Born in Seremban, Negeri Sembilan on 20 April 1973, Nisah Haron has been writing as a hobby since 1988. She has written forty short stories, five novels, essays and a few poems published in local literary magazine and newspaper.
Nisah Haron had her legal education from National University of Malaysia and graduated in 1997. She also obtained her LL.M from the same instition in 2006. She practised as an advocate and solicitor as well as a syarie counsel for eight years before becoming a full-time writer in 2006. She advocates on the copyright awareness among writers and publishers. Nisah has also written a copyright book for laymen entitled "Karya Kita Hak Kita - Panduan Hak Cipta" (Al-Ameen Serve Holdings, 2008).
Her works has been received my awards including Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan and many others. Recently, she won first place in Hadiah Sastera Berunsur Islam with her winning short-story, “Aset Istiqamah”.
Her personal blog is www.annyss.blogspot.com, or join her on Facebook "Nisah Haron - Pengarang".
Eliza Jasmin atau E-Jay yang belajar di Fakulti Undang-Undang UKM ialah anak angkat dalam sebuah keluarga berada semenjak bayi lagi. E-Jay tidak pernah peduli siapakah ibu bapa kandungnya sehinggalah setelah kematian bapa angkatnya. Barulah dia terfikir untuk menyiasat asal usulnya.
Buku ini cukup tersusun plotnya. Diadun pula dengan langgam bahasa yang indah. Tidak hairanlah jika novel ini memenangi tempat kedua HSKU Kategori Remaja 2003. Watak E-Jay sendiri dengan peribadinya yang unggul boleh dijadikan model yang baik untuk para remaja di luar sana.
Konflik demi konflik dialami oleh E-Jay diladeni dengan baik. Isu seputar undang-undang berkaitan wasiat, tuntutan harta sepencarian, faraid, dan sedikit ilmu tentang hak cipta diceritakan dengan bahasa yang mudah difahami. Saya juga tertarik dengan sedikit pantun dan bahasa adat Negeri Sembilan yang diperkenalkan. Ada sedikit misteri yang ditinggalkan di hujung cerita menyebabkan saya pula penasaran apakah ada sambungannya.
Paling menyentuh, buku ini sempat membawa saya mengenang secara tidak langsung seorang penulis lain-- Hizairi Othman yang diabadikan pada ayat di halaman 67:
"Sememangnya aku mengenalimu dalam lingkungan waktu yang singkat, tetapi sesingkat itu aku sudah mengenalimu."
Ayat itu mirip ayat nukilan Hizairi dalam cerpennya Tidak Semanis Mimpi:
Kukenalimu baru sekejap tapi dalam sekejap itu aku mengenalimu.
Lebih mengharukan buku ini telah didedikasikan untuk Almarhum ayahandanya, Dr. Haji Othman Puteh. Tahun ini sudah 20 tahun beliau hilang secara misteri semenjak Mac 2001.
Saya harap semoga baik-baik sahaja adanya walau di mana jua beliau berada.
Buku ini sememangnya menjadi inspirasi buat peguam-peguam di luar sana. Penulisan Puan Nisah Haron tidak pernah mengecewakan saya. "Mencari Locus Standi" sangat santai dan mudah difahami berbanding karya lain Puan Nisah seperti "Tawarikh Cinta" yang agak sastera bunyinya. "Mencari Locus Standi" sesuai untuk pelbagai peringkat umur, selain sarat dengan pengetahuan dalam dunia guaman.
Tertarik saya dengan watak Eliza Jasmin. Dia seorang remaja yang berhadapan dengan pelbagai konflik, namun kewibawaan dan sikap optimistik yang ada dalam dirinya terserlah dalam novel ini. Menariknya, Eliza Jasmin menjadi pencetus semangat buat sahabat saya yang kini menuntut di universiti tempatan dalam bidang Perundangan. Biarpun Eliza Jasmin hanyalah imaginasi Puan Nisah semata-mata, namun sahabat saya itu suka sekali menjadikan Eliza Jasmin sebagai inspirasinya. Penulisan yang inspirational sebegini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang. Tidaklah para remaja hanya disogokkan dengan kisah cinta nan indah semata-mata, sebaliknya remaja juga disajikan dengan hidangan novel yang berinspirasi dan bertindak sebagai mind-opener.
