3.75 bintang
Pertama kali membaca karya penulis bernama Maya Iris ni. Buku ini dibeli semasa melayari sale yang ditawarkan di Bookcafe (kedai online untuk buku terbitan PTS). Tertarik dengan sinopsisnya dan juga nama watak utamanya, Nur Sayang. Very catchy!
Mahar Cinta Cinderella membawakan kisah Nur Sayang yang menjadi mangsa ragut pada hari pertama dia sepatutnya melaporkan diri untuk menjalani latihan praktikal kejururawatan. Tragedi tersebut menemukannya dengan Dr Andrew, yang telah menyelamatkannya ketika dia diseret oleh peragut bermotosikal tersebut dengan cara membaling kasut yang dipakainya ke arah peragut tersebut.
Pada mulanya, Nur Sayang berasa benci dengan sikap Dr Andrew yang pada pandangannya seolah-olah cuba mengambil kesempatan semasa merawatnya. Segala rungutan dan kata-kata yang agak kasar dari Nur Sayang yang kurang selesa dirawat oleh doktor lelaki tidak diendahkannya. Malahan makin galak dia mengusik. Walaupun berkali-kali dimarah supaya memanggilnya Nur, Dr Andrew tetap suka memanggilnya Sayang sehingga akhirnya dia sendiri pun sudah penat hendak membetulkannya. Lebih-lebih lagi, Nur Sayang diletakkan di bawah seliaan Dr Andrew sepanjang tempoh praktikalnya.
Cemuhan Dr Andrew yang menggelarnya 'Islam celup' kerana tidak memahami ajaran Islam yang sebenar, sebaliknya hanya menghafal tanpa memahami maksudnya seumpama burung kakak tua (sangat terasa!) membuatkan Nur Sayang bertekad untuk memcari bukti melalui ayat-ayat Al-Quran bagi menjawab segala provokasi Dr Andrew. Ketekunan Nur Sayang membuka hati dan minda Dr Andrew untuk turut sama mencari jawapan di dalam Al-Quran. Tanpa disedari, perasaan benci dan jengkelnya terhadap Dr Andrew semakin menghilang, apatah lagi mereka sekarang lebih banyak berbincang dan saling berkongsi tentang ilmu-ilmu yang diperolehi hasil dari kajian mereka terhadap ayat-ayat suci itu.
Akhirnya Dr Andrew yakin untuk memeluk Islam dan dia mengharapkan agar Nur Sayang dapat berada di sampingnya untuk menyokongnya. Tetapi, Nur Sayang menolak lamarannya kerana dirasakan dirinya masih tidak cukup baik untuk menjadi pembimbing saudara baru.
Kerana kecewa, Dr Ehsan (nama Islam Dr Andrew) mengambil keputusan untuk mengikuti rombongan kemanusiaan ke Gaza. Di sini, dia dapat mengalami sendiri penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin. Malah, dia dapat menyaksikan sendiri peristiwa2 yang mungkin jika tidak dialami sendiri akan sukar dipercayai.
Dalam masa itu, Nur Sayang yang mengalami tekanan juga untuk mencari dirinya semula. Dia berasa menyesal kerana telah menolak lamaran seorang lelaki yang baik. Setelah 'pengembaraannya', Nur Sayang mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir.
Dr Ehsan yang ditembak tentera Zionis telah diselamatkan dan dibawa ke hospital di Mesir. Dan mereka berdua terperangkap di sana ketika Revolusi Mesir. Mereka berada berdekatan, tetapi tidak mengetahuinya.
Ketika pulang ke Malaysia, Nur Sayang diberitahu bahawa Dr Ehsan telah meninggal dunia di Palestin. Dia berasa teramat sedih dan terkilan kerana telah menolak lamarannya sehinggakan Dr Ehsan merajuk membawa diri ke Gaza, dan menyebabkannya terbunuh. Dr Ehsan yang juga mencari Nur Sayang di Malaysia turut menemui kehampaan apabila diberitahu yang dia telah terlepas peluang untuk berjumpa Nur Sayang (selisih masa sejam) dan Nur Sayang pula diberitahu tentang kematiannya. Dia redha dan berserah kepada ketentuan Allah.
Keduanya dipertemukan semula ketika menaiki penerbangan yang sama untuk kembali ke Mesir. Nur Sayang untuk meneruskan pengajiannya (untuk meneruskan legasi Dr Ehsan!) dan Dr Ehsan pula menerima tawaran kerja di hospital di sana. Pertemuan yang pastinya memberi peluang kedua untuk kedua-duanya mencari kebahagiaan.
Novel yang menarik, boleh dikatakan agak unik. Banyak kisah yang dijadikan contoh dan pedoman. Malahan perbualan antara Dr Andrew dan Nur Sayang banyak berkisar tentang ilmu-ilmu yang terkandung dalam Al-Quran, kitab suci yang dijadikan pedoman setiap masa. Dan banyak juga la ingatan-ingatan serta sindiran yang dinyatakan oleh penulis yang terkena batang hidung sendiri. Aduhh...terasa betapa ceteknya ilmu, betapa jahilnya diri dan betapa jauhnya kita dari Allah.
Cuma, saya merasakan bahasanya agak keras dan perwatakan Nur Sayang yang sepatutnya menjaga susila seorang gadis Melayu beragama Islam juga pada saya agak tidak kena, agak meninggi diri. Terasa seperti dia terlalu ego, dan tidak begitu menghormati orang lain (terutamanya Dr Andrew dan Syakirah). Itu yang menyebabkan saya agak berat hati untuk memberi naskhah ini solid 4 stars, walaupun di dalamnya penuh dengan pengisian.
Kata-kata yang paling menarik (malah dijadikan tagline) :
Saya seperti Cinderella. Orang nampak Cinderella itu cantik. Tetapi, di sebalik pakaian dan solekan yang cantik, sebenarnya Cinderella seorang yang miskin dan comot. Orang nampak saya baik dan alim. Sebenarnya jiwa saya miskin.