Sebuah novel cinta. Cinta dua zaman, cinta antara dua bangsa yang hebat. Cinta luhur buat bangsa dan nusa. Cinta kepada sejarah. Juga cinta kepada agama. Cinta murni yang membawa kepada Tuhan. Sebuah novel sarat pengajaran, dengan manipulasi bahasa puitis dan arkaik yang seimbang, watak-wataknya menggugah dan mengesankan jiwa. Telusuri warkah dan surat Ungku Hamidah serta Ungku Nur, sualaman pantun dan falsafah dan hayati episod sejarah berlatar Majalah Ahkam Johor, proses pemodenan Johor oleh Almarhum Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim, hubungan erat Johor dan Turki serta cita-cita mengenepikan sekularisasi sebagai tenaga memulihkan kegemilangan sejarah demi mencapai kemurnian akidah. Semuanya tergambar sebagai sebuah karya epistolari, sesuatu yang langka dalam penulisan sastera Melayu. Salah sebuah karya sastera terbaik Faisal Tehrani.
Dr Mohd Faizal Musa adalah penerima Anugerah Seni Negara 2006 oleh kerajaan Malaysia dan Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009 oleh Kerajaan Negeri Melaka. Beliau dikenali sebagai Faisal Tehrani.
Faisal Tehrani adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah-Politik dari Universiti Malaya (1998), Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia (2000), Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2010). Dr Faisal bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau adalah bekas penyelaras Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu (KIKBM) di ATMA, UKM sejak tahun 2013. Juga merupakan felo penyelidik bersekutu di Faculty of Regional Studies at the Al-Mustafa International Research Institute, Iran sejak Mac 2011. Beliau turut menjadi penasihat kepada Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) bagi rantau Asia Tenggara. Sebagai Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu bidang kajian beliau ialah mengenai Minoriti Syiah di alam Melayu. Penyelidikan beliau tersebut berdaftar dengan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) UKM dengan kod GGPM-2011-062. Kepakaran beliau diiktiraf oleh Front Line Defenders (FLD), sebuah badan dengan status khas di United Nation iaitu Consultative Status with Economic and Social Council of the United Nations. FLD diketuai oleh sebuah kounsel yang dianggotai oleh Archbishop Desmond Tutu, Mr Robert Badinter, Dr Hanan Ashrawi, Bono, Indai Lourdes Sajor, Mr Adolfo Perez Esquivel, dan His Holiness the Dalai Lama. Beliau juga adalah felo World Public Forum: Rhodes Forum yang dianggotai oleh sarjana besar dari seluruh dunia. Badan ini adalah sebuah badan keanggotaan yang menggalakkan kepada dialog antara peradaban. Anggota lain dari Malaysia ialah Dr Chandra Muzaffar dan Profesor Dr Syed Farid Alatas. Dalam tahun 2013, Dr Mohd Faizal Musa menerima geran penyelidikan FRGS Fasa 2/2013 untuk mengkaji mengenai hak asasi manusia yang terkandung dalam sastera Melayu. Kod kajian beliau adalah FRGS/2/2013/SS03/UKM/03/2.
Dalam bidang penulisan, antara novel beliau yang telah diterbitkan adalah Cinta Hari-hari Rusuhan terbitan Creative Enterprise (2000), ia dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001. Juga Perempuan Politikus Melayu oleh Penerbitan Pemuda (2000). Ia dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001. Selain itu 1515 oleh diterbitkan Utusan Publications and Distributor (2003). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2002. Novel ini juga menerima Anugerah Buku Negara tahun 2005 (untuk kategori Buku Umum Fiksyen Bahasa Melayu). 1515 turut dijadikan teks bacaan mahasiswa pengajian Melayu di Universiti Cologne, Jerman. Pada tahun 2011, 1515 diterjemah dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara. Karya lain termasuklah Maaf Dari Sorga, novel pertama dalam pembikinan tetapi hanya diterbitkan pada tahun 2003 oleh Zebra Publications; Rahsia Ummi yang diterbitkan oleh Zebra Publications 2003. Dalam pada itu terdapat juga Tunggu Teduh Dulu yang disirikan di ruangan agama Utusan Malaysia dan tamat pada Disember 2003. Novel ini diterbitkan oleh Penerbitan Se-lain (2004) dan Ameen Publishing (2008). Sebuah lagi novel beliau yang terkenal adalah 1511H Kombat oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2003; dan Advencer Si Peniup Ney oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004. Sebuah novel remaja awal yang turut digemari ramai adalah Detektif Indigo oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat kedua Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004. Dalam pada itu sebuah novel sejarah turut dikarang tahun berikutnya, iaitu Surat-surat Perempuan Johor oleh Yayasan Warisan Johor (2005). Ia memenangi Sayembara Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1. Turut dihasilkan Ikan Fugu, Lukisan & Jimson oleh Utusan P
Tak sangka boleh mengalir air mata dengan hanya membaca buku fiksyen sejarah, tanpa dialog kerana hanya disajikan dengan surat seorang anak perempuan, seorang adik dan juga seorang perempuan Johor yang mahukan kebenaran menafsir setiap warkah moyangnya.
Sejarah bukan sesuatu yang beku tetapi bahkan seperti tenaga, yang dinamik, boleh dijana dan dikitar semula untuk kebaikan generasi mendatang.
