"Walaupun perjalanan anak-anak ini lebih lama daripada biasa, lebih lewat berbanding kanak-kanak tipikal dan berbeza dengan kebiasaan, satu perkara perlu dipasak dalam hati kita. Autisme itu bukan pelik, tetapi unik. Unik daripada segi neurologi otaknya, unik daripada segi tingkah lakunya, unik daripada segi interaksi sosialnya."
-Autisme: Unik / Pelik?, Aiman Amri-
Buku ini merupakan buku sulung Aiman Amri, seorang Terapis Kanak-kanak Istimewa dan Mental Health Advocate (seperti yang tertulis di laman webnya). Penulisannya yang ringkas dan padat dapat membantu pembaca untuk mengenali apakah autisme sebenarnya?
Pemahaman tentang kondisi ini merupakan langkah pertama untuk mewujudkan kesedaran dan penerimaan masyarakat yang tidak pernah berhadapan dengan individu Autistik. Buku ini ada memperkenalkan secara ringkas latar belakang Autism Spectrum Disorder (ASD) dan simptom-simptom yang berkaitan dengan Autisme. ASD terbahagi kepada tiga Classic, Mild and High Functioning (Asperger Syndrome).
Asperger Syndrome mengingatkan saya pada watak Dr. Reid dalam siri TV Criminal Minds. Dr. Reid juga didiagnosis dengan kondisi Autisme tetapi berada di tahap paling kanan spektrum, High Functioning. Dia mempunyai tahap akademik yang sangat bagus, tetapi dibuli oleh kawan-kawan sekolah disebabkan kekekokannya. Ketika bersama rakan sekerja, dia selalu terlepas "social cues" di mana dia akan terus bercakap walaupun orang sekeliling tidak berminat untuk mendengar.
Aiman telah menulis buku yang sangat mudah dibaca dan mengandungi nasihat-nasihat konkrit pada masa yang sama menyediakan pendekatan yang boleh digunakan masyarakat untuk dekat dengan individu unik ini.