'Lalu Aku Hidup Sebagai Apa?' merupakan himpunan tulisan berinspirasi, demi pengajaran hidup anak-anak muda yang terang bermakna.
Mengambil semangat pemikir agung Buya Hamka, buku ini menyuluh cahaya bagaimana hidup mesti berakal mencari ilmu untuk mati meninggal budi, lalu antaranya terbentang sebuah perjalanan yakin berani namun harus kekal merendah diri tunduk di bawah langit Ilahi.
Agak kecewa. Aku mengharapkan Komuniti Jejak Tarbiah menulis mengenai keperibadian, keintelektualan, kewibawaan, dan segala ke-an lagi seorang HAMKA, tetapi tidak. Aku assume perkara ini kerana gambar cover buku ini seorang ulama terkemuka nusantara, HAMKA. Maka aku ingat buku ini ditulis 'untuk'nya (HAMKA).
Sejujurnya aku mengharapkan sesuatu yang lebih daripada buku ini. Sehinggakan aku berkira mahu hentikan saja bacaan.
Semangat Buya Hamka yang dijanjikan(yang ditulis) pada kulit buku ini nyata tidak berjaya disampaikan sepenuhnya. Apatah lagi bila ada penulis cenderung memasukkan semangat dan roh ikon-ikon lain seperti Al-Attas ke dalam buku yang sepatutnya mengutamakan roh dan inspirasi daripada Hamka.
Ya. Bolehlah nak dikata aku sedikit kecewa dengan buku ini. Daripada sudut fokus, aku merasakan buku ini tidak mencapainya. Tapi daripada sudut perkongsian ilmu, mantap sekali.
2 Bintang - Tidak mencapai fokus. 4 Bintang - Berjaya dalam perkongsian ilmu dan pendapat.
"Lalu Aku Hidup Sebgai Apa?" merupakan himpunan tulisan berinspirasi, demi pengajaran hidup anak-anak muda yang terang bermakna.
Mengambil semangat pemikir agung Buya Hamka, buku in menyuluh cahaya bagaimana hidup mesti berakal mencari ilmu untuk mati meninggalkan budi, lalu antaranya terbentang sebuah perjalnana yakin berani namun harus kekal merendah diri tunduk di bawah langit Ilahi."
--
Reviu Aku:-
Umum:- Penulisan setiap bahagian dibahagikan kepada bebarapa orang. Maka, nampak ada perbezaan dari segi kualiti setiap tajuk. Ada tajuk yang sangat pendek, dan ada yang panjang.
The Pros:- Setiap tajuk mempunyai mesej yang tersendiri. Ada yang menyentuh tentang pemuda, ada yang menyentuh tentang gerakan mahasiswa, ada yang menyentuh tentang pendapat Hamka tentang beberapa topik, walaupun secara ringkas.
Bacaan tak berat. Aku habiskan semasa dalam perjalanan pulang dari KL-Terengganu. Lebih berbentuk peringatan dan naratif.
The Cons:- Sejujurnya aku agak teruja pada awal-awal penerbitan buku ini. Dari segi "expectation" mula-mula membeli buku ini, supaya dapat mengenal lebih dekat pemikiran beliau. Alhamdulillah ada beberapa topik yang cuba untuk menjurus ke arah itu secara terus melalui 1. Menceritakan tentang sisi perjuangan dakwah beliau. 2. Latar tempat tinggal beliau. 3. Biografi secara ringkas. 4. Sumbangan penulisan beliau. 5. Pendapat beliau tentang wanita.
Namun, dalam topik-topik berkenaan, ada juga terselit topik-topik yang ditulis sehingga membawa tokoh dan idea pemikiran lain. Walaupun mungkin hakikatnya pemikiran tersebut tampak sama, tetapi aku fikir, dengan sub-topik dan kulit buku gambar buya hamka, aku mengharap lebih keaslian dari pemikiran beliau. Melainkan gambar dan kulit itu sekadar strategi "marketing", aku kira aku termakan dengan strategi itu lol.
Aku suka tajuk akal perempuan menurut HAMKA, yang menggunakan rujukan dari Tafsir Al-Azhar beliau untuk mengenengahkan idea beliau.
Wallahu'alam, itu mungkin sekadar pendapat peribadi. Apapun cubaan yang baik dari penulis-penulis. Teruskan menulis (y)
Buku yang bagus isinya, ditulis oleh anak-anak muda berwawasan.
Membuka pintu kepada maklumat yang lebih luas berkenaan buku-buku tulisan HAMKA serta corak pemikiran beliau.