Tema yang dibawa dalam penulisan Faisal Tehrani tidak asing lagi dengan tema sejarah, masih sama dengan buku-buku beliau yang saya baca sebelum-sebelum ini. Berbeza kali ini lebih kepada kisah percintaan, dua orang yang berbeza zaman. Seorang perempuan Johor dalam arus kemodenan dan seorang lagi perempuan Johor dalam era baharu pemodenan Johor, di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar.
Kisahnya sedikit berat kerana terlalu banyak fakta sejarah yang dimasukkan di dalam buku ini, walau isi novel ini semuanya hanyalah coretan surat-surat Ungku Nur dan juga Ungku Hamidah. Majalah Ahkam Johor banyak ditekankan di dalam tulisan Ungku Nur kepada kakaknya, ayah, abang iparnya dan tidak lupa bekas suami. Usaha Ungku Nur untuk menelaah setiap warkah moyangnya bernama Ungku Hamidah dan disampaikan isi-isinya kepada kaum kerabatnya terserlah walau sedang bertarung dengan ujian hidup yang maha hebat. Menyangkal setiap tuduhan orang-orang Inggeris tentang kemunduran Johor pada tahun 1800 di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar hanya kerana baginda menekankan undang-undang Islam.
Yang terkenal dengan kebijaksanaan beliau dalam membangunkan Johor ketika itu sehingga berjaya menghalang orang-orang Inggeris untuk masuk ke dalam pemerintahan negeri Johor sedangkan ketika itu sudah banyak negeri yang kucar-kacir sistem pemerintahannya dengan campur tangan orang-orang Barat.
Tidak lupa juga warkah Ungku Hamidah yang tersemat di helaian-helaian buku Surat-Surat Perempuan Johor yang menceritakan kehidupan sebagai anak saudara Sultan Abu Bakar yang merantau hingga ke Turki, betapa hebatnya beliau ketika itu menjadi seorang anak perempuan yang berilmu, yang mahu ikut berdagang sedangkan ketika itu pasti ramai yang terasa asing dengan wanita seberani Ungku Hamidah.
Walau buku ini tidak punya dialog (dialognya hanya sebentar sebagai pengenalan buku, dialog antara Ungku Nur dan Ungku Nurul) tetapi terserlah karakter Ungku Nur yang tersangat bijak begitu juga tegas. Alangkah beruntungnya dunia ini jika semua wanita bersifat seperti Ungku Nur yang berwawasan. Saya sukakan Ungku Nur, begitu telus dalam mencari kebenaran.
Terlalu banyak pengajaran yang saya dapat ketika membaca Siri Sasterawan Marginal ini, sehingga tak terhitung. Begitu juga banyaknya air mata yang mengalir saat saya membaca buku ini. Saya juga tidak dapat menyangkal keindahan bahasa dalam warkah Ungku Hamidah berserta pantun-pantun tulisan beliau. Terlalu indah sehingga buat saya tertanya-tanya, mana perginya keindahan itu dengan perubahan zaman sehingga tidak terlihat lagi tulisan-tulisan sebegitu. Adakah dipengaruhi orang-orang Barat atau bagaimana?
Saya sukakan buku ini kerana ibu saya orang Johor, kampung saya di Johor dan saya berdarah Johor.
... saya mahu berkongsi kebenaran yang saya tahu dengan semua, dengan umat Islam, dengan orang-orang Johor, khususnya perempuan Johor. Kerana daripada merekalah akan lahir generasi Johor yang baru, yang berani memepertikaikan penyelewengan, berani melihat semula sejarah dan membawa apa yang telah dipendam ketengah. Kerana itulah gunanya sejarah...
Jujurnya ini karya sastera pertama daripada Faizal Tehrani yang pernah saya baca. Ternyata, karya FT sangat mengagumkan. Surat-surat Perempuan Johor sarat dengan fakta sejarah Johor terutama daripada segi perundangan. Mengungkit kembali sejarah perundangan Johor suatu ketika dahulu yang berasaskan undang-undang Islam; Majalah Ahkam Johor. Turut dimuatkan juga dalam karya ini kepelbagaian pengunaan bahasa seperti Bahasa Arab, Bahasa Turki, Bahasa Jawa dan Bahasa Melayu Lama selain keindahan penggunaan sastera Melayu seperti syair dan pantun. Setiap ayat juga mempunyai lenggok tersendiri, menampilkan sisi FT yang kaya dengan penggunaan bahasa Melayu. Tentunya banyak kajian perlu dilakukan untuk melengkapkan karya ini.
Cumanya idea Kerajaan Islam dan Undang-undang Islam yang cuba dicanang dan diangkat oleh watak utama untuk masa kini mungkin memerlukan banyak kupasan dan perbincangan. Pandangan saya agak kontra sedikit dengan idea watak utama dalam karya ini sehingga membuatkan bacaan saya agak tersekat-sekat kerana membuat nota-nota tepi.hoho. Dan saya percaya, pandangan FT sendiri tentang Kerajaan Islam dan Undang-undang Islam sudah sedikit berubah.
Apapun, 5 bintang untuk karya yang hebat ini! Agak cemburu juga dengan perempuan yang berketurunan Johor, punyai karya yang mengangkat martabat mereka. Bilalah pula agaknya ada yang sudi menulis Surat-surat Perempuan Perak? Hehe..
