Tahqiq dalam dunia kesarjanaan Arab sangatlah luas, mendalam dan kaya dengan pelbagai rencah ketimbang karier editor dalam dunia kepengarangan Melayu.
Dalam buku ringkas tetapi signifikan ini, muhaqqiq kelahiran Iraq yang terkenal, Dr. Basysyar ’Awwad Ma’ruf menguak dunia kepengarangan tradisi Islam yang sangat kaya dan teliti. Penulis pada awalnya menerangkan hatta pada karangan muhaqqiq tersohor seperti tahqiq Syeikh Muhyiddin ’Abd al-Hamid terhadap Wafayāt al-A’yān juga mempunyai masalah halus jika diteliti dengan baik.
Penulis kemudiannya berpindah kepada bagaimana teknik penulisan terdahulu yang tidak meletakkan huruf hamzah dan titik ketimbang zaman sekarang. Pada perkataan "seratus" pula misalnya, pada zaman dahulu diletakkan huruf alif (مِائَة) bagi mengelakkan kekeliruan kalimah "seratus" (مِئَة) dengan kalimah "daripadanya" (مِنه) seperti yang disebut oleh al-Qalqasyandi dalam Subh al-A’syā.
Dalam tradisi hadis pula, sebahagian huruf dihazafkan menyebabkan sesetengah penuntut ilmu peringkat pemula pada hari ini keliru dan tersalah baca sehingga menganggap "akhbarana" (اىىا) menjadi "anba'ana" apabila huruf "kha" dan "ra" dihazafkan.
Syeikh Basysyar menyarankan para muhaqqiq untuk merujuk al-Sihāh: Tāj al-Lughah wa Sihāh al-’Arabiyyah oleh al-Jauhari, Lisān al-’Arab oleh Ibn Manzur, al-Qāmūs al-Muhīt oleh al-Fairuzabadi dan Tāj al-’Arūs min Jawāhir al-Qāmūs oleh Imam Murtadha al-Zabidi dalam dunia perkamusan. Dalam aspek nasab, rujuk al-Ansāb oleh al-Sam’ani dan al-Lubāb fī Tahzīb al-Ansāb oleh Ibn al-Athir. Dalam aspek laqab, rujuk Ibn al-Fuwati, Ibn Hajar dan al-Sakhawi. Bagi geografi, rujuk Mu’jam al-Buldān oleh Yaqut al-Hamawi dan Marāsid al-Itlā’ oleh Ibn ’Abd al-Haqq al-Baghdadi.
Penulis juga menyarankan pembaca meneliti dengan baik setiap titik dan baris yang diletakkan oleh Imam al-Zahabi dalam karangannya. Begitu juga pembaca perlu menelaah al-Mu'talif wa al-Mukhtalif oleh al-Darqutni dan kitab Zād al-Ma’ād tahqiq Syeikh Syu’aib al-Arnaut dan Syeikh ’Abd al-Qadir al-Arnaut.
Pesan penulis, apabila pentahqiq tidak benar-benar mentahqiq hadis dengan baik misalnya, maka bertebaranlah penggunaan kesalahan teks yang ditahqiq tersebut kepada para penceramah, pengajar dan penulis sehingga mengelirukan hakikat Islam itu sendiri. Syeikh Basysyar ‘Awwad sendiri apabila mentahqiq kitab Tahzīb al-Kamāl karangan Imam al-Mizzi, beliau merujuk hampir semua kitab berkaitan dengannya bagi mendapatkan hasil tahqiq yang terbaik.
Ketika menyimpulkan naskhah ini, penulis menjelaskan semula perbezaan antara tahqiq dan ta’liq. Tahqiq ialah membetulkan nas, mengikatnya dan mengemaskini teks sehingga menjadi bentuk yang terakrab sebagaimana yang dikehendaki oleh penulis asal (saat mereka menulis). Ta’liq pula adalah untuk memberikan faedah kepada pembaca mengikut kadar yang mereka mampu, mendekatkan mereka dengannya dan menjelaskan teks dengan syarahan, penjelasan, pendefinisian dan penerangan terhadap keraguan yang berlaku seputarnya.
Skop tahqiq ialah menyusun, menambah-betulkan baris-huruf, meneguhkan yang benar, menunjukkan yang salah dan membandingkan kebanyakan naskhah.
Manakala skop ta’liq pula ialah mensyarahkan lafaz-lafaz ganjil, mendefinisikan nama tempat-individu-kitab yang kabur, mentakhrij hadis, membanding teks serta mengkritik teks yang ada.
Bagi menghasilkan tahqiq yang berkualiti, para muhaqqiq perlu mengumpul dan menumpukan sepenuh tenaga terbaik mereka ke arahnya. Tahqiq itu bertukar menjadi sekadar nasyr atau edaran sahaja sekiranya pentahqiq mengabaikan aspek-aspek penting dalam ilmu pentahqiqan.
Ta’liq pula akan menyingkap sahsiah sebenar seseorang muhaqqiq serta menyingkap berapa lama tempoh masa sebenar seseorang muhaqqiq itu melazimi dengan manhaj ilmu dan adab dengan rakan-rakan sesarjana dan sepengajiaannya.