Biarpun ketidakseragaman corak penulisan agak mengganggu rentak pembacaan, namun ia tetap memberikan input dan kesan yang positif dan ia berbaloi dibaca oleh semua.
Kalau anda ingin membeli buku ini kerana berminat untuk mengetahui peribadi dan falsafah hamka, saya sarankan anda cari buku dari Hamka sendiri, kerana bukan buku ini yang anda cari. Sekalipun pada kulit bukunya, ada tertera wajah tokoh tersebut, tetapi isinya tidak sepenuhnya mengupas tentang peribadi hamka atau selainnya, sebaliknya ia mengandungi entri entri yang berpandukan juga tokoh dan buku lain dan semestinya dari Hamka juga.
3 bintang kerana impresi pertama saya ialah buku ini mengupaskan secara langsung mengenai pemikiran hamka sepenuhnya, tetapi sebenarnya tidak. Tetapi buku ini tetap bagus kerana ilmu ilmu dan petikan katanya yang bermanfaat.
Juga diselitkan falsafah hamka yang bagi saya sangat berguna untuk kita sama sama fikir dan menggunakan "akal" untuk memproses segala isi buku ini. Ilmu yang bagus utk diambil. Boleh dibeli dan mengambil pedoman terutamanya orang muda. Tulisannya tidak terlalu berat atau "average" sahaja.
Tema yang banyak diulang-ulang dalam bab-bab buku ini berkisar tentang pemuda dan ilmu. Beberapa kali disebut usaha penulis-penulis buku ini untuk memasyarakatkan buku dan ilmu. Ilmu bukan hanya di bilik darjah. Pada zaman pertengahan Islam dahulu, tidak wujud istilah pendidikan formal atau tidak formal dan pembelajaran berlaku di merata tempat seperti pasar dan masjid.
Buku yang bagus merangsang pembaca untuk berfikir dan bertanya kembali mengenai apa yang dibaca. Inilah bukunya.
Antara isu yang disentuh juga mengenai perbezaan pendapat dan pandangan. Terutamanya jika perselisihan pendapat dengan orang yang lebih tua (contoh: guru, orang berbeza cara fikir). Kadang-kadang, kita lebih berusaha memenangkan pendapat (atau nafsu sendiri sebenarnya) berbanding untuk menjaga kemaslahatan hubungan. Erti kata lain, tidak beradab dalam berpendapat. Ilmu yang diperoleh hanya menjadikan sesorang itu sombong dan memandang rendah orang lain, sedangkan ilmu yang sebenar-benarnya ialah ilmu yang mendekatkan diri dengan Tuhan. Sudahnya, pendapat tidak diterima dan potential mad'u pun makin jauh.
Ada juga disebut tentang kepentingan berguru. Terlalu banyak membaca tetapi tiada bimbingan guru. Bahaya. Barangkali apa yang penulis cuba sampaikan tidak sama dengan apa yang kita faham. Mungkin tak semua kita ada peluang untuk berguru secara langsung, kita boleh juga berdiskusi dalam kumpulan mengenai bahan pembacaan. (Dalam hati : Yup, mana pula nak cari bookclub ni?)
Paling suka dengan bab bertajuk 'Kembara'. Salah satu ayatnya,
"Dunia tidak lagi berasa sempit. Padahal tidaklah pernah dunia ini membesar, akan teyapi keimanan dan kebergantungan kepada Tuhanlah yang menjadikan ia luas"
Dan juga kepentingan menzahirkan ilmu dalam bentuk amal. Serba salah dan termenung jadinya. Jujur kata, beramal dengan ilmu memang susah. Susah rasanya nak larutkan ilmu dalam darah menjadi penggerak otot-otot dan sendi untuk bergerak. Kalau rasa susah dengan tangan, sampaikan dengan lidah. Cuma perlu pastikan kita amalkan dahulu apa yang kita sampaikan.
"Setiap buku yang kita baca itu hanya akan sekadar menjadi liabiliti sehinggalah kita menukarkannya kepada bentuk manfaat kepada orang lain".
Tapi mungkin ada beberapa bab buku ini yang bahasa dan penyampaiannya agak berat. Ada juga istilah-istilah yang memang memerlukan bantuan Encik Google.