10:30pm-3:40am habis menamatkan SURAT-SURAT PEREMPUAN JOHOR. Ingat nak sambung esoknya, tapi terlekat pula. Sebab ayat novel ni sangat best.
Novel ini memenangi Sayembara Menulis Novel sejarah dan Tradisi Johor 1.
Seperti biasa, karya FT sarat dengan fakta. Nota kakinya bersepah-sepah. Mengangkat pemerintahan Johor sebagai pemerintahan Islam satu ketika dahulu. Mengaitkan Johor dengan Turki.
Elok dibaca oleh warga Johor. Elok dibaca oleh peminat JDT dan TMJ (eh?).
Novel ini menyingkap semula sejarah hubungan Johor dan Turki Uthaminyyah sekitar 1800-an; Undang-undang Tubuh Johor dan undang-undang Turki, kemodenan dan tanzimat serta Majalah Ahkam Johor dan Majallah al-Ahkam al-Adliyya—dalam bentuk fiksyen sejarah.
Penulis 'berkhutbah' perihal Islam dan penerapannya dalam kehidupan dengan menelusuri sejarah antara dua kuasa besar dahulu. Babak percintaan dan perjuangan wanita -yang dikatakan- mendahului zaman turut disisipkan bersama. Selain itu, tiada hal yang begitu menarik bagi saya.
Dan, setelah saya menggulati lebih daripada lima buah fiksyen penulis, serta membaca tulisan-tulisan ilmiahnya (artikel jurnal), saya mendapati bahawa kekuatan penulisan adalah membingkaikan (framing) jalur penceritaan atau hujah (dalam tulisan ilmiah) agar sejajar dengan idea pokok beliau: barangkali boleh dikatakan sebagai deductive reasoning.
1. buku ni takde dialog. monolog seorang perempuan kerabat diraja Johor dlm bentuk surat diselangi surat2 Tuk Hamidah.
2. ttg sejarah Johor yg cuba melaksanakan undg2 Islam dgn mncontohi Turki sblum Turki jatuh ke tangan Mustafa Kamal Ataturk dan Johor jatuh ke tangan penjajah.
3. menegaskan bahawa dlm sejarah, Johor melakukan pemodenan, bukan pembaratan.
4. warning; tak sesuai untuk budak kecik. tapi kene matang gak utk menangkap unsur2 'dewasa' yang trdpt dlm novel ni.
5. pada awal novel, ada ajar untuk menggunakan nama2 Allah dgn btul ketika berdoa.
6. ada sisipan tentang Sultan Abu Bakar
Tamatlah sudah syair dan madah Seribu tiga ratus tujuh belas Hijrah Sultan Abu Bakar raja termegah Di Johor Bahru jadi khalifah.
Ditakdirkan, hanya membaca buku ini di tahun 2016 ini sesudah baru sahaja selesai membaca karya Prof Mat Rofa tentang hubungan Turki dan Alam Melayu, Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki. Ternyata FT lebih awal membongkar dan memgemukakan fakta-fakta menarik tentang hubungan ini dalam novel ini. Fakta sejarah yang sememangnya masih asing bagi mereka yang tidak membaca lanjut dan hanya berpada dengan sejarah buku teks sekolah.
Watak pejuang perempuan, Ungku Nur dan Ungku Hamidah sangat baik, boleh dirasai denyut nadi perjuangan mereka yang berani menongkah arus, membuat sesuatu untuk ummah dan negara. Bukan sekadar watak perempuan dan isteri yang taat, yang hanya berfungsi di rumahnya sendiri.
Novel yang baik, untuk bangsa Johor mesti lebih terasa kesannya.
Sebuah karya yang mengangkat tema perjuangan, kedaulatan, keizzahan Islam dan Melayu.
Naratif dipersembahkan lewat surat-surat dua watak wanita bangsawan Johor, merentasi zaman Kesultanan Johor dan zaman kini.
Warkah dan surat Ungku Hamidah serta Ungku Nur membawa kita kepada dunia keindahan pantun dan falsafah, cita mengukuhkan undang-undang Islam dan perjuangan menentang asakan demi asakan musuh luar.
Selepas Manikam Kalbu, tak sangka saya akan jatuh cinta pula pada Surat-Surat Perempuan Johor.
Surat-Surat Perempuan Johor menceritakan kisah dua orang puteri Johor yang berbeza zaman namun mempunyai niat yang satu iaitu demi menegakkan perundangan Islam di bumi Johor.
Buku ini sangat menarik hati saya kerana pertamanya ialah kisah mereka ini diceritakan dalam bentuk persuratan. Jalan ceritanya mudah difahami kerana setiap bab dipisahkan melalui surat yang berbeza dan surat yang berbeza zaman itu pula dapat dibezakan melalui perkataan "surat" dan "warkah" pada pangkalnya. Daripada surat dan warkah tersebut, sebagai pembaca, saya lebih tertarik dengan gaya penulisan "warkah" kerana ayat-ayat yang digunakan pada permulaan warkah penuh dengan sembah takzim dan juga dihiasi dengan Bahasa Arab yang begitu mendalam maksudnya. Di samping itu, warkah itu juga turut diselitkan dengan beberapa rangkap pantun yang membuatkan warkah tersebut lebih terpesona bila membacanya.