• Latar guaman dan perundangan. Jarang saya jumpa dalam novel melayu atau barangkali saya yang tak tahu. Mohon cadangkan kalau ada yang lain. Terima kasih.
• Dunia mahasiswa - tugasan, lecture, program sampingan seperti pertandingan itu ini. Memang membangkit nostalgia buat saya yang tak lagi remaja. Bukan setakat babak dating di kafeteria kampus.
• Bahasa adat yang ditutur oleh Tuk Dollah Sani dan Mak Lang Rosmah menjadikan watak kecil itu diingati.
Beberapa bulan lepas, aku ada keluarkan persoalan di Twitter. Ada tak buku lokal yang berfokus pada tema courtroom drama? Ada beberapa orang yang cadangkan buku Mencari Locus Standi dan Lantera Mustika.
Aku mengambil keputusan untuk membaca Mencari Locus Standi dulu. Walaupun tak menepati apa yang aku cari iaitu kisah yang latar tempatnya banyak dalam sesi proceeding mahkamah, tapi aku rasa bacaan aku TIDAK mengecewakan.
Dalam Mencari Locus Standi, kita mengikuti perjalanan watak utama yang bernama E-Jay menjalani kehidupannya sebagai mahasiswa kursus undang-undang. Tapi dia juga perlu menghadapi pelbagai cabaran seperti konflik rakan sebaya, kehilangan ayahnya dan juga berlawan dengan bapa saudaranya yang nak berebutkan harta pusaka. Selain itu pembaca juga dibawa bersama menelusuri dan mengenali adat perpatih.
Aku suka dengan watak E-Jay ni. Dia digambarkan sebagai seorang yang tegas, tahu apa yang dia mahu dan tak mudah diperkotak-katikkan. Dia juga bijak dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik. Kekurangan dia pulak, boleh dilihat bila dia berinteraksi secara lebih personal sebab E-Jay ni seorang yang praktikal dan tak suka tunjuk emosi. Bagi kawan-kawan sekeliling dia, dia nampak macam tak ada perasaan sedangkan dia cuma tak tahu macam mana nak express emosi dia dan dia rasa bila terlalu beremosi ni, buang masa dan resource je.
Masalah ni digarap dengan baik oleh penulis melalui konflik antara E-Jay dan Wardah. Masa Wardah datang jumpa E-Jay untuk mengadu tentang kesukaran dia belajar, cepat saja E-Jay judge yang Wardah tak cuba sebaiknya. Dan bagi Wardah, E-Jay was being insensitive. To make things worse, E-Jay taktahu memujuk dan Wardah terlalu emosi.
Perbalahan ni juga menunjukkan jurang latar belakang antara dua watak ni. Disebabkan mereka membesar dalam dua suasana yang berbeza, cara mereka berfikir juga berbeza. Dan bila masing-masing tak cuba memahami maka terjadilah salah faham yang akhirnya merosakkan persahabatan yang dibina
Konflik dalaman keluarga E-Jay pula tercetus selepas kematian ayahnya. Dan dua bapa saudara E-Jay muncul untuk menuntut hak mereka dalam harta pusaka. Aku malas nak ulas panjang bab ni. Yang pastinya sakit hati betul aku dengan orang tamak macam ni. Harta anak yatim pun nak kaut. Lupa dosa pahala! 😤
Penulis juga ada masukkan tema menghargai susur galur dan asal usul kita. Tema ni kita boleh nampak melalui perjalanan E-Jay dan Azhan semasa mereka menyiapkan tugasan mereka. Azhan membawa E-Jay ke kampungnya untuk belajar lebih mendalam tentang adat perpatih. Dan tanpa mereka duga, kisah asal E-Jay juga tersingkap.
Untuk penutup, aku memang rekomen buku ni! Gaya bahasa yang cantik dan puitis tapi masih mengekalkan ciri bahasa moden sangat ‘hook’ aku untuk terus membaca. Segala ulasan berkenaan undang-undang pun mudah dihadam bagi aku yang tak ada asas dalam bidang tersebut.