Terlalu banyak pengulangan topik-topik yang sama. Agak bosan dan agak 'kering', sehingga menyebabkan saya terfikir, adakah para penulis buku ini tidak berbincang topik apa yang patut ditulis? Daripada 22 penulisan, kurang 10 yang menarik. Yang lain hanya penambah tebal buku. Agaknya arwah Hamka akan bangga dengan apa yang ditulis!? Ada penulisan yang seperti surat ditulis budak remaja untuk selebriti kegemaran, hmm, hampa. Ini bukan kupasan pemikiran Buya Hamka. Ini adalah penulisan peminat Hamka.
Ditulis oleh beberapa orang penulis tentang beberapa tema seperti kepemudaaan, mahasiswa dan budaya ilmu serta diselit serba sedikit penulisan BUYA HAMKA.
Tahniah kepada Jejak Tarbiah, Insyaallah akan mula membaca penulisan BUYA HAMKA selepas ini.
Kompilas artikel dari pelbagai sumber anak muda. Bercerita tentang Hamka dan jiwa kepemudaan. Kompilasi yang baik. Cuma saya memang kurang gemar dengan buku kompilasi. Kerana setiap penulis akan membawakan gaya penulisan yang berbeza, memaksa kamu untuk sentiasa membiasakan diri dengan rentak dan corak penulisan baru dalam satu buku.
Tahniah kepada semua anak muda yang telah menyumbangkan tulisan mereka. Yang berjaya menggarapkan harapan, dan cita-cita besar mereka dalam bentuk penulisan agar ia dapat dikongsi bersama.
Akhirnya, moga cita besar Jejak Tarbiah untuk memasyarakatkan buku dan ilmu akan tercapai. Amin!
Ini buku kedua komuniti Jejak Tarbiah selepas Untukmu Anak Muda.Dengan menjadikan HAMKA dan ideanya sebagai inspirasi,maka terhasilah naskhah ini.
Secara keseluruhan,naskhah ini mempunyai kekuatan dari beberapa penulisan yang berkisar tentang pembudayaan ilmu,gerakan anak muda dan membuminya idea buya HAMKA yang menjadi asas kepada komuniti ini.
Buku ini harus dimiliki oleh anak muda yang ingin mengenali sosok ulama' Nusantara itu dan juga perjalanan yang bagaimana harus dipilih oleh anak muda.Tahniah saya ucapkan kepada semua penulis!
Cabaran hendak menghabiskan buku comel ini ialah kerana 'harapan' awal yang diletakkan pada tajuk buku ini. Mengupas pemikiran Buya HAMKA setidak-tidaknya ada merujuk satu dua karya HAMKA dalam tulisan masing-masing, pada pandangan peribadi saya.
Namun tidaklah semuanya mengecewakan. Bahkan tanpa merujuk karya HAMKA pun, ada tulisan yang sangat baik. Mungkin kalau temanya lebih umum, tiada harapan berlebihan yang akan dihadapi bakal pembaca. Atau mungkin saya sendiri sudah terbiasa dengan karya yang mengupas pemikiran dengan lebih serius.
Buku kecik yang mengingatkan kembali kepada tugas dan tanggungjawab kita sebagai manusia. Manusia yang sedar akan tugas dan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah.
Sebagai hamba dengan erti kata mencari, menghargai ilmu. Sebagai khalifah dengan kata memberi manfaat kepada ummat. Tugas-tugas ini mesti dihayati sejak dari kecil. Zaman muda adalah zaman terbaik untuk bekerja ke arah tujuan dan tanggungjawab itu. Ini lah inspirasi ibu ayah kita, dan ini lah yang menjadi inspirasi kepada anak-anak kita.
Hidup sangat-sangat menuntut agar kita tidak hanya pentingkan diri sendiri. Kalimah ALLAH perlu ditinggikan. Idea, suara, tindakan kita sejak kita muda perlu kita gabungkan untuk kita menang dengan tujuan dan tanggungjawab tersebut.
Buku ini memberi "sneak peek" yg sangat light terhadap hidup Hamka. Buku ini tidak ditulis Hamka. Cuma sepotong dua ayat yang dipetik dari kata-kata Hamka. Tapi membacanya boleh memberi kita perasaan, kita perlu kenal Hamka. Sekarang bukan lagi pilihan.
Buku ini merupakan satu buku yang mampu membuka mata hati kepada sesiapa yang mula meminati atau baru berjinak dengan buku tulisan hamka. Terdapat 23 orang menjejak dan mendalami tentang siapa Buya Hamka.
Dalam buku ini kita seolah - olah dibawa bersama dimana tempat Buya Hamka dibesarkan. Buku ini juga menceritakan dimana tempat madrasah muhamadiyah didirikan. Saya teruja dengan setiap olahan cerita yang dicatatkan dalam buku ini. Athiah Mohd Noor salah seorang yang menceritakan bagaimana pengalaman beliau mengikuti Kumpulan Jejak Tarbiyah melawat kawasan yang pernah ditelusuri oleh buya Hamka.