Perbezaan ayat yang dikarang antara "surat" dan "warkah" ini bagi saya jelas menunjukkan susun kata orang dahulu sangatlah unik dan kreatif serta penuh tersirat. Lebih manis juga bagi saya jika "warkah" tersebut ditulis dalam tulisan Jawi supaya lebih nampak keasliannya.
Sebelum mengakhiri reviu saya ini, terimalah serangkap pantun buat penutup kata.
Warkah dan surat jadi pengantara, Daripada penulis kepada pembaca, Kisah yang dinukil bukan biasa, Martabat Islam diangkat untuk selamanya.
Buku yang cukup menarik pada pandangan saya & gaya penulisan yang bukan biasa-biasa. Buku ni dipinjam dari perpustakaan ditempat kerja. Pada awalnya saya seakan-akan tertarik dengan tajuk "Surat- Surat Perempuan Johor", diikuti oleh ilustrasi muka depan yang berwarna putih ala2 suci gitu & ada 5 kuntum ros yang berwarna warni..hehe (Tarikan graviti tahap maksima)..Faktor pemilihan juga mungkin dipengaruhi oleh saya sendiri seorang perempuan yang berasal dari Johor( bukan kenegerian tapi didesak oleh perasaan INGIN TAHU) tentang apa istimewanya buku ni..Penceritaan secara penulisan surat2 juga adalah pendekatan gaya penulisan baru pada saya untuk dibaca (Saya juga adalah penulis & penyimpan surat2 maya @ konvensional samada rasmi @ tidak,hehe) .. Oleh kerana kouta peminjaman buku utk nama sendiri dah penuh, saya meminta keizinan rakan untuk meminjam buku ini atas namanya (saya memang tamak bila pinjam buku..huhu).
Ok berbalik kepada buku ini, ia menceritakan bagaimana surat2 & warkah Ungku Hamidah serta Ungku Nur. Yang menariknya bila penceritaan disulami dengan keindahan falsafah, firman2 Allah SWT, sabda2 nabi Muhammad SAW dan selingan pantun2 yang sangat menarik. Ungku Hamidah adalah golongan kerabat yang memiliki wajah biasa2 (sebab selalu watak wanita dalam novel menceritakan perempuan2 cantik). Jadi pada saya itu sangat menarik!Menelusuri kehidupan Ungku Hamidah yang menderita dengan perkahwinan paksa, hidup terseksa dengan sakit barah yg dihidapi & dalam masa yg sama amat menitik beratkan cara kehidupan islam yang dulunya jernih semakin menuju kekeruhan.Ungku Hamidah juga sangat tegas dalam memberikan pandangan2 berasaskan sejarah dalam hubungan erat Johor & Turki melalui episod sejarah berlatar belakangkan Majalah Ahkam Johor dalam dasar pemerintahan & undang Johor yang semakin dicemari oleh undang2 barat yang jauh dari undang2 berlandaskan islam .Terlalu banyak untuk diulas mengenai buku nipis yang menarik ini..
Tapi yang buat saya rasa suka bila buku ini menceritakan kelebihan kaum perempuan yang sering dianggap lemah dalam kebanyakan hal khususnya diskriminasi dalam membuat keputusan khususnya daripada kaum lelaki yang lebih banyak kuasanya dlm hal tersebut. Penulis juga menceritakan tentang peribadi perempuan Johor yang dikatakan mempunyai perhiasan tutur kata baik & sopan dan bnyak lagi (eh terus perasan sendiri bila sendiri baca)..haha.Ok rasanya untuk mencari kelainan dalam pembacaan,buku ini ada jawapannya...
Sekali lagi saya pening, adakah kisah-kisah Tuk Hamidah dan nukilan beliau mengenai kaum kerabat dan orang-orang di sekelilingnya betul pernah hidup? Macam betul saja semuanya. Ada keterangan dengan rujukan kitab dan majalah, nama-nama pun macam pernah dengar, macam mana boleh tak betul?
Ilmunya gemuk. Emosinya tembam. Amarahnya berapi. Berahinya memuncak. Semangatnya menderu-deru. Itulah Ungku Hamidah isteri Resep Gul yang nampaknya sampai hujung nyawa rindukan cumbu rayu asmara si suami. Ucu Nor juga dipeluk elemen yang sama, minus berahi - sudah dicantas, separuh dek Hisyamuddin si lelaki jalang dan separuh lagi dek penyakit yang memamah sel-sel badannya.
Warkah 9 dan 10 sangat nemacu khusyuk maksyuk. Ohh, kalau isteri lebih mahukan suami semasa nak capai asmara nala, yang lahir nanti anak lelaki and the other way around for the other way around. Betul ke ni? Pelangi warna, rasa, cahaya yang mula dari sir iptadi naik hingga ke sir wadi.... duhhhh berpeluh pulak ku pagi-pagi ni.
Selain dari 2 bab pasal yang tu, luahan dan laungan batin dia watak perempuan bersangkut darah dalam buku ini sememangnya membuka mata. Bacalah. Telusuri sejarah dengan nafsu tinggi ingin menegakkan kebenaran, meletakkan martabat ummah kembali ke tempatnya tang tersohor, lantas melenyapkan tipu domba sang penjajah laknat.