All in all, this was a very good read for me!
This entire review has been hidden because of spoilers.
15 tahun selepas buku ini dinobatkan sebagai pemenang HSKU 2003, barulah saya membacanya.
Isu pokoknya masih dan akan kekal relevan kerana penulisnya menguasai bidang undang-undang sebagai ilmu bantu untuk karya ini. Garapannya masih segar, watak-wataknya seakan benar. Konflik-konflik tersusun dan diikat kemas di hujung cerita. Elemen kejutannya ada, tidak begitu besar tapi kena dan cukup rasa. Rencah cinta, dituliskan dengan penuh hormat.
Nisah Haron, this is one of her best milestones. Perhaps, another spin-off is needed to complete the 'cinematic universe', where this novel lives in.
(Saya nampak tips- tips Hizairi Othman (buku: Kreativiti Dalam Penciptaan Karya Sastera) hidup di dalam Mencari Locus Standi.
Pertama sekali, bila terpampang Locus Standi pada tajuk muka hadapan buku ini. Aku dapat agak bahawa buku ini mengetengahkan tema guaman. Dan, ia sesuatu jalan cerita dan idea yang menarik untuk dibaca dan ditelusuri ceritanya.
Eliza Jasmin binti Yazid, seorang mahasiswi jurusan undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Hidupnya penuh onak dan duri. Dibesarkan tanpa kasih sayang ibu ayah kandung.
Konflik krisis kekeluargaan, konflik hubungan sesama rakan sekuliah dan konflik perasaan seorang E-Jay yang merancakkan jalan cerita ini. Malah, kisah hidupnya juga begitu menginsafkan.
Plot Mencari Locus Standi begitu tersusun. ‘Plot twist’ yang tak disangka-sangka dengan menampilkan konflik demi konflik yang susah diteka. Diadun sekali dengan lenggok bahasa tradisional serta pantun daripada Adat Perpatih.
Bukan itu sahaja, latar tempat yang menjadi tunjang novel ini kebanyakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Maka, segala ungkapan tempat serta babak-babak itu dapat digambarkan ketika membaca.
Secara keseluruhannya, pada tahun 2023 baru diketahui ada sebuah novel yang menampilkan kisah profesion peguam yang mampu mencetuskan inspirasi. Namun, bagi terbitan Biblio Press diharapkan untuk cetakan seterusnya dapat diperbetulkan kesalahan ejaan yang bersepah di dalam novel ini. Sayang jalan ceritanya menarik tetapi dimuakkan oleh kesalahan ejaan yang tidak ada penghujung.
Alhamdulillah. Selesai bacaan buku kedua pada tahun ini, Mencari Locus Standi oleh Nisah Haron. Ini novel pertama beliau yang saya baca.
Kenikmatannya ada pada pelbagai sudut. Setiap susunan ayat amat bermakna untuk saya fahami. Ia turut mencuit emosi tatkala E-Jay menerima ujian satu demi satu. Pengenalan kepada pepatah2 Melayu yang cantik. Juga beberapa persoalan yang tergantung, membuatkan pembaca perlu meneka berdasarkan logik cerita. Saya mempelajari ilnu harta warisan dan novel ini, paling tidak mencantumkan titik-titik proses dan pengalaman menguruskan harta pusaka beserta watak2 hasad dan tamak yang memang boleh wujud.
Lebih menarik, saya menyudahkan novel ini di bumi latar penceritaan iaiti di Negeri Sembilan. Alhamdulillah. Membaca bukan untuk menyudahi cerita tetapi untuk membentuk akhlak.