Tanpa sedar juga buku ini membangkitkan rasa ingin memiliki semua buku yang buya Hamka pernah tulis apalagi berkaitan dengan perempuan. Buya Hamka sangat memahami tentang perempuan. buktinya melalui penulisannya seperti merantau ke Deli,terusir, siti nurbaya.
Macam biasa, akan tengok ulasan yang lain dahulu sebelum buat ulasan kat sini. Dah lama teringin nak baca naskhah ini kerana kulit muka depan memaparkan tokoh nusantara yang terkenal dan tajuknya sangat menarik minat saya.
Namun, setelah habis baca kesemua artikel/cerpen berjumlah 22 buah tidak seperti yang saya jangkaan. Mungkin penerbit dubook nak bawa kelainan kerana judul asalnya adalah untukmu anak muda (Baru tahu setelah membaca komen di ulasan goodreads).
Apapun, artikel/cerpen yang saya paling suka dan 3 teratas adalah 'Melawan dalam Tenang'. Mungkin kerana kisahnya sangat dekat dengan saya. Yang kedua bertajuk 'Membangun kelompok masyarakat Peduli' dan terakhir 'Istiqamah Pembudayaan Ilmu.' Apapun, tahniah kepada semua penulis. Terima kasih.
Buku ini BUKAN ditulis oleh HAMKA. Ia adalah himpunan artikel oleh komuniti jejak tarbiah, mengupas pemikiran HAMKA. Banyak sisi lain HAMKA yang kita boleh belajar dari buku ini, dengan membaca pendapat mereka yang gemar membaca karya HAMKA. So this book really deserve the 5 stars.
Banyak banyak artikel, for me the best one is “Pedoman Gerakan Anak Muda” by Iman Danial Hakim. Recommended untuk yang baru mahu berkenalan dengan HAMKA, and to those who frequently read his books!
Masa beli buku ni, berbungkus. Jadi tak dapat nak tengok isi. Ingat Buya HAMKA yang tulis, rupanya dari Komuniti Jejak Tarbiah. Terkilan juga rasa. Apa pun, buku ni pada saya ok. Buku ni memaparkan tulisan2 ahli Komuniti Jejak Tarbiah, mengenai pemerhatian mereka terhadap HAMKA dari segi tempat lahir, tempat membesar, suasana hidup, & legasi2 Buya HAMKA di tanah airnya. Pada saya buku ni ok.
Buku ini menghimpunkan artikel yang ditulis ahli-ahli komuniti. Ada yang fiksyen, ada yang bukan fiksyen. Kedua-duanya bermatlamatkan sama, mengambil inspirasi HAMKA. - Pada hemat saya, tajuk 'Mengupas Pemikiran Hamka' sedikit 'lari' daripada isi buku. Berkemungkinan kerana pada awalnya saya menelah bahawa buku ini sepenuhnya tentang 'mengupas pemikiran', yang kedengaran padat dengan maklumat 'berat'. Bertambah-tambah tinggi harapan saya apabila menyelak artikel pertama yang kebetulan mengupas biografi HAMKA.
Walaubagaimanapun, kepelbagaian usaha mengolah dalam bentuk nasihat, refleksi pengalaman, fiksyen dan bukan fiksyen dengan kesemuanya bermatlamatkan 'mengambil inspirasi HAMKA' pada saya mempunyai kesan tersiratnya yang tersendiri buat saya sebagai pembaca. Oleh itu, buku ini lebih tepat untuk dikatakan, 𝙢𝙚𝙣𝙜𝙖𝙥𝙡𝙞𝙠𝙖𝙨𝙞𝙠𝙖𝙣 𝘱𝘦𝘮𝘪𝘬𝘪𝘳𝘢𝘯 𝘏𝘈𝘔𝘒𝘈 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘣𝘦𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘱𝘦𝘯𝘶𝘭𝘪𝘴𝘢𝘯. Berhubung dengan itu, 'mindset' pembaca serta merta bertukar kepada mod mengaplikasi. - Berdasarkan hasil pembacaan, amatlah saya syorkan buku ini dibaca semua, lebih-lebih lagi mereka yang mencintai ilmu, golongan muda yang semangatnya meneguhkan peribadi dan semestinya, buat pencinta HAMKA.