"Adapun anakanda amat kecewa mendengarkan Undang-undang Tubuh Johor sudah mula dicabul, dan hakim ada memutuskan bahawa Islam bukan mengawal Johor. Anjing Inggeris yang berkuasa di mahkamah-mahkamah kita itu mesti disingkirkan, mana perginya semangat jihad orang-orang lelaki? Lelaki apa jika tidak cukup lelaki? Beginikah sifatnya lelaki Johor?... Ayahanda, sungguh bongkok tunduk dan bangun bangkit dalam solat sahaja belum memadai jika negeri diberi kepada penjajah kafir untuk menentukan...- yang menyatakan kebenaran, Anakanda Ungku Hamidah".
Sarat dengan input sejarah, sama ada Johor, Tanah Melayu umumnya, Islam dan Turki. Kadang saya konfius sama ada ini naskhah fakta atau fiksyen. Penyampaian yang sangat menarik: dari segi bahasa yang tinggi, dari segi penceritaan menggunakan surat, dan selitan fakta demi fakta yang buat kita terpana mengatakan, sebegini hebat generasi Melayu yang terdahulu dengan ilmu dan warisan serta maksud yang tersimpan di sebaliknya.
Seperti buku-bukunya yang lain, aku kagum. Faisal Tehrani, jika dia hendak menulis tentang sesuatu, ia tak peduli samada buku itu mengenai kehendak pembaca atau tidak. Ia percaya dengan apa yang ia tulis. Keberanian yang selalu mengagumkan, apatah lagi apabila ia berjaya mengangkat isu tersebut.
Ia telah berjaya mengangkat sejarah kesultanan Johor, menghidupkannya dan menjadikannya suatu pelajaran penting untuk dunia politik Islam yang benar.
Lebih dari itu, penulis menggunapakai watak perempuan sebagai watak utama yang mengkaji sejarah dan menghidupkannya semula. Terasa darjat wanita diangkat tinggi. Ia memberi kepercayaan kepada perempuan untuk turut sama memainkan peranan dalam masyarakat. Bahawa perempuan juga punya kekuatan dan keberanian. Walaupun bukan sebagai pemain utama politik, perempuan tetap punya tugas penting untuk mengingatkan dan menegur salah laku dalam dunia politik. Bukan hanya mengangguk dan mengiyakan. Kerana posisi wanita di samping lelaki punya kekuatan luarbiasa yang tak patut diperlekeh.
Walaupun novel ini bukan novel cinta, entah kenapa aku rasa ia telah mengolah cinta dengan sangat terhormat. Ia meletakkan cinta pada tempatnya yang benar. Cinta sejati punya kekuatan. Perhubungan antara seorang ayah dan anak, jika tidak diikat dengan cinta, ia hanya sebuah perhubungan yang penuh curiga dan ketidakpercayaan. Perhubungan antara seorang suami dan isteri, tanpa rasa cinta, hasilnya hanyalah sebuah rumahtangga yang gagal. Perhubungan tanpa ikatan cinta hanyalah sebuah perhubungan yang gagal dan mengecewakan. Ia lemah dan melemahkan.
Buku ini telah membuat harum sejarah Johor suatu ketika. Membuat seorang perempuan Kelantan terdetik mengapa tidak dilahirkan menjadi seorang perempuan Johor.
Bila membaca karya Faisal Tehrani, saya bersetuju dengan komen senior saya, bahawa karya beliau tidak stagnant. Sentiasa menghibur pembaca dengan pengetahuan-pengetahuan yang sudah lama ada tapi diangkat kembali dalam sebuah penceritaan untuk menyedarkan pembaca. Membuatkan kita asyik dengan ilmu-ilmu khazanah warisan Melayu dan Islam. Membuatkan kita sedar bahawasanya Faisal Tehrani mahu kita bangga dengan warisan tinggalan nenek moyang kita. Bersyukur Allah telah berkenan memberi hidayah Islam kepada generasi awal dan berterusan hingga ke hari ini.
Saya sungguh mengagumi beliau dalam menterjemahkan ilmu yang beliau dapat dalam sebuah cerita, tidak membosankan dan sarat dengan pengajaran. Betapa indahnya akhlak Ungku Hamidah. Seorang perempuan Johor yang dididik dengan ajaran Islam dan adat Melayu yang indah.
Mengagumi watak Ungku Hamidah yang lantang bersuara tentang akidah namun tetap menjaga keperibadian wanita solehah. Di saat Johor dipukul dengan doktrin Inggeris, Ungku Hamidah mengutus warkah, mengingatkan kerabat Johor tentang Islam. Betapa karya ini mengangkat darjat wanita dalam bersuara demi kemaslahatan ummah sejagat. Lingkung suara perempuan Islam tidak terhad dalam urusan rumah tangga sahaja. Beliau perempuan Johor yang merupakan saudagar yang bijak berniaga juga seorang pejuang yang mencintai agamanya namun tetap menjaga tatatertib seorang wanita Johor yang halus peribadinya.
Karya ini membuat saya cemburu kepada perempuan Johor yang cerdas fikirannya, kuat imannya dan indah tutur kata dan adabnya.
"Dari sejarah yang benarlah kita mengerti bahawa keperkasaan bangsa hanya akan bermakna dengan Islam. Ummah menjadi kuat kerana kesatuan atas nama syahadah." (M/s 207)
Seperti tajuknya, buku ini boleh dikatakan himpunan karangan surat. Ucu, watak utama, yang dahagakan sejarah yang benar. Dia mengasingkan diri di Turki untuk mengkaji hubungan kerajaan Johor dengan Turki Uthmaniyyah suatu ketika dulu. Antara sumber yang dia gunakan ialah koleksi surat moyang/neneknya (tak sure) Ungku Hamidah.