Saya mengharapkan ada sambungan MLS tentang bapa E-Jay. Ada sesuatu menarik tentang sikap En Yazid yang menghilangkan diri tiba-tiba dan muncul pula tiba-tiba. Jika Lantera Mustika sudah menggali kisah Ibu Mustika, perlu ada juga satu novel lain tentang En Mohd Yazid. Pn Nisah, saya nantikan sambungannya :-)
Judul buku: Mencari Locus Standi Penulis: Nisah Haron Terbitan: Utusan Publications & Distributors Tahun terbit: 2004 / Ulang cetak 2006 Jumlah muka surat: 246 Tarikh baca: 11 May 2021 (satu hari) Pengulas: Norsamila Samsudin
Ulasan buku: Kisah seorang gadis, pelajar undang-undang, dikenali sebagai E-Jay atau nama penuhnya Eliza Jasmin. E-Jay merupakan anak angkat Emir Johan, pemilik kepada sebuah syarikat guaman. Konflik bermula bila hak E-Jay sebagai waris penerima syarikat guaman ayah angkatnya itu dinafikan oleh adik-beradik Emir Johan selepas kematian Emir Johan.
Gadis yang tidak pernah tahu siapa ibu bapa kandungnya itu, mulai rasa tidak mempunyai dan dipunyai lagi. Dia yang sebelum ini bersifat tegas, tabah terhadap segala ujian hidup mulai goyah. Hendak sahaja dilepaskan apa yang telah diwariskan kepadanya, tidak mahu melawan dan mencambah konflik dengan sesiapa terutamanya kepada adik-beradik arwah ayah angkatnya.
Tetapi, peguam lantikan arwah ayah angkatnya, yang juga merupakan rakan kongsi syarikat guaman itu menyuntik semangat dengan menerangkan kedudukan E-Jay sebagai waris. Malah, Amirul Farid meyakinkan bahawa E-Jay adalah waris yang layak bagi menerima syarikat guaman tinggalan arwah Emir Johan. E-Jay perlu mempertahankan haknya agar legasi syarikat guaman ini dapat diteruskan. Ia bukan sekadar warisan, tetapi amanah.
E-Jay jadi kuat untuk mempertahankan haknya bila ibu tirinya juga mengalami penafian hak yang sama. Mereka berkongsi emosi dan saling menyokong kerana mereka sudah tiada sesiapa walaupun di antara mereka tidak mempunyai talian darah.
Cerita ini membantu kita memahami hak dan prosedur pembahagian harta pusaka sama ada dari sudut undang-undang sivil, mahupun syariah. Malah, dijelaskan juga tentang hak isteri dalam membuat tuntutan harta sepencarian, juga hak terhadap baki harta selepas segala hutang piutang si mati dijelaskan.
Konflik dipecahkan kepada konflik keluarga, iaitu yang melibatkan tuntutan harta pusaka; konflik persahabatan, iaitu di antara E-Jay dan rakan baiknya, Wardah. Juga, konflik hati di antara Azhan Harith dan E-Jay yang belum bersedia untuk memberi komitmen terhadap satu hubungan selain daripada kawan. Isu plagiat turut dimuatkan dan ia terbeban di pundak watak E-Jay!
Konflik-konflik ini dimunculkan satu per satu sebelum bertembung pada klimaks yang membawa kepada kegoyahan pendirian E-Jay terhadap pencapaian diri sendiri.
Watak utama tidak dibiarkan bersendirian melainkan disokong oleh watak-watak sampingan berupa ibu tiri, teman-teman, malah seseorang yang sudah pun memberikan bayangan perasaan.
Cerita ini cukup cantik susunan plotnya. Walaupun hanya memiliki 246 muka surat, tetapi ia cukup rencah – konflik, ilmu, teguran dan nasihat yang disampaikan secara tidak langsung melalui dialog watak. Adat dan budaya bangsa, dimuatkan melalui unsur pantun dan puisi pada beberapa babak, sama ada babak pada perjalanan hidup watak, atau babak di dalam pementasan drama lakonan watak.
Jika hendak belajar menyusun plot, menulis cerita dengan bahasa baku tapi masih indah bacaannya, buku ini sangat menginspirasikan. Malah, di akhir bab muncul satu misteri yang membuatkan pembacaan seolah-olah belum menemui titik noktah.