TBH, I'm disappointed. The typos, the stories, are not as what I'm expecting. It's good if you like to read short stories based on people's experience.
Tahniah diucapkan buat Komuniti Jejak Tarbiah dengan terbitnya buku ini. Ianya adalah koleksi artikel oleh akli komuniti ini sebagai refleksi dari pemikiran Buya Hamka.
1. Buku ini mengandungi beberapa artikel yang hebat dan dapat memberikan semangat, tetapi juga terdapat beberapa artikel yang mengecewakan.
2. Kekecewaan kerana terlalu banyak perkara ingin disentuh dalam buku ini sehingga ianya kehilangan fokus.
3. Lebih baik di masa hadapan, buku yang diterbitkan hendaklah berfokus akan satu-satu topik perbincangan (Mengasingkan topik kepemudaan, travelog, kisah fiksi pendek, peribadi Buya Hamka, falsafah dll) supaya ianya tidak terlalu berserabut.
4. Mungkin, terlalu banyak penulis menjadi masalah dalam ingin mendapatkan kesatuaan tujuan dan fokus. Jadi, kurangkan jumlah penulis (contoh, hanya 3 orang penulis yang menulis berkenaan satu satu topik dan memberikan 3 sudut pandang berbeza) berbanding ramai penulis seperti sekarang.
Semoga terus istiqamah menulis dan meyampaikan kepada masyarakat.
Sebuah buku yang bagus dalam percubaan memperkenalkan HAMKA kepada khalayak umum yang belum mengenalinya. Bagaimanapun, tidak kesemua artikel di dalamnya bertunjangkan pemikiran HAMKA. Sesetengah penulis turut juga mengupas pemikiran pemikir lain seperti Abu Hassan An Nadwi dan Al Attas. Hal ini menjadikan kandungan buku ini sedikit lari daripada tajuknya. Yang agak mengecewakan juga, terdapat artikel langsung tidak menyentuh tentang HAMKA atau idea idea pemikiran, dan cuma travelog cerita perjalanan dan pengalaman. Mungkin motifnya adalah untuk mempelbagaikan karya.
Namun, tahniah diucapkan untuk artikel tentang pemikiran pemikiran HAMKA yanh dapat diulas dengan baik seperti perjuangan ilmu melalui penulisan, isu perempuan, akal, dan lain lain. Adalah amat membanggakan bilamana anak muda mampu mengupas pemikiran pemikiran tokoh besar seperti HAMKA ini.
Buku ini adalah hasil tulisan anak muda yang menyajungi semangat dan sifat buya hamka. Betapa peri penting sikap dan amalan membaca di kalangan anak muda perlu ditekankan. Di saat dunia yang penuh cabaran ini, intelektual seorang pemuda yang sering dicabar, mungkin sahaja bukan dari sudut akademik sahaja tapi juga dari sudut ekonomi, negara, dan bermacam2 lagi.
Buku ini membuka minda bahawa anak muda juga boleh pergi jauh jika kita diberi peluang. Pergi menimba ilmu bukan di universitit sahaja kerana sifat ilmu itu universal, berada di mana2. Namun sayang tidak semua anak muda berfikir seperti itu.
Buku ini harus dibaca anak muda, mungkin sahaja buku ini bukan la ditulis sehebat tulisan buya Hamka namun kita mahu melahir kan generasi yang sifat dan semangatnya persis seperti buya hamka.
pada awal pembacaan buku ini, ia membuatkan aku tertanya. apakah ini buku tulisan orang malaysia atau indonesia? kerana ada beberapa tulisan (artikel) yang dipilih menggunakan beberapa perkataan melayu-indonesia sehingga kelihatan seperti berlaku percampuran bahasa. bagi aku ini bukanlah suatu yang bagus.
tetapi pada permulaan bahagian pertengahan buku ini, tidak dinafikan terdapat beberapa tulisan yang sangat baik.
tulisan-tulisan yang menyentuh aspek terdekat dengan golongan muda seperti mahasiswa, pemikiran kritis, budaya ilmu, aktivisma, sukarelawan, pedoman, dan ketuhanan mengisi kekosongan bahagian permulaannya.
pun begitu, bagi aku buku ini wajar mendapat pujian dan sepatutnya menjadi bahan bacaan santai untuk kita.
Jujurnya aku sedikit kecewa. Kupasan tentang pemikiran Buya Hamka bukan seperti yang aku harapkan. Tetapi tidak semua tulisan ini menghampakan. Ada artikel yang yang benar-benar memberi inspirasi. Satu bahan bacaan yang mudah dan telus untuk dihadam.