Menariknya, buku ni siap ada footnotes untuk rujukan bahan-bahan. Jadi, buku in bukan fiksyen semata-mata. Selain itu, bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu moden (zaman sekarang) & juga bahasa Melayu klasik. Pertama kali membaca buku yang mengadun bahasa dua zaman sebegini.
Cuma, ada bahagian yang agak 'dewasa' namun masih diceritakan dengan bahasa yang sopan.
"Dia perempuan yang berani melampaui zaman. Dia menegur dan mencabar. Dan juga sangat mencintai lelaki yang bernama Recep itu."
Surat Surat Perempuan Johor consists of 4 types of letter which were written by Ungku Nur and Tuk Hamidah respectively. The story revolves around history of Johore and Turkey, religion, critics on Westernization influence on Islamic countries and yes, love.
I love everything about this book but the plot isnt well-developed, that explains the missing 1.1 stars from the rating.
Anyway, it is a beautiful and an empowering piece by Faisal Tehrani. Highly recommended.
buku nipis tapi terasa begitu berat untuk saya. setiap baris bergerak perlahan, mungkin disebabkan buku ini adalah himpunan surat-surat dan bukan 'story-based'. jadi setiap satu surat sepertinya perlu berdiri sendiri, setiap satu surat membawa topik dan isu tersendiri, tambahan surat-surat tersebut adalah daripada orang yang berbeza-beza.
jika saya seorang perempuan johor, mungkin saya amat tersentuh dengan sejarah negeri dan raja-raja negeri kelahiran. melalui sudut pandang bukan seorang perempuan johor, saya rasa himpunan-himpunan surat ini terlalu gah untuk dibaca. seperti punya aras tersendiri, seperti mencuri baca surat-surat orang bangsawan yang tak layak ditilik oleh marhaen seperti kami.
ya. orang-orang bangsawan selayaknya membaca surat-surat dalam buku ini dan mengambil iktibar akan kejatuhan pengaruh raja dalam sistem pentadbiran kerajaan. kandungannya kaya fakta dan maklumat. tak terbayangkan betapa kerasnya usaha Dr Faisal menulis setiap bait. terima kasih.
Yang kurang menggemari tentang sejarah mungkin agak sukar menghadam karya ini, namun jika anda menggemari sejarah leluhur kita ditambah lagi dengan bahasa sastera yang tersusun indah, buku Surat-Surat Perempuan Johor ini mungkin perlu anda miliki.
Ceritanya tidak berdialog. 99% hanya terisi dengan penyataan penyataan rasa watak utama (terdapat dua watak yang dipisahkan melalui dua zaman) melalui nukilan surat. Walaupun ianya seperti membaca luahan rasa, tapi sebenarnya kita turut merasai apa yang watak utama rasakan melalui tulisan suratnya. Kisah kisah perjuangan orang terdahulu mempertahan bumi Johor, kisah kisah kasih sayang dan perhubungan antara manusia dan Yang Esa ditulis dengan begitu baik sekali.
Buku Surat-Surat Perempuan Johor ini wajib dimiliki bukan sahaja peminat Faisal Tehrani namun juga buat mereka yang mencari makna kehidupan yang sebenar. Tahniah buat tim Jiwa kerana menerbitkan semula karya ulung ini.
Ini novel pertama yang saya baca, yang ceritanya digerakkan oleh surat-menyurat. Surat-surat itu ditulis oleh Ungku Nur kepada ayahanda, kakanda, bekas suami dan seorang dua ahli keluarganya yang lain. Ungku Nur juga menyalin kembali surat-surat Ungku Hamidah, leluhur mereka yang dikatakan meninggal dunia di Makkah sebagai perempuan tidak bersuami - yang pada lewat surat-surat tersebut membuktikan hal yang sebaliknya.
Naratif cerita ini berat - membuka kembali sebuah sejarah tentang undang-undang yang dipakai oleh sebuah negeri. Haruslah FT menggunakan bahasa surat-menyurat untuk membahaskan hal serius ini dengan bahasa halus, berhemah, tapi tidak kurang hujahnya. Setiap hujah disertakan rujukan.
Hal cinta kasih dan penerusan zuriat juga ditulis secara halus, santun dan berlapik-lapik. Malah, dalam surat Ungku Nur kepada bekas suaminya, dititipkan rasa marah yang terkawal tetapi tidak mengurangi emosi wanita itu.
Saya rindukan bahasa halus dalam surat-surat ini. Juga pantun-pantun indah yang jarang-jarang amat dapat ditemukan sekarang.
My 1st read from Dr. FT. Saya beli buku ni sebab nak tahu tentang kesasteraan penulisan beliau, let aside his controversial take in many things (sekarang ni dah kurang).
Buku ini tentang sejarah Johor dan perkaitan dengan Türkiye suatu ketika dahulu melalui surat-surat daripada dua orang wanita yang berbeza. But this book perhaps not a suitable book for me to start learning about his literature. Okey tapi too preachy.
