Memasuki umur pertengahan 20-an, banyak perkara yang terlintas di fikiran serta hampir terpadamnya cita-cita yang seperti api lilin dihujung pembakaran batang lilin yang semakin pendek. Memiliki ijazah serasa tidak cukup tanpa semangat dan jati diri jika difikir-fikirkan kembali.
Memilih buku ini, dibaca sewaktu bulan kemerdekaan memang ada signifikannya. Hamka menceritakan bagaimana beliau boleh memilih untuk menulis naskah Dari Lembah Cita-Cita ini, yang mulanya beliau didatangi anak muda yang bertanyakan kepadanya tentang hal cita-cita dan impian serta bagaimana ingin dilaksanakan perihal itu.
Hamka memulakan bab terawal tentang Zaman Jahiliah, yang berkisarkan tentang zaman kegelapan dan zaman terjadinya kebodohan sehingga segalanya menjadi ikut-ikutan, kemudian bab seterusnya berkisarkan Tauhid, yang bagi saya sangat terkait rapat dengan bab Zaman Jahiliah.
Tauhid, menyembah Tuhan yang satu sebenarnya membebaskan diri daripada terus terpasung dalam jiwa kebodohan sehingga turunnya perintah Ibadah (dalam bab seterusnya) dan diteruskan dengan bab Iman. Pembalasan, Iman dan Negara, Cita-cita, Mencapai cita-cita, Khutbah Socrates , Pendirian dan Perjuangan, Tidakkah Tuan Takut? serta akhir sekali, Menyesali Zaman Lalu.
Jika diselami bab Iman dan Negara, hakikat bahawa ingin membina negara yang maju tanpa ditindas bangsa sendiri serta orang luar perlu berjalan bersama dengan jiwa-jiwa yang beriman. Begitu juga, ingin mencapai sebuah cita-cita yang terlalu ingin setiap jiwa-jiwa mengecapinya, perlu jua berjalan bersama iman yang benar.
Tulisan Hamka sebenarnya ingin menggalakkan pemuda pada zamannya berfikir sejenak bagaimana ingin mencapai cita-cita (tidak kisah dalam bentuk apa sekalipun), dan sejujurnya untuk mencapai cita-cita dalam jiwa muda itu bermula dengan diri mereka sendiri. Mentauhidkan Allah, mencintai Rasul dan beriman dan mengamalkan rukun Islam.
Jujurnya ada beberapa tulisan Hamka dalam buku ini buatkan air mata menitis, seperti memujuk-mujuk jiwa untuk bersabar kerana diri ini masih muda dan banyak lagi yang perlu ditempuh. Sabar.
Buku ini sangat sesuai untuk mereka yang ingin muhasabah diri kembali, kerana jawapannya terletak pada diri sendiri. Bukan dalam buku ini, bukan juga dari orang lain.
Yang membelenggu itu ialah kebodohan, akal yang tumpul dan taklid, menurut saja kepada nenek moyang, menerima kata turun-temurun.