiksyen yang dimuatkan seperti penulisan Yukio Mishima berkenaan perjalanan spiritual penganut Buddha dan kisah di pergunungan Mahameru yang melibatkan dua orang adik beradik iaitu Malim dan Sati dan berlaku pada zaman pemerintahan Seokarno. Namun, pencarian saya terhadap kisah ini tidak pula ditemukan sumbernya walau Abdullah Hussain meletakkan nota kaki di akhir buku. Segala peristiwa besar yang terjadi ini hakikatnya kerana tangan-tangan Ifrit, iblis, syaitan dan angkatan mereka.
Menurut saya, penulis berjaya mengolah segala perkara berhubung keagamaan dengan begitu lunak sekali, terutamanya berkenaan perancangan Ifrit untuk menyesatkan anak-anak Adam. Satu percubaan yang berhasil, saya kira. Cuma, pada separuh bahagian cerita, penulis seolah-olah ingin menamatkan cerita dengan segera. Segala babak dirakamkan dengan begitu cepat sekali. Agak berbeza dengan penceritaan pada babak awal yang lebih terperinci dan dihuraikan satu persatu. Entah apa alasan tuan penulis berbuat sedemikian.
Penutup, ini merupakan karya Abdullah Hussain yang pertama saya baca, dan jujurnya, saya benar-benar suka. Barangkali karya ini boleh diletakkan di bawah payung sastera Islam. InsyaAllah, selepas ini, karya beliau yang lain iaitu Imam akan saya dapatkan juga!