Kali terakhir aku baca novel yang berunsurkan sejarah ialah tulisan Noor Suraya, Tanah Andriyana. Banyak rupanya tinggalan sejarah yang tak dijelaskan kepada kita. cuma berapa peratus saja yang kita pelajari di dalam subjek Sejarah. Aku suka dengan cara penyampaian Faisal Tehrani dalam novel ini. Bahasa-bahasa yang digunakan pun aku suka.
Untuk pembaca yang bukan berdarah Johor seperti aku, surat-surat yang terkandung di dalam buku ini begitu memberi pengetahuan yang luas berkenaan sejarah negeri Johor. Terasa seperti ingin menulis surat seperti ini juga.
“Long, surat-surat ini sangat berharga insya-Allah. Surat-surat ini tenaga, surat-surat ini sejarah, surat-surat ini pesan kebenaran saya, pesan yang saya kerjakan dengan penuh kesabaran.”
Pesan Ungku Nur yang cukup menyimpulkan apa sebenarnya tujuan yang menyebabkan beliau begitu bersemangat membangkitkan sejarah yang telah dikhianati.
Bagi saya, karya ini cukup istimewa dalam membawa pembaca mendalami sejarah keakraban Turki-Johor saat kegemilangannya satu ketika dahulu.
Walaupun berdiri sebagai genre fiksi ditambah pula dengan segala penceritaan yang berbentuk surat, saya kira karya ini cukup istimewa dalam membangkitkan rasa kecintaan yang tinggi terhadap sejarah bangsa.
Tekad Ungku Nur (watak utama) untuk membuktikan kepada ayahnya bahawa pilihan ayahnya untuk berjuang dalam medan politik yang penuh dengan tipu daya serta memijak sejarah bangsa adalah tidak tepat.
Lihat ketegasan Ungku,
“Kebenaran tidak diatasi oleh hubungan darah. Kita tidak dapat memperakukan ketidakadilan, semata-mata kerana yang melakukan kejahatan itu adalah saudara atau darah daging kita sendiri.”
Ungku Nur dicerminkan sebagai seorang pencinta sejarah, malah boleh dikatakan sebagai seorang nasionalis. Baginya, membiarkan sejarah itu bisu dan kekal terpaku adalah aib yang nyata.
Kata Ungku dalam surat-suratnya,
“Sejarah yang benar harus bangkit dari tidurnya, sejarah yang benar dan tidak ditangani dengan jujur akan jadi seperti roh yang lepas bergentayangan.”
“Sejarah dapat memahamkan kita mengapa kita telah menjadi sebegini menyeleweng hingga ditimpa pelbagai bala bencana daripada Tuhan.”
“Kita mengkaji sejarah dengan tujuan untuk mencari kebenaran. Kemudian kita wajib meletakkan semula apa yang benar dan baik di tempatnya semula.”
Perjuangan Ungku Nur ini juga bukanlah satu yang sia-sia. Beliau begitu gigih mencari pertautan yang teguh antara sejarah Turki dan Johor dalam membuktikan betapa hebatnya kekuatan umat Islam pada suatu ketika dahulu.
Sering dibahaskan dalam surat-suratnya mengenai kaitan al-Ahkam al-Adliyah yang merupakan kod undang-undang yang digunakan pada zaman Turki Uthmaniyyah dengan Undang-Undang Melaka dan Majalah Ahkam Johor.
Perbahasan yang begitu santai melalui penulisan surat adalah satu yang perlu diberikan pujian kepada penulis karya ini. Satu kajian yang saya kira cukup teliti dilakukan oleh Faisal Tehrani dalam menjadikan naskah ini begitu berharga untuk dibaca.
Oh ya, karya ini bukanlah sekadar membicarakan soal sejarah, ada juga diselitkan nilai perasaan seorang manusia yang rata-ratanya ingin disayangi dan dikasihi.
Ketika Ungku Nur menceritakan isi hatinya kepada kakaknya mengenai kehadiran Cem yang banyak mengubah sisi pandangnya terhadap perasaan, jelas membuktikan hal-hal berkaitan hati itu sentiasa saja menjadi lumrah dalam hidup manusia.
Juga warkah Tuk Hamidah kepada Recep yang dicintai.
Naskah ini bukan sekadar menceritakan keadaan masa kini. Turut dimuatkan perjuangan orang dahulu dalam memperjuangkan kesucian sejarah bangsa.
Pembaca akan tertarik dengan keintelektualan Ungku Nur dalam mencari kebenaran sejarah tanah airnya. Malah, terbuai dengan keindahan bahasa Tuk Hamidah ketika berutus surat dengan kakanda juga kekasih hatinya.
Konklusi, buku ini terlalu istimewa dalam mengungkapkan kekuatan sejarah melalui cara yang menarik iaitu penulisan surat. Segala perbahasan yang terkandung dalam surat ini bukanlah sesuatu yang sia-sia malah mampu membangkitkan jiwa pembaca untuk mencintai sejarah negara dan bangsanya.