Buku ini merupakan salah satu 'bekal' yang saya bawa ketika menemani ibu di wad. Tidur jam dua pagi untuk menghabiskannya hingga ditanya seorang jururawat “tak penat ke asyik baca buku je?” heh! Saya telah pun membaca Lentera Mustika terlebih dahulu,jadi elemen kejutan mungkin sudah tiada (atau kurang) ketika membaca buku ini. Sejujurnya saya kagum dengan kekuatan jiwa seorang Eliza Jasmin. Dan banyak ciri ciri yang ada padanya seharusnya menjadi contoh kepada remaja di luar sana (termasuk saya,walaupun saya tidaklah remaja benar :)) Saya juga gemar novel yang menonjolkan perhubungan yang seadanya dan tidak mengada-ngada. Contohnya, ketika melawat nenek Azhan, E-Jay memilih untuk bermalam di resort, berbanding rumah nenek Azhan. Sopan bukan? Ya, mungkin di mata orang lain ini kurang sopan, seolah olah tidak menghormati pelawaan tuan rumah. Namun di mata saya inilah yang terbaik, kerana untuk tinggal serumah dengan bukan muhrim adalah lebih memalukan. Saya lebih sukakan Lentera Mustika,namun buku ini tidak menghampakan. Tiga bintang.:peace:
Membaca buku Mencari Locus Standi seumpama bersiar-siar waktu awal pagi keliling kampung yang jauh dari kota dan tak ramai orang, dengan mengayuh basikal. Kebanyakan masa detak jantung perlahan dek perlahannya rentak peristiwa dan rendahnya nada penceritaan. Ada juga, kala datang krisis kecil atau suspense seperti waktu Ibu Mustika dilanggar lari, waktu E-Jay menahan getaran amarah bila Danial sesuka hati menukar skrip dramanya, waktu Wardah melontar kata berbaur bisa kepada E-Jay... masa tu detak jantung tinggi sedikit, umpama kayuhan basikal mendaki bukit kecil atau tayar terlanggar lopak. Namun, asasnya cerita ini membawa deru nyaman. Apa lagi latar belakang lokasi di UKM, banyak pula trademark universiti tercinta disebut mendatangkan syahsu; DECTAR, Panggung Seni, Bilik Bankuasi, Kolej Rahim Kajai, FSSK, Puri Pujangga. Kopekan pencarian susur galur di bumi beradat, dihiasi perbilangan puitis seirama indah kebanggaan anak-anak Perpatih, membawa keistimewaan pada novel ini. Watak ayah E-Jay yang penuh misteri pun menambah rencah istimewa. Very worthy reading piece.
Alhamdulillah, selesai membaca Mencari Locus Standi buat kali kedua. Kali ini terasa lebih manis kerana naskhah ini dihadiahkan oleh penulisnya sendiri.
Dialog yang mirip dengan perbualan seharian, bersahaja, berserta selingan penggunaan istilah bahasa pasar, menjadikan novel ini cepat terasa mesra dan dekat di hati.
Saya amat senangi aliran ceritanya. Beberapa konflik yang diketengahkan hampir setiap satu berfungsi memperkenalkan pembaca kepada undang-undang.
Saya ingin meneka sebahagian daripada sifat dan perwatakan Eliza Jasmin itu menggambarkan keperibadian penulis sendiri. Namun biarlah itu rahsia antara penulis dengan orang yang terapat dengannya.
Tahniah Puan Nisah Haron atas penghasilan karya yang mantap! Tidak hairanlah novel ini memenangi HSKU. Semoga cetakan ulang novel ini akan ditambahbaik kesilapan ejaannya.
Kisah seorang mahasiswi yang terpaksa menghadapi pelbagai dugaan mengharungi hidup. Eliza Jasmin seorang yang tabah, optimistik, dan berwibawa. Kalaulah ada lebih ramai remaja sepertinya, tentunya masyarakat kita tidak menghadapi kemunduran seperti sekarang ini. Semoga remaja-remaja yang membaca buku ini akan berazam untuk menjadi remaja berkaliber seperti Eliza Jasmin.
