Kreativiti dalam Penciptaan Sastera cuba memberi sedikit kefahaman tentang apa yang dikatakan kreativiti, ciri khusus yang biasanya wujud pada insan penulis, dan hambatan proses kreatifnya. Dan cabaran terdekat yang perlu disambut agar tidak terus leka dengan takah sedia ada.
Barangkali ini buku pertama melihat karya sastera daripada perspektif kreativiti. Bidang kreativiti moden dimulakan oleh ahli-ahli psikologi, namun ia kini menjadi 'hak' semua pihak termasuk pengarang fiksyen dan sastera.
Dua bab awal fokus secara langsung dengan kreativiti, kemudian berfokus kepada kreativiti dalam penulisan sastera malah ada bab khusus tentang analisis kreativiti terhadap novel 'Hujan Pagi' oleh SN A Samad Said.
Johan Jaafar menyifatkan Hujan Pagi sebagai novel moden terbaik Malaysia dan relatif lebih kuat dan berwibawa daripada novel Gabriel García Márquez. A. Samad Said (lahir 1935) menghasilkan Hujan Pagi (1987) sewaktu berusia 52 tahun manakala Salina (1961) dihasilkan sewaktu berusia 26 tahun.
Ada banyak tip dan teknik kreativiti yang dikongsikan. Ini termasuklah teknik pemeraman dalam penulisan fiksyen. Turut dikongsikan beberapa rajah carta watak untuk penulisan novel dan jumlah halaman untuk setiap novel sewaktu menganalisis 'Hujan Pagi'.
Pengarang tempatan lain yang disebut dalam buku ini termasuklah Zaen Zasturi dan Zainal Rashid Ahmad (ZRA). Turut disebut nama Rahmat Haroun dan Ahmad Patria Abdullah, refleksi kepada penulis yang cenderung kepada genre fiksyen sains dan fantasi.
Tokoh-tokoh kreativiti akademik dan popular yang menjadi rujukan termasuklah Teresa Amabile, Edward de Bono, Hasan Langgulung dan Ainon Mohd. Tertarik dengan petikan kata-kata SN Shahnon Ahmad yang menggesa untuk 'berani melakukan revolusi dalam karya sastera'.
Hizairi wajar menulis buku ini disebabkan beliau juga aktif menghasilkan karya sastera. Beliau anak pengarang prolifik, Othman Puteh. Buku ini dihasilkan sewaktu Hizairi bertugas di UPM sebelum beliau didapati hilang sejak Mac 2001; https://www.hmetro.com.my/utama/2023/...
Percayalah, usai membaca buku ini, membuatkan anda rasa teruja untuk sambung menulis.
Buku ini saya beli daripada penjual buku terpakai (2019)
Saya pernah mengagumi karya-karya Saudara Hizairi sewaktu di sekolah menengah.
Buku ini tidak tebal tetapi sarat petunjuk. Sewaktu membaca bab terakhirnya, saya sebak (walhal penuh dengan nasihat dan tips menulis) seakan-akan Hizairi yang sedang membimbing. Semoga Allah merahmati dan melindungi beliau, di mana sahaja.