Cerita yang ternukil dalam bentuk dua bahasa surat mengikut zaman penulisannya. Surat dua generasi kerabat Johor yang mengangkat pendirian dalam corak pemerintahan berlandaskan Islam. . Watak utama, Ungku Nur atau Ucu, telah menggunakan surat sebagai medium menjelaskan keadaannya di negara orang kepada ahli keluarganya. Juga menjelaskan pendirian dan kesalahfahaman ayahnya terhadap tindakannya dalam hal mempertahan pendapat terhadap politik yang melibatkan kerajaan Johor. . Surat-surat yang mengingat dan menasihat si ayah tentang isi kandungan undang-undang yang sebelum ini dijadikan panduan dalam pemerintahan sebelum ada campur tangan Inggeris. Majalah Ahkam Johor, yang disebut oleh Ungku Nur sebagai menarik kembali ingatan si ayah akan sebuah khazanah undang-undang bangsa Johor yang berteraskan Islam. Yang semakin hilang ditimbun sekularisasi dan ideologi penjajah yang jauh daripada akar diri anak bangsa. . Sementara surat Tuk Hamidah, moyang Ungku Nur (yang ditemui dan dibaca oleh Ungku Nur) pula menghadirkan bentuk penulisan berbeza bahasa. Sangat lembut, beradab, mukadimah terselit bahasa Arab, memuji Ilahi dan Rasulullah SAW dalam buka bicaranya, yang tak hilang puisi dengan indah bahasa, molek makna. Yang di dalamnya penuh peringatan akan hal Islam dan kehidupan. Baik dari segi politik, ekonomi, sosio-budaya, malah hal ehwal rumah tangga. . Bukan mudah menulis fiksyen sejarah dalam madah dan teguran tegas jika ilmu tentangnya belum terlunas. Ilmu sejarah, agama Islam, undang-undang Johor, tokoh pemerintah ... malah bahasa persuratan itu sendiri perlu sebati dalam jiwa penulis sebelum dikarang dengan rasa menggunung. . Selitan bahasa Arab, budaya dan politik negara Turki juga turut menjadi inti. . Cinta? Ada. . Cerita ini cukup rencah, pedas, pahit, manis, sedih, malah payau juga bila terasa kerdil membacanya. Banyak yang saya tak jangka akan ilmu yang bakal saya temui melalui pembacaan sebuah cerita rekaan. . Kisah cinta Tuk Hamidah, yang menjadi sejarah. Kisah cinta Ungku Nur yang tak berapa indah tapi teguh tertongkat tabah dan muhasabah. . Banyak ilmu, banyak kisah. . . #suratsuratperempuanjohor #faisaltehrani #dubookpress #ulasanbuku #booktubemy #booktuber #malaysia #norsamilasamsudin
Novel FT sememangnya sarat dengan fakta yang disulam dengan indahnya bahasa. Kali ini temanya adalah sejarah Johor dan hubungan rapatnya dengan Turki. 5 bintang kerana membuatkan aku segar kembali.
Pertama sekali terima kasih buat Dubook Fantastika kerana menerbitkan naskhah ini. Kulitnya cantik isinya apatah lagi! Setelah membaca karya-karya Faisal Tehrani yang sebelum sebelum ini (Bagaimana Anyss Naik Ke Langit, Bedar Sukma Bisu, Manikam Kalbu, Tuhan Manusia) saya akan letakkan karya ini karya favorit saya setakat ini. Mungkin format surat menyurat itu yang menjerat hati saya. Dan mungkin juga kerana isu-isu berkenaan sejarah pembikinan undang-undang dan juga hal keperempuanan serasa dekat di hati sentiasa yang membuatkan bertambah-tambah jatuh cinta terhadap karya ini. Kajian yang dilakukan Faisal Tehrani tidak pernah menghampakan. Lima bintang untuk usahanya dan juga penyusunan kata serta letak bahasa yang indah-indah belaka.
Buku ini mengisahkan tentang semangat juang dua wanita Melayu yang lahir di zaman yang berbeza tetapi mempunyai cita-cita yang serupa. Keazaman serta kekuatan mereka untuk mempertahankan kedaulatan bangsa dan agama begitu mengkagumkan, meskipun hanya melalui penulisan. Bukankah pepatah Inggeris mengatakan, "The pen is mightier than the sword"? Kekuatan buku ini bukan sahaja pada bahasa yang tinggi dan isi kukuh hasil kajian mendalam tetapi juga gaya penulisan baik yang mampu membuat pembaca merasakan sendiri semangat juang yang membara dalam kedua-dua watak utamanya. Tidak hairanlah buku ini memenangi anugerah (anugerah apa aku kurang pasti).
buku fiksyen sejarah yg menarik yg berkaitan dgn zaman pemerintahan Johor dan perhubungan dgn empayar Turki pada zaman dahulu sebelum Malaysia merdeka. apa yg dikupaskan byk isu menarik, kaitan penjajahan Inggeris waktu dahulu dan pelbagai...
Disampaikan menerusi pucuk pucuk surat Ungku Nur kepada Tuhan, diri dan keluarganya yang membentuk sebuah proses perjuangan yang menjadi keghairahan. Diselangi dengan lembaran warkah merentas zaman coretan Ungku Hamidah yang jelas menggenggam kejap prinsip dan kepercayaan terhadap Islam. Tak pernah wujud sebesar zarah pun rasa gentar atau ragu dalam jiwa mereka untuk terus mengecam pencabulan Inggeris ke atas Majalah Ahkam Johor yang diperkenan Baginda Sultan akan guna pakai untuk selama-lamanya. Hidup mati mereka adalah untuk menentang kebatilan dan menujah kembali hanya yang benar.