Saya membesar dengan melihat novel Ainur Mustika nukilan Nisah Haron tersusun di satu sudut rak buku di rumah, namun tidak pernah membacanya. Kunjungan ke perpustakaan daerah minggu lalu menemukan saya dengan naskhah lain beliau yang berjudul Mencari Locus Standi dan naskhah itu dibawa pulang bersama ke rumah.
Alhamdulillah, naskhah ini berjaya dihabiskan dalam masa satu hari. Sejujurnya, saya sangat suka dengan karya sastera sebegini, yang setiap pemilihan kosa katanya lembut tersusun menyampaikan makna. Latar tempat UKM yang juga pernah menjadi tempat persinggahan ilmu suatu ketika dulu juga menggamit memori. Terbayang-bayang latar Perpustakaan Tun Seri Lanang dan perjalanan bas naik turun bukit mengelilingi Universiti sehinggalah ke hujung ceruk di mana tersergamnya Fakulti Undang-Undang.
Naskhah ini mempersembahkan untaian bahasa yang cantik terletak serta watak utama, E-Jay yang bersulam tegas berprinsip dan lembut sabarnya. Jargon bahasa undang-undang yang digunakan juga pada saya tidaklah keterlaluan, masih boleh difahami rata-rata orang kebanyakan seperti saya dan penulis turut menyelitkan glosari di halaman belakang. Isu yang diangkat di sini bagi saya adalah lebih kepada tema kekeluargaan, persahabatan dan mencari Locus Standi. Apa itu Locus Standi, terokalah sendiri dalam naskhah ini hehe.
Cuma pada pendapat saya, adalah lebih molek sekiranya beberapa kesalahan ejaan dalam naskhah ini dapat diperbetulkan pada keluaran seterusnya kerana tidak dapat tidak, ianya turut sedikit sebanyak mengganggu pembacaan. Apapun, karya yang sangat baik!
Buku ini mengisahkan seorang anak angkat yang hidup bahagia bersama keluarga baharunya, namun segalanya berubah apabila ayah angkatnya meninggal dunia. Kesedihan itu bertambah pedih apabila keluarga arwah bersungguh-sungguh mahu membolot harta peninggalannya.
Apa yang menarik? Kita dibawa masuk ke dunia undang-undang dan suasana di Fakulti Undang-undang, lengkap dengan perbincangan tentang pembahagian harta dan persediaan sebelum mati. Penulis membuka mata kita tentang konflik keluarga yang sanggup mengkhianati adik-beradik sendiri demi harta, hingga melupakan tanggungjawab sebagai waris.
Selain itu, watak A.J berdepan pelbagai cabaran — konflik dengan rakan-rakan universiti, dan isu skrip tulisannya yang diplagiat.
Gaya bahasa penulis begitu menarik — berpuitis, diselitkan puisi, tetapi tetap mudah difahami. Tidak terlalu berat, malah membuatkan kita mahu terus membaca untuk tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Tambahan pula, perkongsian tentang adat perpatih memberi warna budaya yang unik dalam penceritaan.
Secara keseluruhan, saya memberikan 4 daripada 5 bintang untuk buku Mencari Locus Standi ini. Ia merupakan sebuah naskhah yang unik dan berani, jauh berbeza daripada novel tempatan lain. Kisah Eliza Jasmin (E-Jay) yang berjuang untuk haknya di sisi undang-undang selepas kematian bapa angkatnya benar-benar membuka mata. Penulis berjaya menggarap plot yang sarat dengan konflik keluarga dan drama mahkamah dengan cara yang sangat menarik. E-Jay pula merupakan watak yang kuat dan inspiratif, menjadikan kita turut bersemangat untuk melihatnya berjaya.
Apa yang paling saya hargai adalah bagaimana penulis menyelitkan ilmu perundangan seperti wasiat, faraid dan konsep locus standi, tanpa membuatkan cerita ini terasa seperti buku teks. Bahasa yang digunakan juga mudah difahami, malah diselitkan dengan pantun dan peribahasa yang menambah keindahan cerita. Mencari Locus Standi adalah bacaan yang sangat disyorkan, terutama jika anda mencari novel yang bukan sekadar hiburan, tetapi juga mampu memberikan ilmu yang bermanfaat.