Melati Sarawak, roman klasik yang mengisahkan seorang pemuda yang bernama Harun yang dipanah cinta "Melati", seorang perempuan yang dikenalinya semasa upacara 'gendang perempuan' yang menjadi upacara pusaka masyarakat Melayu Sarawak. Upacara yang bermotifkan hiburan dalam pada masa yang sama, medan untuk pemuda-pemudi mencari pasangan hidup.
Cerita percintaan Harun kepada Melati yang terpendam, bertukar menjadi kisah perjuangannya menanam benih-benih kesedaran dan keinsafan dalam masyarakat Melayu Sarawak tentang upacara 'gendang perempuan' yang dilihat dari perspektifnya banyak merosakkan walaupun mengandungi estetika.
Plot digarap dengan baik sekali dengan gaya epistolari serta menyelitkan pantun-pantun yang indah untuk menggambarkan cinta dan kerinduan yang terpendam sesama Harun dan Melati. Meletakkan elemen kebudayaan, menjadikan novel ini sebuah novel yang unggul yang harus dibaca untuk mengenali jati diri.